June 8, 2014
SURAT TERBUKA (OPEN LETTER) KPD MENTERI BESAR JOHOR DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN
Hassan Karim d/a Tetuan Hassan Karim & Co. Peguambela & Peguamcara Bilik 6, Aras 2, Wisma Qaryah, Jalan Pejabat 82000 Pontian, Johor. Tel: 07-6881839 (H/P:0127931148)
Tarikh: 7hb Jun 2014
Kepada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin Menteri Besar Johor Pejabat Menteri Besar Johor Aras 3, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, 79000 Nusajaya, Johor
YAB Datuk Seri
Asalamualaikum Saudara,
PER: RANG UNDANG-UNDANG LEMBAGA PERUMAHAN DAN HARTANAH JOHOR
Dengan rendah hati saya memperkenalkan diri saya. Nama saya Hassan Karim seorang rakyat Johor, warganegara Malaysia yang tinggal di Pontian, Johor serta beralamat seperti di atas.
Surat terbuka ini ditujukan dan dialamatkan kepada saudara selaku Menteri Besar Johor. Saya ingin merujuk perkara yang tersebut di atas iaitu mengenai Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor, ringkasnya RUU (LPHJ)
3 Saya mendapat maklum dari media bahawa pada hari Isnin ini 9.6.2014 RUU (LPHJ) akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Nusajaya. RUU(LPHJ) itu jika diluluskan oleh DUN maka ia akan menjadi satu enakmen yang mempunyai ciri-ciri, antara lainnya seperti berikut:-
(a) ia memberi kuasa kepada Sultan Johor untuk menyelia akaun LPHJ;
(b) Sultan Johor mempunyai kuasa membubar dan melantik ahli lembaga pengarah baharu;
(c) Sultan diberi kuasa menentukan jumlah elaun dan saraan ahli lembaga pengarah;
(d) Sultan diberi kuasa melantik seorang pengarah yang boleh dipilih sebagai Ketua Eksekutif LPHJ.
4. Saya percaya jika RUU (LPHJ) seperti yang ada sekarang diluluskan maka ia akan membawa implikasi bahawa Kerajaan Johor yang dipilih oleh rakyat memberi kuasa kepada Sultan untuk terlibat dalam urusan pentadbiran kerajaan.
5. Saudara sebagai Menteri Besar yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam kabinet Kerajaan Persekutuan Malaysia tentu lebih faham bahawa RUU (LPHJ) yang akan dibentangkan di DUN Johor ini adalah bercanggah dengan konvensi sistem berkerajaan di Malaysia yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
6. Saudara sebagai Menteri Besar Johor mestilah menjadi banteng untuk mempertahankan kedua-duanya iaitu institusi Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Saudara mesti mengambil apa juga langkah untuk mengelakkan supaya Sultan Johor tidak terlibat dalam pentadbiran kerajaan negeri secara langsung sebagai kuasa eksekutif. Ini untuk mengelakkan Sultan Johor dari terdedah kepada penghinaan.
Sebagai contoh, sebagai seorang yang dilatih sebagai peguam, saudara tentu faham bahawa jika Sultan diberi kuasa untuk membubar dan melantik ahli lembaga pengarah LPHJ, maka keputusan Sultan itu adalah satu keputusan eksekutif kerajaan dan ia boleh dicabar di mahkamah di dalam prosiding Semakan Kehakiman (Judicial Review). Sanggupkah saudara melihat kebawah duli Sultan Johor diheret ke Mahkamah Sivil sebagai seorang responden oleh pihak-pihak yang berasa terkilan apabila diberhentikan sebagai ahli lembaga pengarah? Jika ini berlaku tidakkah Sultan akan terdedah kepada penghinaan? Jika saudara masih sayangkan Sultan!
7. Saya ingin bertanya, adakah saudara mendapat nasihat perundangaan dari Penasihat Undang-Undang Negeri Johor (PUNJ) apabila saudara sebagai ketua Majlis Jemaah Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor, mudahnya kerajaan Johor hendak membentangkan RUU (LPHJ)? Jika ada nasihat dari PUNJ, apakah nasihat mereka? PUNJ memikul tanggungjawab sebagai penasihat undang-undang kepada Kerajaan Johor. Siapa yang menderaf RUU (LPHJ) ini? Adakah diteliti oleh PUNJ? Jika PUNJ berkata “ Yes” sahaja terhadap RUU (LPHJ) itu nyata sekali PUNJ telah melakukan satu kecuaian. Tapi ini satu spekulasi sahaja.
