PELABURAN Mara Berhad semalam mendedahkan pembabitan mereka dengan pasukan Kelantan pada musim lalu dengan perbelanjaan berjumlah RM200,000 merupakan pakej pembelian pengiklanan komersial yang ditawarkan oleh pasukan yang dikenali sebagai The Red Warriors itu (TRW).
Perbelanjaan tersebut merangkumi sembilan peratus daripada keseluruhan peruntukan syarikat untuk aktiviti penjenamaan dan pemasaran.
Menurut satu kenyataan daripada Pelaburan Mara Berhad semalam, penajaan pasukan bola sepak merupakan kaedah pemasaran yang sama seperti pemasaran melalui media elektronik, cetak, atas talian serta kaedah pemasaran ‘out of home’ yang lain.
Penajaan tersebut merupakan salah satu inisiatif bagi memaksimumkan pengiklanan jenama syarikat kepada masyarakat umum memandangkan syarikat tersebut adalah sebuah entiti komersial yang mempunyai peranan berbeza dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
“Sebagai sebuah syarikat komersial dan berasaskan keuntungan, syarikat Pelaburan MARA mempunyai strategi perniagaan dan pemasaran yang tersendiri untuk meningkatkan pendapatan serta keuntungan, manakala PMB Investment merupakan syarikat milik penuh Pelaburan MARA Berhad yang menjalankan perniagaan unit amanah dan mempunyai status Syarikat Pengurus Dana Islamik (IFMC).
“Untuk makluman, keputusan penajaan TRW tersebut dibuat secara pentadbiran amalan biasa berdasarkan belanjawan tahunan yang diperuntukkan bagi kegiatan pengiklanan dan pemasaran yang diluluskan oleh Lembaga Pengarah,” jelas kenyataan tersebut.
Penajaan dibuat atas dasar komersial bagi aktiviti penjenamaan dan pemasaran bagi peningkatan jualan, seterusnya membawa keuntungan syarikat.
“Adalah menjadi dasar Pelaburan MARA Berhad, khususnya PMB Investment untuk mengukuhkan jenama syarikat memandangkan kumpulan telah melalui proses penjenamaan semula pada 2014.
“Ia sejajar dengan arahan Lembaga Pengarah yang mahukan syarikat meningkatkan pendedahan terhadap jenama syarikat bagi mengukuhkan jenama agar mampu bersaing dalam industri.
“Usaha-usaha pengukuhan jenama ini akan diteruskan dan dipertingkatkan lagi bagi mencapai objektif utama syarikat,” jelas kenyataan itu lagi.
Pelaburan MARA Berhad merupakan penyumbang terbesar kepada keuntungan Mara iaitu sebanyak 60 peratus daripada keuntungan keseluruhan Mara bagi tahun kewangan 2016.
Isu penajaan Mara dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) kepada TRW itu timbul selepas ia dibangkitkan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman sosial Facebook Johor Southern Tigers minggu lepas.
Tunku Ismail mempersoalkan tajaan daripada dua badan tersebut yang mana baginda bertitah bahawa dana tersebut sepatutnya digunakan untuk membiayai pelajar dan bukannya bola sepak.
Begitupun, dakwaan tersebut dinafikan oleh Annuar yang juga merupakan Pengerusi Mara.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, UniKL menjelaskan bahawa pihaknya sentiasa menyediakan sejumlah peruntukan setiap tahun untuk aktiviti promosi dan pemasaran.
Menurut kenyataan tersebut, sebagai sebuah universiti yang masih baharu dan dalam proses untuk meletakkan UniKL ke mercu yang lebih tinggi, pihak universiti sentiasa mencari peluang untuk memperkukuhkan jenama mereka di mata masyarakat di samping sentiasa meningkatkan kualiti pendidikan yang ditawarkannya.
“Aktiviti promosi UniKL tidak hanya terhad kepada promosi di media cetak dan media elektronik sahaja tetapi juga meliputi aktiviti promosi dalam bidang sukan.
“Pemasaran dalam bidang berkenaan membolehkan jenama UniKL berada dekat di hati golongan muda dan masyarakat secara amnya.
“Pada tahun 2013, pihak UniKL telah memutuskan untuk turut terlibat mempromosikan UniKL dalam sukan bola sepak. Pada ketika keputusan itu dibuat, pasukan Kelantan adalah pasukan paling berjaya dalam Liga Malaysia dan mempunyai ramai pengikut. Oleh yang demikian, UniKL memutuskan untuk bekerjasama dengan pasukan TRW sebagai rakan strategik pemasaran,” jelas kenyataan tersebut.
Penglibatan penajaan UniKL dalam pasukan Kelantan telah memberi impak yang besar terhadap penjenamaan UniKL yang menyaksikan universiti berkenaan berjaya menarik lebih ramai pelajar mengikuti program-program yang ditawarkan.
“Pelaburan tersebut telah memberi pulangan yang besar kepada UniKL, di samping berjaya memperkukuhkan jenama UniKL di negara ini.
“Pembiayaan program pemasaran dan penajaan ini dibuat secara pentadbiran menggunakan belanja mengurus yang diluluskan setiap tahun yang diperuntukkan khusus untuk tujuan pengiklanan dan promosi tanpa melibatkan sebarang dana Tajaan Pelajaran Pelajar daripada Mara,” jelas kenyataan itu lagi.
The post Pelaburan Mara dan UniKL Jelaskan Isu Penajaan TRW appeared first on Malaysian Access.