KUCHING: Menteri Muda Perumahan merangkap Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan tindakan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming memburuk Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berniat jahat serta berbaur provokasi.
Ia berikutan gambar dimuat naik menerusi akaun Facebook peribadi Nga memetik Adenan sebagai berkata ‘Balik Tong San Cina Babi, Apa lagi Cina mau’ yang turut dilaporkan portal berita baru-baru ini.
Bagaimanapun kapsyen itu telah diubah daripada gambar asalnya iaitu ‘Adenan: Kerajaan kami akan sentiasa melayan kaum Cina dengan baik’.
Karim berkata tindakan bersifat menghasut itu tidak seharusnya berlaku lebih-lebih lagi membabitkan seorang ahli Parlimen.
Beliau dalam kenyataannya turut menggesa agar pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap salah laku itu.
Malah katanya, tindakan berkenaan mampu mewujud kemarahan dan rasa tidak puas hati antara kaum di Sarawak.
Menurut Karim, Ahli Parlimen Taiping itu perlu bertanggungjawab atas tindakannya itu serta memohon maaf kepada Ketua Menteri meskipun gambar yang dimuat naiknya sebelum ini dipadamkan.