2013-10-24

MIRI: Sebanyak 39 majikan mewakili pelbagai organisasi utama khususnya sektor swasta termasuk institusi kewangan dan sebagainya, menyertai Pesta Kerjaya Curtin Sarawak 2013, yang terbesar pernah dianjurkan Curtin University Kampus Sarawak (Curtin Sarawak).

Acara tersebut yang berlangsung di universiti berkenaan yang terletak di Senadin, dekat sini, dirasmikan pembukaannya semalam, oleh Pengerusi Majlis Curtin Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan.

Pesta Kerjaya Curtin Sarawak 2013 yang bertemakan ‘Take The Lead’ itu, diadakan sempena pelancaran rasmi Pusat Keusahawanan dan Kepimpinan (LEC), iaitu pusat untuk pembangunan bagi penuntut di institusi berkenaan dan masyarakat setempat.

Turut diadakan ialah majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) oleh pihak universiti dengan syarikat-syarikat terpilih, yang bakal membawa pembangunan pendidikan di Curtin Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi dan memenuhi keperluan dan kehendak industri utama negara.

Acara tersebut yang dianjurkan oleh Bahagian Perkhidmatan Alumni dan Kerjaya, Jabatan University Life, Curtin Sarawak, berjaya menarik lebih 600 pelajar, alumni dan orang awam, sepanjang dua hari ia diadakan.

Pesta Kerjaya Curtin 2013 menawarkan pelbagai pilihan kerjaya dan peluang bertemu dengan wakil-wakil daripada organisasi utama di seluruh negara, bagi mendapatkan maklumat mengenai peluang-peluang kerjaya yang ditawarkan serta trend pasaran kerja masa kini.

Para pencari kerja di sekitar bandar raya ini, termasuk pelajar dan bekas pelajar, adalah dialu-alukan untuk melawat pesta kerjaya berkenaan yang diadakan di Pusat Acara dan Rekreasi universiti berkenaan, bermula dari jam 10 pagi hingga 4.30 petang, pada 24 dan 25 Oktober ini.

Antara syarikat yang mengambil bahagian dalam pesta kerjaya tersebut ialah Noble AV Partner Sdn Bhd, Petronas, Teach for Malaysia, Sarawak Oil Palms Berhad, CPA Australia, Sarawak Energy Berhad, Pembangunan Kewangan Perindustrian Malaysia Berhad (MIDF), Biolermech Sdn Bhd, Talent Corporation Malaysia Bhd, Shin Yang Shipyard Sdn Bhd, JobsCentral Malaysia Sdn Bhd, Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS) dan Crowe Horwarth.

Turut mengambil bahagian ialah Kumpulan Syarikat Samling, G&A Corporate Services Sdn Bhd, Tokuyama Malaysia Sdn Bhd, HGST Malaysia Sdn Bhd, TMF Trust Labuan Limited, JX Nippon Oil & Gas Exploration (Malaysia) Limited, Securities Commission Malaysia, Maybank, Nestle Products Sdn Bhd, Trac-Wheels, Shell People Services (Asia) Sdn Bhd, KPMG, Shimano Components (M) Sdn Bhd, CIMB Principal Asset Management Berhad, JobStreet.com, Dai Lieng Machinery Sdn Bhd, A Farmosa Resort, Homelite Development Sdn Bhd, Tan Chong Motor Holdings Berhad dan Press Metal Sarawak Sdn Bhd.

Show more