2014-05-22

Oleh Jessica Jawing //

 



SUMBANGAN:Adenan (dua kanan) menunjukkan gambar-gambar dalam album kepada Taib semasa sambutan hari jadi Taib. Turut kelihatan Ragad (dua kiri), Jabu (kanan) dan isteri Adenan, Puan Sri Datuk Jamilah Anu (kiri) dan tetamu-tetamu lain. — Gambar oleh Chimon Upon

KUCHING: Kepimpinan berwawasan Yang di-Pertua Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang menerajui negeri ini selama 33 tahun akan terus menjadi inspirasi Sarawak terus membangun.

Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata Taib telah menyumbang terlalu banyak kepada Sarawak sehingga menjadikan negeri ini mencapai tahap kemajuan kini.

“Jasa beliau (Taib) kepada Sarawak adalah terlalu banyak malahan saya pun tidak dapat menghitungnya. Beliau memiliki hampir semua aspek politik, sosial dan budaya kita.

“Adalah amat jarang kita mempunyai individu seperti ini dan kita bernasib baik kerana mempunyai beliau, ia adalah satu rahmat kepada kita semua supaya kita menghadapi masa depan dan beliau kekal menjadi inspirasi kepada kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Malam Tokoh Wawasan Terbilang di sini, malam kelmarin.

Bukan itu sahaja kata Adenan, Taib merupakan seorang pemimpin berpandangan jauh sehingga membolehkan rakyat negeri ini menikmati pelbagai kemajuan.

Katanya Taib merupakan seorang bapa transformasi kepada negeri ini, malahan perkara itu telah diamalkan sejak bertahun lalu di bawah kepimpinannya.

Adenan berkata sumbangan Taib kepada negeri ini bukan sahaja pada ketika beliau menerajui Sarawak sebagai Ketua Menteri tetapi sejak menjadi menteri kabinet lagi.

Katanya Taib menumpukan lebh 50 tahun kehidupannya kepada Sarawak untuk mengubah kehidupan rakyat di negeri ini ke arah yang lebih baik.

“Beliau memanfaatkan kehidupannya kepada negeri ini. Setahun dalam hidupnya bersamaan dengan 10 tahun bagi orang biasa.

“Saya masih ingat lagi pada mesyuarat beberapa bulan lalu apabila beliau menyatakan beliau akan berundur, semua kami menyatakan tidak kerana masih memerlukannya.

“Bagaimanapun apabila seorang lelaki yang telah memberi 53 tahun daripada kehidupannya kepada Sarawak mahu bersara kita tidak boleh mengatakan tidak dan kita perlu memberi penghormatan sewajarnya,” kata Adenan.

Majlis anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu turut dihadiri Taib serta isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri  merangkap Pengerusi Pengelola Malam Tokoh Wawasan Terbilang Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta isteri dan ahli PBB lain.

Show more