Saya ingin terlebih dahulu mengalu-alukan dan memberi tabik hormat kepada Perwakilan Nasional DAP yang berkumpul di sini hari ini, pada saat yang begitu luar biasa bagi Malaysia, dan dunia amnya. Kita meraikan ulangtahun ke-50 DAP tahun ini selepas suatu perjalanan luar biasa yang membawa kita daripada sekadar menjadi pembangkang untuk menjadi rakan kongsi dalam kerajaan, dari penjara menuju tampuk kuasa. Dan yang paling penting, kita telah membuktikan kita boleh mentadbir lebih baik daripada hanya berfungsi sebagai sebuah parti pembangkang.
Kita telah berjuang menentang begitu banyak musuh; ada musuh yang walaupun pernah memenjarakan kita, kini telah menjadi sekutu kita. Sesungguhnya tidak ada kawan atau musuh yang kekal. Hanya prinsip yang kekal. Dan prinsip yang menyatukan kita adalah untuk menyelamatkan sebuah negara Malaysia yang dalam berada bahaya, ekonominya dalam krisis, rakyatnya yang tidak bersalah menjadi manga penyalahgunaan kuasa dan rasuah, dan negara kita bertukar menjadi sebuah kleptokrasi.
Adalah untuk sebab ini kita mengalu-alukan kehadiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Persidangan Kebangsaan buat kali pertama dalam sejarah parti. Beliau tidak pernah mempunyai RM2.6 bilion atau RM4.2 bilion dalam akaun bank peribadinya.
Pada saat yang begitu unik dalam sejarah Malaysia ini, saya tahu saya bercakap bukan hanya kepada ahli-ahli DAP dan penyokong tetapi juga kepada berjuta-juta rakyat Malaysia yang baru sahaja menyaksikan kempen pembohongan dan kebencian terhadap DAP. DAP dijadikan mangsa yang tidak berdosa dalam kempen kebencian oleh mereka yang mahu mencari kambing hitam untuk menutup kegagalan mereka.
Kita tidak akan menjadi momok bagi mereka yang mahu meniup api kebencian kaum dan agama. Yang dikatakan dosa kita hanyalah kerana kita enggan berputus asa dengan Impian Malaysia, yang menjadi sebuah janji untuk masa depan yang lebih baik melalui sebuah lembaran baru untuk rakyat Malaysia.
1. DAP@50
Pertama sekali marilah kita meraikan ulang tahun ke-50 Parti Tindakan Demokratik sebagai pergerakan yang bersatu, berdisiplin, rasional dan padu, hasil daripada sumbangan, dedikasi dan pengorbanan pemimpin DAP, ahli-ahli dan penyokongnya, terutamanya ahli-ahli veteran kita. Persidangan Kebangsaan hari ini akan memberi pengiktirafan kepada ramai pemimpin nasional dan akar umbi yang telah membantu kita mengatasi cabaran dan terus menyelamatkan parti pada ketika kita berada dalam keadaan paling malang.
2. Parti beridealisme
DAP kuat kerana kita berjuang bukan melalui kuasa atau kekayaan tetapi melalui idea, cita-cita dan prinsip. Lambang roket menjadi tanda kuatnya kepercayaan kita dan usaha politik untuk mengatasi kemustahilan.
DAP berdedikasi ke arah cita-cita memperjuangkan keadilan, kebebasan, demokrasi, peluang saksama, integriti dan martabat manusia; komited demi prinsip asas mempertahankan hak rakyat dengan memerangi undang-undang yang menindas, rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa, serta mendakap idea-idea baru yang menyediakan penyelesaian untuk meningkatkan taraf hidup dan kemakmuran ekonomi 30 juta rakyat Malaysia.
3. DAP sebagai sebuah parti untuk rakyat Malaysia, dan Impian Malaysia
DAP adalah parti untuk rakyat Malaysia bagi semua keturunan etnik, termasuk Melayu dan Orang Asli, tanpa perbezaan geografi dan demografi terutamanya bagi Sabah dan Sarawak. Inilah dia intipati ‘Malaysian Malaysia’.
