2016-11-24

PENGENALAN

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Bajet 2017, khususnya yang membabitkan perkara-perkara di bawah bidang kuasa portfolio Jawatankuasa MMK yang saya pengerusikan. Banyak perkara yang telah ditimbulkan semasa perbahasan dan Kerajaan Negeri akan memberi perhatian terhadap semua teguran dan berusaha melaksanakan cadangan yang sesuai yang telah dikemukakan. Ini bertujuan untuk memastikan pelaksanaan Bajet 2017 dapat mencapai matlamat yang dinyatakan dalam Ucapan Bajet pada 15 November 2016 lalu.

Kerajaan Negeri berhasrat memacu pendidikan ke arah era digital berasaskan konsep STEM (Science, Technology, Engineering dan Mathematics) agar menjadikan Pulau Pinang pusat kecemerlangan sains dan teknologi. Selaras dengan hasrat tersebut, sebagai inisiatif pertama, Kerajaan Negeri telah menyediakan Perpustakaan Digital yang pertama di Malaysia untuk kegunaan orang awam. Kewujudan Penang Digital Library (PDL) memanjangkan lagi senarai program seumpamanya yang telah diwujudkan sebelum ini seperti Penang Science Cafe, Penang Tech Dome dan pendidikan vokasional Jerman (kerja sambil belajar) German Dual Vocational Training.

PDL ini beroperasi di Bangunan Warisan Kerajaan Negeri beralamat di No.135, Jalan Masjid Negeri, Penang Free School. PDL merupakan usaha sama Syarikat E&O Berhad dan Keysight Technologies di atas dasar tanggungjawab sosial (CSR) kepada Kerajaan Negeri. Jumlah pendaftaran dari pembukaannya pada 8 Oktober sehingga 24 November 2016 dengan menggunakan aplikasi mudah alih Readcasa ialah seramai 1,087 pengguna. Dalam tempoh tersebut, jumlah transaksi pinjaman yang telah dibuat oleh 452 pengguna berdaftar melibatkan 44 audiobook dan 795 e-book. Masa yang diluangkan oleh pengguna untuk berada di Perpustakaan adalah antara 3 hingga 4 jam dengan anggaran kehadiran pengguna 100-120 orang di antara jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

Selain daripada pelajar, PDL juga menerima kunjungan tidak rasmi oleh Deligasi Pejabat Pengarah Urusan Khazanah Nasional yang diketuai oleh Pengarah Eksekutif Pejabat Pengarah Urusan. Lawatan tersebut bertujuan untuk mendapatkan gambaran mengenai pengurusan sebuah perpustakaan digital, memandangkan pihak Khazanah dalam peringkat perancangan untuk membangunkan perpustakaan di dalam projek Taman Tugu. Ini jelas menunjukkan PDL bukan hanyalah memanfaatkan rakyat Pulau Pinang, malahan ia juga memberi sumbangan dari segi pendedahan kepada pelajar di luar Pulau Pinang dan juga masyarakat pelbagai lapisan.

Susulan sambutan yang menggalakkan dan positif terhadap PDL, maka Kerajaan Negeri merancang untuk membangunkan PDL fasa 2 Konsep fasa 2 adalah untuk mewujudkan suatu ruang yang lebih besar dalam kawasan berhampiran

PENINGKATAN PERUNTUKAN PEMBANGUNAN PEJABAT KETUA MENTERI & SETIAUSAHA KERAJAAN TAHUN 2017 (RM707.61 JUTA)

Ramai Ahli Yang Berhormat yang mempersoalkan peningkatan peruntukan Pembangunan di bawah Maksud Pembangunan P.01 Pejabat Ketua Menteri dan Setiausaha Kerajaan yang telah meningkat daripada RM161.59 juta pada tahun 2016 kepada RM707.61 juta pada tahun 2017. Memang diakui berlaku peningkatan dalam usaha kita memenuhi pelbagai keperluan. Umpamanya, pemberian pinjaman berjumlah RM639 juta pada tahun 2017, di mana RM609 juta diberikan kepada PDC di bawah Butiran 36 dan RM30.35 juta lagi kepada PBAPP di bawah Butiran 45 yang melibatkan pemberian pinjaman (Fasa 2) untuk pembiayaan Kerja-kerja Ukur Kawasan Tadahan Air di Pulau Pinang.

Kita sedia maklum bahawa lazimnya kemudahan pinjaman kepada badan-badan berkanun negeri dimohon daripada Kerajaan Persekutuan. Namun mengambil kira kekangan yang dihadapi oleh Kerajaan Persekutuan berikutan kesan tekanan ekonomi dunia sehingga tiada kemudahan pinjaman diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11, maka Kerajaan Negeri perlu menyediakan kemudahan pinjaman tersebut. Ini penting dalam memastikan kesinambungan projek-projek persekutuan di Pulau Pinang, contohnya Projek (Fasa 2) Penggantian Aset dan Menaiktaraf Loji Rawatan dan Takungan Air oleh PBAPP.

Begitu juga dengan projek pengambilan tanah serta pembangunan infrastruktur di kawasan Seberang Perai bagi menggerak dan memantapkan pembangunan ekonomi di kawasan Seberang Perai oleh PDC. Dalam merangka Bajet 2017, Kerajaan Negeri sudahpun menjangkakan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan bagi tahun 2017 berikutan ancaman krisis ekonomi dunia. Justeru itu Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada pembangunan yang mempunyai kesan pengganda yang lebih tinggi (high multipiler effect) terutamanya di kawasan Seberang Perai yang mempunyai potensi pemajuan sebagai penggerak utama kepada pembangunan ekonomi negeri masa hadapan.

