2014-01-27

Berakhirnya debaran Anugerah Juara Lagu yang ke 28, seperti yang dijangka memang akan dimenangi oleh Hafiz dengan lagu ‘Bahagiamu Deritaku’. Tahniah kepada para pemenang ; Hafiz yang menggondol sebagai juara AJL28, persembahan terbaik dan juga pencapaian digital terbaik. Begitu juga dengan Jaclyn Victor yang mendapat gelaran vokal terbaik serta kumpulan Hyper Act yang memegang tempat kedua dan Altimet untuk tempat ketiga.



Kredit Foto : OHBULAN

Kami pasti mereka semuanya berusaha keras dan bersungguh-sungguh untuk berikan yang terbaik. Namun, walaupun ianya berlangsung dengan meriahnya, masih berbunyi pahatnya walau rumah sudah siap.

Perkara pertama yang mahu disentuh adalah temanya iaitu ‘Game On’. Temanya menarik. Tapi daripada pembukaan, ianya agak kliche dan meleret apabila Scha Al-Yahya dan AG diletakkan dalam kesan khas berbentuk ‘game’. Namun ‘mood’ untuk serapkan tema ‘Game On’ sudah bermula di saat itu. Apa yang membuatkan ramai tertanya, apakah relevannya Shila Amzah dan Mus menyanyikan lagu ‘Mahakarya Cinta’ oleh Faizal Tahir dan kemudiannya diikuti dengan perlawanan timbang bola? Ianya adalah pembukaan sangat lemah dan motifnya tidak kesampaian. Nasib baiklah juga ada persembahan tarian yang rancak  dan berbentuk futuristik selepas itu.



Kredit Foto : ROTIKAYA  

Apapun, kelemahan ini lantas diselamatkan oleh persembahan bertenaga oleh kumpulan Salam dengan lagu mereka ‘Aku Pelat’. Boleh dikatakan mereka memberi nafas sebenar untuk persembahan pembukaan.



Antara persembahan lain yang diingati adalah persembahan dari Stacy menyampaikan lagu ‘Bosan’. Sememangnya persembahan beliau bertenaga dan lincah seperti biasa serta tema menjadikan penari-penarinya sebagai zombi agak menarik. Namun koreografi tariannya tidak memberi apa-apa keistimewaan di mata penonton kerana ianya seolah-olah kelihatan bukan dicipta istimewa untuk AJL28. Ianya sudah dilihat berulang kali di kebanyakan majlis-majlis anugerah berprestij yang lain sebelum ini, jadi ianya boleh dijangka. Namun, apabila Stacy mula ‘terbang’, disitu peminat mula bersorak dan memberi sedikit kejutan. Disebabkan segala usaha keras dan kepenatan menari dengan lincah ini, kami rasakan Stacy patut memegang takhta persembahan terbaik namun nasib tidak menyebelahinya.

 

 

Begitu juga dengan Jaclyn Victor, beliau memberi satu kelainan apabila beliau menjemput 5 penyanyi lain yang hebat untuk mengiringi persembahannya ala-ala persembahan ‘broadway’. Adibah Noor, Dina Nadzir, Atilia, Salamiah Hassan dan Elvira mengenakan pakai berwarna ungu menepati tema pakaian Jaclyn dan turut sama menari dan menyanyi bersama Jaclyn dengan comelnya. Walau pun ringkas, ianya cukup memberi kesan kepada penonton. Dan dengan persembahan vokal yang cukup mantap bertaraf antarabangsa, sememangnya Jaclyn layak mendapat gelaran ‘Persembahan Vokal Terbaik’, sekaligus merampas takhta Hafiz yang sebelum ini memegang takhta ini 2 kali berturut-turut.

 

Walaupun lagu Alyah, ‘Kau Yang Terindah’ bukanlah kegemaran ramai, tidak dinafikan persediaan beliau untuk menyambung mendapatkan takhta persembahan terbaiknya tahun lepas di AJL agak rapi. Namun tema pembukaan persembahannya dengan puisi agak kliche serta tema ‘Greek’ yang cuba diketengahkan mengimbau semula zaman AJL 90-an yang tidak perlu diulang kembali. Mungkin Alyah perlu lebih kreatif untuk cuba tema lain selepas ini. Usahanya kuat tapi tidak begitu bijak. Tema Alyah tahun lepas lebih menarik.

Apapun, ianya satu kejutan apabila Hafiz yang hanya menggunakan ranting pokok di atas pentas telah berjaya mendapatkan takhta persembahan terbaik. Apa yang diadili oleh juri, tidak kami fahami. Namun kalau dikira dari segi penghayatan, memang Hafiz patut menang kerana beliau sentiasa dilihat menyampaikan sesebuah lagu seolah-olah benar ikhlas dari jiwanya.

