2016-11-01

Sarawak dan Sabah mencabar akta yang menafikan hak ke atas perairan wilayah mereka



PENEROKAAN: Projek Minyak dan Gas Bersepadu Sabah-Sarawak (SSIOGP), salah satu usaha terbesar dan paling bercita-cita tinggi Petronas, merangkumi pantai utara Sabah ke Kompleks LNG Petronas di Sarawak (Gambar dari laman web Petronas).

PADA 22 Jun 2012, Sarawak dan Sabah hilang hak-hak kedaulatan dan bidang kuasa ke atas kawasan Pelantar Benua yang terdiri daripada dasar laut dan tanah bawahnya berhampiran perairan wilayah negeri-negeri Borneo, apabila Akta Laut Wilayah 2012 (TSA) berkuat kuasa, mengehadkan kedua-dua bidang kuasa mereka kepada tiga batu nautika (5.56km) dari pantai.

Implikasinya ialah dengan pengurangan lebar perairan wilayahnya, hak-hak negeri untuk menangkap ikan, marin dan sumber mineral, tapak-tapak pelancongan dalam kawasan marin dan sebagainya kini hanya dalam lingkungan tiga (3) batu nautika (5.56km) dari pantai.

Adakah Akta Laut Wilayah 2013 perlembagaan?

Walaupun Sarawak masih belum mendapat kesan negatif daripada lulusnya akta ini, negeri ini telah kehilangan semua alasan untuk menuntut manfaat ekonomi perairan wilayahnya dalam mana-mana rundingan dengan kerajaan persekutuan jika timbul sebarang pertikaian.

Keengganan kerajaan pusat membayar royalti petroleum yang dijumpai di luar pesisir Kelantan kerana medan minyak itu terletak di luar had batu nautika satu contoh yang amat membimbangkan.

Bagaimanapun ketika ini tidak kesemuanya hilang dan Sarawak boleh membetulkan keadaan kerana Akta Laut Wilayah 2012 telah digubal dengan melanggar peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, oleh itu ia tidak sah dan terbatal serta tidak ada kuasa.

Perkara ini telah dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How pada Persidangan DUN Disember 2015 dan mendapat perhatian ahli dewan (DUN).

Menyokong hujahnya, See memberitahu, “Menurut pelancaran Proklamasi Darurat 23 November 2011 dan menurut Perkara 1(3) Perlembagaan Persekutuan, wilayah Negeri Sarawak adalah wilayah yang terkandung dalam Persekutuan Malaysia sejurus sebelum Hari Malaysia (16 September 1963) dan bermakna kedaulatan ke atas Pelantar Benua seperti pertama kali ditetapkan oleh Perintah dalam Majlis 1954 Sarawak (Pengubahan Sempadan).

“Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Parlimen boleh melalui undang-undang mengubah sempadan mana-mana negeri tetapi undang-undang yang mengubah sempadan tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Majlis Raja-Raja.

“Tiada undang-undang diluluskan di DUN Sarawak untuk melaksanakan pengubahan sempadan Sarawak dan seterusnya, Rang Undang-Undang Laut Wilayah 2012 dibentangkan dalam Parlimen tidak menetapkan bahawa persetujaan daripada Majlis Raja-Raja telah diperolehi terlebih dahulu.

See bercakap mengenai TSA dan membentangkan usul meminta DUN memelihara dan menegak integriti wilayah Sarawak dan menolak Akta Laut Wilayah 2012 serta menubuhkan satu suruhanjaya untuk melihat kerangka kerja undang-undang dan perlembagaan bagi penurunan kuasa kepada Sarawak semasa Persidangan DUN.

Usul See kemudiannya dibentangkan oleh Tan Sri Datuk Amar James Masing yang ketika itu merupakan Menteri Kemajuan Tanah pada Persidangan DUN 8 Disember 2015 dan mendapat persetujuan sebulat suara Dewan.

Ketika membentang usul itu, Masing berterima kasih kepada See kerana membangkitkan hak-hak kewilayahan (Sarawak) dan menggesa semua undang-undang melibatkan hak-hak negeri ke atas sumber semula jadi dikaji semula selain melaksanakan kuasa serta fungsinya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dalam sempadannya dan kajian semula itu termasuk meminda atau memansuhkan undang-undang tersebut.