Demi mengharungi sebarang kemungkinan krisis ekonomi dunia ala-Trump, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan bajet 2017 berteraskan pembangunan di mana perbelanjaan pembangunan merupakan 61.1% daripada bajet iaitu paling tinggi dalam sejarah Pulau Pinang dan jauh lebih tinggi daripada Belanjawan Persekutuan di mana perbelanjaan pembangunan hanya sekadar 17.6% sahaja.

Tambahan pula seperti mana yang telah dijelaskan dalam ucapan bajet tempoh hari, kemudahan pinjaman kepada kedua-dua badan berkanun negeri ini tidak menimbulkan risiko kewangan, memandangkan Kerajaan Negeri akan mendapat pulangan bayaran pokok dan keuntungan pinjaman mulai tahun 2018 dan selama tempoh 8 tahun seterusnya. Saya kesal dengan dakwaan Yang Berhormat Ketua Pembangkang yang membuat dakwaan palsu dan fitnah bahawa saya telah memanipulasikan angka bajet. Bagaimana saya boleh memanipulasikan angka bajet apabila ia disemak dan diaudit oleh Jabatan Audit Negara. Pulau Pinang mempunyai rekod cemerlang dalam perakaunan dalam pengurusan kewangan yang disahkan oleh Jabatan Audit Negara. Malah Pulau Pinang adalah negeri yang paling awal membentangkan penyata kewangan. Adalah tidak benar bahawa bayaran balik pinjaman oleh PDC akan diterima sebagai pendapatan. Ini bercanggah dengan prinsip dan sistem perakaunan dan adalah amat karut dan tidak waras sekali. Janganlah perbodohkan diri tentang perkara yang anda jahil.

PENGAGIHAN PERUNTUKAN BAJET

Berkenaan penyaluran lebih banyak peruntukan bagi memperkasakan pembinaan jalan-jalan kampung dalam bajet 2017, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM2 juta untuk jalan kampung seperti mana kenyataan di perenggan 13 ucapan bajet. Peruntukan ini khusus untuk membiayai projek-projek menaik taraf jalan-jalan kampung kepada standard minimum yang ditetapkan supaya dapat melayakkan jalan-jalan kampung terlibat didaftarkan dalam MARRIS dan seterusnya layak mendapat pemberian untuk tujuan penyelenggaraan. Dalam tahun semasa 2016 juga, di samping peruntukan Kerajaan Negeri RM2 juta yang telah diagihkan kepada Pejabat-pejabat Daerah bagi pembiayaan projek menaik taraf jalan-jalan kampung, sebanyak RM4.66 juta peruntukan MARRIS telahpun diagihkan kepada kelima-lima Pejabat Daerah untuk pembiayaan projek-projek penyelenggaraan jalan kampung.

Berkenaan isu bajet tidak dibelanjakan oleh JKR yang berbaki 42% pula, untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, terdapat kesilapan teknikal (typing error) di dalam laporan Perjanjian Program yang telah diedarkan semasa rang undang-undang perbekalan tahun 2017 dibentangkan. Risalah pembetulan laporan tersebut telah diedarkan kepada semua Ahli-ahli yang Berhormat. Sebenarnya, jumlah perbelanjaan yang tidak dibelanjakan oleh pihak JKR hanya berbaki 12.79% bukanlah 42%. Peruntukan asal mengurus dan pembangunan yang diterima bagi tahun 2015 adalah berjumlah RM59,622,023.00. Manakala perbelanjaan sebenar JKR pada tahun 2015 adalah berjumlah RM52,862,017.19. Baki peruntukan yang tidak dibelanjakan adalah disebabkan oleh peruntukan emolumen yang tidak dibelanjakan kerana jawatan kosong pada tahun tersebut tidak diisi. Ia juga disebabkan tawaran yang dikemukakan oleh pembida bagi projek pembangunan melalui proses perolehan secara sebutharga dan tender terbuka adalah lebih rendah dari yang dianggarkan.

RAW WATER CHARGES

Berhubung peruntukan raw water charges atau kos air mentah berjumlah RM76.22 juta dibelanjakan, ingin saya jelaskan hasil raw water charges yang dibayar oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) adalah antara sumber yang diterima oleh Kerajaan Negeri dan diperakaunkan dalam Kumpulanwang Pembangunan Negeri. Peruntukan terkumpul dalam Kumpulanwang Pembangunan Negeri pula digunakan untuk membiayai perbelanjaan projek-projek pembangunan Negeri yang diluluskan di bawah Maksud Pembangunan bagi sembilan (9) jabatan negeri, seperti yang diperuntukkan dalam bajet tahunan.

Dari RM76.22 juta tersebut, sejumlah RM36.72 juta telah dibelanjakan bagi membiayai projek-projek pembangunan. Manakala baki sebanyak RM39.5 juta telah digunakan bagi tujuan pengurusan dan penjagaan sumber air di negeri ini.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

PRESTASI PERBELANJAAN MENGURUS

Persoalan berkenaan kewibawaan Kerajaan Negeri dengan menyatakan kerajaan seolah-seolah sengaja memperuntukkan belanjawan yang tinggi namun tidak membelanjakan sepenuhnya dan inflate peruntukan supaya mendapat lebihan pada akhir tahun untuk dilihat berjimat. Untuk pengetahuan Ahli-ahli Yang Berhormat, sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri mengakhiri tahun kewangan dengan surplus atau lebihan bukan disebabkan peruntukan yang disediakan tidak dibelanjakan tetapi berpunca daripada peningkatan kutipan hasil negeri bagi tahun berkaitan di samping penjimatan dan perbelanjaan berhemat (value for money) daripada projek/program yang dilaksanakan. Pencapaian perbelanjaan mengurus tahunan Kerajaan Negeri adalah melebihi 85%, iaitu penanda aras yang digunakan dalam piawaian pengauditan oleh Jabatan Audit Negara. Prestasi pencapaian perbelanjaan Mengurus Kerajaan Negeri mengikut tahun adalah seperti berikut:

