Kamarul Ariff bersama adiknya, Dilla Karim yang juga pengasas Zawara.
Cirrus SR22.
KUALA LUMPUR - Jenama Zawara yang terkenal dengan busana Muslimah, bakal mengembangkan perniagaannya dengan menawarkan perkhidmatan penerbangan pesawat kecil kepada pelanggannya pada November nanti.
Pengasasnya, Kamarul Ariff Abd Karim berkata, Zawara membeli pesawat sebagai usaha promosi jenama Zawara ke seluruh Malaysia dan menguatkan jenama tersebut yang kini kukuh dalam pasaran fesyen di negara ini.
Menurutnya, Zawara akan menyediakan penerbangan biasa yang boleh disewa sesiapa sahaja dengan harga mampu milik serta mampu memuatkan seramai empat orang termasuk juruterbang.
“Zawara dalam proses memiliki sijil operasi dan merancang untuk kegunaan pelancongan dan perubatan. Penerbangan tersebut membawa penumpang ke kawasan pelancongan seperti Pulau Pangkor dan Pulau Redang; Malaysia serta Batam, Indonesia.
"Ia juga boleh digunakan untuk kecemasan dan membawa organ. Zawara merancang untuk memiliki tiga pesawat Cirrus SR22 yang berharga antara RM1.22 juta (AS$300,000) sehingga RM2.03 juta (AS$500,000),” katanya.
Sementara itu, Kamarul Ariff berkata, Zawara kini menguasai 25 peratus pasaran fesyen tempatan manakala lebih tiga peratus dalam makanan dan minuman.
“Zawara menyasarkan akan membuka 15 outlet Zawara Coffee menjelang akhir tahun ini. Zawara juga akan membuka Zawara Mega Store di Ipoh, Perak dan Johor Bahru, Johor,” katanya.
Tambahnya, Zawara juga akan mengeluarkan pakaian lelaki yang lebih kasual dikenali Zawara Men, dalam masa terdekat.
“Material yang digunakan adalah 80 peratus cotton dan spandex serta poliester. Ia memberikan keselesaan dan tidak memberikan kesan kepada pemakai yang mempunyai kulit sensitif,” katanya.
Kamarul Ariff berkata, Zawara juga akan memperkenalkan skim pengedar di 19 butik sedia ada dan menyasarkan 20 pengedar bagi setiap butik.
“Kami mahu memperluaskan Zawara di kawasan bandar-bandar kecil di seluruh negara dan skim ini akan memberikan peluang kepada mereka yang berminat untuk menjana pendapatan mereka.
“Zawara akan memberikan komisen bermula 20 peratus bagi pengedar pakaian manakala kosmetik melibatkan 30 peratus,” katanya.
Dalam mengukuhkan kedudukannya, Zawara juga akan membuka butik baharu di Sabah dan masih mengenal pasti lokasi serta rakan kongsi. - Sinar