2015-03-07

BEKENU: Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) adalah acuan terbaik bagi merapatkan belia Cina dengan kebudayaan masyarakat tempatan.

Presiden SABERKAS Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata pendekatan SABERKAS untuk menarik minat masyarakat Cina  menyertai pertubuhan itu.

“SABERKAS berjaya melatih kepimpinan belia-belia Cina supaya mereka kenal kebudayaan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum seperti mana kita kenal budaya mereka,” katanya pada Majlis Pelancaran Unit-Unit SABERKAS Cawangan Bekenu dan Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina 2015 di Bekenu semalam.

Menteri Perumahan itu berkata, masyarakat Cina bukanlah pendatang sebaliknya mereka juga memainkan peranan penting memperkasa kemajuan Sarawak.

“Apabila kita mendedahkan masyarakat Cina akan peranan dalam SABERKAS, mereka menunjukkan minat dan memahami fungsi belia dalam mempertahan perpaduan,” jelasnya.

Menteri Pelancongan itu berkata, peranan SABERKAS mempertahan perpaduan, menambah-nilai hidup masyarakat dan memperolehi ilmu-ilmu baharu bermanfaat untuk kepentingan bersama.

Menurutnya, Sarawak mempunyai 71 cawangan SABERKAS dan paling menarik kawasan majoriti masyarakat Cina juga menyertai SABERKAS.

“Inilah perkara asas yang penting dalam SABERKAS iaitu kita bekerjasama antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan kaum terutamanya dalam hal-hal memajukan belia Sarawak,” ujarnya.

Abang Johari menambah, meskipun kepimpinan SABERKAS beralih tangan namun fungsi dan peranannya juga berubah mengikut keperluan dan perkembangan semasa.

“Jika dahulu SABERKAS menitikberatkan pendidikan, namun hari ini ia tetap diutamakan tetapi ditambah baik iaitu bidang teknikal turut diberi tumpuan,” katanya.

Sejumlah sembilan unit SABERKAS dilancarkan semalam iaitu Unit Bakas, Unit Batu Niah, Unit Bekenu, Unit Bungai, Unit Kelulit, Unit Angus Ria, Unit Saeh, Unit Selanyau dan Unik Sepupok.

Hadir sama Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang juga Pengerusi SABERKAS Bekenu Rosey Yunus, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai, Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) Datuk Sylvester Entri dan Setiausaha Agung SABERKAS Sarawak, Dr Abdul Rahman Junaidi.

Show more