Zaman sekolah dulu, admin masih teringat ramai guru berceritakan tentang layanan yang diterima mereka apabila kali pertama 'posting' kebanyakkannya di pedalaman Sabah dan pedalaman Sarawak.
Menurut mereka selepas mendapat surat 'posting' ke pedalaman Sabah dan Sarawak, ada yang menyatakan sedih dan takut kerana dihantar ke kawasan pedalaman.
Tetapi itu hanya tanggapan awal mereka, mungkin kerana tidak pernah ke sana, jadi tidak tahu suasana sebenar di sana dan waktu itu masih muda belum mengenai dunia yang luas.
Ternyata, dari pengalaman-pengalaman ramai guru admin, apabila mereka mula mengajar di sana sebelum pulang ke Semenanjung, mereka dapat menyesuaikan diri dan mula gembira mengajar, ada guru admin cakap, pelajar di sana lebih meraikan mereka sebagai guru, ada yang cakap ada pelajar yang layan mereka macam keluarga sendiri, datang sekolah bawa bekal sekali untuk guru, dan bermacam-macam lagi, apa yang difikirkan sebenarnya adalah sekadar fikiran kerana keadaan sebenarnya terlalu indah dan penuh dengan pengalaman.
Apapun itu cuma sedikit pengalaman indah guru-guru admin yang pernah dikorek dulu untuk dikongsikan, kalau nak cerita semuanya memang tak sempat.
Kali ini, admin kongsikan sebuah perkongsian cerita yang sungguh menarik di mana ia ditulis sendiri oleh seorang guru bernama Cikgu HailmiĀ tentang hadiah yang paling bermakna beliau dapat semasa hari guru ketika mengajar di Sarawak.
Jom ikuti apa yang ditulis oleh beliau.
Tugas saya sebagai guru adalah untuk mendidik. Tanpa mengira siapa pun anak murid saya. Maka tanggungjawab itu yang terus saya pikul dan cuba laksanakan hingga sekarang.
Dalam pada itu, teringat kenangan saya dengan seorang pelajar. Seorang pelajar lelaki. Kebiasaannya saya selalu mengelakkan diri daripada terlalu rapat dengan pelajar perempuan. Ini untuk mengelakkan daripada berlakunya fitnah dan pandangan serong orang lain. Tapi masih ada juga pelajar perempuan yang saya baik dan masih berhubung hingga sekarang, cuma tidak seramai dengan pelajar lelaki.
Pelajar yang saya ceritakan tadi berasal daripada keluarga yang agak miskin. Bapa sebagai pengawal keselamatan dan ibu sebagai pembantu prasekolah. Susah seperti kebanyakan pelajar lain di sekolah saya. Malah ada yang jauh lebih susah lagi.
Saya merupakan guru subjek Sains bagi pelajar tersebut dan kelasnya sejak dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3. Lebih kurang bermaksud, ilmu Sains mereka hanya semata-mata daripada sumber Cikgu Hailmi sahaja. Tentu ada banyak kenangan manis, suka dan duka sepanjang mengajar mereka sekelas selama 3 tahun. Boleh nampak sendiri pelajar-pelajar ini membesar bagai Juara depan mata.
Namun yang buat saya bangga adalah kerana merekalah juga kumpulan pertama pelajar yang berjaya melonjakkan bilangan A untuk subjek Sains daripada kurang 10 orang pada setiap tahun, kepada lebih 30 orang semasa PMR tahun tersebut! Pencapaian yang sangat membanggakan.
Jika di tempat lain, pelajar menghargai guru dengan hadiah yang mahal-mahal dan hebat-hebat semasa Hari Guru. Maklumlah, anak-anak tauke besar dan orang hebat-hebat. Lagipula pelajar bandar yang dekat dengan segala kemudahan termasuk kedai hadiah.
Tetapi tidak seperti di sekolah saya. Majoriti ibubapa adalah terdiri daripada golongan berpendapatan rendah seperti petani, buruh, pemandu lori dan kerja sendiri. Mahu beli barang mahal, kena berbulan simpan duit.
