2016-11-03

ODRA akan membantu kerajaan bersedia menghadapi cabaran masa depan: Entulu



SIMBOLIK: Entulu (tengah) diiringi Zainal (dua kanan) melancarkan Seminar Open Data Readiness Assessment (ORDA) di Auditorium Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia di Cyberjaya semalam. Turut hadir Robert (dua kiri). — Gambar Bernama

CYBERJAYA: Malaysia akan menjadi negara pertama dalam ASEAN menggunakan metodologi Penilaian Kesediaan Data Terbuka (ODRA) yang dibangunkan Bank Dunia bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan awam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun.

Beliau berkata ODRA akan membantu kerajaan untuk bersedia menghadapi cabaran masa depan kerana Malaysia bergerak ke arah mencapai wawasan menjadi negara maju menjelang 2020.

Ini boleh dilakukan dengan menggunakan kuasa data terbuka untuk badan awam dan swasta bekerjasama dan berkomunikasi dalam inisiatif yang boleh meningkatkan taraf kehidupan dan kesejahteraan rakyat, katanya.

“Bukti di peringkat global mencadangkan bahawa peranan kukuh yang boleh dimainkan oleh data terbuka dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam, mengukuhkan akauntabliti, membina keyakinan di antara kerajaan dan rakyat, menjana keusahawanan dan inovasi,” katanya.

Entulu berkata demikian dalam ucapan perasmian seminar ODRA dengan kerjasama Bank Dunia di sini semalam. Seminar itu dianjurkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) sempena dengan (penilaian) ODRA mulai 31 Okt hingga 8 Nov di sini.

Menurut Entulu, kerajaan mengambil inisiatif bagi merumuskan perkembangan fundamental yang diperlukan dalam menyokong usaha Malaysia ke arah penubuhan sebuah ekonomi berasaskan penmgetahuan.

Beliau berkata Malaysia berada dalam kedudukan ke-51 di kalangan 86 negara tahun lepas, dan bermatlamat untuk berada dalam kedudukan ke-30 dalam Barometer Data Terbuka Global pada 2020.

Mengenai seminar ODRA, Entulu berkata program itu bertujuan berkongsi pengetahuan dan pengalaman mengenai pelaksanaan data terbuka daripada pakar-pakar antarabangsa dari Bank Dunia.

“Inisiatif ini adalah platform yang sama untuk mentransformasi penyampaian perkhidmatan kerajaan ke arah meningkatkan kualiti kehidupan, kesejahteraan rakyat dan meningkatkan ranking Malaysia di peringkat global,” katanya.

Entulu berkata beliau berharap penilaian itu, yang sedang dijalankan, akan membantu mewujudkan satu pelan tindakan bagi Malaysia untuk membawa agenda data terbukanya ke hadapan di mana keutamaan dapat diberi kepada usaha untuk terus menyokong persekitaran data terbuka.

“Laporan itu juga akan mengetengahkan amalan baik dan pengajaran daripada komuniti antarabangsa, mengikut konteks Malaysia. Penilaian itu akan selari dengan kesediaan negara kita,” katanya.

Penilaian mengenai kesediaan kerajaan akan memberi tumpuan kepada lapan bidang iaitu kepimpinan, rangka kerja perundangan atau dasar, institusi, aplikasi dan penciptaan bersama, keupayaan, pembangunan, penglibatan rakyat, pembiayaan inovasi dan infrastruktur atau teknologi.

Sementara itu, ketua pengarah MAMPU Datuk Seri Zainal Rahim Seman berkata MAMPU akan bekerjasama dengan Bank Dunia bagi mengeluarkan satu laporan dengan fokus mengenai penyusunan institusi, penglibatan dengan kumpulan pengguna dan keutamaan bagi menetapkan set data terbuka.

“Data terbuka memainkan peranan penting dalam ekonomi digital Malaysia kerana ia menyediakan bagi sebuah syarikat atau kerajaan tentang bagi mencari maklumat dan pandangan berhubung perniagaan yang berharga.

Zainal Rahim berkata kementerian dan agensi kerajaan menyediakan 1,300 set data terbuka, di mana orang awam boleh mengaksesnya melalui portal data.gov.my. — Bernama

Show more