2012-10-15



PUCHONG: Pejabat syarikat pembinaan milik jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei di Bandar Puteri, disini, dipecah masuk hari ini dengan tujuh buah komputer jenis Apple dilarikan pencuri.

Insiden itu telah disedari seorang pekerja syarikat Chong Wei Bina Jaya Sdn Bhd ketika hendak memulakan tugas pada pukul 9 pagi. Beliau kemudian memaklumkannya kepada pengarah syarikat, Lee Chong Hoon.

Chong Hoon yang adalah abang kepada pemain perseorangan badminton negara itu, mendapati tujuh buah komputer yang diletakkan di tiga bilik di dalam premis itu hilang dan terdapat kesan umpil pada ketiga-tiga pintu bilik berkenaan.

“Pencuri itu dipercayai masuk melalui pintu depan kerana terdapat kesan diumpil pada jeriji besi bangunan rumah kedai (setinggi tiga tingkat) itu. Malah keadaan pejabat berselerak dan kertas bertaburan dipercayai habis di geledah penceroboh,”

katanya kepada pemberita hari ini.

Namun Chong Hoon bersyukur kerana raket badminton yang digunakan Chong Wei ketika menjuarai Kejohanan All England pada 30 Januari tahun lepas, tidak dilarikan pencuri.

INFO: Raket itu telah dibida seseorang pada harga RM74,000 untuk didermakan kepada mangsa Tsunami di Jepun.

Bagaimanapun katanya, mereka kehilangan salinan koleksi gambar pra perkahwinan Chong Wei dan Mew Choo yang disimpan di dalam sebuah komputer yang dilarikan.

Anggaran kerugian ditaksirkan kira-kira RM30,000, katanya.

Chong Hoon berkata waktu kejadian dan jumlah penceroboh masih tidak dapat dipastikan kerana kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang, belum berfungsi kerana pejabat itu baru beroperasi kira-kira dua bulan lalu, selepas berpindah dari lokasi asal di Puchong Boulevard.

Tambahnya insiden itu telah dimaklumkan kepada Chong Wei yang kini berada di Denmark, dan Hero Badminton negara itu meminta supaya hal tersebut diuruskan segera selain bertanyakan mengenai barang yang hilang.

Chong Wei kini menyertai Kejohanan Badminton Terbuka Denmark yang akan bermula esok sehingga Ahad ini.

Ekoran dari itu, Chong Hoon telah membuat laporan polis di Balai Polis Puchong Jaya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang Supt Lam Chien Fei ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan itu.

****

Alahai..dugaan untuk Dato'....harap penjenayah dapat di berkas...

Sumber

Show more