Kekecewaan skuad kebangsaan terikat seri tanpa jaringan dalam aksi persahabatan berdepan Macau serta skuad bawah 22 tahun negara yang seri 1-1 berdepan Nepal mendorong kolumnis The Malay Mail, Frankie d’Cruz untuk secara terbuka menyuarakan pandangannya yang meminta supaya FAM “memulangkan” bola sepak kepada rakyat Malaysia.
Dua perlawanan terbaru ini menunjukkan bahawa budaya penyokong di Malaysia berada di tahap yang semakin meningkat. Perlawanan hambar menentang Macau disaksikan oleh lebih 15 ribu penyokong di Stadium Hang Jebat, Melaka. Dan Sabtu lalu, 22 680 penyokong membanjiri Stadium Larkin untuk menyaksikan pasukan tuan rumah, JDT membelasah PDRM 5-2 (agregat 6-2) dalam aksi suku akhir kedua Piala FA. Di Alor Setar pula, 25 ribu penyokong memenuhi stadium untuk aksi suku akhir kedua, Kedah menentang Sabah malam sebelumnya. Sudah pasti, semua tiket akan habis dijual menjelang dua aksi separuh akhir Johor menentang Kedah nanti.
Contoh diatas ini sudah cukup untuk menguatkan hujah bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang menggilai bola sepak. Statistik penyokong yang menonton perlawanan bola sepak melalui siaran langsung di kaca televisyen juga amat memberangsangkan. Daripada pengamatan sendiri, kegagalan skuad kebangsaan untuk menghasilkan keputusan yang sepatutnya juga menyaksikan perdebatan yang cukup berintensiti tinggi di mana-mana saluran media. Ini semua sudah cukup untuk membuktikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara bola sepak.
Atau adakah hujah ni benar? Hari yang sama dimana 25 ribu penyokong menyaksikan perlawanan Kedah menentang Sabah, hanya 334 penyokong yang membayar untuk menonton satu lagi aksi suku akhir Piala FA antara dua pasukan di Liga Perdana, PKNS menentang Sime Darby. Ini adalah kejohanan ketiga terbesar di Malaysia dan kurang daripada 350 orang yang merasakan ianya berbaloi untuk menyaksikan perlawanan yang akan menentukan salah sebuah pasukan yang bakal melangkah ke pentas separuh akhir.
Venue perlawanan di Melaka selaku stadium buat pasukan tuan rumah berbanding beraksi di negeri sendiri iaitu Selangor mungkin satu alasan kekurangan penyokong ke stadium. Namun secara jujurnya, jika Malaysia mempunyai budaya penyokong bola sepak, sudah pasti lebih banyak daripada 334 orang yang berminat untuk menyaksikan perlawanan antara dua pasukan ini yang merupakan antara 24 pasukan terbaik di Malaysia.
Perbandingan yang disuarakan kolumnis Malay Mail serta kehadiran penyokong yang cukup hambar dalam saingan suku akhir Piala FA menimbulkan persoalan sama ada bola sepak di Malaysia benar-benar milik rakyat itu sendiri. Ia mendorong saya untuk melihat dengan lebih dekat berapa banyak sokongan yang diberikan kepada pasukan selain pasukan negeri dan melihat berapa banyak pasukan semi atau bukan profesional yang wujud? Jawapan yang saya peroleh cukup mengecewakan kepada mereka yang memberikan hujah bahawa Malaysia adalah sebuah negara bola sepak.
Suasana : Magis & Ketidakwujudan
Ia suatu nikmat untuk satu dekad yang lalu menyaksikan keghairahan penyokong memberikan sokongan kepada perlawanan yang melibatkan skuad kebangsaan, Johor, Selangor, Pahang, Kelantan, Perak, Terengganu, Sarawak dan Negeri Sembilan. Final Piala AFF 2010, Malaysia menentang Indonesia, dan aksi final Piala Malaysia dan Piala FA yang melibatkan aksi Johor menentang Kelantan serta Johor berdepan Pahang boleh saya labelkan sebagai 3 perlawanan paling mengujakan yang pernah saya saksikan di mana-mana sekalipun.
