2015-12-11

Pakatan Harapan mengutuk sekeras-kerasnya ucapan Dato’ Seri Najib Tun Razak di Perhimpunan Agung Umno semalam yang cuba memainkan api perkauman untuk mengalihkan perhatian dari skandal politik yang sedang beliau hadapi. Antara lain, beliau dilaporkan menggambarkan bahawa sekiranya Umno kalah dalam Pilihanraya Umum 14 (PRU14), negara ini akan ditadbir oleh Pakatan Harapan yang menentang perjuangan Islam, Melayu dan Bumiputra.

Kenyataan beliau itu tidaklah mengejutkan kerana setiap kali Umno berhadapan dengan krisis, ia akan menggunakan helah menakut-nakutkan rakyat dengan isu perkauman dan penjajahan asing.

Majlis Presiden Pakatan Harapan menegaskan bahawa ketiga-tiga parti iaitu KEADILAN, DAP dan AMANAH menjunjung sepenuhnya peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan termasuklah yang berkaitan dengan perkara-perkara penting berhubung kedudukan Bumiputra, agama Islam, institusi Raja-raja Melayu dan bahasa Melayu.

Muafakat ini telah pun ditandatangani bersama di dalam Buku Jingga dan dipiagamkan seperti berikut:

Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153;

Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja berperlembagaan; dan

Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum, serta meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris demi memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat global.

Skandal politik yang sedang menekan Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak ada kena mengena dengan perjuangan Islam, Melayu dan Bumiputra. Krisis yang melanda Umno sekarang sehingga lunturnya sokongan rakyat kepada parti itu berpunca dari skandal kewangan 1MDB dan dana RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak yang masih belum dijawab sehingga hari ini.

Helah beliau yang cuba memainkan api perkauman bagi menutup skandal peribadi adalah terkutuk dan merendahkan lagi kedudukan beliau di mata rakyat. Malah, pentadbiran beliau jugalah yang merangka undang-undang Majlis Keselamatan Negara 2015 yang diluluskan baru-baru ini yang dilihat mencabar kuasa Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong bila mana pengumuman yang membolehkan kuasa darurat dilaksanakan kini boleh dibuat oleh Perdana Menteri; bukan lagi terhad kepada pengisytiharan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong.

Pakatan Harapan menyeru supaya rakyat terutamanya dari kaum Melayu tidak terperangkap dengan permainan perkauman. Kami yakin rakyat boleh membezakan permasalahan sebenar dan tidak akan terheret ke dalam permainan perkauman ini yang menjadi tali hayat terakhir Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Pakatan Harapan akan terus menumpukan kepada isu-isu penting rakyat seperti kos sara hidup yang meruncing, sistem percukaian yang tidak adil, peluang pekerjaan untuk golongan muda dan menekankan tata kelola bagi membanteras rasuah yang berleluasa.

11 Disember 2015

YB DATO’ SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL

YAB LIM GUAN ENG

TUAN HAJI MOHAMAD SABU

Presiden KEADILAN

Setiausaha Agung DAP

Presiden AMANAH

Show more