See juga meminta kerajaan negeri menuntut pindaan peruntukan-peruntukan dalam TAS 2012 bagi melindungi integriti sempadan wilayah Sarawak untuk membolehkan Sarawak mempunyai kuasa mengawal semua sumber negeri ini.

“Hanya dengan itu, kerajaan pusat akan menghormati kita dan sudi berbincang dengan kita mengenai kepentingan dan hak-hak negeri, di bawah Perjanjian Malaysia dan mempercepatkan proses penurunan kuasa kepada Sarawak dan Sabah,” kata See kepada The Borneo Post pada 15 Ogos lalu.

Adenan: Rangka Kerja Peraturan Untuk Petronas

Dalam persidangan DUN (Jun 2016) Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengumumkan Sarawak akan membangunkan rangka kerja peraturan berdasarkan undang-undang negeri yang relevan untuk Petronas dan kontraktor-kontraktornya untuk dipatuhi berkenaan aktiviti-aktiviti mereka di dasar laut dan tanah bawahnya yang merupakan sebahagian daripada tanah negeri Sarawak.

Beliau mengkategorikan dengan mengatakan negeri Sarawak tidak pernah dibawa berunding sebelum akta itu diluluskan di Parlimen.

“Seksyen 3(1) STA 2012 menyatakan lebar laut wilayah Malaysia seharusnya 12 batu nautika.

“Bagaimanapun, Seksyen 3 (3), antara lain, bahawa bagi maksud mana-mana undang-undang bertulis berhubung kait dengan tanah berkuat kuasa di Sabah dan Sarawak, apa-apa sebutan mengenai laut wilayah di dalamnya hendaklah ditafsir sebagai sebutan mengenai bahagian laut itu yang terletak berdampingan dengan pantai wilayah iaitu tidak melebihi tiga batu nautika yang diukur dari garis laut surut,” tegasnya.

Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan negeri dapat melihat sebarang justifikasi mengapa negara ini (Malaysia) lebar laut wilayah 12 batu nautika manakala Sabah dan Sarawak hanya tiga batu nautika.

Lebih-lebih lagi katanya, tiada justifikasi diberikan kepada negeri ini, ketika masa darurat, perairan wilayah negeri harus 12 batu nautika tetapi ketika tiada darurat keluasan perairan wilayah harus dihadkan kepada hanya tiga batu nautika.

“Dengan pengurangan had lebar perairan wilayah Sarawak, hak-hak negeri ini untuk menangkap ikan, marin dan sumber-sumber mineral, tapak-tapak pelancongan dalam kawasan marin dan sebagainya, hanya dalam lingkungan tiga batu nautika dari pantai.

“Sarawak tidak bersetuju dengan pengurangan sewenang-wenangnya lebar perairan wilayahnya,” tegas Adenan.

Kesan TSA di Sabah

Dalam perkara bertajuk Akta 750: Cubaan Terbaharu Kerajaan Pusat Untuk Merampas Pelantar Benua Daripada Semua Negeri di Malaysia, bertarikh 12 Jun 2014 dan dilihat dalam laman web Suara Sabah, penulis serta aktivis hak rakyat Sabah, Zainnal Ajamain mencadangkan agar  negeri-negeri memperkenalkan usul dalam dewan undangan negeri masing-masing menolak penguatkuasaan TSA 2012.

“Parlimen membuat undang-undang tertinggi di peringkat persekutuan tetapi tidak bermakna Parlimen boleh dengan sewenang-wenangnya, melanggar perlembagaan dan membuat undang-undang ini.

“Jika negara berada dalam keadaan darurat, Kabinet Persekutuan tidak memegang kuasa mutlak dengan syarat semua undang-undang dan warta dibuat 1959-1971 masih dikuatkuasakan.

“Memandangkan negara ini tidak lagi berada dalam darurat, Kabinet Persekutuan hanya satu cabang kerajaan yang mesti mematuhi Perlembagaan Malaysia. Ia tidak lagi menikmati kuasa mutlak.