Jangan kita lupa, seperti yang dinyatakan Deklarasi Shah Alam pada 2012, DAP mempertegaskan perkara-perkara berikut dalam Deklarasi DAP@50 yang akan diluluskan Persidangan Kebangsaan hari ini:
Mempertahankan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. DAP komited untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai undang-undang yang paling agung negara dan meluhurkannya dalam semangat Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963;
Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra serta hak-hak kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan;
Memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta kebebasan untuk mengamalkan agama-agama lain dengan aman dan damai, seperti yang termaktub dalam Artikel 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan;
Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan, serta menggalakkan penggunaan dan pengajian bahasa-bahasa ibunda lain untuk membentukkan masyarakat yang cemerlang dan berbilang bahasa.
Adakah semua di atas contoh “liberalisme melampau” yang mengancam Melayu dan Islam? Di Pulau Pinang, peruntukan untuk Islam adalah dua kali ganda di bawah kerajaan Pakatan tetapi kita masih dilabel sebagai anti-Islam.
Sudah tiba masanya untuk kita menolak politik identiti yang membahagikan dan mengasingkan kita melalui politik identiti perkauman yang membiakkan kebencian dan ketakutan. DAP menolak parti perkauman dan mengiktiraf kepentingan untuk bekerjasama dengan parti-parti Melayu dan tokoh Melayu yang terkemuka.
Sedar dengan isu-isu yang melibatkan orang Melayu dan orang Islam, DAP tidak pernah meminta jawatan sebagai Perdana Menteri. Dan kami tidak pernah meminta supaya seorang Cina menjadi Perdana Menteri tetapi sentiasa menyokong seorang Melayu, terutamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. DAP tidak akan menguasai kerajaan sekiranya pembangkang memenangi kuasa tetapi akan menjadi rakan kongsi yang adil dan bertanggungjawab.
DAP akan mempertahankan dan menegakkan asas Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui pada tahun 1957 dan 1963. DAP tidak bersetuju dengan orang-orang yang mahu mengubah sifat tersebut dengan menggunakan undang-undang biasa yang hanya memerlukan majoriti mudah ahli-ahli Parlimen yang hadir. Mana-mana undang-undang yang memberi kesan kepada watak dan identiti Perlembagaan Persekutuan mestilah melalui pindaan perlembagaan dengan majority dua pertiga. DAP mengulangi bantahan kepada mana-mana undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan.
Mempertahankan dan menegakkan Perlembagaan Persekutuan bukanlah liberalisme yang melampau. Menentang penahanan tanpa bicara terutamanya menggunakan undang-undang pengganas terhadap aktivis hak asasi seperti Maria Chin Abudllah bukanlah liberalisme yang melampau. Tetapi mencuri berbilion-bilion ringgit wang negara secara sesuka hati adalah liberalisme yang melampau.
Oleh itu marilah kita menerima identiti sivik berdasarkan nilai-nilai sejagat seperti kebebasan, keadilan, integriti, kedaulatan undang-undang dan demokrasi, di mana rakyat bersatu untuk kemakmuran bersama, harapan yang lebih cerah untuk masa depan dan martabat kemanusiaan untuk semua rakyat. Marilah kita memberi komitmen untuk membina semula Malaysia yang moden; progresif dan aman, makmur dan adil.
4. Kita adalah parti berprinsip
DAP sentiasa komited untuk menjadi rakan kongsi yang bertanggungjawab dalam kerajaan gabungan. Dalam semangat perkongsian, kerjasama dan persefahaman, serta menghadapi realiti politik, DAP hanya bertanding 51 daripada 222 kerusi Parlimen.
