2015-10-15



Singapura menjadi lokasi pilihan untuk pekerja separa mahir mendapatkan gaji lebih menerusi tukaran mata wangnya yang lebih tinggi berbanding negara asal. – Gambar fail AFP, 14 Oktober, 2015.

SINGAPURA - Ketika Zuhalfizi Ismail, 21, dari Negeri Sembilan, menjejak kaki di Singapura untuk bekerja bulan lepas, beliau yakin mampu membantu keluarganya melangsaikan hutang dalam tempoh setahun dan akan mempunyai duit yang mencukupi untuk mengahwini kekasihnya.

Namun tidak sampai sebulan bekerja sebagai pencuci dengan sebuah firma besar di Singapura, beliau kini merempat di jalanan, dengan poket kosong, di salah sebuah negara terkaya di dunia.

"Bos saya membatalkan permit saya, dan saya perlu pulang. Tetapi apabila saya minta gaji saya, dia berkata berdasarkan kontrak saya tidak layak mendapat gaji kerana bekerja kurang 3 bulan," kata Zulhafizi kepada The Malaysian Insider.

Beliau adalah seorang daripada ribuan pekerja asing yang datang ke Pertubuhan Kemanusiaan bagi Migrasi Ekonomi Singapura (Home) setiap tahun dengan aduan penderaan atau eksploitasi oleh majikan.

Beliau juga merupakan salah seorang daripada ratusan ribu rakyat Malaysia di Singapura yang bekerja sebagai pekerja kolar biru yang tidak digemari rakyat tempatan. Ironinya, di Malaysia juga, pekerjaan itu dilakukan buruh asing.

Zulhafizi mendakwa beliau dihentikan kerja kerana beliau berkali-kali menuntut untuk dibayar kerja lebih masa.

"Mereka menyuruh saya bekerja 12 jam sehari, 6 hari seminggu, tetapi mereka kata saya hanya akan dapat SG$500 sebulan.

"Sebelum saya datang ke sini, mereka janjikan gaji SG$1,200 sebulan, tetapi sekarang mereka mengatakan saya menandatangani kontrak bersetuju dengan SG$500."

Pengarah Eksekutif Home Jolovan Wham berkata nasib Zulhafizi serupa dengan kebanyakan pekerja asing yang datang ke pusat itu.

"Kontrak penggajian ditandatangani dalam bahasa Inggeris yang mana kebanyakan warga asing tidak berapa faham.

"Oleh kerana majikannya bukan secara teknikal melanggar kontrak, malangnya, ia tidak boleh dijadikan bahan kes," kata Wham merujuk kes Zulhafizi, sambil menambah, Home sedang cuba menyelesaikan kes itu secara baik dengan majikan beliau.

Mencari peluang lebih baik

Kemajuan ekonomi yang dinikmati Singapura adalah rahmat kepada pendatang dari negara jiran yang lebih miskin dan kini menarik bagi rakyat Malaysia dengan penurunan berterusan nilai ringgit, mata wang paling teruk terjejas di Asia.

Kebanyakan pekerja separa mahir atau kurang mahir sanggup menerima gaji lebih rendah daripada rakan warga Singapura mereka, dan bersabar dengan keadaan kerja yang kurang memuaskan bagi membawa pulang gaji lebih tinggi berbanding jika bekerja di Malaysia.

Wham berkata, selain masalah berkaitan kontrak pekerjaan, beliau juga menerima aduan ugutan fizikal oleh majikan yang mahu "mendisiplinkan" pekerja mereka.

"Seorang lelaki dari Sarawak mengadu beliau dipaksa untuk melakukan tekan tubi.

"Satu lagi kes, ada pekerja yang diancam dengan penumbuk," kata Wham kepada The Malaysian Insider.

Seramai 146 pekerja kolar biru Malaysia meminta bantuan dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura dari Januari hingga Jun tahun ini, menurut kedutaan itu. Jumlah aduan bagi keseluruhan tahun lepas ialah 145.

Pegawai kedutaan percaya angka itu adalah sebahagian kecil daripada jumlah sebenar aduan, kerana ramai pekerja kolar biru lebih gemar datang berjumpa dengan pertubuhan bukan kerajaan seperti Home, yang kurang menakutkan.

"Kebanyakan mereka mempunyai masalah dengan permit kerja mereka, atau majikan enggan bayar gaji atau menyimpan pasport mereka," kata seorang pegawai kanan di suruhanjaya tinggi itu yang enggan namanya disiarkan.

"Kami cuba membantu dengan menghubungi keluarga mereka di Malaysia, atau dengan memaklumkan Kementerian Tenaga Manusia Singapura. Tetapi jujurnya, biasanya sangat sedikit yang boleh kita lakukan," katanya, memetik ‘sensitiviti diplomatik’.

Menurut statistik yang disediakan kementerian itu, sebanyak 991,300 permit kerja dikeluarkan untuk pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah pada 2014.

