9:24PM Ogos 30 2012
LANGSUNG Tidak cukup dengan larangan polis, Dataran Merdeka malam ini ditutup untuk sebarang aktiviti, sekali gus menyukarkan rancangan sekumpulan aktivis menjayakan himpunan "Janji Demokrasi" mereka.
Bagaimanapun, tidak jauh daripada itu, di Jalan Sultan, sekumpulan aktivis dan penduduk yang menentang pembinaan MRT di kawasan mereka sudah mula berkumpul.
Di Shah Alam pula, kerajaan Selangor dan Pakatan Rakyat juga berkumpul untuk sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dengan cara mereka tersendiri dengan tema alternatif "Sebangsa, Senegara, Sejiwa".
Berikut laporan langsung berkaitan:
12.30am DATARAN Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata, tiada kejadian tidak diingini berlaku dalam perhimpunan di malam ini.
"Tiada kejadian yang tidak diingini malam ini. Itu kita akan siasat kemudian (jika langgar undang-undang)," katanya mengulas bacaan puisi Pak Samad sekitar jam 11.45 malam berdekatan bangunan DBKL.
Katanya, tiada tangkapan dibuat, kecuali terhadap dua remaja yang didapati membakar mercun.
Jumlah kekuatan anggota yang bertugas malam ini adalah seramai 205 orang dari Dang Wangi dan Bukit Aman, katanya.
12.20am DATARAN Pak Samad isytihar perhimpunan berjaya sampai sasaran tetapi tidak dapat mengagak jumlah sebenar peserta.
Katanya, kehadiran luar biasa yang kebanyakannya anak muda. Beliau menyeru mereka terus melakukan perubahan.
"Apabila saya sampai di Dataran, saya dapati jumlahnya (yang hadir) luar biasa. Dan saya senang, apabila ia daripada anak-anak muda. Dan ini penting.
"Ini menggambarkan mereka sudah menyedari era ini adalah era mereka, dan di tangan mereka sebuah regim boleh ditukar. Saya harap ini dapat dilakukan," katanya.
Malaysiakini menganggarkan sebanyak 10,000 orang hadir.
11.45pm DATARAN Sambil menunggu detik 12 tengah malam. Peserta menyanyikan lagu "Janji Ditepati" dengan lirik sinikal kepada "Janji Dicapati".
11.30pm DATARAN Kumpulan baju kuning, diketuai Pak Samad bergerak dari Dataran menghala ke bangunan DBKL di mana beliau akan membacakan sajak.
11.25pm DATARAN Makin ramai peserta membajiri Dataran. Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu juga kelihatan. Tiada sebarang campur tangan oleh pihak polis.
11:05pm SHAH ALAM Menteri besar membacakan sajak sasterawan negara Usman Awang berjudul 'Merdeka'. Orang ramai ketika ini dianggarkan kira-kira 2,000 memenuhi padang di Dataran Shah Alam sambil mendengar ucapan.
10.54pm DATARAN A Samad Said, Hishamuddin Rais dan Maria Chin Abdullah sampai ke Dataran diiringi 500 orang daripada Jalan Sultan. Hishamuddin umumkan A Samad akan membacakan puisi pada jam 11.45pm sebelum bersurai.
10:48pm SHAH ALAM Anwar berucap. Katanya, Selangor di bawah pentadbiran Khalid menekankan idea merakyatkan ekonomi supaya khazanah negeri dipulangkan kepada rakyat.
10.40pm DATARAN Ketika ini dianggarkan hadirin bertambah mencecah ke angka 5,000 apabila ramai hadirin yang rata-ratanya memakai baju kuning membanjiri persimpangan jalan TAR-Tun Perak. Mereka meniupkan Vuvuzela tanpa henti.
Kenderaan mula bergerak perlahan-lahan. Penyokong tidak menggangu laluan. Mereka berada di kri kanan persimpangan tersebut.
10.05pm SHAH ALAM Perbarisan dan perarakan bermula. Perbarisan ini disertai oleh 53 kumpulan perbarisan antaranya pihak berkuasa tempatan dan tujuh kumpulan pancaragam.
Selain Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dan Penasihat Ekonomi SelangorDatuk Seri Anwar Ibrahim, turut kelihatan barisan exco dan pemimpin Pakatan Rakyat.
9.50pm DATARAN Dianggarkan 1,500 hadirin telah memasuki kawasan Dataran Merdeka. Ketika ini masih belum kelihatan pemimpin politik atau penganjur. Manakala DBKL pula telah memasang selapis lagi pagar merentangi jalan berdekatan pentas sambutan merdeka.
9.40pm DATARAN Orang ramai mula berpusu-pusu menghampiri dan kelihatan ceria sambil meniup vuvuzela.
9.45pm JALAN SULTAN Peserta yang hadir semakin ramai. Mereka berbaris membuat perisai manusia sepanjang jalan daripada Lok Ann Hotel ke tapak bekas Stesen Bas Klang yang dirobohkan baru-baru ini.
9.10pm SHAH ALAM Kira-kira 500 orang sudah memasuki kawasan Dataran Kemerdekaan Shah Alam yang diwarnai mood karnival apabila aktiviti nyanyian oleh artis kebudayaan sebuah majlis perbandaran dimulakan.
8.55pm DATARAN Orang ramai mula memasuki kawasan berdekatan dengan dataran merdeka. Di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad berdekatan pentas, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memasang pagar merintangi menutup jalan di hadapan bangunan itu.
DBKL melalui arahan Datuk Bandar juga meletakkan papan tanda berbunyi "Kawasan ini ditutup untuk semua aktiviti" .