“Ia adalah tugas dan tanggungjawab semua negeri di Malaysia untuk memperkenalkan usul dalam DUN masing-masing menolak penguatkuasaan Akta 750.”



GAMBARAN: Ilustrasi istilah biasa digunakan Asia Maritime mengenai pertikaian wilayah (Gambar dari laman web Pusat Keselamatan Maritim Antarabangsa).

Kelantan menolak TSA

Pada 5 November 2015, Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan usul untuk menolak TSA.

Bernama dipetik melaporkan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Tinggi dan Pendidikan Pembangunan Manusia Dr Mohamed Fadzli Hassan ketika membentangkan usul itu berkata, kerajaan persekutuan telah menggunakan undang-undang bagi mengehadkan lebar perairan negeri-negeri kepada tiga batu nautika dari pantai.

Ahli Parlimen PAS Temangan itu menegaskan bahawa TSA menafikan hak Kelantan untuk menerima royalti petroleum sebanyak lima peratus.

Beliau menambah, apabila kerajaan persekutuan memansuhkan Deklarasi Darurat pada 2011, perundangan digunakan untuk memperoleh Pelantar Benua dan laut wilayah negeri-negeri menjadi tidak sah.

“Akibatnya, pemilikan Pelantar Benua bertukar daripada kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri masing-masing.”

Pendapat Bekas Ketua Peguam (AG) Negeri Sarawak

Bekas AG Negeri Datuk JC Fong menerusi bukunya, Perlembagaan Persekutuan Malaysia (Edisi Kedua) di muka surat 110, menulis:

“Tetapi perkara mengenai pemilikan petroleum (hari ini, sumber utama kekayaan negara yang penting dengan harga tinggi tenaga global semasa), mendapati kedua-dua antara atas tanah dan di dalam Pelantar Benua Negeri Sabah dan Sarawak, yang mana terletak di dalam sempadan Sarawak, tidak pernah dibangkitkan dengan Jawatankuasa Antara Kerajaan, malah tidak terkandung di dalam laporan tersebut.

“Sebelum sambutan Hari Malaysia, negeri-negeri Borneo mengamalkan kuasa ke atas petroleum yang dijumpai dalam lingkungan sempadan yang diperluaskan – iaitu kawasan dasar laut dan tanah bawah yang terletak di paras bawah laut berdampingan dengan perairan wilayah negeri masing-masing.

“Dengan sempadan mereka yang dikekalkan seperti menurut Artikel 1 (3) Perlembagaan Persekutuan, selepas Hari Malaysia, dua negeri terus mempunyai hak ke atas petroleum yang ditemui di dalam sempadan masing-masing termasuk yang ditemui di kawasan luar pesisir.”

Warta Luar Biasa Kerajaan Sarawak Bahagian II

Antara dokumen lain yang dilihat ialah Warta Luar Biasa Kerajaan Sarawak Bahagian II Bertarikh 30 Jun 1954 yang memerintahkan “Sempadan di Sarawak diperluaskan merangkumi kawasan Pelantar Benua menjadi dasar laut dan tanah bawah yang terletak di paras bawah laut berdampingan dengan perairan wilayah Sarawak” dan “tiada apa dalam perintah ini perlu disifatkan memberi kesan kepada ciri dasar laut di mana-mana perairan di atas kawasan Pelantar Benua.”

Melangkah ke Hadapan

Menurut Perkara 1 (3) dan 2 Perlembagaan Persekutuan wilayah bagi setiap negeri disebut dalam Fasal (2) ialah wilayah-wilayah yang terkandung di dalamnya sebaik sebelum Hari Malaysia dan undang-undang mengubah sempadan sesuatu negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan negeri berkenaan (dinyatakan oleh undang-undang dibuat oleh DUN negeri terbabit) dan Majlis Raja-Raja.

Ketika Sarawak (dan Sabah) perlu mempersoal Ahli Parlimennya yang gagal mempertahankan hak-hak kedua-dua negeri itu, adakah ADUN

akan bersatu dalam satu perjanjian menolak TSA dalam persidangan DUN akan datang yang dijadul bermula 21 hingga 30 November ini?