8. Jadi siapa sebenarnya yang menderaf, mendesak supaya RUU (LPHJ) ini dibentangkan? Adakah Sultan Johor tahu? Adakah baginda setuju? Atau adakah baginda Sultan yang mengarahkan supaya dibentangkan dengan peruntukan seperti yang ada sekarang? Ini satu pertanyaan. Saudara mesti telus. Perkara ini sudah jadi isu nasional.
9. Sekarang saudara perlu memikul satu lagi tanggungjawab. Saudara jadi Menteri Besar kerana saudara menang sebagai calon di kawasan Dewan Undangan Negeri Permas, dalam negeri Johor. Parti politik saudara UMNO/Barisan Nasional menjadi parti yang menang majoriti di DUN Johor. Saudara tidak berada di dalam DUN Johor kerana dilantik oleh Sultan. Rakyat yang lantik saudara. Jadi saudara perlu memikul satu lagi konvensi sistem bernegara dan bernegeri di Johor dan Malaysia ini iaitu sistem Demokrasi Berparlimen.
10. Demokrasi berparlimen adalah secara mudah difaham ialah kuasa rakyat yang memilik satu kerajaan iaitu kerajaan pilihan rakyat melalui satu pilihanraya yang bersih dan adil. Jadi tugas saudara sebagai Menteri Besar ialah sentiasa bersikap cermat, waspada, dan sentiasa cemburu supaya kuasa kerajaan pilihan rakyat tidak diceroboh oleh pihak istana. Bukan seperti apa yang berlaku sekarang. Saudara telah buka pintu seluas-luasnya untuk Sultan berkuasa di dalam hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri khususnya dalam satu bidang yang amat penting dan strategik iaitu sektor perumahan dan hartanah. Jadi saudara telah pecah amanah yang diberi oleh rakyat. Saudara telah gagal untuk mempertahankan sistem demokrasi berparlimen di Johor. Perlu diingat, Johor bukan satu negeri berdaulat dan merdeka sendiri. Johor adalah satu komponen dalam Persekutuan Malaysia yang merdeka.
11. Saudara selaku Menteri Besar perlu memikul tanggungjawab terhadap isu ini yang boleh menjadi satu skandal perundangan dan perlembagaan. Saudara perlu dipersalahkan sekiranya akhirnya institusi raja dan Sultan Johor dihina rakyat. Saudara perlu melindungi hal seperti itu berlaku. Ini memerlukan seorang Menteri Besar yang bijaksana, tegas dan berpandangan jauh untuk menasihati Sultan, jika di pihak Sultan sendiri yang begitu ghairah untuk mempunyai kuasa eksekutif. Saudara mesti menasihati baginda.
12 .Saudara selaku Menteri Besar patut turun padang dan mendengar keluhan dan kegelisahan rakyat. Adakah saudara tahu bahawa di Johor sekarang sudah menjadi satu rahsia umum bahawa Sultan Johor secara langsung atau melalui nominenya atau proksinya terlibat dalam hal perniagaan termasuk dalam sektor perumahan dan hartanah. Saudara tentu sedar sektor hartanah terutamanya hartanah mewah sedang berkembang pesat di Iskandar Malaysia? Saudara tentu sedar banyak kawasan laut dan selat serta pantai sedang rancak di tambak di Johor Bahru dan Iskandar Malaysia seperti di Nusajaya dan Gelang Patah, juga Pengerang. Adakah saudara sedar bahawa tanah-tanah yang ditambak itu kemudiannya di jual kepada syarikat-syarikat pemodal asing dari Singapura, Hong Kong dan China? Masakan saudara sebagai Menteri Besar tidak sedar tentang hal ini atau saudara mahu menafikannya? Adakah saudara sedar ada dakwaan bahawa Sultan Johor terlibat dalam menjual tanah-tanah itu kepada syarikat milik asing?