Justeru, bertentangan dengan pembohongan Perdana Menteri Datutk Seri Najib Razak, tidak ada cara DAP boleh mengambil alih negara ini. Bagaimana 51 daripada 222 kerusi Parlimen boleh memerintah negara? Ini adalah aksi politik murahan dan cubaan menakutkan-nakutkan untuk mengalihkan perhatian daripada pengurusan ekonomi yang gagal.
DAP bukanlah dan tidak pernah menjadi parti Cina, atau berasaskan kaum sejak dari awal lagi. Kita merupakan parti rakyat Malaysia yang dipimpin oleh rakyat Malaysia dan berkhidmat demi kepentingan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, wilayah, atau gender. DAP mempunyai wakil-wakil Melayu, Cina, India dan juga Kadazan yang dipilih sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri.
Bagaimana seorang Perdana Menteri boleh membawa dirinya ke tahap yang begitu rendah untuk menyemarakkan sentimen perkauman dengan menghubungkan Hew Kuan Yew kepada DAP apabila Hew sudah bukan lagi seorang ahli DAP? Jika kita menggunakan standard Perdana Menteri, bolehkah kita mengatakan bahawa Perdana Menteri berkongsi pandangan bekas Pegawai Penerangan, Datuk Nasir Safar yang pada tahun 2010 memanggil wanita Cina sebagai “pelacur” dan India “pengemis”?
“Datuk Nasir Safar telah menimbulkan isu perkauman iaitu orang Cina dan India sekarang kekal sebagai pendatang di bumi Malaysia. Kononnya, mereka yang menentang keputusan kerajaan untuk menghadkan 12 matapelajaran sahaja untuk peperiksaan SPM, akan ditarik kerakyatan. Kononnya pendatang awal India menjadi pengemis dan pendatang Cina menjadi pelacur.”
Bagi BN, memenangi kerajaan adalah hanya tentang soal mendapatkan jawatan Menteri. Lihatlah seorang Ahli Parlimen UMNO menuntut jawatan Menteri Pengangkutan Presiden MCA Liow Tiong Lai. Baik Perdana Menteri mahupun mana-mana menteri UMNO langsung tidak mempertahankan Liow. Jika Liow masih ada kehormatan diri, beliau sewajarnya meletakkan jawatan dan tidak merangkak kembali ke Putrajaya untuk mesyuarat Kabinet Rabu depan.
Walaupun dihina secara terbuka begitu, Liow akan tetap kembali kerana cintanya untuk jawatan Menteri. Apakah Liow akan meletakkan jawatan seperti yang dijanjikan, apbila Perdana Menteri telah berkata sekarang bahawa UMNO dan PAS secara rasmi bekerjasama? Maka bagaimana orang ramai boleh mengharapkan Liow untuk menunaikan janjinya untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu atau meningkatkan peruntukan untuk sekolah-sekolah Cina?
Perdana Menteri akan menyusun pilihan raya umum akan datang sebagai pertempuran antara orang Melayu yang diwakili oleh UMNO dan Cina di bawah DAP. Ini adalah imej palsu dan berbahaya! Pertempuran pilihan raya sebenar adalah di antara 1% kroni BN dan 99% rakyat Malaysia pelbagai kaum yang mahu Malaysia yang lebih baik.
5. Isu sebenarnya ialah ekonomi!
Apakah kebimbangan sebenar kita sebagai golongan 99%? Ekonomi! Empat isu utama yang menjadi kebimbangan besar kepada jutaan rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu biasa adalah: Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), skandal 1MDB, kejatuhan mendadak nilai ringgit, dan kos sara hidup yang meningkat seperti yang ditunjukkan oleh kenaikan harga petrol, miyak masak dan kadar tol.
Apabila pendapatan tidak meningkat, GST secara berkesan menghakis pendapatan boleh guna rakyat Malaysia. Skandal global RM52 bilion 1MDB dan skandal derma RM4.2 bilion pula telah menghakis keyakinan terhadap ekonomi dan institusi Malaysia, dan turut bertanggungjawab ke atas prestasi buruk ringgit berbanding mata wang lain.