Ia akan menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Adenan yang pada 23 Oktober lepas mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan membentangkan usul dalam Persidangan DUN kali ini menuntut hak-hak Sarawak.

Pembentangan Akta Laut Wilayah 2012

Rang Undang-undang TSA dibentangkan oleh Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan disokong Datuk Yong Khoon Seng, dalam persidangan Parlimen pada 18 April 2012 dan seterusnya diluluskan pada hari sama tanpa banyak perdebatan.

Tidak ada seorangpun Ahli Parlimen Sarawak termasuk daripada pembangkang (DAP)–Chong Chieng Jen dan mendiang Wong Ho Leng bangkit membantah kehilangan kedaulatan hak-hak Pelantar Benua.

Menurut Mukadimah, TSA diluluskan berdasarkan alasan (Kuasa-Kuasa perlu) Darurat Ordinan 1969—Menurut kuasa Perkara Perkara 150 (7) Perlembagaan Persekutuan-berkuat kuasa enam bulan selepas pembatalan Proklamasi Darurat 1969, tiada undang-undang yang mengawal kelebaran laut wilayah Malaysia.

Pembatalan Proklamasi Darurat 1969 diumumkan oleh Perdana Menteri pada 24 November 2011. Ketika ia masih berkuat kuasa Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) Ordinan 7 1969 bagi menetapkan had perairan wilayah Malaysia sebagai 12 batu nautika (22.22km) dari pantai dan tiga batu nautika untuk semua negeri Persekutuan.

Pengenalan Proklamasi Darurat 1969 menyebabkan semua undang-undang yang digubal semasa tempoh darurat tidak sah.

Kritikan-kritikan berkata tujuan utama TSA ialah mematuhi Undang-Undang Konvensyen Laut 1982 (LOSC) namun wujud tujuan lain iaitu untuk mengambil alih semua Pelantar Benua dan perairan wilayah Sarawak dan Sabah.

Kepentingan kedaulatan ke atas Pelantar Benua ialah sesiapa yang mempunyai bidang kuasa ke atas tuntutan rizab minyak dan gas terdapat di dalam kawasan itu.

The Borneo Post mendapat salinan Hansard Parlimen melaporkan sesi perdebatan rang undang-undang berkenaan.

Seramai 162 Ahli Parlimen hadir ketika rang undang-undang itu dikemukakan oleh Nazri, ketika itu sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Selepas bacaan kedua, Yong (SUPP) ketika itu Timbalan Menteri Kerja Raya berkata: “Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.”

Pada jam 3.59 petang, 18 April 2012, sesi perbahasan (Rang Undang-Undang TSA) bermula, didahului Datuk Mohamad Aziz (Sri Gading) diikuti pelbagai Ahli Parlimen termasuk yang tidak berkaitan dengan rang undang-undang tersebut.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang bangkit dan bertanya: ”Di mana kedudukan Sarawak di dalam Pelantar Benua? Sarawak – di hadapannya ialah Lautan China, di mana selalu kita mendengar pencerobohan nelayan-nelayan laut yang dijaga Maritim.

“Pencerobohan ini lebih dahsyat sehingga rakyat kita sendiri tidak boleh pergi ke laut untuk menangkap ikan di lautan dalam.

“Saya takut dengan pandangan Yang Berhormat Sri Gading apabila Laut China ini kita hanya membenarkan melebihi tiga batu nautika sahaja diukur untuk had kita. Apakah ia tidak boleh dibuat sama-sama seperti had laut wilayah?”

Ahmad Lai ketika mengemukakan persoalan itu tidak mempersoalkan kerasionalan di sebalik perairan wilayah negeri dihadkan ‘hanya kepada tiga batu nautika’.

Ahli Parlimen Limbang (PBB) Hasbi Habibollah, ketika mengisytiharkan sokongannya ke atas TSA, melahirkan kebimbangan mengenai adakah ia akan menjejaskan Limbang.

“Walaupun kami menyokong akta ini, saya ingin tahu apakah jaminan daripada kerajaan mengenai laluan untuk rakyat Malaysia di Limbang apabila mereka melalui wilayah negara jiran kita.

“Apakah bentuk perjanjian itu dan apa yang penting pada akhirnya ialah perjanjian itu mesti menjamin kedaulatan negara termasuk rakyat Sarawak.”

