2014-02-09



Warga asing dikesan membina penempatan di dalam hutan bagi mengelakkan diri daripada dikesan pihak berkuasa.

SUNGAI BULOH - Kewujudan penempatan haram warga asing yang terletak dalam hutan berhampiran Taman Aman Sari, Bukit Rahman Putra menimbulkan rasa kurang senang segelintir penduduk yang menetap di kawasan ini.

Penempatan haram berkenaan difahamkan telah wujud sejak Disember 2012 dan warga asing didapati berselindung di kawasan berkenaan bagi mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa.

Menurut salah seorang penduduk, Mohd Nor Sulaiman, 46, penempatan haram berkenaan dilihat agak meragukan, malah warga asing yang menetap di situ sering keluar masuk ke dalam hutan melalui taman perumahan berkenaan.

“Terdapat lorong kecil di sini dan mereka keluar masuk melalui taman ini dan ia sememangnya menimbulkan kebimbangan penduduk,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Mohd Nor, beberapa siri kes pecah rumah pernah berlaku di kawasan ini malah pada tahun 2012, dianggarkan kira-kira lebih daripada 10 kes dilaporkan.

Namun begitu, katanya, sejak tahun lalu, jumlah kes pecah rumah dilihat sedikit berkurang selepas penubuhan pasukan kawalan keselamatan di taman berkenaan dijalankan.

“Walaupun kes pecah rumah berkurang, namun kejadian berkenaan dilihat masih berlaku dan dipercayai dilakukan warga asing yang menetap di kawasan itu,” katanya.

Penjenayah lolos lalu laluan kecil

Salah seorang penduduk lain, Mohd Faizal Mohd Yusof, 30, berkata, terdapat juga kes di mana suspek pecah rumah di sini dikesan berjaya melarikan diri melalui laluan kecil di hutan berkenaan bagi mengelakkan dari ditangkap.

Faizal berkata, ini menunjukkan kes pecah rumah dilakukan pihak terbabit dan suspek melarikan diri melalui laluan berkenaan bagi menyukarkan penduduk mengesan dan menangkap mereka.

“Penempatan ini dipercayai telah lama wujud dan ia menimbulkan rasa kurang senang di kalangan penduduk selepas berlakunya beberapa kes pecah rumah,” katanya.

Tambah Faizal, kebanyakan kes pecah rumah dan kecurian di kawasan berkenaan didapati berlaku pada waktu siang memandangkan rata-rata penduduk tidak berada di rumah pada waktu tersebut.

Jelasnya, keadaan berkenaan memudahkan pihak berkenaan mengambil kesempatan dan kemudiannya melarikan diri mengikut laluan kecil yang menuju ke hutan itu.

“Mereka menggunakan laluan ini sebagai alternatif bagi mengelakkan dari dikesan,” katanya.

Bimbang penempatan haram jadi ancaman

Dalam pada itu, Othman Yaman, 48, berkata, penempatan haram berkenaan dilihat dapat memberi ancaman besar khususnya buat penduduk yang menetap di kawasan berkenaan.

Menurut Othman, warga asing yang menetap di dalam hutan itu akan menjalankan kegiatan pecah rumah sekiranya mereka tidak mempunyai pendapatan harian untuk menyara kehidupan mereka.

“Kehadiran mereka amat meragukan dan kami sebagai penduduk bimbang akan mendapat ancaman daripada pihak berkenaan pada bila-bila,” katanya.

Tambahnya, penduduk berharap agar pihak berkenaan dapat turun ke lokasi tersebut bagi menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan ke atas penempatan haram yang telah wujud sejak beberapa tahun sebelum ini.

“Pihak berkuasa perlu memantau dan mengambil tindakan ke atas penempatan haram ini bagi membolehkan penduduk merasa selamat dan tidak terancam,” katanya.

sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/...hutan-1.249028

Show more