Namun ada juga perlawanan yang berkualiti tinggi melibatkan pasukan seperti PKNS, Felda United, PDRM, ATM dan Kuala Lumpur yang hanya mampu menarik minat segelintir penyokong sahaja. Dan menyusur ke pasukan bawahan seperti di Liga FAM, kehadiran penyokong hanya puluhan sahaja. Mantra bola sepak milik rakyat Malaysia boleh dilihat sekadar bersifat memilih.
Ambil contoh jika penyokong luar biasa “Ultras” diketepikan daripada jumlah bilangan penyokong yang hadir melibatkan skuad kebangsaan, kehadiran penyokong jauh amat kurang. Kecuali jika “perlawanan penting” di mana ramai yang hadir untuk memberikan sokongan dan tiba-tiba pasukan kebangsaan mendapat perhatian ramai dan perlawanan dijangka kembali kompetitif. Adakah ini yang dilabel sebagai perlawanan milik rakyat Malaysia? Sekadar hadir memberikan sokongan pada perlawanan penting?
Sikap penyokong dalam saingan domestik di Malaysia sangat mengelirukan jika seseorang tidak memahami zaman kegelapan yang dilalui pada tahun 80-an dan 90-an. Untuk sebuah negara yang mempunyai 30 juta penduduk, sukan seolah-olah tidak wujud. Media cetak secara umum lebih mendedikasikan ruang kepada sukan antarabangsa berbanding sukan tempatan (walaupun surat khabar The Star – patut diberi pujian yang memberikan ruang buat liga di negeri-negeri). Lihat sahaja padang bola sepak pada hari minggu, hanya segelintir organisasi sahaja yang menganjurkan aktiviti mereka manakala aktiviti online melibatkan pasukan bola sepak tempatan yang bukan di Liga Super dan Perdana sukar dikenalpasti selain penyiaran siaran langsung bola sepak tempatan yang amat jarang sekali.
Di padang bola, ia seolah tidak ada pemahaman mendalam tentang perlawanan melibatkan pasukan / kelab ataupun sokongan yang diberikan. Pengetahuan yang cetek tentang pertandingan yang dianjurkan secara tidak langsung akan memberikan impak kepada keputusan yang diraih oleh skuad kebangsaan. Jika ada hanya beberapa liga yang dipertandingkan secara kompetitif maka tidak akan wujud pemain berkualiti yang akan memberikan tekanan atau seterusnya memperbaiki mutu pemain sedia ada yang beraksi di pentas tertinggi.
Jika FAM dan persatuan negeri lebih pro-aktif di tahap akar umbi, mungkin lebih banyak kelab yang berfungsi secara sendirian seperti kelab yang berpangkalan di Pulau Pinang – Sungai Ara akan wujud. Saya pasti ada banyak kelab yang relevan di daerah di sekitar Malaysia seperti Sungai Ara yang ditunjangi mereka yang bermotivasi ini, namun agak sukar untuk mendapatkan maklumat tambahan tentang kelab-kelab ini.
Perbandingan Struktur
Liga Bola Sepak Rakyat secara rasmi bermula tahun ini. Ia permulaan yang berada di landasan tepat dan dilihat akan menambah baik struktur liga di negeri-negeri ketika ini. (hanya 2 divisyen di KL dan Melaka, dan 3 divisyen di Selangor). Dan saya amat berpuas hati mendengar bahawa penajaan Datuk Vida kepada bola sepak di Kelantan turut melibatkan pembangunan di tahap akar umbi serta merangkumi liga di daerah tempatan.
Daripada maklumat yang dikumpul boleh saya simpulkan bahawa ada struktur di Malaysia melibatkan dua liga bertaraf profesional, 18 kelab semi-pro di Liga FAM dan kira-kira 150 kelab melibatkan pasukan di peringkat negeri yang boleh dilabel sebagai kelas ‘4’. Lebih bawah daripada itu, terdapat beratus kelab di seluruh Malaysia yang beraksi di liga amatur sekitar daerah tempatan.
Ingin saya berikan perbandingan secara mendalam terhadap sistem yang menganjurkan pertandingan kepada pemain yang ternama. Di United Kingdom (UK), terdapat satu sistem yang dikendalikan oleh pegawai atau dipanggil “Blazers” dalam persatuan bola sepak yang bertanggungjawab untuk menganjur dan menguruskan struktur yang akan memberikan penekanan mendalam kepada bola sepak Inggeris.