13. Dengan saudara yang menerajui RUU (LPHJ) pada hari Isnin depan ini, maka saudara yang mesti pikul tanggungjawab jika Sultan Johor akan dipersoalkan oleh rakyat. Jika Sultan Johor terlibat dengan perniagaan dalam bidang hartanah, dan enakmen baru jika diluluskaan memberikan baginda kuasa ke atas urusan pentadbiran hal perumahan dan hartanah, tidakkah itu akan berlaku percanggahan kepentingan (conflict of intersest)? Sepatutnya saudara elakkan perkara ini daripada berlaku.Ini satu kecuaian saudara.
14 .Apa tujuan sebenarnya saudara hendak bentangkan RUU(LPHJ) hari Isnin ini? Adakah saudara mahu melihat institusi raja di Johor ini lebih cepat berkubur apabila rakyat marah. Seperti apa yang berlaku dalam Revolusi Perancis dan dekat di sini Revolusi Sosial di Indonesia? Jangan orang melawak akhirnya di dunia ini tinggal raja dan permaisuri daun terup atau daun pakau sahaja. Tinggal raja lekuk, raja sepit dan suku sakatnya.
15. Saudara perlu bertanggungjawab selaku mamak menteri atau Menteri Besar jika peristiwa pemberontakan ke atas raja dan sultan berlaku di Johor. Ingat semula kisah benar Sultan Mahmud Mangkat Dijulang di Kota Tinggi. Di Pengerang, beratus-ratus nelayan miskin dari pelbagai kaum, tetapi majoritinya Melayu, periuk nasi mereka seperti “dicampak pasir” apabila pasir-pasir di tengahlaut disedut oleh Syarikat Mados Sdn Bhd dengan kelulusan Kerajaan Negeri Johor untuk ditambak di kawasan tangkapan ikan para nelayan tersebut untuk tujuan membina satu projek terminal laut dalam milik syarikat-syarikat besar. Syarikat Mados Sdn Bhd ini sebuah syarikat milik Sultan Johor.
16. Jadi saya nasihatkan sebelum Sultan Johor jadi mangsa skandal penghinaan yang lebih parah, lebih baik saudara tarik balik RUU(LPHJ) itu. Pinda semula. Gugurkan semua peruntukan yang memberi kuasa kepada Sultan dalam enakmen itu. Jangan heret Sultan ke dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri. Saudara sebagai Menteri Besar dan para Exco saudara dalam Jemaah Mesyuarat Kerajaan Negeri yang mesti pikul tanggungjawab atau akauntabiliti dalam sistem demokrasi berparlimen. Baru ada fungsi Dewan Undangan Negeri untuk lakukan semak dan imbang/check and balance. Jika saudara silap, atau gagal, dalam pilihanraya umum nanti rakyat ada remedi untuk ganti kerajaan saudara dengan kerajaan lain pilihan rakyat. Rakyat tidak perlu marahkan Sultan. Sultan tidak bertanding dalam pilihanraya.
Sekian sahaja surat saya ini. Harap maaf jika ada tersilap kata dan bahasa.
Terima kasih. Yang benar Hassan Karim
June 8, 2014
Bisik-Bisik Awang Selamat
Lemah kah MB Johor Khaled Noordin?
oleh Awang Selamat
Menjunjung kasih
Bagi mengelakkan sebarang salah faham, disalah erti dan dimanipulasi terutama pihak yang mahu menangguk di air keruh, Awang memulakan ruangan ini dengan menjunjung kasih ke atas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.
Juga ikrar taat setia kepada baginda. Tidak sesekali terbit di hati untuk menyinggung perasaan atau membuatkan baginda murka. Perlu dinyatakan bahawa Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia ialah akhbar paling komited mempertahankan perlembagaan, kedudukan Islam dan Raja-raja Melayu.