Kita hadir dengan Tawaran Baru, lembaran baru yang mahu menghapuskan skandal rasuah seperti 1MDB, menghapuskan GST dan kadar tol Lebuhraya Utara-Selatan demi meningkatkan taraf hidup rakyat.
6. Tawaran dan lembaran baru untuk golongan 99% rakyat Malaysia
Malaysia memerlukan sebuah Tawaran Baru yang berwawasankan kitaran baik yang menawarkan kenaikan gaji, kemahiran yang lebih baik dan peningkatan produktiviti untuk para pekerja Malaysia dan juga industri. Kita perlu sebuah negara keusahawanan dan kebajikan yang membawa harapan kepada semua.
Kita juga harus menjamin pengangkutan awam yang lebih baik, khidmat kesihatan, pendidikan dan perumahan untuk semua rakyat Malaysia – negara berkebajikan yang memenuhi keperluan kedua-dua kawasan bandar, separa bandar dan luar bandar. Pekerjaan yang lebih baik, pertumbuhan, inovasi dan kualiti hidup yang lebih baik menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia.
7. Lembaran baru untuk Sabah dan Sarawak, serta federalisme baru
Federalisme Malaysia memihak kepada Kerajaan Persekutuan yang menjejaskan hak-hak negeri. Rasa tidak puas hati di peringkat negeri adalah amat serius dan wujud keperluan ke arah suatu Tawaran Baru untuk Sabah dan Sarawak, selain suatu bentuk federalisme baru untuk negeri-negeri di Semenanjung.
DAP sedar fakta sejarah bahawa Persekutuan Malaysia dibentuk dengan gabungan empat entiti – Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura (meninggalkan persekutuan pada 1965) pada tahun 1963. Atas sebab ini, status Sabah dan Sarawak perlu dipulihkan semula sebagai salah satu daripada 3 entiti yang membentuk Malaysia dan tidak direndahkan sebagai hanya salah satu daripada 13 negeri lain di Malaysia.
Sepanjang 53 tahun lampau, Sabah dan Sarawak telah menjadi mangsa Kerajaan Perskutuan yang terlalu mengutamakan pusat. Rasa kecewa dan dianaktirikan melanda rakyat Sabah dan Sarawak.
DAP komited menawarkan suatu Tawaran Baru untuk Sabah dan Sarawak yang mengiktiraf status rakan kongsi setara dalam Persekutuan, selain mengagihkan kuasa dan hasil cukai.
Di bawah kerangka Federalisme Baru, Sabah dan Sarawak akan menikmati pelbagai autonomi dalam pempolisan komuniti, kesihatan, pendidikan, pengangkutan, selain menerima bahagian yang besar daripada hasil cukai untuk membiayai bidang-bidang kecekapan yang berautonomi itu. Kerangka Federalisme Baru tersebut juga boleh dipakai untuk Johor, Kelantan dan Pulau Pinang.
8. Lembaran Baru untuk Anak Muda dan Wanita
Sebagai parti yang terbina daripada idea dan nilai yang terkedepan mempromosi kesetaraan gender, DAP akan terus berusaha untuk menjadi parti pilihan wanita.
Sebagai sebuah negara, kita harus memanfaatkan segala kemahiran dan bakat kaum wanita dengan berusaha untuk membanteras segala bentuk diskriminasi terhadap wanita dalam masyarakat dan juga di tempat kerja, serta mewujudkan kemudahan penjagaan kanak-kanak selain memberi sokongan kepada ibu-ibu bekerja. Hanya apabila kita dapat meningkatkan kadar penyertaan buruh wanita dari 54% sekarang menjadi 65% barulah kita berpeluang menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.
Kita percaya bahawa apabila wanita diberdayakan, ia bererti kita memberdayakan negara. Dan untuk memenangi kuasa kita perlu memenangi hati wanita – itulah sebabnya kita memperuntukkan kuota gender 30% bagi Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP.
