2014-11-07

“MELABUR DALAM PENDIDIKAN DAN MENJANA KEMAJUAN DEMI MEMENANGI MASA DEPAN DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT”

YB Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

Saya mohon mencadangkan supaya rang undang-undang yang bertajuk “Suatu enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2015 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca kali kedua.

PENDAHULUAN

YB Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan kerana dengan izin-Nya saya dapat berdiri di dalam Dewan yang mulia ini bagi menyampaikan ucapan Bajet Negeri Pulau Pinang tahun 2015 dalam persidangan dewan pada kali ini.

2. Saya juga ingin menzahirkan rasa syukur kepada Tuhan kerana diberi kesempatan kepada saya dan semua kepimpinan negeri untuk meneruskan tugas yang diamanahkan dan saya bagi pihak kepimpinan negeri beriltizam untuk melakukan segala yang termampu untuk terus membela dan menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri. Dengan usaha gigih dan bersungguh-sungguh, pengurusan serta program pembangunan yang terancang inklusif dan seimbang ini telah banyak memberi impak ke atas kualiti hidup rakyat.

YB Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

3. Bagi tujuan mengekalkan prestasi dan merancakkan pembangunan negeri yang lebih mampan pada tahun 2015, Kerajaan Negeri akan terus memberi penekanan kepada belanjawan berteraskan hasil (outcome-based budgeting). Laporan Ketua Audit Negara Bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Tahun 2013 telah merumuskan bahawa kedudukan kewangan negeri adalah baik. Kedua-dua Akaun Hasil Disatukan dan Kumpulanwang Disatukan mencatatkan peningkatan manakala prestasi pembayaran hutang awam adalah sangat baik. Secara rumusan, sistem pengurusan kewangan negeri melalui urus tadbir Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) telah menunjukkan bahawa pentadbiran bersih dan berhemah berupaya untuk menjana lebihan belanjawan yang sihat. Laporan Ketua Audit Negara juga telahpun memuji kemampuan Kerajaan Negeri dalam mengubahkan anggaran defisit RM262.04 juta dalam Belanjawan 2013 kepada lebihan RM1.30 juta. Ini bermakna Kerajaan Negeri meneruskan rekod belanjawan lebihan (atau surplus) untuk setiap tahun sejak 2008. Tanpa prejudis juga dan berdasarkan fakta yang terbukti dalam laporan-laporan Audit sebelum ini, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat amat berbangga dalam kejayaan-kejayaan yang dicapai dalam mengukuhkan kedudukan kewangan negeri sehingga kini.

4. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Kumpulanwang Disatukan telah mencecah RM1.29 billion pada tahun berakhir 31 Disember 2013, kenaikan RM100 juta atau 8.4% berbanding dengan 2012. Jumlah ini merupakan simpanan yang tertinggi yang pernah dicapai. Saya tidak menyangkal bahawa mungkin ada pihak yang memperlekehkan kejayaan ini dengan tohmahan bahawa simpanan terkumpul ini ialah kerana Kerajaan Negeri kedekut sehingga tidak membelanjakan wang. Kenyataan ini sama sekali tidak berasas. Sebenarnya Kerajaan Negeri membelanjakan RM832.42 juta dalam tahun 2013 berbanding perbelanjaan berjumlah RM540.08 juta pada tahun 2012. Kerajaan Negeri hanya berjimat kerana tidak mahu pemborosan, pembaziran di samping membendung penyelewengan dalam pengurusan kewangan. Dalam masa yang sama, hasil usaha ini Kerajaan Negeri telah berupaya meneruskan pelbagai program pembangunan dan kebajikan rakyat, di mana sejak dimulakan program bantuan sosial rakyat pada tahun 2008, lebih daripada RM192.98 juta hasil negeri telah diagihkan secara langsung secara wang tunai kepada rakyat.

5. Dalam usaha merealisasikan matlamat menjadikan Negeri Pulau Pinang sebuah negeri maju, pintar dan bertaraf antarabangsa menjelang tahun 2015, pembangunan modal insan yang berkemahiran tinggi, dilengkapi dengan pengetahuan sains dan teknologi, kompeten dan berintegriti sememangnya menjadi pra-syarat utama dalam agenda pembangunan negeri. Lantaran itu, kualiti perkhidmatan perlu ditingkatkan supaya mampu menjana perubahan dan peningkatan produktiviti terutamanya dalam menghadapi dunia tanpa sempadan pada hari ini. Justeru, konsep 3T iaitu Talent (Bakat), Technology (Teknologi) dan Tolerance (Toleransi) diyakini mampu meningkatkan keupayaan sesebuah masyarakat berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam mengekalkan modal insan cemerlang dalam kelompok yang kreatif dan berdaya maju.

