2016-09-01

Bantu pihak universiti tafsir penuntut lebih menyeluruh



MERDEKA: Idris (tengah) disambut oleh penuntut MSU College dengan kibaran Jalur Gemilang sempena Sambutan Kemerdekaan Ke-59 pada majlis Penjenamaan Semula Kolej PTPL di Dewan Canselor, Shah Alam semalam. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Kesemua 20 universiti awam (UA) di negara ini akan mengguna pakai Program iCGPA (Sistem Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu) menjelang hujung September ini bagi menilai penuntut secara lebih holistik.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata penerimaan oleh kesemua UA menunjukkan perkembangan amat positif terhadap program itu dan ia dilihat sebagai hasil daripada projek rintisnya melibatkan lima UA sejak September tahun lepas.

Beliau berkata program iCGPA bertujuan membantu pihak universiti mentafsir penuntut secara lebih menyeluruh malah ia diwujudkan untuk mencapai hasrat kerajaan melahirkan lebih banyak graduan berciri keusahawanan, holistik dan seimbang dalam pelbagai bidang.

“Penerimaan iCGPA oleh UA menunjukkan program tersebut semakin mantap malah disediakan pula buku pelan tindakannya, walaupun sebelum ini mereka (universiti awam) sedikit sangsi dengan kemampuan program itu dalam menilai penuntut secara menyeluruh.

“Ini kerana kita percaya, mereka (universiti awam) mengetahui bahawa cara penilaian sebegini tidak pernah ada sebelum ini malah ia adalah bukti yang kita amat proaktif dan dinamik untuk melahirkan graduan yang benar-benar holistik dan seimbang,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Idris sebelum itu merasmikan majlis penjenamaan semula Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) yang ditukar nama kepada Kolej MSU, hasil penggabungan dengan Management and Science Universiti (MSU), di sini.

Katanya peningkatan kefahaman dan kematangan pemikiran penuntut hasil projek rintis iCGPA itu juga turut menarik minat beberapa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk menyer-tai program berkenaan.

Katanya, menerusi program iCGPA, graduan yang dihasilkan bukan sekadar cemerlang dalam akademik, malah mereka akan dilengkapi pelbagai kemahiran lain termasuk fasih berbahasa Inggeris.

iCGPA merupakan sebuah program pendidikan masa depan yang diwujudkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menilai penuntut secara lebih menyeluruh malah ia telah mendapat pengiktirafan dunia.

Program iCGPA boleh mentafsir penuntut dalam lapan bidang lain membabitkan bidang pengetahuan, keusahawanan, pengurusan informasi, komunikasi, kemahiran praktikal, sahsiah pelajar, kemahiran mengatasi masalah dan kemahiran sosial.

Dalam pada itu, Idris berkata Malaysia berada di landasan terbaik untuk menjadi hab pendidikan tinggi bagi rantau Asia dan seterusnya di peringkat dunia.

Katanya ini berikutan pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai antara bandar raya kos pengajian paling berpatutan serta peningkatan kedudukan UA pada peringkat antarabangsa semakin melonjakkan nama negara untuk menjadi pilihan dalam sektor pendidikan tinggi.

“Selain itu, di negara kita juga semakin bercambah pembukaan kampus universiti dan kolej dari United Kingdom (UK) dan ini menunjukkan mereka benar-benar yakin dengan kemampuan Malaysia dalam bidang pengajian tinggi.

“Dengan pelbagai faktor ini, ia merupakan satu petanda baik dan dilihat sebagai peluang untuk memastikan Malaysia berjaya menjadi sebuah hab pendidikan pada masa akan datang,” kata-              nya. — Bernama

Show more