2015-11-20

Al Fatihah buat Adik Farisha yang telah kembali ke rahmatullah pada Jumaat 13 November.. Genap dah seminggu



Flashback 8 bulan yang lalu..

April 2015

Zam tengah melayari FB bila Zam terjumpa gambar Adik Farisha (yang ketika itu baru berusia setahun lebih) yang dimaklumkan menderita kanser mata tahap 4. Bila tengok gambar tu, menangis Zam.. Sedih, bila mengenangkan bayi sekecil tu menanggung rasa sakit yang kita sendiri, orang dewasa tak dapat tahan.

Beberapa kali, dalam tempoh sebulan tu, Zam menangis. Menangis setiap kali buka FB, bila ternampak gambar Farisha yang di share oleh orang lain.

Ramai yang bersimpati. Ramai juga yang viralkan. Ramai juga yang hulurkan sumbangan.



Melalui info yang orang viralkan juga, Zam jumpa nombor ahli keluarga Farisha untuk dihubungi. Makciknya. Terus Zam ambil, kemudian hantar whatsapps. Tanya di mana Zam boleh dapatkan info terkini mengenai Farisha. Terus diberikan akaun FB nya. Kat situlah, Zam temui lebih banyak info terkini dan gambar Farisha..

Kebetulan, Zam akan turun ke KL hujung bulan April tu. Ada event Bahagian Pendidikan Khas. Jadi Zam simpan niat, Zam nak lawat Farisha di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Zam dapat info tu pun dari akaun FB makciknya.

Mei 2015

Zam baru nak lawat adik Farisha di PPUM, bila Zam dapat tahu Farisha dah discharge dari sana. Zam diberitahu, mereka akan menginap di Kelana Jaya Homestay sebelum pulang ke Sungai Petani, Kedah.

Zam ada masa 4 hari di KL sebelum balik Kuching. Jumaat (Cuti Hari pekerja), Sabtu Ahad, dan Isnin (Cuti Ganti Hari Wesak). Rezeki dapat balik masa cuti bersambung. Jadi Zam cadang nak lawat Farisha di homestay hari Isnin tu.

Kemudian,

Zam dapat tahu mereka sekeluarga nak balik ke Sungai Petani dah Isnin tu. Jadi, plan ziarah Farisha di awalkan ke hari Ahad.

Puas juga nak mencari homestay dalam kawasan perumahan kat bandar tu. Signboard iklan pun tak ada.

Alhamdulillah, bila dah jumpa homestay tu, makcik Farisha keluar sambut Zam. Melangkah masuk ke dalam rumah, Zam nampak Farisha terbaring atas tilam di ruang tamu. Turut bersama, ibu dah ayahnya.

Masa tu, Zam tahan perasaan. Farisha sedang tidur. Jadi Zam ambil masa berbual dengan keluarganya.

Beberapa minit sebelum Zam pulang, Farisha terjaga.. Zam ambil peluang untuk bertegur sapa dengan dia.

Zam perasan, matanya memandang pada Zam.

Makciknya yang berada di depannya terus bercakap dengan Farisha. Dan Farisha akan mengangkat tangannya sebagai respon ketika berbaring.

'Siapa nama Farisha, angkat tangan' ujar makciknya.

Farisha terus mengangkat tangan kirinya.

Zam senyum sambil tahan air mata.

'Farisha cantik tak?' tanya makciknya lagi.

Farisha angkat tangan lagi.

Air mata ni dah tak dapat ditahan.

'Farisha pandai tak?'

Farisha tak tunjukkan respon untuk seketika.. Kemudian, dia gelengkan kepalanya.

Air mata ni dah laju mengalir.

'Eh janganlah macam tu.. Farisha kan pandai' Zam kata pada Farisha.

Dengar saja Zam cakap macam tu, Farisha terus angkat tangannya. Dan respon itu buatkan Zam gembira sangat.

Esoknya, Zam terbang semua ke Kuching



Keadaan Farisha semakin baik, & gambar ni diambil beberapa hari selepas Zam melawat Farisha.

Jun 2015

Gambar Farisha di awal bulan Jun, beberapa minggu sebelum Zam datang melawat. Comel betul dia buat muka macam merajuk tu.

Plan nak jumpa Farisha di KL masa cuti pertengahan tahun- akhir Mei. Tapi tak jadi sebab masa tak cun. Farisha pun dah discharge dari PPUM selepas rawatannya.

Bulan Jun, dah start puasa. Macam biasa, Zam ambil tiket pulang ke KL untuk berbuka puasa dengan keluarga. Zam pilih tarikh 26 Jun sebab tu birthday Zam. Boleh buka puasa sambil celebrate birthday.

Sampai KLIA2 dari Kuching, Zam masuk ke Toys'r'us sebab ada promosi potongan harga untuk ahli. Hajatnya nak cari sesuatu untuk Farisha.