Turut menyatakan pandangan dan berdebat menentang TSA tiga Ahli Parlimen PAS dan seorang daripada PKR.

Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaffar memberi amaran terhadap pengiktirafan kedaulatan negeri, negeri bersultan dan Dewan Undangan Negeri yang berkaitan dengan sempadan dan wilayah.

Perbahasan beliau kemudian diikuti dengan siri soal jawab berhubung royalti minyak.

“Adakah ini hukuman mati dengan tuntutan royalti minyak oleh Kelantan? Adakah ini juga memberi maksud terdapat percanggahan untuk 12 batu nautika pada umumnya dan tiga batu nautika untuk minyak? Percanggahan. Atau diskriminasi?

“Adakah ia adalah diskriminasi? Jika di Kelantan, tiga batu nautika digunakan dan di Sabah dan Sarawak 12 batu nautika digunakan jika berkaitan petroleum, bagaimana pula dengan Terengganu? Jika Barisan Nasional kalah lagi di sana dan Pakatan Rakyat menang lagi di sana, adakah ia kembali semula kepada tiga batu nautika?

Kamaruddin melahirkan kebimbangannya terhadap akta itu, negeri-negeri ini (Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Sabah) akan kerugian pendapatan daripada minyak dan gas.

Beliau juga membangkitkan amaran ke atas dua definisi laut wilayah seperti yang disebut dalam usul yang dibentangkan.

“Kita akan melihat rang undang-undang secara terperinci, diluluskan bagi bacaan kedua sebentar tadi. Keengganan dan isu saya adalah ke atas dua definisi laut wilayah seperti yang disebut dalam Klausa 3 dan Klausa 3 (1) — adakah tiga atau 12 batu nautika untuk semua tujuan,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Krai (PAS) Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata: ”Saya mahu menyentuh mengenai tiga batu nautika, mengambil kira makna akta ini—Akta Pelantar Benua, Akta Perlombongan Petroleum dan Kanun Tanah Negara.

“Isu tiga batu nautika menjadi perbalahan kerajaan persekutuan dalam kerajaan persekutuan dalam menafikan hak-hak Kerajaan Negeri Kelantan untuk menuntut royalti daripada pulangan produk-produk petroleum dalam laut Kelantan.

“Untuk adil, apabila membentangkan rang undang-undang ini, kenapa kita tidak boleh menggunakan definisi sama di bawah Fasal 3 (1) iaitu 12 batu nautika?

“Dengan cara ini, kita boleh memberi keadilan kepada bukan sahaja Kelantan tetapi juga mana-mana negeri yang mempunyai hasil petroleum luar pesisir, supaya apabila kerajaan berubah, definisinya tidak akan berubah.”

Perbahasan yang paling signifikan dilakukan oleh Ahli Parlimen Batu (PKR) Chua Tian Chang @ Tian Chua yang memaklumkan Parlimen bahawa fakta penyerahan sempadan perlu diakui dan diiktiraf oleh setiap negeri.

“Oleh kerana negara kita adalah sebuah persekutuan, ini bermakna setiap negeri mempunyai kedaulatan sendiri. Tidak menyerahkan balik ini, perlu diakui dan diiktiraf oleh Sabah melalui Dewan Undangan Negeri Sabah supaya mereka juga boleh membetulkan sempadan? Dan jika ia memberi kesan kepada sempadan wilayah Sarawak, Dewan Undangan Negeri Sarawak mesti memberi persetujuan mereka? “

Nazri menjawab ia adalah dari sudut undang-undang dan enggan melakukannya tetapi berkata: “Jika saya boleh, saya akan memberikan anda jawapan bertulis.”

Timbalan Speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (PBB), menyokong Nazri: “Saya fikir ketika ini agak sensitif untuk menjawab kerana jika kita menjawab, kita perlu tahu dengan tepat apa jawapannya.”

Tiada rekod bagi Ahli Parlimen lain, termasuk daripada pembangkang – DAP Chong Chieng Jen (Bandar Kuching) dan mendiang Wong Ho Leng (Sibu) – membahaskan rang undang-undang tersebut.

Show more