Kenyataan bahawa lebihan yang diperolehi adalah kerana Kerajaan Negeri mengurangkan perbelanjaan adalah juga tidak berasas sama sekali memandangkan perbelanjaan Kerajaan Negeri menunjukkan peningkatan dalam perbelanjaan sebenar dan juga peratus perbelanjaan, namun dalam masa yang sama masih dapat merekodkan lebihan dalam Akaun Hasil Negeri Disatukan. Laporan Ketua Audit Negara kepada Penyata Kewangan tahunan Kerajaan Negeri juga dibentangkan di Parlimen dan mendapat Sijil Bersih yakni pengiktirafan kepada rekod perakaunan yang telah diselenggarakan dengan teratur dan kemas kini. Jelas sekali bahawa YB. masih in denial dan menidakkan yang nyata dan benar yang telah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Untuk pengetahuan Ahli-ahli Yang Berhormat, kesemua lebihan dari tahun 2008 sehingga tahun 2015 telah menyumbang kepada peningkatan dan pengukuhan Kumpulan Wang Disatukan Negeri yang pada akhir tahun 2008 berjumlah RM461.61 juta kepada RM952.53 juta pada tahun 2015 iaitu peningkatan hampir 106.34%.

Walaupun dijangkakan akan berlaku defisit bagi tahun 2017, Kerajaan Negeri yang prihatin tetap akan meneruskan semua komitmen pembiayaan bantuan-bantuan sosial rakyat serta program-program Agenda Ekonomi Saksama (AES) seperti yang dijanjikan.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

ELAUN AHLI JKKK

Dalam ucapan bajet 2017 Negeri Pulau Pinang pada 15 November 2016 tempoh hari, telahpun dimaklumkan bahawa elaun bulanan bagi Pengerusi dan Setiausaha JKKK akan dinaikkan sebanyak RM50.00 sebulan daripada RM650.00 kepada RM700.00 untuk Pengerusi dan daripada RM550.00 kepada RM600.00 untuk Setiausaha JKKK mulai tahun 2017, yang akan melibatkan pertambahan kos sebanyak RM352,800.00 setahun. Tidak lupa juga dalam mengiktiraf keahlian JKKK yang mewakili suara kerajaan di peringkat akar umbi, maka Kerajaan Negeri bersetuju untuk menaikkan elaun kehadiran mesyuarat sebanyak RM10.00 kepada semua ahli JKKK iaitu daripada RM40.00 sekali mesyuarat kepada RM50.00 mulai Januari 2017. Kenaikkan ini akan melibatkan pertambahan sebanyak RM458,640.00. Maka kos keseluruhan pengurusan JKKK bagi tahun 2017 akan melibatkan perbelanjaan berjumlah RM7,315,840.00 setahun.

ISU PERBADANAN BUKIT BENDERA PULAU PINANG (PBBPP)

Beberapa isu telah dibangkit berkaitan Bukit Bendera. Dari isu Request For Proposal (RFP) bagi pembangunan Bukit Bendera sehingga pewartaan sebagai hutan simpan telah disentuh.

Kerajaan Negeri sangat prihatin dengan alam semula jadi dan amat menggalakkan Kajian Biodiversiti dibuat di Bukit Bendera bagi memastikan kawasan bukit tersebut sentiasa dipelihara dan dipulihara. Kajian tersebut merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri untuk melindungi hutan simpan. Selaras dengan saranan daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kerajaan Negeri telah menerusi syarikat swasta yang menguruskan projek ini telahpun melantik pihak USM bagi tujuan Kajian Biosphere tersebut. Bajet yang terlibat adalah dianggarkan berjumlah RM206,000.00. Satu Memorandum of Understanding (MOU) akan ditandatangani di antara Perbadanan Bukit Bendera (PHC), pihak pengurusan The Habitat Penang Hill (Pihak swasta yang telah berjaya dalam bidaan bagi projek Titian Silara) dan pihak USM.

Kerajaan Negeri melalui PHC sedang menguruskan kajian ini bersama pihak pengurusan The Habitat Penang Hill memandangkan syarikat tersebut mempunyai pengetahuan luas dan mempunyai kepakaran yang bertaraf dunia seperti Prof. Dr. Margaret D. Lowman dan dikenali sebagai Real Life Lorax oleh National Geographic dan Einstein of the Tree Tops oleh Wall Street Journal. Beliau juga merupakan perintis bagi sains Canopy Ecology. Pihak pengurusan The Habitat Penang Hill akan membantu dan memberi sokongan kepada Kerajaan Negeri bagi menjadikan Bukit Bendera sebagai salah satu destinasi kajian lapangan Center of Excellence for Rainforest, Conservation and Academia.

Bagi memastikan keberkesanan dan kelancaran Program Biodiversiti ini, Kerajaan Negeri juga sedang dalam perancangan membuka Request For Proposal (RFP) bagi mempelawa tawaran daripada syarikat yang berminat dan berkelayakan untuk pembinaan The Rainforest Research Centre di Banglo Fernhill. Tujuan utama pusat penyelidikan ini adalah untuk meneroka kepelbagaian biodiversiti hutan di Bukit Bendera dengan penglibatan pakar penyelidikan antarabangsa, berkongsi keunikan Bukit Bendera bersama para pengunjung dengan mengekalkan ekosistem sedia ada melalui kajian saintifik dan membantu PHC dalam pelaksanaan kajian Penang Hill Rainforest bersama UNESCO Biospehere Reserve. Selain itu, sebagai pelengkap kepada produk eko-pelancongan sedia ada di Bukit Bendera seperti Educational Nature Trail dan Titian Silara.