Pengumuman kumpulan Hyper Act sebagai naib juara kali ini adalah dijangka kerana memang lagu ‘Hanya Aku’ adalah antara lagu yang boleh dikatakan antara lagu kegemaran ramai. Persembahan mereka juga tiada celanya. Mereka membuktikan sememangnya kehebatan sesebuah lagu boleh mengetepikan soal rupa dan luaran yang selama ini dipandang oleh peminat muzik seluruh dunia.

Kemenangan lagu ‘Kalau Aku Kaya’ dari Awi Rafael dan Altimet juga tidak dinafikan layak menyandang tempat ketiga kerana keunikan lagu ini. Mengenakan tema permainan ‘gitar hero’, Altimet nampaknya sangat gembira kerana sudah sekian lama lagu berentak hiphop tidak mendapat tempat di majlis berprestij seperti AJL. Ini adalah kemenangan dan kebangkitan ‘hiphop’ baginya.

 

Persembahan vokal yang mantap dari Azlan And The Typewriter, Hazama dan Black juga tidak boleh dipertingkaikan. Namun persembahan dari yang lain-lain boleh dikatakan terlalu ringkas seperti menyedari mereka tidak akan memenangi apa-apa. Kalau dibandingkan dengan AJL zaman-zaman dulu, tidak kira ada peluang atau tidak untuk menang, kesemua peserta akhir pasti akan berikan persembahan yang bersungguh-sungguh. Lain pula pemikiran di zaman ini agaknya.

Apapun, persembahan penutup daripada penyanyi-penyanyi lama seperti Ziana Zain, Amy Search dan M. Daud Kilau juga agak kliche tambahan dengan lagu ‘Cik Mek Molek’ seolah-olah tiada idea dan modal lain. Seperti tidak relevan dengan tema ‘Game On’. Kalau benar ingin mengimbau lagu-lagu lama, mungkin patut dinyanyikan semula semua lagu-lagu yang pernah memenangi AJL. Dan yang paling membuatkan orang ramai rasa ianya memotong ‘mood’ persembahan adalah kemunculan penyanyi hiphop yang mengganggu keindahan lagu-lagu yang cuba disampaikan oleh penyanyi-penyanyi senior tersebut yang membuatkan ia berserabut dan meleret. Namun kami terhibur dengan penari-penari yang berjaya membuatkan persembahan penutup ini bernafas. Dan tidak dinafikan juga vokal penyanyi-penyanyi senior ini masih menyengat.

Menyentuh tentang pengacara, Scha Al-Yahya dan AG boleh dilihat mencuba sedaya-upaya untuk mewarnai AJL kali ini cuma kadang-kadang ianya sedikit hambar apabila AG membuat lawak yang kelihatan ‘syok sendiri’. Bukan mudah untuk mengendalikan majlis berprestij sebegini kan. Tidak mengapa, ianya masih usaha yang bagus.

Secara keseluruhannya, keputusan AJL28 sudah dijangka ramai dan kami sedikit kecewa dengan beberapa persembahan yang terlalu ringkas memandangkan tema tahun ini agak menarik. Namun, pentas AJL kali ini agak memberangsangkan dan boleh dikatakan setaraf dengan pentas antarabangsa. Kami agak kagum dengan reka bentuk pentas AJL kali ini.

Yang menariknya adalah apabila kami membaca komen-komen peminat di Twitter yang telah meletakkan hashtag #AJL28. Masing-masing menjadi ‘juri tidak berbayar’. Namun ada kenyataan mereka yang benar. Cuma ada sesetengah mereka memberi komen yang tidak relevan atau kritikan yang membantu.

Sesuatu majlis atau acara pasti ada kelebihan dan kekurangannya. Memang kalau ikutkan, sesiapa yang terlibat akan mengatakan lebih berat bahu yang memikul dari yang memandang. Tapi pandangan dan pendapat orang ramai penting untuk perbaiki sesuatu kepada yang lebih bagus di masa hadapan, bukan?

Semoga AJL seterusnya akan lebih menarik selepas ini dan para artis yang dicalonkan ke peringkat akhir akan lebih peka dengan kesesuaian tema untuk menjadikan persembahan lebih menarik. Teruskan juga usaha untuk menghasilkan reka bentuk pentas yang menarik seperti AJL28 kali ini. Dan sekali lagi, tahniah pada para pemenang!

 

 

The post Asam Garam ‘Anugerah Juara Lagu 28′ appeared first on MyArtis.My.

Show more