2016-07-12



SUDAH SAMPAI: 25 buah bas RapidKL akan turut diguna untuk kemudahan atlet SUKMA Ke-18.

KUCHING: Pengendali bas RapidKL, Rapid Bus Sdn Bhd dengan kerjasama Konsortium Logistik Berhad (KLB) menaja 25 buah bas RapidKL untuk kemudahan atlet-atlet Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 Ke-18 yang berlangsung di sini bermula 22 sehingga 30 Julai ini.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani kerajaan negeri memerlukan kira-kira 100 buah bas bagi membawa atlet-atlet SUKMA dari tempat kediaman ke lokasi-lokasi sukan yang ditetapkan.

“Hari ini (semalam) kita menerima kehadiran seba-nyak 25 bas RapidKL yang dibawa khas dari Kuala Lumpur ke Sarawak (Ku-ching) yang mana selebihnya kemudahan bas sama dibekal-kan oleh syarikat-syarikat tempatan di sini.

“Dengan adanya kemudahan 100 buah bas ini, kita dapat mengangkut dan membawa kira-kira 8,000 atlet dan petugas rasmi SUKMA ke lokasi-lokasi pusat sukan yang sepatutnya mereka ditempatkan,” katanya pada Majlis Penyerahan Bas Rapid-KL kepada kerajaan negeri Sarawak untuk SUKMA 2016 di pekarangan Lembaga Pelabuhan Kuching di sini semalam.

Hadir sama Menteri Belia, Sukan dan Solidariti merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk SUKMA 2016, Dato Sri Michael Manyin Jawong.

Selain itu, kemudahan bas-bas tersebut juga digunakan untuk Sukan Paralimpik (Para SUKMA) yang berlangsung selepas SUKMA 2016 dan hanya akan dihantar semula ke Kuala Lumpur selepas semua temasya sukan tersebut tamat.

“Kita berterima kasih kepada RapidKL kerana menaja bas ini bersama dengan KLB dan diharap temasya SUKMA 2016 berlangsung dengan jayanya,” jelas beliau sambil menambah ciri-ciri Rapid-KL mesra Orang Kurang Upaya (OKU) itu memberi keselesaan kepada atlet-atlet paralimpik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi RapidKL Mohd Azam Omar berkata selain perkhidmatan bas, pihaknya menyediakan perkhidmatan seramai 30 pemandu bas termasuk pasukan unit sokongan mengendalikan bas tersebut.

Katanya, pemandu-pemandu tersebut diajar bagi membiasakan diri dengan laluan dan jalan-jalan untuk ke pusat-pusat sukan dan destinasi atlet-atlet yang telah ditetapkan sekitar bandar raya ini.

“Kita akan memastikan semuanya berjalan lancar malah kerajaan negeri juga membekalkan pemandu bas tempatan membantu pemandu bas kami terutamanya mengenai laluan-laluan di Kuching ini,” katanya.

Beliau turut memberitahu, setakat ini kemudahan bas RapidKL adalah bagi membantu pergerakan atlet-atlet di Kuching sahaja namun sekiranya bahagian-bahagian lain seperti Sibu dan Miri turut memerlukan khidmat bas tersebut ia adalah bergantung kepada keputusan kerajaan negeri.

“Ini terpulang kepada kerajaan negeri dan bergantung kepada keperluan sekretariat sepanjang temasya sukan ini, asal laluan itu boleh dilalui oleh bas maka kita tidak ada masalah memberi kemudahan bas ini ke bahagian-bahagian lain selain Kuching,” jelasnya.

Turut hadir Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti Kamri Affandi dan Ketua Logistik Automotif KLB, Nor Fazzilah Md Noor.



SIMBOLIK: Mohd Azam (dua kanan) menyampaikan replika kunci bas RapidKL kepada Morshidi (tengah) sebagai penyerahan bas RapidKL kepada kerajaan negeri untuk SUKMA 2016 di Lembaga Pelabuhan Kuching semalam.

Show more