2016-12-14

Penduduk Bukit Rahman Putra, Kg Melayu Sungai Buloh terima perkhidmatan bas pengantara MRT



KEMBALI BEROPERASI: Hentian bas di Taman Bukit Rahman Putra di Sungai Buloh yang terbiar lebih 20 tahun sejak perkhidmatan pengangkutan awam Bas Mini dimansuhkan, akan kembali pulih apabila Perkhidmatan Bas Pengantara MRT Rapid KL mula beroperasi Jumaat ini. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Penantian perkhidmatan bas awam selama 20 tahun oleh penduduk Bukit Rahman Putra dan Kampung Melayu Sungai Buloh, dekat sini, bakal berakhir Jumaat ini.

Ini berikutan kawasan itu akan menerima perkhidmatan bas pengantara Transit Aliran Massa (MRT) oleh Rapid KL, serentak dengan bermulanya perkhidmatan MRT dari stesen Sungai Buloh ke Semantan, Jumaat ini.

Tinjauan Bernama di sekitar kawasan Bukit Rahman Putra, Kampung Melayu Sungai Buloh dan Bandar Baru Sungai Buloh mendapati rata-rata penduduk lega kerana dapat menjimatkan masa dan perbelanjaan harian dengan adanya bas pengantara itu.

Peniaga surat khabar, S. Shanti, 45, berkata walaupun di Bukit Rahman Putra tersedia hentian bas, ia tidak berfungsi kerana sudah lebih 20 tahun tiada perkhidmatan bas awam yang melalui kawasan itu.

“Dulu ada bas mini yang lalu di sini, tapi itu sudah 20 tahun dulu, Penduduk di sini menggunakan hentian bas itu untuk berteduh sambil menunggu teksi.

“Sebelum ini saya berulang-alik dengan teksi dari rumah ke Hospital Sungai Buloh dengan tambang RM35. Namun dengan adanya bas pengantara, tambangnya hanya RM1 dan ini sangat menjimatkan,” katanya yang menyambung perniagaan 40 tahun keluarganya menjual surat khabar di situ.

Pekerja am Fahmi Azhar Abdul Aziz, 41, pula berkata sebelum ini memang tiada perkhidmatan bas yang melalui kawasan tersebut dan penduduk perlu berjalan jauh ke jalan utama bagi mendapatkan bas dan teksi.

“Alhamdulillah, perkhidmatan bas pengantara MRT amat memudahkan, malah mengenakan harga yang berpatutan iaitu RM1 sahaja,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di Hospital Sungai Buloh mendapati perkhidmatan bas pengantara MRT membawa khabar gembira kepada kebanyakan pesakit, kakitangan hospital dan penduduk sekitarnya.

Mahasiswa Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sungai Buloh, Muhammad Amirul Afnan Mat Rani, 19, berkata dengan adanya kemudahan bas peng-antara itu, beliau tidak perlu lagi berbelanja sehingga RM10 untuk berulang alik dari kampusnya ke hospital.

Pesara jururawat Nancy Lim, 70, berkata setiap hospital harus mempunyai kemudahan bas awam seperti bas pengantara MRT itu kerana kebanyakan daripada pesakit dan kakitangannya merupakan golongan berpendapatan rendah.

“Mereka datang ke hospital kerajaan kerana yuran perubatan yang murah, dan tentunya pada masa sama mengharapkan kemudahan bas percuma ataupun tambang murah.

“Bas pengantara MRT ini sangat diperlukan terutamanya ketika waktu puncak bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan mengatasi masalah kekurangan tempat letak kereta di hospital,” katanya.

Menurut pemaju dan pemilik projek MRT, MRT Corp, bagi laluan Stesen MRT Sungai Buloh, sebanyak tiga laluan iaitu Bukit Rahman Putra, Hospital Sungai Buloh dan Bandar Baru Sungai Buloh membabitkan 12 bas disediakan dengan kekerapan 10 hingga 15 minit.

Sebanyak 112 bas pengantara akan beroperasi di kesemua 12 stesen laluan 1 fasa pertama perkhidmatan MRT itu.

Fasa pertama MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang bakal dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Stesen Kwasa Damansara, hari ini. — Bernama

Show more