Kini, Bukit Bendera menjadi salah satu destinasi pelancongan utama di Pulau Pinang dengan tarikan baru popular seperti Sky Walk, Astaka, Festive Square, Elevator Walkway dan Kereta Buggy. Seramai 1.6juta penumpang yang melawat Bukit Bendera setiap tahun. Demi mengekalkan dan menambahkan lagi penumpang, ada beberapa cadangan telahpun dirancang termasuk membina kereta kabel yang berasingan ke atas Bukit Bendera. Kerajaan Negeri akan mendapat maklum balas daripada rakyat tentang cadangan untuk menambah lagi tarikan pelancongan dengan impak minima ke atas alam sekitar dan kawasan semulajadi Bukit Bendera. Adalah tidak benar sama sekali bahawa Kerajaan Negeri berhasrat untuk membina sebuah kasino. Ini adalah syor daripada Ahli Parlimen UMNO Padang Besar. Kerajaan Negeri menolak apa-apa cadangan membina kasino di Pulau Pinang kerana tidak sesuai dengan keadaan setempat. Titian Silara dan Nature Walk sepanjang 1.6KM serta zip line sepanjang 800 meter akan siap masing-masing pada tahun ini dan tahun hadapan dengan nilai projek sebanyak RM35 juta. Ini akan menyerikan Bukit Bendera dan mengukuhkan matlamat dan visi untuk menjadikan Bukit Bendera sebagai pusat peranginan bukit yang terunggul di Malaysia.

Berkenaan isu cadangan untuk mengazetkan/mewartakan Bukit Bendera sebagai Hutan Simpan Ekologi atau Ecoforest kepada UNESCO. Memang terdapat perancangan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama The Habitat dan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mereliasasikan hasrat untuk mewartakan Bukit Bendera sebagai UNESCO Biospehere Reserve bagi memastikan ekologi dan alam semulajadi terpelihara di Bukit Bendera. Panel daripada UNESCO akan dijemput untuk mendapatkan pandangan dan nasihat bagi tujuan perbincangan mengenai cadangan pewartaan tersebut.

Sekali lagi ingin saya tegaskan bahawa semua tamabahan tarikan di Bukit Bendera adalah secara minima dan terkawal. Pembangunan tersebut adalah terkawal bagi memastikan ekologi dan hutan simpan dipelihara selaras dengan cadangan Pewartaan Bukit Bendera sebagai UNESCO Biospehere Reserve.

ISU PULAU JEREJAK

Saya juga faham akan kebimbangan Ahli-Ahli Yang Berhormat mengenai masa depan Pulau Jerejak. Namun, suka saya jelaskan bahawa kebanyakan isu yang dibangkitkan mengenai pulau tersebut adalah berdasarkan tohmahan dan fitnah. Kita perlu sedar bahawa Bukan Kerajaan Negeri Pakatan tetapi Kerajaan Negeri terdahulu di bawah pemerintahan BN yang telah menjual tanah atau hilang kawalan dan kuasa ke atas pemilikan 80 ekar daripada jumlah keseluruhan 895 ekar tanah Pulau Jerejak. Pada tahun 2001 Kerajaan Negeri BN telah menjual 80 ekar tanah ini kepada Tropical Island Resort Sdn Bhd (TIRSB) yang telah ditubuhkan pada 1997 dengan kadar 73% di bawah harga pasaran.

Melalui tindakan yang tidak bertanggungjawab itu, rakyat Pulau Pinang telah dikhianati oleh Kerajaan Negeri BN yang telah menjual 80 ekar tanah tersebut kepada TIRSB hingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM34.6 juta. Bukan itu sahaja, Kerajaan Negeri BN turut mengkhianati rakyat Pulau Pinang apabila hilang kawalan ke atas TIRSB apabila Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) hanya memiliki 49% pegangan kepentingan (saham) dengan nilai aset pelaburan sebanyak RM15.44 juta. Biar saya jelaskan di sini isu-isu utama sebenarnya.

Pada tahun 1997, TIRSB telah ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang kedua-duanya pada masa itu di bawah pemerintahan BN dengan modal berbayar sebanyak RM31.5 juta. PDC telah melabur sebanyak RM15.44 juta dalam TIRSB dengan memiliki 49% saham, manakala UDA menyumbang sebanyak RM16.07 juta dengan memiliki 51% saham. Jelasnya Kerajaan Negeri BN telah menyerahkan kawalan sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan seawal tahun 1997 lagi.

Pada tahun 2001, Kerajaan Negeri BN telah meluluskan pemberian milikan (leasehold) ke atas 80 ekar tanah bagi tempoh pajakan 60 tahun (tamat pada 2062) di Pulau Jerejak kepada TIRSB, pada nilai harga RM12.95 juta atau RM3.71 setiap kaki persegi.

Menurut bekas Pengerusi BN Pulau Pinang, Dr. Teng Hock Nan pada 25 Mac 2011, nilai pasaran bagi 80 ekar tanah Pulau Jerejak pada tahun 2001 ialah RM47.6 juta atau RM13.65 setiap kaki persegi. Dalam kata lain, Kerajaan Negeri BN telah menjual tanah hampir 4 kali lebih rendah atau dengan kerugian RM34.6 juta kepada TIRSB. Transaksi ini adalah 73% lebih rendah daripada nilai pasaran semasa pada ketika itu.