Bajet 2015 bertemakan “Melabur Dalam Pendidikan Dan Menjana Kemajuan Demi Memenangi Masa Depan Dan Kesejahteraan Rakyat”, mencerminkan hasrat Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat untuk memastikan ekonomi negeri dapat terus berkembang dan mampan, dan dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat.

7. Bapa falsafah ekonomi buruh moden Jacob Mincer membuktikan hubungkait pengagihan pendapatan dengan pendidikan formal dan informal. Pendidikan formal adalah tahap persekolahan dan pendidikan informal adalah pengalaman atau latihan pekerjaan. Beliau mengirakan pendapatan tahunan seseorang pekerja boleh naik sebanyak 5-10% untuk setiap tahun tambahan pekerja itu bersekolah secara formal.

Pendapatan juga naik bagi pendidikan informal, tetapi pada kadar yang lebih rendah, untuk setiap tahun tambahan dalam pengalaman kerja atau latihan pekerjaan yang diperolehi oleh pekerja. Kerajaan negeri ingin mengikuti landasan teori “empirical” sumber manusia Mincer yang berpaksikan pendapatan sebagai fungsi persekolahan, pengalaman kerja dan kini merangkumi keupayaan bersemangat pasukan dan kualiti kempimpinan.

Cabaran utama adalah untuk mengujudkan pekerjaan pendapatan tinggi yang memberikan nilai sebenar kepada para pekerja, khususnya yang tidak berpeluang ke universiti. Sains dan teknologi adalah satu alternatif ke arah pekerajaan berpendapatan tinggi.

Kami memang peminat kepada kejayaan pendidikan vokasional sistem negara Jerman. Syarikat Jerman tersebut bukan sahaja melatih dan mendidik pelajar dengan penuh berkualiti tentang kepakaran yang diperlukan oleh syarikat tersebut, tetapi menawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan dalam syarikat selepas mereka menamatkan pengajian.

Kerajaan Negeri akan berusaha membawa sistem pendidikan vokasional negara Jerman dalam bentuk asal ke Pulau Pinang, di mana sekolah akan didirikan dalam kilang untuk melatih pelajar yang akan jadi bakal pekerjanya. Perbincangan sedang dijalankan dan kalau ini berjaya, bukan sahaja ia adalah kali pertama di Malaysia tetapi akan membuka suatu ruang dan dunia baru kepada anak negeri Pulau Pinang.

Cabaran berikutnya adalah untuk meningkatkan tahap dan nilai pendidikan sains, mathematik dan teknologi yang kian merosot sepertimana yang dinilai oleh Programme for International Students Assessment atau PISA. PISA menilai penguasaan sains dan matematik pelajar Malaysia berumur 15 tahun bukan sahaja 3 tahun ketinggalan dengan negara maju seperti Singapura dan Korea Selatan tetapi juga lebih mundur daripada Thailand dan Vietnam.

Untuk menaikkan standard sains dan matematik, Kerajaan negeri bercadang menubuhkan Penang Science Cafe (PSC), Penang Tech Dome (PTD) dan Penang Learning Center yang menawarkan pengajian STEM.

PSC berusaha menarik minat kanak-kanak dan pelajar-pelajar dengan menggalakkan mereka memainkan jari bukan dalam telefon bimbit tetapi merekakan robot dan menggerakkan alat-alat permainan yang statik.

PTD berusaha untuk meletakkan semua rekaan dan ciptaan yang baru dalam satu tempat agar boleh dipelajari dan memberikan sumber inspirasi tentang sains dan teknologi. Manakala STEM berusaha menimbulkan perhatian pelajar yang kurang minat ke atas kelebihan sains dan teknologi. Satu Pameran Antarabangsa Sains Pulau Pinang yang bertaraf dunia akan berlangsung selama dua hari pada 15-16 November di Stadium SPICE Arena.

Kerajaan Negeri harap usaha sedemikian boleh memudahkan usaha Kerajaan Negeri untuk mentransformasikan Pulau Pinang sebagai pusat kecemerlangan sains dan teknologi di Malaysia.