Struktur Piramid England
Ambil kira struktur ini. Di bawah Liga Perdana Inggeris, terdapat 3 liga profesional (Kejuaraan, Divisyen 1 dan Divisyen 2). Seterusnya, yang menjadi tunjang kepada 4 liga terbesar di UK adalah Liga Kebangsaan (peringkat ke-5), serta liga daerah (peringkat ke-6) yang membentuk keseluruhan Liga Kebangsaan yang mendapat sokongan 3 lagi liga daerah. Di peringkat ini, kebanyakan kelab (150 kelab secara keseluruhan) adalah profesional sepenuhnya dan bertanggungjawab terhadap stadium mereka sendiri.
Peringkat ketujuh menyaksikan tambahan lagi 60 kelab hampir bertaraf profesional iaitu Liga Selatan seperti kelab Farnborough – dimana pemain kebangsaan, Junior Eldstal mengembangkan kerjaya bola sepak ketika usia remajanya. Ini termasuk kelab dari Liga Utara Perdana & Isthmian yang mencuba nasib untuk mengintai slot ke peringkat yang lebih tinggi. Terdapat pengecualian : jika anda mengambil majoriti kesemua pemain di Malaysia pada peringkat 1 dan 2 dan memindahkan mereka kepada sistem di UK, mereka dijangka akan sekadar menghuni kelompok peringkat ketujuh sahaja.
Dibawah peringkat ketujuh dan kelapan, terdapat pengagihan secara khusus mengikut daerah yang akan membentuk sistem ‘piramid’. Setiap liga di daerah ini mempunya 16 kelab atau lebih dan ada di antara liga ini turut mempunyai divisyen. Jika anda sampai ke peringkat ke-11, bermulalah persatuan bola sepak di peringkat mukim.
Bersabarlah dengan saya.
Terdapat 51 mukim persatuan bola sepak termasuk satu persatuan yang bertanggungjawab untuk mengendalikan sekolah Inggeris. Mari kita lihat kepada hanya satu persatuan sahaja. Ambil contoh Liverpool FA. Persatuan ini mengurus dan mengendalikan aktiviti bola sepak di Liverpool : – 9 Liga Sabtu Lelaki, 11 Liga Ahad Terbuka untuk lelaki, 29 Liga Remaja, 3 Liga untuk wanita dan 10 Liga Futsal. Dan Liverpool adalah mukim terbesar daripada 51 persatuan ini!
Ambil contoh satu kelab di bawah satu mukim daripada 51 persatuan ini. Satu kelab lama berpangkalan di Liverpool bernama Old Xavarian. Lebih terkenal dengan nama ‘Old Xavs’, kelab ini dibentuk daripada bekas pelajar sekolah itu yang menjadikan padang sekolah mereka sebagai laman sendiri. Xavs mengurus dan mengendalikan 5 pasukan senior, 4 pasukan veteran dan 11 pasukan remaja dari umur bawah 7 tahun sehingga pasukan umur bawah 14 tahun. Pasukan ini dikendalikan atas dasar sukarelawan dan beroperasi di sebuah rumah yang dibina di atas padang sekolah dengan rata-rata pemain adalah bekas pelajar sekolah itu.
Sekolah tersebut juga mempunyai pasukan yang bermain dalam pertandingan anjuran mukim itu dengan nama pemain masa depan seperti, Sammy Lee, David Warner dan Mike Newell belajar bermain secara kompetitif. Tujuan beberapa perenggan terakhir ini adalah untuk menunjukkan begitu mendalamnya struktur bola sepak di UK. Ianya jauh lebih sistematik daripada liga elit di Malaysia.
Antara nilai tambah untuk liga yang begitu sistematik dan mendalam ini adalah, jika seseorang pemain itu tidak bagus mereka boleh digantikan dengan pemain yang lain dengan mudah. Ia secara tidak langsung akan mewujudkan persekitaran di mana, hanya yang terbaik akan terus bermain di pentas tertinggi. Dan kepada mereka yang tidak begitu bagus, mereka masih boleh bermain bola sepak secara serius dan sistematik di peringkat bawahan yang dianggap bersesuaian dengan tahap mereka.