Dan sebagai parti yang diasaskan anak-anak muda beridealisme dan sentiasa menyediakan ruang kepada pemimpin muda untuk muncul di segenap tahap, DAP juga akan terus menjadi parti pilihan anak muda.
DAP percaya bahawa langkah-langkah perlu diambil untuk meningkatkan pendapatan mereka dan menawarkan peluang-peluang yang lebih baik dalam pekerjaan, pendidikan dan khidmat kesihatan. Kita mesti melaksanakan dasar-dasar yang mencipta peluang pekerjaan, selain pengembangan kemahiran dan vokasional.
Kita tidak akan benarkan para kleptokrat merompak masa depan anda semua!
9. BERSIHkan Malaysia
Untuk membolehkan Tawaran Baru ini menjadi nyata, kita perlu membersihkan rejim kleptokrasi sedia ada dan membina semula demokrasi melalui reformasi perlembagaan untuk memulihkan hak-hak rakyat.
Kita marah dan kesal dengan tangkapan, pendakwaan dan penindasan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 yang digunakan terhadap pemimpin pembangkang dan pemimpin Bersih, terutamanya Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah. Kita juga membantah Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 yang tidak menerima perkenan Yang Di-Pertuan Agong.
Untuk membina semula Malaysia, kita memerlukan institusi yang bersih, termasuklah pilihanraya yang bersih dan adil, parlimen bertaraf dunia yang mewakili suara dan keresahan semua rakyat Malaysia, media yang bebas, badan kehakiman yang bebas serta perkhidmatan awam yang neutral dan berkesan.
10. Penyusunan semula politik
Kita sedang berada dalam zaman yang tiada sepertinya. Sepanjang tiga tahun ini kita menyaksikan PAS bergerak menghampiri UMNO, selain mencabul konsensus pakatan pembangkang, dan mengakibatkan perpecahan PAS dan tumbangnya Pakatan Rakyat pada Jun 2015. Bersama-sama Parti Keadilan Rakyat dan Parti Amanah Negara, Pakatan Harapan dibentuk pada September 2015. Tempoh tersebut juga menyaksikan perpecahan UMNO, yang membawa kepada tertubuhnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Bolehkah DAP dan rakan-rakan gabungan memberi harapan kepada rakyat Malaysia bahawa bersama-sama kita boleh mengubah keadaan dengan segera? Adakah kita mempunyai naratif yang menarik untuk memenangi pilihan raya umum akan datang bersama-sama rakan sekutu kita? Dan bolehkah sebuah tawaran baru menjanjikan hari esok yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia?
Saya yakin, kita boleh!
Walaupun PAS sanggup berpeluk dengan UMNO dan tidak mempedulikan perbuatan BN menjadikan Malaysia sebuah kleptokrasi demi kepentingan politik sendiri, kita mesti mempunyai keberanian untuk menyatukan rakyat bagi menyelamatkan Malaysia. Dan ini termasuk bekerja bersama-sama dengan Tun Dr Mahathir Mohammad, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menggalakkan ahli-ahli biasa UMNO dan PAS untuk menjadi sebahagian daripada perubahan ke arah Malaysia yang lebih baik.
Perjalanan yang belum selesai, Impian Malaysia
Garis tempur PRU ke-14 telah jelas nyata, di antara rejim tua yang sudah tamat tarikh luput, dan sebuah tawaran baru, harapan baru untuk kita semua. Pengundi Malaysia berdepan pilihan yang begitu jelas: memilih autokrat atau demokrat, mahu kleptokrat atau bersih.
Pilihan raya akan datang tidak akan mudah. Tetapi kita tidak takut. Kita akan berjuang bersama-sama, sebagai rakyat Malaysia yang saling sayang menyayangi dan menjaga satu sama lain, demi masa depan anak-anak kita dan membuat Impian Malaysia kita menjadi kenyataan.
Marilah kita bersatu sebagai satu bangsa. Bersihkan Malaysia, Selamatkan Rakyat. Terus berjuang!