8. Seiring dengan matlamat yang ingin dicapai dalam tahun 2015, maka Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat telah merencanakan tiga (3) strategi utama dalam Bajet 2015 iaitu:

Strategi pertama : Memperkukuhkan kewangan negeri dan mempertingkatkan daya saing negeri;

Strategi kedua : Memperkasa pembangunan modal insan dengan mengukuhkan pendidikan dan penguasaan ilmu pengetahuan; dan

Strategi ketiga : Meningkatkan kesejahteraan rakyat khususnya dalam pembinaan rumah mampu milik dan pengangkutan awam.

STRATEGI PERTAMA : MEMPERKUKUHKAN KEWANGAN NEGERI DAN MEMPERTINGKATKAN DAYA SAING NEGERI

Ekonomi Negeri Pulau Pinang

9. Kita bersyukur kepada Tuhan kerana Negeri Pulau Pinang tidak mengalami kesan negatif yang ketara akibat pertumbuhan ekonomi yang perlahan berikutan keadaan krisis kewangan dunia yang tidak menentu. KDNK Negeri Pulau Pinang pada tahun 2013 adalah 5% berbanding dengan purata nasional 4.7%. KDNK telah meningkat daripada RM39.2 billion pada 2005 kepada RM62.6 billion pada 2013 iaitu peningkatan 6% setahun. Daripada jumlah ini, sumbangan sektor perkhidmatan kepada KDNK telah pun meningkat daripada 41.5% kepada 47.1% manakala sektor pembuatan menurun daripada 54.6% kepada 48.4%. Ini menunjukkan betapa penting sektor pembuatan dan perkhidmatan yang merangkumi 95.5% KDNK Pulau Pinang. Yang tak dijangka adalah peningkatan sektor pertanian daripada 1.6% KDNK kepada 1.9% KDNK manakala sektor pembinaan meningkat daripada 2.2% kepada 2.6%. Peningkatan sektor pertanian banyak bergantung kepada perkembangan sektor akuakultur khususnya di atas laut, di mana daripada sifar sangkar ikan atas laut telah meningkat kepada 300 sangkar ikan atas laut pada akhir 2013 yang kini menjana nilai pengeluaran sebanyak RM550 juta setahun. Kejayaan akuakultur ikan atas laut adalah satu pengesahan kepada keberkesanan urus tadbir CAT (Cekap, Akauntabiliti, Telus) di mana sistem permohonan dimudahkan dengan menghadkan permohonan kepada si pengusaha (tidak boleh disewakan) saiz maksima 8,000 meter persegi dan diluluskan secara automatik dalam 6 minggu dalam zon yang ditetapkan.

YB Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

Menyediakan Persekitaran Kondusif Bagi Pelaburan Luar

10. Memandangkan sektor pembuatan di Pulau Pinang merupakan penyumbang utama dengan nilai eksport sebanyak 25% nilai eksport Malaysia, sektor pelaburan terus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Negeri Pulau Pinang. Pulau Pinang adalah di antara negeri terbaik dari segi pelaburan langsung asing (foreign direct investment - FDI) di Malaysia bagi tempoh 2008 hingga Julai 2014 berjumlah RM30.2 billion. Mengikut Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), sejumlah RM4.6 billion projek pembuatan telah diluluskan untuk Negeri Pulau Pinang bagi tempoh Januari hingga Julai 2014 yang melebihi jumlah pelaburan keseluruhan tahun 2013 sebanyak RM3.91 billion. Tidak boleh dinafikan pelabur asing berminat datang ke Pulau Pinang kerana mereka mahu berada dalam persekitaran yang mencerminkan falsafah korporat mereka yakni bersih, efisien dan kompetitif sama dengan urus tadbir CAT. Kejayaan dalam sektor industri ini menyebabkan kadar pengangguran yang paling rendah di Malaysia sebanyak 1.7% berbanding dengan purata nasional 3.2% pada 2013. Malah Pulau Pinang kekurangan 20,000 pekerja.

