Siapa sangka, penyanyi dari Indonesia, Afgan menitiskan air mata di hadapan hampir 3,000 penonton yang hadir ke konsert Afgan ‘Sides’ Live in Malaysia 2016 (ASLIM2016) yang berlangsung, Sabtu lalu.
Pada konsert di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur itu, Afgan sempat melantunkan lagu Selamanya dendangan asal penyanyi, Datuk Sheila Majid.
Menyampaikan lagu itu dalam versi unplugged dengan sentuhan tersendiri, persembahannya itu menerima ‘standing ovation’ daripada Sheila yang turut berada di tempat duduk penonton.
Dalam nada sebak, namun pada wajahnya jelas terpancar rasa bangga, Afgan mengucapkan terima kasih kepada Sheila dan berasakan itu penghormatan buat dirinya.
“Saya sentiasa menjadikan Datuk Sheila sebagai idola. Bukan saya saja, bahkan teman penyanyi latar saya juga berasakan begitu dan mereka sangat teruja untuk mempersembahkan lagu ini lebih-lebih lagi di hadapan penyanyi asalnya,” kata Afgan.
Selamanya disampaikan secara medley dengan iringan petikan gitar dan seterusnya digabungkan dengan lagu Crush, dendangan asal Yuna dan Usher.
Sekali lagi hadir ke Malaysia dalam tempoh tidak sampai setahun, Afgan nyata teruja dan berterima kasih kepada peminatnya di sini atas sokongan yang tidak pernah putus.
“Sekali lagi, kehadiran mengadakan konsert di sini menjadi peluang bererti buat saya untuk mendekati peminat di Malaysia,” katanya.
Konsert ASLIM2016 yang dianjurkan Dazzling Lifestyle dan dipersembahkan oleh Obermain itu juga menyaksikan Afgan mendendangkan beberapa lagu popularnya dan tentunya lagu yang dipetik daripada album terbaru, Sides.
“Sides adalah album keempat saya. Apa yang boleh saya katakan, album ini sangat dekat dengan diri saya dan ada makna tersendiri secara peribadi.
“Kalau diamati, lagu yang dimuatkan dalam album ini saya gabungkan daripada pengalaman sendiri. Itu menjadi tunjang utama yang mempunyai pelbagai rasa dan saya satukan dalam bentuk album,” katanya.
Antara lagu popular yang disampaikannya adalah Terima Kasih Cinta, Katakan Tidak, Bawalah Cintaku dan Jodoh Pasti Bertemu.
Lagu baru yang dipetik daripada album baru dan memukau penonton pula adalah Tak Peduli, Kunci Hati, Jalan Terus, Ku Dengannya Kau Dengan Dia serta medley Count On Me, Thinking About You dan Brand New Day.
Afgan juga turut menampilkan rapper, SonaOne dan berkolaborasi menyampaikan lagu baru mereka, X yang berentak hip hop dan R&B.
Persembahannya ketika menyampaikan lagu cover gabungan This Is Where You Came From karya asal Calvin Harris dan Rihanna serta Can’t Stop The Feeling (Justin Timberlake) juga berjaya membuatkan semua penonton berdiri dan menari.
Satu lagi lagunya yang mendapat tepukan gemuruh daripada penonton adalah Percayalah duet bersama Raisa. Walaupun Raisa tidak ada bersama, Afgan masih menjiwai lagu itu dengan baik dan disampaikan dengan penyanyi latarnya.
Tentunya persembahan penutup dengan lagu Panah Asmara dan Bukan Cinta Biasa menerima sambutan beremosi daripada peminat. Ternyata, lagu itu menjadi lagu yang paling ditunggu-tunggu.
Konsert ASLIM2016 juga turut menampilkan juara Mentor Milenia, Fareez Fauzi sebagai pembuka tirai dengan menyampaikan lagu barunya, Lagu Radio serta versi cover Di Amaran Mama nyanyian asal Hazama.
Artikel berkaitan: Afgan Kembali ke Malaysia
The post ASLIM 2016: Afgan Titis Air Mata appeared first on Malaysian Access.