27 Jun- Selepas bershopping raya dengan adik perempuan di Jalan TAR, Zam terus ke PPUM. Masa tu masih awal sebelum waktu melawat dibuka, jadi Zam tunggu dulu di lobi.

Tepat pukul 2, Zam naik dengan adik ke tingakt 5. Dari luar pintu, Zam dah nampak adik Farisha sedang duduk atas katil ditemani makciknya. Gembira tengok Farisha, sebab keadaan dia dah bertambah baik sejak Zam jumpa dia Mei lepas.

Bengkak di mata kanan dan kiri dah makin susut. Masa jumpa, Farisha macam pelik tengok Zam. Mungkin dia tak cam muka Zam dari lawatan yang lepas.

Tak tunggu lama, Zam keluarkan sesuatu dari dalam beg galas. Zam hulurkan permainan yang dibeli di Toys'r'us semalam kepada Farisha- patung Elsa Frozen.

Untuk seketika, Farisha pegang & tenung je patung Elsa atas riba dia. Kemudian, dia angkat kepala, toleh sambil senyum kepada Zam.

Ya Allah.. Sukanya Zam tengok senyuman Farisha masa tu. Itu senyuman pertama yang Zam tengok dari Farisha.

Zam biarkan Farisha menilik-nilik, menekan butang lagu Let It Go pada patung tu. Sambil-sambil tu, Farisha siap cium berkali-kali permainan yang baru Zam hadiahkan pada dia. Sepanjang masa, Zam senyum gembira tengok telatah Farisha.

Dan untuk pertama kali juga, Zam dengar suara Farisha. Mungkin dia nak mengajuk lagu Let It Go yang keluar dari patung Elsa tu. Walaupun perkataan yang dituturkan tu tak berbutir, tapi cukuplah Zam tahu yang dia happy.

Julai 2015

Dalam minggu akhir cuti Aidilfitri, Zam luangkan masa lagi ke PPUM sebelum pulang ke Kuching. Kebetulan family Farisha menyambut Aidilfitri di PPUM sahaja kerana Farisha dijadualkan menerima rawatan ketika Aidilfitri.

Wad Farisha bertukar lagi. Dan kali ni, Farisha terbaring atas katil ditemani ayahnya. Farisha baru lepas sihat dari demam campak waktu tu. Tubuhnya susust sikit dari sebelumnya. Melihat saja Zam datang, Farisha merengek. Mungkin dia ingatkan Zam salah seorang staf yang datang untuk berikan rawatan yang buatkan dia tak selesa.

Tapi rengekkan Farisha tak lama. Tiba-tiba dia berhenti, terdiam sekejap, dan tiba-tiba tersenyum tengok Zam. Sukanya... Dia ingat Zam rupanya. Hari tu, Zam luangkan masa layan Farisha bermain bongkah lego. Buat kapal terbang, kereta sambil-sambil berbual dengan ayahnya.

Farisha & ibu saudaranya, Ogos 2015

September 2015

Cuti bulan 9 (cuti pertengahan penggal ke 2) baru sahaja bermula, dan sebelum pulang menyambut Aidiladha di Kelantan, Zam ke PPUM sekali lagi. Kebetulan memang Farisha ada di sana.

Cuma apa yang berlainan kali ni, buat pertama kali, Zam melawat Farisha ketika dia sedang menjalani rawatan kimo.

Tak macam sebelum ni, Farisha tak senyum bila tengok Zam datang. Dia merengek sebab mungkin dia ingatkan Zam staf PPUM yang nak masukkan ubat ke dalam badannya. Kesian Farisha.. tak ada mood sebab rawatan kimo tu buatkan dia rasa tak selesa.

Jadi Zam layan berbual dengan ayahnya, sambil Farisha melayan CD Maharaja Lawak Mega yang dipasang. Tenang je Farisha layan video tu. Itu saja cara untuk dia lupakan sekejap rasa tak selesa yang ditanggung.

Mungkin ramai yang tak tahu, Farisha peminat Dato AC Mizal. Sebab tu, dia boleh diam, tak banyak kerenah walaupun berbaring lesu menahan rasa tak selesa masa tengok video MLM tu.

Bila ibunya datang, baru mood adik Farisha kembali ok.. Baru nampak keceriaan di wajahnya..

Sebelum balik, dia salam & cium tangan Zam. Ibunya yang ajarkan. Farisha menurut, dan dia lebih tenang dari keadaan mula-mula Zam sampai tadi. Zam minta izin dengan ibunya, yang Zam nak kucup dahi adik Farisha sebelum balik. Ibunya izinkan, sambil rendahkan palang katil untuk mudahkan Zam tunduk dan kucup dahi Farisha.

Kasihan.. Rambut Farisha dah makin banyak yang luruh..

Oktober 2015

Bulan 10, Zam tak balik ke KL. Biasanya setiap bulan Zam balik, tapi bula 10 memang Zam betul-betul sibuk. Hati ni, dah mula rasa rindu dekat Farisha.. Rasa lama dah tak jumpa dia..