11. Adalah perlu Pulau Pinang menjana pekerjaan pendapatan tinggi dan meningkatkan daya saing dan produktiviti kita. Pulau Pinang mempunyai potensi untuk menjadi hab serantau kelima terbaik dalam perkhidmatan perkongsian penyumberan luar (Shared Services Outsourcing-SSO) sebagai salah satu daripada 31 hab BPO global masa depan. Kerajaan Negeri juga telah mengorak langkah ke hadapan dengan membangunkan Hab Business Process Outsourcing (BPO) yang bernilai RM3.3 billion untuk pembangunan ruang pejabat dan campuran seluas 222,967 meter per segi (2.4 juta kaki per segi) yang telah dilancarkan pada 1 Mac 2014. BPO hab ini merangkumi tiga komponen utama iaitu Information Technology Outsourcing-BPO (IT-BPO) parks di Bayan Lepas dengan keluasan 74 ekar, BPO Prime di Bayan Baru dengan keluasan tujuh (7) ekar dan Creative Animation Triggers (CAT) dengan keluasan 9,290 meter persegi di Tapak Warisan Dunia George Town. Kesemua ini dijangka akan menjana 30,000 peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi apabila projek ini dibangunkan sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun.

Menggalakkan Perkembangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS)

12. Kita tidak boleh melupakan peranan penting oleh IKS memandangkan ianya menyumbang kepada rantaian bekalan bagi MNC serta syarikat-syarikat besar tempatan. Negeri Pulau Pinang juga telah diiktiraf oleh SME Corp Malaysia sebagai satu-satunya negeri di Malaysia yang memberi penekanan kepada pembangunan IKS.

13. Lantaran itu, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif melalui InvestPenang untuk membangunkan IKS di Pulau Pinang dengan menggunakan tiga (3) pendekatan iaitu penubuhan Pusat Penasihat Pasaran, Sumber dan Latihan IKS Pulau Pinang (Penang SME Market Advisory, Resource & Training – Penang S.M.A.R.T Centre), Pusat IKS Pulau Pinang RM40 juta (Penang SME Centre) sebagai pemangkin SME baru dan Perkampungan IKS Pulau Pinang di Batu Kawan (Penang SME Village) untuk kilang-kilang SME.

YB Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

Meningkatkan Potensi Industri Pelancongan dan Warisan

14. Di bawah methodologi baru Kementerian Pelancongan, Pulau Pinang menduduki tempat keempat selepas Kuala Lumpur, Pahang, Johor dengan 4.7 juta pelancong pada tahun lepas. Tahun ini, bilangan pelancong dijangka meningkat kepada 5.5 juta. Faktor utama imej Pulau Pinang dalam kaca mata pelancong bukan lagi pelancongan perubatan atau makanan lazat tetapi adalah Tapak Warisan UNESCO George Town mengikut satu kajian selidik yang terkini 2014 oleh USM. Imej kedua para pelancong tentang Pulau Pinang adalah makanan dan kemudian pantai berpasir. Oleh itu Kerajaan Negeri akan memantapkan usaha memelihara, melindungi dan mempromosikan warisan dengan menambahkan wang peruntukan ruang pejabat dan yang paling penting sumber kepakaran. Demi mengekalkan keistimewaan makanan penjaja Pulau Pinang yang enak, Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk melarang pekerja asing daripada menjadi tukang masak. Maklumbalas daripada orang ramai menunjukkan 85% yang sokong syor ini. Satu tempoh peralihan selama setahun akan diberikan sehingga 1.1.2016. Promosi pelancongan di Pulau Pinang akan diteruskan oleh Penang Global Tourism dengan penganjuran festival, muzik dan pelancongan sukan dalam acara squash, angkat berat dan badminton. Kini Pulau Pinang menjadi minat industri perfileman bukan saja daripada benua asia daripada Hong Kong, Taiwan, China, Singapura, India tetapi juga daripada BBC United Kingdom.

15. Bukit Bendera merupakan salah satu daripada produk pelancongan yang terkemuka di Pulau Pinang. Untuk menarik pelancong ke Bukit Bendera sebagai pusat peranginan terunggul di Malaysia. Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bukit Bendera telah menjalankan projek-projek mesra alam sekitar bernilai RM15 juta dan merancang mengadakan projek kereta kabel yang menghubungkan Taman Belia ke Bukit Bendera serta Teluk Bahang ke Bukit Bendera. Projek ini dianggarkan menelan belanja RM250 juta dan Kerajaan Negeri akan meminta bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

16. Kerajaan Negeri amat prihatin dalam melindungi aset dan bangunan warisan. Sehubungan itu, sebuah Muzium Kolonial usaha pihak ”private collector” yang bertujuan untuk menyimpan dan mempamerkan artifak bersejarah untuk tatapan umum akan dibina. Projek yang akan menelan belanja RM8 juta ini telah pun dipersetujui oleh Y.B. Menteri Pelancongan dan Kebudayaan ketika kunjungan beliau ke negeri ini pada 11 Ogos 2014 lalu.

