2014-08-24

JOHOR BAHARU, 24 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyambut baik keputusan Majlis Tertinggi yang memberi kuasa kepada negeri untuk meluluskan permohonan keahlian baharu parti itu.

Menteri Besar Johor itu berkata kelulusan yang berkuat kuasa serta-merta memudahkan permohonan masyarakat untuk menyertai Umno.

Beliau berkata isu proses keahlian baharu Umno sering dibangkitkan orang ramai kerana perlu menjalani proses yang lama.

“Saya amat mengalu-alukan keputusan yang telah dibuat kerana ia boleh memudahkan permohonan keahlian baharu sekali gus dapat bersama-sama menyumbang kepada perjuangan Umno.

“Sebelum ini, kaedah pendaftaran ahli mengambil tempoh berbulan sehingga membuatkan ahli baharu berasa kecewa. Proses untuk jadi ahli Umno sepatutnya mudah agar lebih ramai boleh jadi ahli,” katanya selepas merasmikan Program Tuisyen HELP-YPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Permas Jaya 2 hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa Majlis Tertinggi memberi kuasa kepada semua badan perhubungan negeri untuk meluluskan keahlian baharu dengan syarat setiap permohonan disertakan dengan resit pengesahan sebagai pemilih berdaftar yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mohd Shafie, yang merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Marang, Terengganu, berkata keputusan itu dibuat berikutan pelbagai masalah ketika menggunakan kaedah lama yang memerlukan borang permohonan dihantar ke ibu pejabat parti untuk mendapat kelulusan.

Sementara itu, mengulas Program Tuisyen HELP-YPM, Mohamed Khaled berkata ia adalah percuma untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta merupakan satu pendekatan kerajaan bagi membantu golongan kurang bernasib baik.

“Kita tidak mahu pelajar yang kurang berkemampuan tercicir dalam pelajaran. Saya harap pelajar yang terpilih mengikuti program ini dapat mengambil peluang untuk menimba ilmu sebaik mungkin agar mereka dapat mengubah nasib sendiri pada masa depan,” katanya.

Program tuisyen bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah itu dilaksana di 50 kawasan Parlimen seluruh negara membabitkan 5,000 pelajar dengan peruntukan sebanyak RM2 juta.

Show more