2015-03-13

SHAH ALAM, 13 Mac – Penambahbaikan sistem pendidikan Negara memerlukan tempoh beberapa tahun sebelum ia menampakkan hasilnya, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru itu, katanya ibu bapa perlu yakin dengan sistem pendidikan itu yang sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa bagi melahirkan pelajar yang boleh berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Hakikatnya kita tidak boleh buat perubahan mendadak…ada sesetengah masyarakat kata kenapa Menteri (Pendidikan) baru nak ubah sistem pendidikan.

Dahulu, tiada PT3 (Pentaksiran Tingkatan 3), PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah). Mahu tidak mahu, ini kenyataan dan jika kita nak buat penambahbaikan dengan guna pakai sistem lama, hasilnya tidak berubah.

“Ibu bapa kena faham, kalau nak buat anjakan ia tidak boleh dibuat dalam tempoh setahun. Kita kena buat secara berperingkat-peringkat dan kalau tidak dibuat begitu maknanya lebih 5.6 juta anak-anak sekolah rendah dan menengah akan menjadi mangsa kepada sistem pendidikan yang lama,” katanya ketika merasmikan Karnival Warna-Warni Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada sekolah berkenaan bagi pembinaan dewan terbuka untuk kegunaan pelajarnya.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata perubahan dalam sistem pendidikan perlu dilaksanakan berikutan hasil pencapaian pelajar Negara ini agak terbelakang jika dibandingkan dengan pencapaian pelajar di negara maju.

Beliau memberi contoh pencapaian pelajar Malaysia dalam ujian yang turut diguna pakai di peringkat antarabangsa seperti Programme for International Student Assessment (PISA) dan International Mathematics and Science Study (TIMMS) yang meletakkan negara pada kedudukan satu pertiga dari bawah.

“Saya sebagai menteri terperanjat (melihat kedudukan) tetapi saya kena terima hakikat bahawa sistem pendidikan kita belum cukup baik. Sebab itu, kita kena cari alternatif supaya dapat melahirkan anak-anak yang bukan sahaja bijak pandai malah boleh setanding dengan pelajar di negara lain.

“Untuk anjakan ini, kita buat kajian sehingga terhasil Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang cukup penting. Dalam tempoh 13 tahun ini, sistem pendidikan negara kita bukan sahaja bertambah baik malah hasil pelajar meningkat secara berperingkat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menempelak sesetengah pihak yang menuduh kerajaan tidak menitikberatkan soal pendidikan sepanjang mentadbir negara.

Muhyiddin berkata kerajaan melaburkan sejumlah besar wang dalam bidang pendidikan iaitu 21 peratus daripada belanjawan negara dengan jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding peruntukan bagi bidang pendidikan di sesetengah Negara maju.

“Perkara ini disahkan oleh Unesco (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu) di mana perbelanjaan kita untuk bidang pendidikan lebih besar berbanding negara maju seperti Amerika Syarikat.

“Ini bukti jelas, jadi kalau ada pihak yang tuduh kerajaan tidak mengambil berat soal pendidikan, memang bohonglah.

“Hasil pendidikan negara ini melahirkan ramai pelajar yang bijak pandai dalam hampir semua bidang seperti doktor dan jurutera. Sebab itu, Malaysia berganjak dari kedudukan negara agak miskin dan mundur menjadi sebuah negara yang hampir menjadi negara maju,” katanya.

Show more