Sesiapa sahaja boleh membuat kajian mengenainya. Sampai hari ini Utusan tidak goyah biar apa pun dugaan yang dilalui. Ketika institusi Raja diasak, dihina dan ditohmah oleh pelbagai pihak, Utusan berada di hadapan mempertahankannya. Apatah lagi jika berdepan dengan golongan yang mahu menulis semula perlembagaan dan menghapuskan sistem Raja Berperlembagaan, Utusan telah terbukti mengambil pendirian yang berani dan lantang menentang mereka. Utusan tidak pernah lari daripada perjuangan murni ini, yang sudah menjadi kepercayaan kami.
Namun media juga harus memainkan peranan sebenar. Kasih sayang kepada institusi Raja juga bererti bersama-sama melindunginya daripada terdedah kepada penghinaan apalagi terhakis keyakinan rakyat. Maka menjadi tanggungjawab untuk media melahirkan pandangan dan kritikan yang membina jika dirasakan sangat perlu, asalkan dalam lingkungan yang positif . Itulah semangat yang dibawa dalam memperkatakan isu Rang Undang-Undang bagi menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ).
Tiada sebarang niat serong. Jika laporan mengenainya dimurkai, Awang pasrah. Biarlah dimurkai Raja asalkan dapat membawa suara rakyat kerana antara rakyat dan Raja berpisah tiada. Seharusnya pembesar istana berlapang dada dan responsif terhadap apa sahaja maklum balas. Itulah juga resipi menjadikan institusi Raja lebih disanjung dan disayangi rakyat. Daulat Tuanku.
Lemahkah?
Ramai gusar apabila Menteri Besar Johor, Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa Rang Undang-Undang bagi menubuhkan LPHJ tetap akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri, esok.
Nampaknya ia bercanggah dengan suara pelbagai pihak meliputi badan-badan bukan kerajaan, tokoh akademik, penganalisis perundangan, politikus hinggalah kepada negarawan.
Jika mahu mengambil semangat demokrasi memandangkan isu tersebut mempunyai implikasi besar, elok ia ditangguhkan. Tidak rugi apa-apa dan untuk apa tergesa-gesa. Dapatkanlah terlebih dahulu maklum balas pelbagai pihak terutama rakyat Johor sama ada mahu berpegang kepada Raja kuasa mutlak atau Raja Berperlembagaan.
Awang tidak mahu mempertikaikan kewujudan LPHJ walaupun tanpa lembaga seumpama itu agenda perumahan kos rendah dan mampu milik termasuk untuk bumiputera boleh dilaksanakan sebagaimana di negeri lain. Yang penting ialah kemahuan politik yang tinggi dalam agenda perumahan rakyat, memantau pelaksanaan dan menghukum pemaju yang gagal dalam tanggungjawab mereka. Tetapi biarlah kerajaan Johor dengan formulanya sendiri. Cuma yang menjadi persoalan, lemahkah pentadbiran negeri sehingga terpaksa mewujudkan LPHJ dengan penglibatan Sultan? Apakah ada jaminan tiada campur tangan Sultan walaupun Menteri Besar menekankan bahawa beliau tetap ada kuasa eksekutif? Bab inilah yang lebih dikhuatiri.
Dilema MB
Menjadi harapan ramai agar Menteri Besar benar-benar menggunakan kuasa eksekutif dalam pentadbiran negeri. Cakap-cakap berlegar di Johor bahawa beliau dikatakan terikat tangannya dan lebih akur kepada banyak campur tangan istana terutama dalam pembangunan hartanah. Awang tidak pasti sejauh manakah kesahihan. Mungkin ada asas kebenaran atau ia sekadar persepsi yang berlegar begitu meluas. Tetapi sebahagian rakyat Johor resah dengan perkembangan di negeri itu. Mereka berkongsi banyak cerita dalam sektor hartanah dan kebocoran maklumat daripada para pegawai awam negeri yang membuak-buak rasa tidak senang.
Lalu timbul dakwaan liar merumuskan Khaled lemah dan asyik tunduk, yang Awang tidak fikir begitu. Inilah dilema mana-mana Menteri Besar yang mudah disalahertikan, adakalanya ditohmah. Awang tetap menyokong Khaled dan percaya potensi besar beliau akan lebih menyerlah selepas ini.
