2015-01-04

BINTULU: Jawatankuasa Kebajikan Islam Malaysian (JAKIM) LNG dipilih sebagai penerima anugerah khas bagi kategori agensi sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Bintulu Tahun 1436H/2015M  yang berlangsung di Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu kelmarin.

Anugerah Maulidur Rasul bagi bukan Islam diterima Ngu Tie Hua dan pengerusi Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Bintulu Kadier Sahib pula menerima anugerah untuk kategori ahli perniagaan.

Sementara itu, Amiruddin Julaihi menerima anugerah untuk kategori nelayan, Mat Johari menerima anugerah kategori petani, Allahyarhamah Supek Aeng menerima anugerah bagi kategori bidan kampung, Allahyarham Mohd Osman Ahmad dan Zeleha Hussin pula masing–masingnya menerima anugerah kategori pengurusan jenazah lelaki dan perempuan.

Kontinjen Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu diumum sebagai kontinjen terbaik kategori agensi kerajaan dan badan berkanun.

Manakala kontinjen terbaik bagi kategori firma swasta/institusi kewangan pula disandang oleh KB7 Petronas diikuti Masjid At-Taqwa RPR Sebiew untuk kategori surau dan masjid, Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Cawangan Bintulu untuk kategori persatuan/pertubuhan dan kelab, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru untuk kategori institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah serta Sekolah Kebangsaan (SK) Assyakirin untuk kategori sekolah rendah.

Empat pelajar turut menerima Anugerah Tokoh Pelajar Mithali Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2014 yang disampaikan oleh Menteri Muda Pelancongan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN)Jepak Datuk Talib Zulpilip.

Sebanyak 78 kontinjen membabitkan 4,000 peserta dengan keseluruhan lebih 5,000 orang termasuk penduduk Islam setempat menyertai perhimpunan dan perarakan sempena Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Bintulu 1436H yang bertemakan`Perpaduan Nadi Transformasi Negara’ itu.

Sebelum perarakan, upacara dimula dengan bacaan doa oleh Penolong Imam Bahagian Bintulu Ustaz Khalidi Mohd Idris, diikuti bacaan ayat suci al-Quran oleh pelajar SMK Tatau Nur Amirul Hafizi Nordin dan ceramah khas Maulidur Rasul oleh Ketua Penolong Mufti Jabatan Mufti Negeri Sarawak Ustaz Mual Suaud.

Persembahan nasyid oleh kumpulan Wildani Imtiaz daripada SMK Kidurong dan persembahan qasidah oleh kumpulan Nurul Mustapha daripada Masjid At-Taqwa RPR Sebiew.

Residen Bahagian Bintulu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Aktiviti Islam Bintulu (JTAIB) dan Jawatankuasa Induk sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Bintulu Muhamad Yakup Kari, Pegawai Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Bintulu Ustaz Syed Harold Salleh Wan Mohammad dan Ketua Pegawai Eksekutif Bintulu Port Sdn Bhd (BPSB) Datuk Mior Ahmad Baiti Mior Lub Ahmad turut hadir pada majlis itu.

Show more