2016-02-17



SEJIWA SENADA:Abdul Karim bersama tetamu kerhormat lain pada sidang media di Sarikei, semalam.

SARIKEI:  Lebih 80,000 pengunjung dijangka hadir dan memeriahkan Program Sejiwa Senada Peringkat Bahagian Sarikei yang berlangsung di Kompleks Sukan Sarikei di  sini, pada 19 Februari (Jumaat) hingga 21 Februari (Ahad) ini.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program itu dijangka menarik ramai masyarakat dari kawasan Sarikei dan Bintangor, Saratok, Pakan, Julau, Sibu, Betong dan sekitarnya.

“Sasaran itu dibuat berdasarkan respons positif dalam program di Sibu dan Miri sebelum ini, di samping penyediaan pelbagai aktiviti yang mampu menarik pengunjung.

“Antara program yang bakal menambah kemeriahan program ialah acara rekreasi, pertandingan, pameran, jualan, pendidikan dan hiburan.

“Kita menjangka program kali ini lebih meriah memandangkan lebih banyak aktiviti telah disusun untuk orang ramai.

“Mereka bukan sahaja berpeluang berhibur tetapi juga mendapat maklumat terkini tentang pembangunan selain berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah menarik,” katanya.

Abdul Karim berkata demikian pada sidang media di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Sarikei di sini, semalam.

Abdul Karim yang juga Menteri Muda Perumahan, berkata antara artis yang bakal menyerikan Sejiwa Senada Sarikei termasuk  Nash Lefthanded, Haiza (Gegar Vaganza), Bob Yusuf, Nana Sheme, Ali XPDC dan lain-lain.

Pada masa yang sama katanya, pentas juga akan diserikan dengan persembahan anak seni tempatan termasuk Ckei Busker, Charma Buskers, Ricky Anderson, Lucy M, Eddie Kuwing, Say Mee, Florence Lo, Jeffrery Jack, Bunyau@Mujab, Nelly Lee, Aaron Lee, Yantie dan Arif Abu Bakar.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem akan melakukan upacara perasmian pada 20 Februari ini.

“Sempena pelancaran rasmi program ini, kita mengadakan tayangan tentang 46 pencapaian cemerlang Ketua Menteri sejak beliau menerajui kepimpinan negeri ini,” katanya.

Menurutnya, majlis penutupan pada 21 Februari akan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan pada jam 7.30 malam.

Turut diadakan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik untuk pemenang di samping gerai jualan pelbagai produk makanan dan kraf serta pameran.

“Orang ramai dialu-alukan datang memeriahkan program ini yang diadakan untuk memperkukuh jalinan kerjasama antara kerajaan dan rakyat di samping menyampaikan perkhidmatan terus kepada rakyat,” katanya.

Turut hadir Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) dan Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Misnu Taha, Residen Bahagian Sarikei Dr Anthony  Valentine Laiseh, Residen Bahgian Betong Datu Romi Sigan Daniel dan beberapa ketua jabatan kerajaan.

Show more