2016-11-26



BERSALAMAN: Sultan Hassanal Bolkiah berkenan bersalaman dengan Salleh (kiri) ketika delegasi menteri-menteri komunikasi ASEAN diterima menghadap baginda di Istana Nurul Iman semalam sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat ASEAN ke 16 yang berakhir di Bandar Seri Begawan, semalam. — Gambar Bernama

Gesa penyelarasan dasar dan norma keselamatan siber secara holistik dalam ASEAN

BANDAR SERI BEGAWAN: Mesyuarat Menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat ASEAN (TELMIN) ke-16 menegaskan kepentingan menggalakkan  kerjasama keselamatan siber serantau dan membangunkan dasar dan penyelarasan pendekatan keselamatan siber.

Bagi tujuan itu, menteri berkenaan, dalam kenyataan bersama semalam, menyambut baik cadangan Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN yang menggesa penyelarasan dasar dan norma keselamatan siber secara holistik dalam ASEAN dan pengukuhan pembangunan kerjasama keselamatan siber dan rangka kerja bagi pembinaan kapasiti.

Ini akan meningkatkan penyelarasan pendekatan keselamatan siber dengan Rakan Dialog ASEAN dan pihak berkepentingan yang lain.

“Menteri-menteri juga berpandangan bahawa TELMIN boleh bertindak sebagai platform bagi perbincangan mengenai keselamatan siber dalam ASEAN, berdasarkan hubungan kukuh antara domain-domain ICT dan keselamatan siber,” menurut kenyataan bersama itu yang dibacakan oleh Menteri Komunikasi Brunei Darussalam Dato Mutappa Sirat, yang mempengerusikan TELMIN 2016.

Menteri berkenaan juga menyambut baik kemajuan dicapai dalam tahun pertama pelaksanaan ICT ASEAN, Pelan Induk 2020 (AIM2020) yang menurut mereka telah menyediakan asas kukuh dalam memacu ASEAN ke arah ekonomi berasaskan digital yang selamat, mampan dan transformatif dan ke arah mewujudkan Komuniti ASEAN yang inovatif, inklusif dan bersepadu.

Menurut kenyataan itu, menteri berkenaan juga berpuas hati dengan pembangunan Petunjuk Prestasi Utama untuk memantau impak daripada langkah-langkah yang dilaksanakan di bawah AIM2020, kerana petunjuk itu akan memberikan gambaran lebih baik tentang bagaimana ASEAN berusaha untuk merealisasikan matlamat dan sasarannya yang ditetapkan dalam AIM2020.

Menteri berkenaan turut menerima pakai Kerangka ASEAN bagi Perlindungan Data Peribadi yang akan merumuskan prinsip sebagai garis panduan bagi pelaksanaan langkah-langkah di peringkat nasional dan serantau untuk menggalakkan dan memantapkan perlindungan data peribadi di rantau itu.

Kenyataan itu juga menyatakan menteri-menteri turut mengulangi sokongan mereka terhadap usaha menambah baik dasar-dasar ICT, sumber manusia serta rangkaian hubungan di rantau ini; antara lain menerusi pembangunan Rangka Kerja ASEAN bagi Perayauan Mudah Alih Antarabangsa bagi membolehkan mereka yang melakukan perjalanan dan kalangan ahli perniagaan mendapat akses kepada perkhidmatan perayauan mudah alih antarabangsa dalam ASEAN pada kadar rendah.

Menurut kenyataan itu, menteri berkenaan turut menghargai cadangan daripada Kajian Permintaan Data bagi Pelan untuk Meningkatkan Kapasiti Jalur Lebar dalam  ASEAN (Fasa 2), yang menyediakan garis panduan strategik dalam membangunkan dasar yang membolehkan penambahbaikan dilakukan terhadap kapasiti jalur lebar nasional di seluruh ASEAN selaras dengan pertumbuhan Komuniti ASEAN berasaskan

digital.

“Menteri-menteri juga menerima pakai Deklarasi Brunei Darussalam bagi Komuniti Inovatif Yang Dihubungkan untuk merealisasikan visi ASEAN dalam mewujudkan komuniti yang inovatif dan inklusif, dengan pihak berkepentingan, sama ada dalam perniagaan dan pengguna, akan dapat memanfaatkan sepenuhnya teknologi untuk meningkatkan kesejahteraan mereka.

Mengenai kerjasama ICT dengan rakan dialog dan rakan pembangunan, kenyataan itu menyatakan para menteri mahu meningkatkan lagi kerjasama dengan Rakan Dialog untuk menambah baik dasar ICT, membangunkan sumber manusia, menerokai peluang untuk menerima pakai teknologi baharu, dan meningkatkan kapasiti untuk menangani risiko keselamatan siber dalam pelaksanaan AIM2020.

Menteri berkenaan turut mengambil perhatian sokongan China dalam kejayaan memuktamadkan lima aktiviti latihan berkaitan ICT China-ASEAN yang diadakan di China dalam bidang perniagaan dan aplikasi baharu internet, pembinaan kapasiti respons kecemasan rangkaian keselamatan, pembangunan jalur lebar dan perkhidmatan sejagat, teknologi maklumat generasi baharu, dan pembangunan ICT bagi memacu sosio-ekonomi mampan.

Menurut kenyataan itu, menteri berkenaan turut merakamkan penghargaan kepada Jepun atas sokongan negara itu dalam pelbagai bidang kerjasama pada 2016, termasuk ‘Rangkaian Pintar ASEAN’ dan memperakukan Pelan Kerja ICT ASEAN-Jepun 2017 yang menyokong pelaksanaan Pelan Induk ICT ASEAN 2020 atau AIM2020.

“Menteri-menteri juga amat menghargai kepentingan kerjasama ASEAN-Jepun bagi Keselamatan Siber dan menyambut baik pelancaran Langkah 1 Hab Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN-Jepun yang meliputi latihan SIBER, Sukan SEA Siber, dan kajian kebolehlaksanaan bagi hab fizikal.

Menteri berkenaan juga memuji kemajuan dicapai dalam pelaksanaan ‘Keselamatan Maklumat Kritikal ASEAN-Jepun’ termasuk pengeluaran Garis Panduan Perlindungan Maklumat Kritikal Infrastruktur ASEAN-Jepun.

Kenyataan itu turut mengambil perhatian akan kejayaan Republik Korea dalam melaksanakan aktiviti kerjasama pada 2016, antara lain membabitkan teknologi baharu dan perkhidmatan, pembinaan kapasiti dan perkongsian ilmu.

Menurut kenyataan itu, menteri berkenaan turut menyambut baik cadangan untuk memperkenalkan kerjasama ICT ASEAN-Korea yang menumpukan pada empat bidangstrategik seperti inovasi, peningkatan kesalinghubungan, pembangunan sumber manusia dan keselamatan maklumat selaras dengan teras strategik AIM2020.

“Menteri-menteri juga memperakukan Pelan Kerja ICT ASEAN-Korea 2017 yang termasuk projek-projek kerjasama dalam bidang baharu seperti loT, data raya dan Risikan Tiruan (AI) dengan objektif untuk membangunkan dan mempromosikan teknologi baharu untuk respons secara proaktif terhadap revolusi perindustrian,” menurut kenyataan bersama itu.

Menteri berkenaan juga bersetuju untuk mengadakan Mesyuarat Menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat ASEAN ke-17 dan mesyuaratnya dengan Rakan Dialog dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di Kemboja pada 2017. — Bernama

Show more