2016-06-14

KUCHING: Tuduhan menyatakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sibu tidak memberi peruntukan dan perhatian serta perkhidmatan berkesan kepada orang kurang upaya (OKU) adalah tidak benar.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Fatimah Abdullah berkata, sejak tahun 2013 hingga Jun 2016, JKM telah meluluskan geran sebanyak RM1,602,292 untuk lima pertubuhan kebajikan dan pusat aktiviti di bawah AGAPE Centre Sibu.

“JKM juga telah meluluskan penubuhan tiga Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di bahagian Sibu iaitu PDK Sibu di bawah naungan AGAPE Centre Sibu, PDK Murni Sibu Jaya dan PDK Muhibbah, Sungai Bawan bagi tujuan pemulihan dan latihan kemahiran.

“Selain itu JKM Sarawak di Pejabat Sibu kini menyediakan perkhidmatan jurupulih cara kerja dan jurupulih anggota yang tidak terdapat di negeri lain untuk memberi perkhidmatan berterusan,” katanya ketika berucap menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM220.81 juta untuk melaksanakan program-program kebajikan di Sarawak.

Beliau berkata menyedari hakikat bahawa terdapat individu produktif di kalangan klien Jabatan Kebajikan, kementerian komited untuk terus memperkasakan kelompok itu melalui program pembangunan usahawan mikro.

“Dari tahun 2014 hingga April 2016, JKM telah berjaya mengeluarkan seramai 103 klien daripada senarai penerima bantuan bulanan.

“Klien tersebut kini mampu hidup berdikari dengan menjana pendapatan melebihi RM1,000 sebulan sementara seramai 771 klien lagi sedang menjalani aktiviti bimbingan intensif JKM,” katanya.

Selain program pembangunan usahawan mikro terdapat program ‘job coach’ latihan kemahiran vokasional dan latihan kemahiran hidup untuk OKU dan kanak-kanak di institusi kebajikan.

Dari tahun 2014 hingga 2015, seramai 53 OKU dalam kalangan pelatih PDK telah menjalani program ‘Job Coach’ dan mendapat pekerjaan.

Fatimah berkata, berkaitan latihan kemahiran vokasional dan kemahiran hidup, seramai 122 OKU daripada PDK dan Pusat Pemulihan Samarahan (PPS) telah berjaya mendapat sijil daripada Kolej Komuniti pada 2015.

“Antara bidang latihan disertai adalah pembuatan roti, pengeluaran cendawan, kimpalan dan fabrikasi logam serta pengeluaran pertanian.

“Dengan siijil kemahiran bertauliah, klien yang terlatih mempunyai peluang yang lebih luas untuk mendapat pekerjaan atau untuk membangunkan perusahaan sendiri,” katanya.

Sementara pada tahun 2015 juga seramai 29 pelatih Sekolah Tunas Bakti Kuching dan Taman Seri Puteri Kuching telah memperolehi Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 (SKM1) Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia dan Sijil Modular Kebangsaan (SMK) Kolej Komuniti Modul 4.

Show more