Semua orang tahu bukan mudah untuk menjadi Menteri Besar di Johor tetapi itu bukan alasan untuk Khaled mengambil jalan selamat. Apa pun, beliau harus menggunakan isu ini untuk memperlihatkan kualiti kepimpinannya. Krisis jika ditangani dengan betul akan menguatkan lagi seseorang pemimpin. Cuma beliau perlu tampil memberikan penjelasan lebih meyakinkan masyarakat yang makin kritis pemikiran mereka. Ingatlah bahawa beliau ialah ADUN yang dipilih oleh rakyat dan diberi mandat oleh Kerajaan Pusat untuk menjadi Menteri Besar. Dahulukanlah kepentingan rakyat biar apa cabaran sekali pun. Hal itu mesti kelihatan apatah lagi pada waktu yang kritikal.
Suara YB
Ucapan Ahli Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Johor, Tengku Putra Haron Aminur Rashid pada persidangan DUN baru-baru ini, menarik perhatian. Beliau membangkitkan beberapa isu antaranya kegiatan perjudian yang berleluasa di Johor. Begitu juga isu penjualan tanah kepada pelabur asing, yang hangat diperkatakan sekarang.
Memetik kata-kata beliau: “Kesetiaan, ketaatan dan kemurniaan hati warga Johor jangan sekali-kali dirobek apabila kita melayan orang asing atas nama menggamit pelaburan.”
Beliau meminta agar pentadbiran Menteri Besar tidak akan merelakan mana-mana pihak untuk membuat rakyat Johor khususnya di bumi Kempas menitis air mata mereka.
Tentu ada sebab, petunjuk sekelilingnya dan latar belakang yang kuat sehingga Tengku Putra boleh menzahirkan ucapan tersebut. Lebih mengejutkan apabila ADUN itu membuat pendedahan tentang satu memorandum persefahaman (MoU) antara hartawan negara jiran dengan pihak tempatan bagi mewujudkan sebuah syarikat keselamatan di Wilayah Pembangunan Iskandar. Syarikat asing itu bukan hanya untuk membekalkan 600 orang pengawal lengkap bersenjata malah dilengkapi jaringan peralatan serba canggih termasuk sistem perisikan.
Kebimbangan Tengku Putra Haron adalah dari aspek ancaman keselamatan dan kedaulatan Johor, yang tidak boleh diambil mudah. “Jangan sampai rakyat di negeri Johor menang bersorak tetapi negerinya tergadai.” Tahniah YB atas keyakinan untuk bersuara.
Mengadap…
Seorang teman bertanyakan kepada Awang, apakah wakil Utusan Malaysia dipanggil mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berikutan laporan di muka depan kelmarin berhubung isu rang undang-undang LPHJ dan kuasa sultan.
Itulah pertanyaan biasa dalam kalangan orang media setiap kali ada isu sensitif yang menyentuh istana Johor. Apa yang Awang boleh tolong jawabkan bagi pihak Utusan – tiada.
Keresahan orang media terhadap perkara seperti itu patut dihentikan. Sebenarnya tiada sebab dalam era moden terutama landskap media yang baharu, pembesar istana boleh sesuka hati memanggil editor atau wartawan, apatah lagi untuk dimarahi. Itu bukan cara wajar.
Awang pun kalau menjadi bos media tidak mahu datang sekiranya dipanggil mengadap untuk tujuan seperti itu melainkan jika diundang untuk berbuka puasa atau hal-hal lain yang kita semua boleh merasa selesa.
Jika ada sebarang teguran atau mahukan penjelasan daripada media, cukup sekadar Sultan atau pihak istana mengutuskan wakil untuk bertemu dengan orang media. Adalah tidak sesuai bagi Sultan mencemar duli berurusan secara langsung dengan mana-mana editor jika timbul situasi yang tidak menyenangkan. Itulah juga amalan pihak istana di Eropah, Jepun dan Thailand malah kesultanan negeri lain di negara ini kerana tidak mahu wujud salah tanggapan seolah-olah ada pihak seperti dibuli.
Awang percaya Sultan Johor walaupun terkenal dengan sikap tegasnya, adalah seorang budiman dan tidak akan merendahkan nilai serta darjatnya sebagai seorang Raja. Lebih-lebih lagi, zaman telah berubah.
© Utusan Melayu (M) Bhd