Pemilikan tanah berkenaan telah ditukar milik kepada TIRSB oleh Kerajaan BN pada 3 Januari 2001, sebelum harga premium tanah bernilai RM12.95 juta dibayar sepenuhnya. TIRSB hanya membayar baki penuh harga premium tersebut yang bernilai RM10.6 juta sekitar 2012, itupun apabila Kerajaan Negeri Pakatan mengugut untuk mengambil balik tanah itu semula.

TIRSB telah mengalami kerugian sejak 2001 tetapi PDC masih memberikan pinjaman berjumlah RM3.4 juta kepada TIRSB pada 28 Disember 2007 dengan kadar faedah 3.5 % setahun. Pinjaman pokok (principal) dan kadar faedah telah meningkat kepada RM4.4 juta menjelang 2016.

UDA membawa masuk Q Islands yang merupakan anak syarikat Ideal Property Development Sdn Bhd (Ideal), untuk membuat tawaran pembelian 49% saham yang dimiliki oleh PDC dengan harga RM156 juta. UDA adalah pemilik majoriti (utama) TIRSB dengan memiliki 51% saham dan mempunyai kawalan dan kuasa sepenuhnya ke atas TIRSB. PDC tidak boleh membuat apa-apa keputusan tanpa kebenaran daripada UDA. Tidak seperti PDC, UDA boleh menjual sahamnya tanpa memerlukan kebenaran PDC. Adalah tidak munasabah untuk BN dan Gerakan melemparkan tuduhan bahawa PDC yang hanya memiliki 49% saham, boleh menetapkan terma-terma tertentu kepada UDA.

Syarat yang ditetapkan oleh PDC untuk penjualan tersebut adalah bahawa pinjaman RM4.4 juta mesti diselesaikan terlebih dahulu dan dipertimbangan secara berasingan daripada harga jualan sebanyak RM156 juta. UDA telah bersetuju dengan syarat PDC dan pinjaman RM4.4 juta berkenaan telah dilangsaikan sepenuhnya pada April 2016. Selepas itu, barulah PDC bersedia menjual 49% sahamnya dalam TIRSB.

TIRSB telah mengalami kerugian sebanyak RM40 juta sehingga akhir 2015, dan tidak viable lagi dari aspek kewangannya. Oleh itu, PDC telah bersetuju untuk menjual 49% sahamnya dalam TIRSB dengan nilai RM156 juta. Deposit 10% berjumlah RM15.6 juta telah dibayar dan diterima oleh PDC. Bayaran akan dibuat dalam tempoh 8 tahun. Saham PDC sebanyak 49% dalam TIRSB hanya akan dipindahkan selepas pembayaran penuh dibuat pada 2024.

Dalam kata lain, PDC akan menerima jumlah keseluruhan RM160.4 juta. Dengan jualan ekuiti ini, PDC akan mendapat balik kos pelaburannya sebanyak RM15.44 juta, berserta dengan pinjaman dan kadar faedah bernilai RM4.4 juta, yang juga telahpun di bayar. PDC akan meraih keuntungan bernilai RM140.6 juta.

Pelan pembangunan berhubung 80 ekar tanah tersebut yang telah dihantar oleh UDA mesti mematuhi kehendak kajian penilaian alam sekitar. Misalnya, jambatan yang menghubungkan Pulau Jerejak tidak membenarkan mana-mana kenderaan kecuali kereta elektrik untuk menyeberangi Pulau Jerejak.

Bangunan warisan, terutamanya kem penjara yang terkenal akan dikekalkan dan dipulihara. Pada masa yang sama, satu trek basikal keliling pulau sepanjang 11.5KM akan dibina dan baki tanah tersebut akan diwartakan sebagai hutan simpan.

Dakwaan Parti Gerakan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan telah meluluskan pembinaan sebuah kasino adalah tidak benar dan merupakan fitnah semata-mata. Walhal, Ahli Parlimen UMNO Padang Besar yang menyatakan sokongan untuk membina kasino di Pulau Pinang, sedangkan idea tersebut telah ditolak oleh Kerajaan Negeri Pakatan.

Dakwaan Parti Gerakan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan boleh menjual tanah tersebut pada harga yang lebih tinggi kepada pihak ketiga secara tender terbuka amat tidak munasabah berikutan perundangan syarikat menetapkan bahawa semua jualan saham, termasuk pemegang saham minoriti mesti mendapatkan kelulusan daripada Lembaga Pengarah. Jelas sekali pemegang saham majoriti mesti memberi kebenaran dan sekaligus mempunyai kawalan efektif dan berkuasa ke atas TIRSB.

Sekali lagi Kerajaan Negeri Pakatan telah memulih dan menyelamatkan satu projek BN yang gagal serta mendapatkan kembali pelaburan dan pinjaman yang hilang. Kita bukan sahaja mendapatkan semula pinjaman bernilai RM4.4 juta dan nilai pelaburan asal sebanyak RM15.44 juta dengan penjualan saham bernilai RM156 juta. Kita juga berjaya menjual 49% saham dalam syarikat TIRSB yang mengalami kerugian. RM40 juta dengan untung RM140.6 juta yang merupakan hampir 10 kali ganda daripada nilai pelaburan asal sebanyak RM15.44 juta.

