BINTULU: Semua pihak harus memberi sokongan dengan pelbagai pendekatan untuk memperluas penggunaan bahasa Melayu dengan betul dalam kalangan masyarakat.
Menteri Muda Pelancongan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip berkata usaha seumpamanya harus disokong tetapi tidak salah untuk belajar bahasa-bahasa lain sebagai bahasa kedua dan ketiga, yang penting perlu ada niat memartabatkan bahasa kebangsaan.
Justeru katanya, keahlian sebagai rakan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu ditambah dalam membantu usaha itu.
“Semua jabatan tidak hanya jabatan pendidikan tetapi mana-mana jabatan dan masyarakat pelbagai kaum yang ada perlu menyokong usaha memartabatkan bahasa kebangsaan,” katanya pada Majlis Pelancaran Rakan DBP sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2014 Peringkat Negeri Sarawak di Auditorium Perpustakaan Awam BDA semalam.
Katanya usaha seumpamanya juga tidak mudah kerana mungkin ada pihak yang tidak setuju dan mempertikaikannya.
Begitupun, Talib yakin dengan kemampuan bahasa itu yang terbukti menjadi bahasa penghantar yang baik melalui usaha berterusan memartabatkan penggunaannya.
“Saya akan sokong usaha itu. Komitmen ditunjukkan pejuang-pejuang bahasa turut terbukti bersemangat patriotik dan cinta bahasa kebangsaan,” katanya sambil menambah tidak hanya di negara ini bahkan setiap negara mempunyai bahasa kebangsaan sendiri.
Selain itu, beliau melihat bahasa Melayu sebagai pemangkin kepada perpaduan yang mampu menyatu padu dan meningkatkan kemajuan rakyat dalam pelbagai bidang.
Dalam hal itu, cita-cita kerajaan mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan harus disokong termasuk bahasa ilmiah.
“Mampukah bahasa ini menjadi bahasa ilmiah? Jawapan saya mampu, kerana ilmu pengetahun boleh sampai dalam mana-mana bahasa yang digunakan,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah DBP Cawangan Sarawak Dr Hazami Jahari berkata mereka yang menjadi Rakan DBP memiliki keistimewaan penting dalam beberapa perkara antaranya ditawarkan potongan harga 30 peratus serta 50 peratus sekiranya ada promosi untuk pembelian buku terbitan DBP.
Katanya sekiranya ada kegiatan-kegiatan yang dianjurkan oleh DBP, ahli-ahli Rakan DBP diberi keutamaan menyertainya dan mereka juga menjadi mata dan telinga serta dapat mengusulkan cadangan-cadangan dalam penambahbaikan berkaitan aktiviti, isu bahasa dan sebagainya.
Penyerahan borang keahlian dan penyampaian Pakej ADUN kepada beberapa sekolah di Bintulu turut disempurnakan pada majlis itu dan DBP turut melantik Talib sebagai penaung Rakan DBP.
Hadir sama Penolong Pengurus Besar (Perkhidmatan Alam Sekitar) Bohari Kipli, Pengurus Perpustakaan Awam BDA Angelina Karen Wilfred dan Timbalan Residen Bintulu Forkanizan Dolhadi.