17. Memandangkan tahun 2015 merupakan Tahun Melawat Pulau Pinang (Visit Penang Year 2015) dan selaras dengan kempen Tourism Malaysia untuk tahun 2015 yang bertemakan Year of Festivals, Kerajaan Negeri telah merancang untuk menganjurkan pelbagai acara tambahan selain daripada George Town Festival, International Jazz Festival, hiburan dan muzik Festival George Town.

18. Bagi memastikan kelangsungan projek-projek dan program-program tarikan pelancongan dan warisan bagi tahun 2015, peruntukan berjumlah RM27 juta akan disediakan berbanding dengan RM24 juta tahun ini.

Pertanian Sebagai Perniagaan

19. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM6.16 juta untuk pembangunan sektor pertanian di Pulau Pinang. Tumpuan pada masa ini adalah untuk projek-projek yang tidak memerlukan saiz tanah yang luas tetapi mempunyai nilai tambah (value added) yang tinggi seperti tanaman herba, rempah ratus, Rosella dan cendawan.

20. Program Tabung Usahawan Tani Muda, satu skim mikrokredit, yang telah diumumkan pada Belanjawan 2014, telah dilancarkan pada 13 Jun 2014 ketika Agrofest 2014 dengan dana awal sebanyak RM250,000. Melalui kerjasama Penang Development Corporation dan Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri, seramai 30 orang penerima telah dipilih untuk tahun ini bagi mendapatkan bantuan mikrokredit sebanyak RM5,000 untuk meningkatkan produktiviti dan memperkembangkan projek pertanian mereka.

21. Atas sambutan baik terhadap skim ini, maka Kerajaan Negeri akan meneruskan program ini dengan sumbangan sebanyak RM250,000 untuk tahun hadapan.

22. Bagi menjamin agar nelayan-nelayan di negeri ini hidup dengan lebih sempurna dan tidak terbeban maka Kerajaan Negeri akan meneruskan pemberian bantuan pukat pantai dua kali setahun kepada 2,981 orang nelayan yang berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di seluruh Negeri Pulau Pinang. Sehubungan itu, sejumlah RM1.6 juta akan disediakan pada tahun 2015 untuk kesinambungan program ini. Dalam agenda yang sama, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perikanan juga akan mengadakan pemantauan berkala terhadap kualiti air Sungai Muda, Sungai Perai dan Sungai Kerian memandangkan pada tahun ini sebanyak 250,000 ekor benih udang galah dan 200,000 ekor benih ikan lampam sungai telah dilepaskan.

23. Semasa seluruh negara dilanda fenomena Al-Nino pada awal tahun 2014, pengeluaran perikanan dan akuakultur juga turut merasai tempiasnya apabila jumlah pengeluaran ikan hanya mencatatkan 55,260 tan metrik manakala pengeluaran akuakultur mencatatkan 45,645 tan metrik sahaja. Keadaan ini menyebabkan penternak ikan di negeri ini mengalami kerugian yang besar. Bagi meningkatkan hasil pengeluaran perikanan di Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri akan mempercepatkan pembangunan Projek Zon Industri Akuakultur (ZIA) Penaga dan pembinaan tukun-tukun tiruan di tiga (3) tapak iaitu perairan Pulau Aman, Pulau Kendi dan Pulau Rimau. Dalam pada itu, Kerajaan Negeri juga sedang membuat pindaan kepada deraf akhir Garis Panduan Pembangunan Projek Akuakultur di Pulau Pinang dan akan merupakan negeri pertama yang mempunyai garis panduan seperti ini.