Namun mereka masih pandai menghargai jasa guru dengan cara mereka yang tersendiri. Dan dengan seadanya mereka.
Jadi apa hadiah yang saya dapat semasa Hari Guru?
Kad buatan sendiri yang lebih bermakna, cawan kecil dan hadiah-hadiah lain bagi yang berkemampuan. Jangan terkejut. Ada juga ibubapa yang mengirimkan beras, buah-buahan dan sayur-sayuran, tanda terima kasih mereka kepada guru. Seperti yang saya cakapkan tadi, dengan seadanya mereka.
Semua hadiah tersebut masih saya simpan hingga ke hari ini, terutamanya kad buatan sendiri, sebab itu menunjukkan kesungguhan usaha pelajar dalam menghargai jasa cikgunya. Daripada banyak-banyak hadiah yang saya terima, ada satu yang menjadi ingatan saya sehingga kini.
Hadiah yang saya terima daripada pelajar lelaki tadi. Pelajar lelaki ni memang baik dan rapat dengan saya. Malah ibu bapa dan ahli keluarga pelajar tersebut juga pun baik dan selalu bertanya khabar dengan saya. Kerap saya mendapat pesanan ringkas SMS dari ibunya yang bertanyakan perkembangan akademik pelajar tersebut. Maklumlah anak harapan keluarga.
Hadiah yang saya maksudkan tadi adalah sepasang baju tradisional Iban atau lebih dikenali sebagai Baju Burung. Baju Burung ini adalah seperti jaket yang dipakai oleh orang lelaki Iban semasa perayaan atau pada majlis tertentu. Kiranya barang 'rare' juga.
Inilah hadiahnya! Baju Tradisional Iban, Baju Burung
Kebiasaannya dalam satu keluarga, Baju Burung ini akan diwariskan dari satu generasi ke satu generasi yang lain sebagai harta keluarga. Jika mahu dibeli yang baru, mencecah RM200-RM300 juga bagi sehelai baju tersebut, bergantung kepada material dan jenis corak anyaman yang dihasilkan.
Saya cakap hadiah ini bermakna bukan sebab baju tu mahal dan 'rare'. Tetapi nilai di sebalik baju tersebut. Ini kerana Baju Burung itu dianyam sendiri oleh nenek pelajar tersebut dengan menggunakan seni anyaman Pua Kumbu masyarakat Iban! Hebat kan?
Dah tentu saya rasa cukup terharu memandangkan hadiah itu juga menunjukkan tahap penerimaan keluarga tersebut terhadap saya sebagai sebahagian daripada mereka. Sehingga sekarang pun saya masih menyimpan dengan baik Baju burung tersebut sebagai hadiah kenangan saya mengajar di Sarawak.
Selepas tamat Tingkatan 3 di sekolah saya, pelajar tersebut berpindah ke MRSM berdekatan bersama-sama 8 orang lagi rakan sekelas mereka yang mendapat keputusan cemerlang semasa peperiksaan PMR. Saya terus berhubung dengan mereka, malah menghadirkan diri sebagai tetamu semasa Majlis Konvokesyen MRSM mereka. Mengalir air mata mereka sebab saya buat surprise untuk mereka. Saya bangga dengan mereka semua sebab tak pernah lupakan jasa cikgu Sains mereka ini walaupun saya dah tak mengajar mereka lagi!
Dua daripada mereka sekarang sedang membuat persediaan sambung belajar ke luar negara, manakala yang lain sedang melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Labuan dan Sarawak.
Manakala pelajar yang menghadiahkan saya Baju Burung tersebut pula kini sedang melanjutkan pelajaran di sebuah IPG. Bakal bergelar seorang guru suatu ketika nanti di masa depan. Saya doakan yang terbaik untuk dia. Semoga menjadi guru yang baik dan berkhidmatlah dengan sepenuh hati demi agama, bangsa dan negara tercinta! - Cikgu Hailmi
- Siakapkeli.my