Perbandingan : Jerman lwn Malaysia
Situasi ini agak sama dengan apa yang berlaku di Jerman di mana ada 14 peringkat secara tersusun buat pemain yang beraksi di pentas kebangsaan, daerah dan juga negeri. Ada lebih kurang 336 kelab bola sepak profesional yang mempunyai 1 hingga 5 peringkat, sementara lebih kurang 369 kelab semi profesional yang bermain di peringkat 6 dan 7, selain 30,000 didaftarkan bermain bersama pasukan di liga amatur di Jerman.
Jika anda mencari klu mengapa bola sepak Jerman sungguh bagus, ternyata ada klu disitu, kenyataan bahawa Jerman adalah sebuah negara bola sepak.
Bukan sahaja di Jerman dan di United Kingdom, contoh yang lebih dekat lagi, Jepun. Di Jepun sistemnya adalah Liga J1, J2 dan J3 profesional sepenuhnya. Liga bawahan bola sepak Jepun pula berada di bawah 9 daerah liga sebelum dipecahkan kepada 47 liga di bawah naungan wilayah. Lesen diperlukan bagi membolehkan mereka melonjak ke saingan divisyen.
Bukannya secara kebetulan Jepun berjaya melangkah ke Piala Dunia. Mereka punya struktur mantap untuk bersaing di kejohanan kompetitif.
Dimana Mereka Sekarang?
Sebagai contoh bagaimana kurang kompetitifnya saingan bola sepak di Malaysia, mari kita imbas kejayaan ketika Sukan SEA Laos 2009 lalu. Daripada 18 pemain yang membarisi pasukan, hanya Zaquan Adha dan Sabre Mat Abu yang beraksi bersama pasukan di Liga Super pada tahun 2016. Tujuh daripada mereka masih beraksi bersama skuad kebangsaan. Tiada seorang pun di antara 18 pemain ini beraksi di Liga Perdana. Ini menunjukkan sama ada skuad negara ketika memenangi kejuaraan Sukan SEA 2009 itu adalah yang terkuat, ataupun ketika itu ada alternatif ketika sesi pemilihan pemain ke Sukan SEA 2009.
Selepas terikat seri bertemu Macau pada aksi persahabatan yang lalu, Datuk Ong Kim Swee menyatakan “ ini adalah penyerang terbaik di Malaysia… yang beraksi secara konsisten di Liga Malaysia”, dan ternyata dia tidak bergurau ketika mengungkapkan ayat itu.
Sebagai perbandingan : England berjaya melangkah ke final Kejohanan UEFA Bawah 21 tahun pada tahun yang sama, 2009. Daripada 22 pemain yang berada dalam pasukan yang tewas kepada Jerman di saingan akhir, hanya Joe Hart yang tampak berpotensi mewakili England di Euro 2016. Tiga pemain lain, James Milner, Theo Walcott dan Danny Rose ada prospek yang baik, tetapi mungkin terpaksa akur terlepas peluang itu bersama Kieran Gibbs.
Pemain lain seperti James Tomkins, Mark Noble, Lee Cattermole, Craig Gardner, Gabby Agbonlahor dan Micah Richards masih lagi bermain bersama pasukan di Liga Perdana Inggeris, begitu juga Adam Johnson. Frazier Campbell beraksi bersama Crystal Palace selain Michael Mancienne dan Nedum Onuoha menjadi sebutan di liga Jerman dan Scotland.
Namun Ian Crainie (Huddersfield), Scott Loach (Lincoln), Richard Stearman dan Joe Lewis (Fulham), Andrew Taylor (Wigan) dan Andrew Driver (Graafschap) jauh daripada pretasi terbaik mereka dan berjaya dipintas pemain meningkat naik seperti Jamie Vardy, Tom Heaton, Chris Smalling, Charlie Austin, John Stones dan Delli Ali.
Saingan di pentas kompetitif di England ternyata punya tekanan yang sungguh tinggi kepada pemain bagi memastikan mereka sentiasa di kemuncak prestasi. Jika mereka gagal, mereka tidak akan berada di kelompok atasan. Apabila Ong Kim Swee menyatakan pemain yang dia ada adalah pemain terbaik yang ada di negara ini, dia betul. Namun apabila ranking menjunam ke tangga ke 170, dan kita tidak mempunyai pemain yang lebih baik sejak 2009, tentunya ada masalah besar yang sedang berlaku dalam menjana pemain-pemain berpotensi ketika ini.