Tindakan BN menyerang kes jualan saham PDC semata-mata mata merah atas kejayaan pentadbiran bersih Kerajaan Negeri Pakatan menyelamatkan pelaburan dan pinjaman dalam TIRSB dengan berjaya. Sebenarnya kejayaan Kerajaan Negeri Pakatan telah menyerlahkan kegagalan BN yang menyebabkan kerugian wang pelaburan RM15.44 juta dan pinjaman RM4.4 juta. BN seharusnya berasa malu dengan diri mereka sendiri apabila bertindak menjual tanah Pulau Jerejak seawal tahun 1997 lagi. Dengan izin Dato’ Speaker, this is a classic case of a “thief shouting thief” !”. Walaupun jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan berjaya mengaut keuntungan sebanyak RM140.6 juta, iaitu 10 kali ganda dari jumlah pelaburan asal, BN Pulau Pinang masih terus menyerang kami apabila kami menjual tanah berkenaan kepada Kerajaan Persekutuan BN. Bukankah BN Pulau Pinang sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan BN?

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

ANCAMAN KEPADA KAMPUNG TRADISIONAL

Kerajaan Negeri menggunakan Rancangan Struktur Negeri (RSN) yang diwartakan iaitu Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2010 (RSNPP 2020) untuk menetapkan zoning gunatanah disebabkan Rancangan Tempatan di kawasan pulau dan Seberang Perai belum disiapkan/diwartakan. Berdasarkan Akta 172, pengezonan semula sesuatu Rancangan Struktur hanya boleh ditentukan oleh Pihak Berkuasa Negeri iaitu melalui Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN).

Pada masa yang sama kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) masing – masing turut mengunapakai Cadangan Pelan Dasar serta Deraf Rancangan Tempatan yang belum diwartakan sebagai panduan kepada kawalan perancangan di kawasan pulau dan di Seberang Perai. Memang diakui terdapat beberapa percanggahan yang wujud antara zoning guna tanah RSNPP 2020 dan Pelan Dasar MBPP serta Cadangan Deraf Rancangan Tempatan yang belum diwartakan kerana RSN disediakan berpandukan data 2005, sedangkan penyediaan Pelan Dasar MBPP dan Deraf Rancangan Tempatan di Kawasan Seberang Perai dibuat selepas RSN diwartakan pada tahun 2007 dengan mengambilkira keperluan pembangunan semasa di kawasan berkenaan.

Berhubung isu merasionalisasikan Kampung Tradisional dengan penambahan pembangunan pesat di negeri Pulau Pinang pula, sedia maklum bahawa terdapat sebanyak 631 buah kampung di dalam negeri Pulau Pinang sehingga Ogos 2016. Taburan lokasi kampung mengikut zoning gunatanah RSNPP 2020, menunjukkan 59% Kampung-Zoning Tepubina, 40% Kampung-Zoning Pertanian dan 01% Kampung-Zoning Hutan. Menjawab bagi merasionalisasi kampung tradisional dengan kepesatan pembangunan di Negeri Pulau Pinang, RSNPP 2020 menetapkan Dasar Spatial (DS) iaitu DS33 – Perkampungan Tradisional Dan Perkampungan Dalam Bandar Akan Dikekal Dan Prasarana Dinaiktaraf.

Pengekalan kampung tradisional/tradisi amat penting berdasarkan justifikasi berikut pengekalan nilai warisan sejarah yang bernilai tinggi di peringkat negeri dan negara; pengekalan nilai sebuah kehidupan kejiranan kampung yang harmoni, tolong-menolong, kenduri-kendara dan lain-lain; sumber sebahagian bekalan makanan datang dari kampung berteraskan pertanian, penternakan, perikanan dan industri kampung; sumber tenaga untuk menjalankan aktiviti pertanian, penternakan, perikanan dan lain-lain adalah penduduk kampung; kesejahteraan kampung, kesuburan tanah, kehijauan tanaman, kekayaan sumber, keindahan alam semulajadi adalah menjadi keseimbangan pembangunan pesat di Negeri Pulau Pinang; dan pengekalan kampung juga dapat menjanakan ekonomi negeri selain membekalkan makanan juga boleh menjadi produk pelancongan.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

ISU PEMBELIAN HARTANAH DI TAPAK WARISAN DUNIA GEORGE TOWN (TWDGT)

Mengikut butiran dan rekod yang diperolehi dari Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Negeri Pulau Pinang pada bulan November 2016, biliangan hartanah warisan berada dalam Zon Teras dan Zon Penampan di TWDGT yang dimiliki oleh individu atau syarikat asing sejak tahun 2008 hingga setakat ini adalah sebanyak 61 buah. Dalam TWDGT ada sebanyak 5013 hartanah. Oleh itu, adalah tidak tepat untuk menyatakan bahawa hartanah di TWDGT dibeli secara besar-besaran oleh syarikat atau individu asing.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

ISU PDC PROPERTIES DITUTUP

Isu penutupan PDC Properties, PDC Consultancy dan PDC Premier Holding yang banyak terlibat dengan projek-projek Kerajaan Negeri? Untuk makluman, penutupan PDC Properties Sdn Bhd dan PDC Consultancy Sdn Bhd adalah lanjutan perubahan struktur organisasi dan skop kerja yang melibatkan Bahagian Teknikal PDC dan dua anak syarikat PDC iaitu PDC Properties Sdn Bhd dan PDC Consultancy Sdn Bhd. PDC telah mengenalpasti ruang untuk penambahbaikan dalam tata kerja dan struktur organisasi ketiga-tiga badan ini bagi meningkatkan mutu kerja dan penyampaian hasil kerja yang lebih efektif agar tidak ada pertindihan skop kerja di antara Bahagian Teknikal PDC dan kedua-dua anak syarikat tersebut.

Susulan dari penstrukturan tersebut, enam (6) Seksyen teknikal yang baru telah ditubuhkan di bawah PDC berdasarkan skop kerja teknikal tertentu. Kakitangan dari Bahagian Teknikal PDC dan kedua-dua anak syarikat PDC tersebut telah ditempatkan semula di seksyen-seksyen yang baru ditubuh berdasarkan kepakaran dan pengalaman kakitangan yang terlibat.