November 2015

Rindukan Farisha, aku ternanti-nanti gambar terbarunya diupload. Sampailah satu hari ni, 9 November, Zam perasan gambar Farisha yang terkini diupload di FB ibunya. Gembira bukan main Zam, sebab dari gambar tu Zam tengok adik Farisha nampak sihat dan ceria.

Farisha, 9 November 2015

11 November, Zam jadi berdebar bila membaca status terbaru ibu Farisha di FB. Dalam hati aku berdoa banyak-banyak, semoga cepatlah Farisha sembuh. Baru beberapa hari lepas Zam tengok gambarnya yang ceria.

Jumaat, 13 November, Zam terima perkhabaran yang adik Farisha dalam keadaan kritikal di PPUM. Tak senang duduk dibuatnya Zam di Kuching. Dalam mencari lebih banyak maklumat, Zam terima perkhabaran yang mendukacitakan..

Adik Farisha telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di PPUM. Memang seakan tak percaya dengan apa yang baru dibaca di FB. Cepat-cepat Zam telefon ibu saudaranya untuk pengesahan. Dan seperti apa yang tersebar di FB masa tu, adik Farisha memang betul-betul dah tiada lagi. Dia disahkan meninggal selepas waktu solat Jumaat.

Kaget. Zam terus online cari tiket flight ke KL. Ada beberapa seat yang masih tinggal, tapi tak dapat beli sebab dalam tempoh 4 jam sebelum penerbangan memang tak boleh beli tiket secara online. Zam terus bersiap lebih kurang, panggil teksi dan minta dihantar ke airport Kuching.

Alhamdulillah, biarpun terpaksa tunggu di kaunter, ada juga tiket ke KL dalam masa terdekat. Sepanjang masa di airport, Zam tahan air mata supaya tak menangis. Terbayang-bayang wajah adik Farisha  di mata.

Dalam flight, tidur Zam jadi tak lena. Walaupun Zam penat yang teramat. Kejap-kejap tersedar sambil teringatkan arwah adik Farisha.

Tiba di Putrajaya, adik Zam dah sedia menunggu. Kami bincang rancangan seterusnya. Zam tak pasti sama ada Zam sempat nak tengok wajah adik Farisha buat kali terakhir sebelum dikebumikan, tapi apapun yang penting Zam nak ke Parit Buntar dulu- di rumah keluarga sebelah ayah Farisha.

Zam sempat balik ke Serdang, mandi dan bersiap, sebelum ke Stesen Bas Kajang. Zam tawakal je dengan harapan ada bas ke sana malam tu.

Syukur sangat-sangat, sebab ada sebuah bas untuk perjalanan malam tu. Sempat atau tidak melihat jenazah sebelum dikebumikan, Zam tak kisah sangat. Yang penting, sampai.

Bertolak dalam pukul 11.30, Zam sampai ke parit Buntar jam 5 pagi. Terus ambil teksi ke rumah keluarga adik Farisha.

Sampai di Kampung Parit Teropng, Perak, Zam disambut ayah Farisha dan ibunya. Mereka maklumkan, jenazah dah selamat dikebumikan pukul 1.30 pagi. Zam terlewat, tapi tak mengapalah. Urusan pengebumian memang perlu disegerakan. Cuma Zam bagitahu, Zam nak ziarah kubur adik Farisha bila hari dah cerah nanti.

Sempat juga, mereka tunjukkan gambar wajah Farisha selepas menghembuskan nafas terakhirnya, dan wajah sebelum ditutup dengan kain kafan. Sayunya hati Zam masa tu, tapi Zam cuba untuk tenangkan perasaan. Ibu dan ayahnya pun nampak tenang, jadi Zam tak mahu buatkan mereka bertambah sedih.

Siangnya, bila hari dah semakin cerah, Zam dibawa ibu dan ayah Farisha ke Tanah Perkuburan Sungai Kecil Ulu.

Selesai bacaan Yassin, kami ambil masa untuk mengenang kembali beberapa detik bersama adik Farisha. Zam katakan pada mereka-ibu bapa Farisha, yang Farisha ada ajar Zam sesuatu perkara yang beharga dalam hidup ni. Kadang-kadang, kita rasa kitalah orang yang paling derita dalam dunia ni. Tapi kita lupa, ada insan yang lebih menderita dan tak bernasib baik dari kita..

Tak apalah Farisha.. Tak ada dah rasa sakit yang ditanggung selama 8 bulan ni.. Damai dan tenanglah di sana..

Farisha, disahkan menghidap kanser mata tahap 4 pada April 2015.. Selama 8 bulan, Farisha bertarung melawan penyakitnya.

Farisha, 2 tahun 2 bulan, disahkan meninggal di PPUM pada 13 November, pada hari Jumaat..

"dari Dia kita datang, kepada Dia kita kembali"

Show more