Kita cuba mencari punca masalah sebenar kemerosotan prestasi bola sepak Malaysia, mungkin kurangnya persaingan menjadi punca kejatuhan prestasi. Kurangnya kejohanan dan persaingan dalam liga menjadikan masyarakat menjadikan bola sepak sesuatu untuk ditonton, bukan dilakukan.
Jadi, apakah Malaysia sebenarnya sebuah negara bola sepak?
Pelabur
Ada beberapa individu – seperti Tunku Mahkota Johor, yang aktif dalam membangunkan bola sepak atau Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam yang berusaha melakukan perubahan drastik dalam liga. Namun usaha untuk memartabatkan bola sepak tidak boleh dilakukan hanya dalam peringkat tertinggi.
Ada yang mengatakan perlunya pembangunan dalam liga amatur yang akan membawa kepada persaingan kebangsaan. Perlu adanya pasukan yang berasaskan bandar dan daerah bagi menambah persaingan di peringkat negeri (bagaimana bandar Petaling Jaya tidak mempunyai wakil dalam bola sepak?). Mengapa Kuala Lumpur ada dua divisyen pasukan sedangkan Liverpool County FA ada tujuh di peringkat amatur. Inilah perbezaannya.
Perkembangan Liga Bola Sepak Rakyat dialu-alukan, tetapi sekiranya Malaysia adalah negara bola sepak, tentunya ia menjadi permulaan yang baik.
Pelaburan tidak perlu dalam bentuk wang ringgit. Dalam negara yang kukuh sebagai negara bola sepak, pelaburan dilakukan menerusi masa dan usaha rakyat. Dalam setiap 30,000 kelab amatur di Jerman yang dikendalikan oleh kumpulan yang mempunyai minat mendalam dalam bola sepak, selain beribu komuniti sukarelawan.
Permintaan
Usaha Astro Arena menerusi program Kem Bola menunjukkan beribu-ribu kanak-kanak di negara ini mahu bermain bola sepak dengan cara yang betul. Malangnya mereka tidak mempunyai peluang. Liga remaja seperti Liga 1MCC ataupun Liga Bola Sepak Remaja di Subang Jaya menjadi contoh liga sebenar. Saya yakin banyak lagi liga wujud seperti ini tetapi kurangnya pendedahan tentang liga sebenar merencatkan pembangunan mereka.
Pelabur Frenz United sudah menghabiskan berjuta ringgit dengan membina akademi selain menyediakan perlawanan bertaraf antarabangsa kepada pelajar mereka kerana mereka tidak nampak adanya kejohanan dalam peringkat umur yang boleh dijadikan sandaran.
Tetapi sekarang, graduan Frenz United berdepan satu lagi masalah. Apabila umur mereka melepasi 18 tahun, ada hanya beberapa tempat untuk mereka. Namun tidak semuanya cukup buat mereka bergelar pemain profesional selain terpaksa mencari pasukan semi profesional yang jumlahnya tidaklah sebanyak mana.
Saling Mempersalahkan
Jika Frankie d’ Cruz menyatakan, bola sepak adalah milik rakyat, justeru kesalahan kurangnya pengurusan dengan lebih terurus jatuh di tangan FAM dan tentunya kesalahan itu tidak jatuh di tangan satu pihak sahaja.
Jika bola sepak menjadi milik rakyat, tidakkah ianya perlu untuk kita mengadaptasi apa yang Jepun, Jerman dan United Kingdom lakukan. Lambakan sukarelawan di peringkat akar umbi untuk memulakan inisiatif baru, lebih penyokong hadir membanjiri stadium memberikan sokongan walaupun permainan bukan di peringkat atasan, juga lebih banyak organisasi media yang melaporkan perkembangan di liga bawahan.
FAM dan persatuan negeri ada banyak tugas yang perlu dilakukan juga iaitu menjana struktur pentadbiran yang lebih baik. Namun contoh yang baik menyaksikan banyak lagi cara yang boleh dilakukan. Ada sebabnya Jerman, England dan Jepun menjadi kuasa besar bola sepak di pentas dunia, bukan sekadar punya kelab ternama.
Jadi adakah bola sepak Malaysia milik rakyat?