ISU KEWANGAN PDC

Mengenai kedudukan kewangan PDC yang menurun dengan mendadak yang menyebabkan Kerajaan Negeri sentiasa memberi pinjaman dimana ia menunjukkan bahawa prestasi pentadbiran PDC tidak cekap dalam mentadbir urus kewangan. Kedudukan kewangan PDC adalah masih kukuh, dengan nilai keseluruhan aset PDC adalah berjumlah RM3.6 bilion pada 31 Disember 2015. PDC memerlukan pinjaman daripada Kerajaan Negeri dan pihak bank untuk membiayai program pengambilan tanah dan pembangunan infrastruktur di Seberang Perai Selatan bagi mewujudkan koridor pembangunan baru terutamanya untuk pembangunan perindustrian dengan objektif menjana peluang pekerjaan kepada rakyat. Strategi ini adalah untuk merancakkan pertumbuhan pembangunan yang berkualiti di Seberang Perai agar seimbang dengan pertumbuhan bahagian pulau. Justeru itu, Kerajaan negeri melalui PDC perlu membuat pengambilan tanah untuk perancangan pembangunan masa hadapan.

Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, pendapatan PDC sebelum cukai tahun iaitu 2008-2015 adalah sebanyak RM276.86 juta, berbanding 2000-2007 iaitu RM389.11 juta. Jumlah pendapatan berkurang kerana keadaan pasaran hartanah yang lemah. PDC masih lagi mempunyai bank tanah yang boleh dijual kepada pihak swasta, namun PDC masih perlu membuat penambahan semula bank tanah untuk pembangunan masa hadapan khususnya di Seberang Perai Selatan.

Peranan yang dimainkan oleh PDC bukanlah untuk mencari untung tetapi menjalankan tujuan sosial dan dasar membangunkan ekonomi dan infrastruktur negeri. PDC membina rumah awam dan rumah mampu milik. Tabung RM500 juta disediakan untuk membina 26,255 unit rumah tersebut.

Di samping itu, PDC juga merupakan pelopor dengan membuka jalan perintis pembangunan kawasan baru seperti di Batu Kawan. Selain daripada membawa masuk Universiti, Hospital, Kilang-kilang pembuatan antarabangsa dan tapak industri berteknologi tinggi, PDC juga berjaya menarik pusat membeli-belah berjenama seperti IKEA dan Penang Design Village. Semalam, saya telah merasmikan pembukaan Penang Design Village yang bernilai RM250 juta yang diharapkan dapat menandingi Premium Outlet lain di Malaysia seperti di Johor dan Sepang.

MENGHARAMKAN KELULUSAN LESEN PUSAT HIBURAN KELUARGA KECUALI DI KAWASAN HOTEL, PUSAT BELI-BELAH DAN KOMERSIAL

Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat berkaitan tindakan membanteras pusat judi, lesen tidak dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri tetapi oleh Kerajaan Persekutuan. Walau bagaimanapun agensi yang melaksanakan penguatkuasaan secara fizikal adalah terletak di bawah tanggungjawab PDRM dengan sokongan PBT kerana ianya dilindungi dan diberi kuasa di bawah enakmen hiburan dan tempat-tempat hiburan 1998.

Syarat-syarat dalam memproses permohonan pusat hiburan keluarga juga diperketatkan iaitu Pusat Hiburan Keluarga khususnya mesin simulator adalah tidak dibenarkan beroperasi berdekatan dengan Institusi Pendidikan, Institusi Keagaamaan dan Institusi sosial yang lain. Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan mengharamkan semua kelulusan lesen Pusat Hiburan Keluarga kecuali di kawasan hotel atau pusat beli-belah/pusat pelancongan pada tahun 2017.

Isu berapa kerap PDRM telah membuat pemeriksaan ke atas pusat judi hiburan dan internet haram pula, PDRM telah mengemukakan data iaitu jumlah serbuan berjaya, jumlah tangkapan dan rampasan mesin. Bagi tahun 2016 dari Januari sehingga Oktober, sebanyak 126 serbuan telah berjaya dibuat dengan rekod tangkapan 213 melibatkan juga 624 rampasan mesin. PDRM menjalankan pemeriksaan ini secara berkala berdasarkan aduan orang awam dan intipan yang dibuat oleh pegawai PDRM.

Berhubung berapa banyak lesen kepada premis hiburan telah diluluskan dan kutipan hasil dari tahun 2008 hingga 2016, MBPP merekodkan sebanyak 2,738 premis dengan kutipan sebanyak RM365,370.00. Manakala MPSP pula, lesen telah merekodkan sebanyak 338 premis dengan kutipan sebanyak RM382,966.00.

PERHIMPUNAN BAJU MERAH

Ahli-Ahli Yang Berhormat bertanya bagaimana perhimpunan baju merah diluluskan di Kompleks Belia dan Sukan Pulau Pinang. Menurut PDRM, pihak mereka tidak dimaklumkan oleh penganjur berkenaan aktiviti perhimpunan ini sepertimana yg dituntut dibawah seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012. Pada 1 Oktober 2016, “Perhimpunan Bangkit” anjuran Pekida Pulau Pinang telah diadakan di Bulatan Persiaran Gurney Pulau Pinang dihadiri lebih kurang 2,000 peserta. Peserta perhimpunan yang bermotosikal datang daripada sekitar kawasan Pulau Pinang dan berkumpul di Kawasan Kompleks Belia dan Sukan Pulau Pinang Batu Uban sebelum berarak ke Persiaran Gurney. Terkini, PDRM telah jalankan siasatan dibawah sek 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 atas kesalahan kerana gagal memaklumkan kepada pihak polis sekurang kurangnya 10 hari sebelum perhimpunan diadakan. Siasatan kes ini masih dijalankan.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

