2013-02-24



Datuk Seri Najib Tun Razak tidak layak menjadi Perdana Menteri Malaysia bila menggunakan perkauman dan mempermainkan sentimen ekstremis agama dengan fitnah bahawa DAP menindas agama Islam.

Tuduhan beliau ke atas DAP menindas agama Islam adalah suatu tuduhan
liar yang serius kerana Islam merupakan agama Perseketuan Malaysia.

Mengapa Najib tidak dapat tunjuk bukti untuk menyokong tuduhannya
bahawa DAP menindas agama Islam ini kerana ia adalah sesuatu yang amat
merbahaya dan haram yang boleh dikenakan tindakan undang-undang berat.

Tidak ada sebarang bukti DAP menindas Islam sebaliknya saya menang
tindakan saman ke atas Utusan Malaysia di mahkamah bahawa saya
anti-Islam. Sokongan DAP ke atas agama Islam sebagai agama Persekutuan
telahpun dimasukkan dalam Perlembagaan DAP.

Lagipun dalam
pemerintahan kerajaan negeri Pulau Pinang, tidak ada sebuah surau atau
masjid dirobohkan bukan macam kuil Hindu di atas tanah Penang Port yang
dirobohkan oleh pihak pengurusan yang dikuasai oleh BN.

Sebaliknya kerajaan negeri Pulau Pinang telahpun memartabatkan agama
Islam dengan menambahkan peruntukan kepada hal ehwal Islam berkali-kali
berbanding dengan kerajaan BN, memberikan tanah bernilai hampir RM80
juta untuk membina ibupejabat Mahkamah Syariah Pulau Pinang setinggi 7
tingkat untuk menggantikan bangunan 2 tingkat, mendirikan Tapak
Perindustrian Halal, menambahkan elaun bulanan 80 peratus kepada tok
siak dan bilal, mengiktiraf para huffaz dan memberikan peruntukan
tahunan kepada Sekolah Agama Rakyat yang tidak dibuat langsung sebelum
ini.

Macam mana inisiatif baru dan tambahan peruntukan ini
untuk Islam oleh kerajaan negeri PR Pulau Pinang yang tidak dibuat
sebelum ini oleh pentadbiran BN boleh dianggap oleh Najib sebagai
menindas Islam?

Perlu diingatkan bila Perdana Menteri hendak
meluluskan pemberian lesen judi bola pada 3 tahun lepas, kerajaan negeri
Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang mengharamkannya dan
seterusnya memaksa kerajaan Pusat BN menarik balik lesen judi bola.
Lagipun pemimpin DAP tidak ada saham dalam syarikat besar arak atau
menjadi ahli lembaga pengarah kasino judi.

Adalah dikesali
Perdana Menteri dan BN yang merestui pemimpin MCA seperti Datuk Seri Dr
Chua Soi Lek menghina dan mengecam pemimpin wanita PAS enggan bersalam
dengan kaum lelaki sebagai suatu perbuatan ekstremis sungguhpun itu
adalah hak dan pilihan seorang wanita Islam. Sehingga sekarang semua
tuduhan bahawa DAP anti-Islam dibuktikan fitnah bila saman fitnah oleh
saya ke atas Utusan Malaysia berjaya di mahkamah.

Oleh itu, DAP
tidak berminat ikut rentak Umno memainkan sentimen perkauman dan
ekstrimis agama serta menabur fitnah demi meraih undi. Sebaliknya DAP
akan bertumpukan fokus kepada prinsip, dasar yang mementingkan rakyat
dan presetasi baik yang boleh membawa perubahan positif kepada masa
depan negara.

Show more