Dari Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 993,900 permit kerja bagi pekerjaan kolar biru termasuk pencuci, pekerja binaan dan pekerja kilang dikeluarkan.

Republik itu mencatatkan lebih 1.35 juta pekerja asing tahun lepas, dan sehingga Jun tahun ini, jumlah itu semakin bertambah.

Laporan Bank Dunia 2012 meletakkan jumlah rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura lebih 400,000 orang, satu angka yang menurut pihak berkuasa Malaysia, berkembang pesat dalam tempoh 2 tahun lalu.

Ini bermakna hampir separuh tenaga buruh asing republik yang kecil itu terdiri daripada rakyat Malaysia, dan majoriti mereka bekerja dalam sektor pekerjaan kolar biru.

Risiko ditangkap, didenda dan dihantar pulang

Daya tarikan pendapatan dalam dolar Singapura yang diniagakan pada 1 dolar berbanding 3.01 ringgit pada hujung Selasa, membuatkan rakyat Malaysia berani mengambil risiko didenda dan ditangkap.

Setiap pagi hari minggu di kawasan tertentu di sekitar Woodlands iaitu pinggir bandar utara Singapura, beratus-ratus pekerja mahir dan separa mahir rakyat Malaysia tanpa permit sah akan menunggu dengan harapan diambil oleh majikan yang mencari pekerja harian.

Pekerjaan seperti mengecat, hingga kepada pendawaian elektrik dan perpaipan dibayar antara SG$50 hingga SG$80 sehari, hampir 2 kali ganda daripada apa yang mereka boleh peroleh di negara sendiri.

Mereka akan menunggu di kedai kopi, stesen bas atau tempat lain ditetapkan sekitar Woodlands seawal 7 pagi, menunggu pemilik syarikat pembersihan atau pembinaan kecil datang memilih pekerja.

Pada penghujung hari, pekerja ini akan dihantar pulang semula ke tempat di mana mereka dijemput dan membawa pulang gaji harian mereka.

"Kadang-kadang kami tidak dapat apa-apa kerja, tetapi jika bernasib baik, majikan akan 'menempah' kami untuk beberapa minggu," kata Ah Lim, berasal dari Johor yang merupakan salah seorang rakyat Malaysia yang menunggu di Woodlands pagi Khamis lalu, mengharapkan ada majikan mengambilnya.

Di bawah Akta Pekerjaan Tenaga Kerja Asing Singapura, warga asing yang bekerja tanpa permit adalah salah di sisi undang-undang dan boleh dikenakan denda SG$24,000 dan penjara sehingga 24 bulan.

Ah Lim, yang bekerja sebagai tukang pendawaian elektrik bebas di Johor Baru, berkata beliau sedar boleh dikenakan hukuman penjara dan denda jika ditangkap, tetapi ia risiko yang perlu beliau dan kawannya ambil.

"Peluang pekerjaan sangat sedikit (di Johor Baru). Jadi, lebih baik mengambil risiko dan datang ke sini setiap hari. Menjelang tengah hari, jika tiada siapa yang datang, saya akan pulang ke rumah.

"Tetapi saya akan datang dan mencuba nasib sekali lagi pada keesokan hari,” katanya.

Rakyat Malaysia lakukan kerja sama seperti warga asing di negara ini

Wham berkata biarpun rakyat Malaysia membentuk peratusan kecil daripada pekerja asing yang datang kepada organisasi itu, namun beliau menyaksikan peningkatan bilangan mereka.

“Rakyat Malaysia, yang datang ke sini, melakukan pekerjaan yang warga asing lakukan di Malaysia. Mereka bekerja di sektor berkemahiran rendah seperti pencuci atau di sektor perkhidmatan," kata Wham.

Beliau merujuk kepada 2.1 juta pekerja asing yang sah di Malaysia dan hampir sama banyak juga, pendatang asing tanpa izin, bekerja dalam industri seperti sektor pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan di tanah air.

"Oleh itu, Malaysia berada dalam kedua-dua situasi, sebagai negara yang menerima dan menghantar (pekerja kolar biru). Keadaan ini agak unik," katanya.

Zulhafizi berkata, pengalaman pahit dengan satu majikan belum cukup untuk menghalang beliau daripada cuba untuk mendapatkan pekerjaan semula di Singapura.

"Jika saya boleh menyimpan SG$1,000, dan menghantarnya pulang setiap bulan, sudah RM3,000! Saya tidak mampu mendapat separuh jumlah itu di Malaysia, apatah lagi menyimpan sebanyak itu,"

"Sudah tentu, ini satu pengalaman pahit buat saya, tetapi risiko itu berbaloi untuk dilalui sekali lagi. Saya tidak akan dapat mencari peluang yang sama di Malaysia,” katanya. – 14 Oktober, 2015. - MI

Show more