KESAN PENGURANGAN CUKAI PINTU 6%

Isu kesan pengurangan pendapatan PBT dari pengecualian 6% cukai pintu akan menyebabkan kualiti perkhidmatan (penebangan pokok merbahaya di tepi jalan) akan berubah. Untuk makluman Yang Berhormat, pengurangan cukai pintu sebanyak 6% yang akan diteruskan pada tahun 2017 adalah satu inisiatif Kerajaan Negeri dalam membantu meringankan beban rakyat yang kini dibelenggu tekanan kewangan yang meliputi semua penghuni rumah kos rendah, rumah sederhana rendah dan rumah kampung/bertanah. Pungutan yang dijangka dikecualikan yang dianggar berjumlah RM14,093,705.78 sama sekali tidak akan menjejaskan kualiti perkhidmatan oleh kedua-dua PBT. Ini adalah hasil pentadbiran yang kukuh dan pengurusan kewangan yang bersih bersandarkan CAT – Cekap, Akauntabel dan Telus. Kerja-kerja penyelenggaraan tetap akan diteruskan seperti biasa dan dilaksanakan dengan cekap kerana ini merupakan tugas utama kedua-dua PBT bagi menyelenggara pokok teduhan dan memastikan pokok tidak merbahayakan keselamatan orang awam dan harta benda awam.

PELAN KUTIPAN SEMULA HUTANG-HUTANG KERAJAAN NEGERI

Bagi menjawab isu ini, Kerajaan Negeri pelbagai inisiatif telah dirangka dan dalam proses pelaksanaan bagi tujuan mengutip tunggakan hutang-hutang (cukai tanah dan cukai pintu) Kerajaan Negeri. Antara inisiatif mengutip semua cukai-cukai tertunggak adalah pertama, melaksanakan pemantauan secara berkala ke atas status-status terkini jumlah tunggakan cukai tanah dan secara pentadbiran telah mengambil langkah untuk menghantar surat/notis peringatan kepada pemilik-pemilik yang mempunyai tunggakan cukai tanah selepas 31 Mei setiap tahun. Sekiranya pemilik tanah masih enggan membayar tunggakan cukai tanah tersebut, Pentadbir Tanah akan mengeluarkan Notis Tuntutan Tunggakan Sewa (Borang 6A), selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 97, Kanun Tanah Negera, 1965 dimana pemilik diberi tempoh tiga (3) bulan dari tarikh notis tersebut disampaikan untuk menjelaskan kesemua jumlah tunggakan cukai tanah. Sekiranya pemilik tanah yang gagal menjelaskan kesemua tunggakan cukai tanah tersebut, Pentadbir Tanah perlu mengeluarkan perintah bahawa tanah itu terlucuthak kepada Pihak Berkuasa Negeri melalui Notis Perkembalian Tanah Kepada Kerajaan (Borang 8A) berdasarkan Seksyen 100, Kanun Tanah Negara, 1965; kedua, setiap Pejabat Daerah dan Tanah telah menubuhkan pasukan taskforce bagi pemilik-pemilik yang mempunyai tunggakan cukai tanah yang tinggi; ketiga, meningkatkan promosi bayaran cukai tanah secara online ; keempat, melaksanakan tindakan penguatkuasaan ke atas tunggakan cukai taksiran melalui peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 dengan mengeluarkan waran iaitu Borang G untuk menahan sebarang harta alih seperti inventori yang dimiliki oleh pemunya atau Borang H yang ditampal diluar premis yang didapati kosong semasa operasi dijalankan dengan tujuan untuk memaklumkan pemunya mengenai tunggakan cukai; kelima,melaksanakan tindakan kaveat melalui peruntukan KTN; keenam, membenarkan bayaran ansuran tunggakan cukai taksiran; dan mengadakan Klinik tunggakan cukai.

PENUTUP

Yang Berhomat Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

Akhirnya, Kerajaan Negeri faham bahawa sungguhpun pengurusa kewangan adalah baik dan bersih, ekonomi berkembang, kekurangan pekerja dan persekitaraan negeri yang kian hijau, bersih, selamat dan sihat, maka ia tidak mencukupi selagi cabaran-cabaran tersebut tidak diatasi. Kita masih perlu bekerja keras untuk mempertingkatkan lagi infrastruktur awam, pengawal seliaan serta kemampuan rakyat menerima perkhidmatan kerajaan yang baik, menikmati kemudahan rumah mampu milik dan pengangkutan awam. Justeru itu, Kerajaan Negeri akan terus memperbanyakkan peluang perniagaan, pekerjaan dan pendidikan dengan memberikan kebebasan untuk setiap orang mencapai potensinya serta melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan.

Pendekatan urus tadbir Cekap, Akauntabiliti dan Telus terus menjadi pegangan Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat menikmati perkhidmatan yang terbaik dari agensi Kerajaan Negeri. Tema bajet 2017 iaitu “Ke Arah Negeri Keusahawanan dan Kebajikan” sememangnya bernas kerana ia merupakan solusi terhadap 3 cabaran utama tahun 2017 iaitu memperbanyakkan stok rumah awam dan rumah mampu milik, masalah kesesakan trafik dan banjir.

Marilah rakyat Pulau Pinang yang budiman, kita berganding bahu untuk anak-anak kita, bersatu untuk masa depan mereka dan kita bertekad mengekalkan keamanan dan keharmonian agar mereka boleh hidup dengan bermaruah!

Sekian, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, saya mohon menyokong.

Terima kasih.

Show more