2015-07-11

Oleh Lim How Pim//



UNTUK KENANGAN: Adenan dan Jabu bersama tetamu kehormat lain merakam gambar kenangan dengan pemimpin masyarakat dari Baram.

KUCHING: Baram bakal mempunyai dua daerah dan empat daerah kecil baharu yang akan berkuat kuasa 1 Ogos.

Dua daerah baharu itu adalah Beluru dan Telang Usan manakala empat daerah kecil baharu pula ialah Mulu, Long Bedian, Tinjar dan Bario.

Selain daerah dan daerah kecil baharu itu, berita gembira lain buat penduduk di Baram ialah kerajaan negeri bersetuju membina jambatan baharu di Long Lama bagi memudahkan penduduk setempat menyeberangi sungai di situ.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, beliau akan hadir merasmikan majlis pelancaran jambatan berkenaan pada 30 Julai ini bagi membuktikan kejujuran kerajaan negeri dalam membantu penduduk di Baram.

“Saya bersetuju membina jambatan. Malah untuk membuktikannya, saya akan datang pada majlis perasmiannya pada 30 Julai ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan daripada 39 pemimpin masyarakat terdiri daripada masyarakat Kenyah, Kayan, Kelabit, Penan, Saban, Iban, Cina, Berawan dan Lakiput di Baram di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.

Delegasi dari Baram itu diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ose Murang.

Adenan berkata, pemimpin masyarakat dari Baram datang ke pejabatnya bagi membuktikan sokongan padu penduduk di kawasan itu terhadap kepimpinan kerajaan negeri selain permohonan jambatan di Long Lama itu.

“Mereka berterima kasih kepada kerajaan bukan kerana mengurang kadar bayaran perkhidmatan feri tetapi atas usaha mewujud daerah baharu di kawasan itu,” katanya.

Ketika ditanya, Adenan berkata pemimpin masyarakat di Baram menunjukkan mereka menyokong empangan Baram.

Namun, tambahnya, beliau akan membuat keputusan hanya selepas mendengar daripada semua pihak terlibat.

Sementara itu, Dennis menyifatkan pertemuan itu sebagai berfaedah dan pemimpin masyarakat di Baram dan Telang Usan teruja kerana berpeluang bertemu dengan Ketua Menteri.

“Kami datang jauh dari Baram. Saya sangat berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana sudi berjumpa dengan kami.

“Kami mahu terus bersatu supaya kita dapat sama-sama maju ke hadapan dan terus menyokong kerajaan,” tambahnya.

Mengenai jambatan Long Lama, Dennis berkata, Long Lama adalah sebuah bazar di seberang Sungai Baram dan untuk sampai ke sana penduduk di situ bergantung kepada pengangkutan feri sedia ada yang tidak beroperasi selepas 8 malam.

“Apabila kita mempunyai jambatan menghubungkan bazar ini, ia dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 200,000 penduduk.

“Jambatan ini juga akan menghubung Limbang dan juga Taman Negara Mulu,” jelasnya lagi.

Penduduk yang hendak mengguna perkhidmatan feri di situ selepas jam 8 malam akan dikena kadar bayaran tinggi iaitu antara RM200 hingga RM300 mengikut persetujuan.

Show more