STRATEGI KEDUA : MEMPERKASA PEMBANGUNAN MODAL INSAN DENGAN MENGUKUHKAN PENDIDIKAN DAN PENGUASAAN ILMU PENGETAHUAN

Menyediakan Persekitaran Pendidikan Yang Kondusif (ESTEEM)

24. Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadi hab pendidikan sains dan teknologi satu Pusat Pembelajaran Karpal Singh telah dibina di Kampung Buah Pala dengan kos RM5 juta yang didermakan oleh ECM-Libra Foundation. Kerajaan Negeri akan membina sebuah Pusat Pembelajaran di semua daerah bagi menggalakkan pembelajaran berterusan di pelbagai peringkat umur. Satu Pusat Pembelajaran di Daerah Seberang Perai Tengah di atas tanah seluas empat (4) ekar akan dibina pada tahun depan. Pusat Pembelajaran ini akan memberi penekanan kepada empat (4) bidang utama iaitu Sains, Teknologi, Engineering dan Matematik (STEM). Kerajaan Negeri akan menambah dua perkara Bahasa Inggeris dan Engagement Teaching untuk menambah keupayaan interaksi sosial dalam penguasaan ilmu pengetahuan untuk menjadikannya ESTEEM teaching (Engagement Teaching, Science, Technology, Engineering, English, Mathematics).

Pembangunan Modal Insan ICT dan Pusat Animasi Malaysia

25. Pulau Pinang mempunyai potensi untuk menjadi satu ‛cluster’ Pusat Animasi di Malaysia pada masa hadapan. Sehubungan itu, Creative Animation Triggers (CAT) di Tapak Warisan UNESCO George Town Pulau Pinang boleh menghasilkan perkhidmatan pengisian bertaraf antarabangsa. Pulau Pinang memang memiliki kelebihan dengan memenuhi syarat 3T untuk menubuhkan ‘creative cluster’ iaitu “Talent, Technology and Tolerance”.

Membangun Masyarakat Berpengetahuan

26. Peningkatan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam perniagaan boleh mendorong kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan dalam semua aspek rantaian nilai. Satu kajian oleh McKinsey “The Internet’s Impact on Aspiring Countries” menunjukkan bahawa internet telah menyumbang 4.1% atau sebanyak USD9.75 billion kepada KDNK Malaysia yang berjumlah USD238 billion pada tahun 2010. Prestasi ini meletakkan Malaysia di kedudukan 30 teratas dalam negara yang berkembang pesat di mana internet berpotensi untuk mentransformasikan pelbagai perkara. Pulau Pinang memang harus menceburkan diri khususnya dalam ‘cloud computing’, Big Data Analytics (BDA) dan Internet of Things (IOT).

27. Seiring dengan perkembangan dunia tanpa sempadan pada masa ini, Kerajaan Negeri bercadang meminta High Speed Broadband di pasang yang akan dikendalikan menerusi mekanisme satu henti oleh YB Padang Kota serta menambahkan lagi hotspot WiFi percuma di seluruh Negeri Pulau Pinang daripada 1,550 hotspot WiFi kepada 3,100 hotspot WiFi dalam tempoh tiga (3) tahun akan datang. Segala usaha ini akan dibiayai menerusi perkongsian dengan pihak swasta atau melibatkan perbelanjaan jutaan yang belum dipasti lagi.

STRATEGI KETIGA : MENINGKATKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT KHUSUSNYA DALAM PEMBINAAN RUMAH MAMPU MILIK DAN PENGANGKUTAN AWAM

Program Perumahan untuk Rakyat

28. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan dana RM500 juta untuk membina 22,545 unit perumahan mampu milik (Affordable Housing Scheme-AHS) di kelima-lima daerah di Pulau Pinang dengan tawaran harga di antara RM42,000.00 hingga RM400,000.00. Beberapa projek telah memulakan pembinaan dan semoga projek pertama akan siap dalam masa 3 tahun lagi.

29. Bagi meningkatkan kemampuan golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah untuk layak mendapat pinjaman bank untuk membeli rumah, Kerajaan Negeri mencadangkan supaya Bank Negara memulihkan semula skim Developer Interest Bearing Scheme (DIBS) bagi pembeli rumah kali pertama. Pemulihan DIBS oleh Bank Negara adalah perlu bagi pembeli rumah kali pertama untuk hartanah yang bernilai kurang daripada RM400,000 agar dapat pinjaman bank untuk membeli rumah mereka.

30. Sebagai kerajaan yang berjiwa rakyat, di samping menyediakan perumahan mampu milik yang kondusif, fokus juga diberikan kepada usaha penyelenggaraan (maintenance) bangunan di semua rancangan perumahan kerajaan yang sedia ada iaitu melaksana kerja-kerja menaiktaraf sistem pendawaian elektrik, sistem perpaipan dan tangki air, lif serta perparitan. Pada tahun semasa 2014, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sejumlah RM11.3 juta untuk pembiayaan kerja-kerja menaiktaraf dan membaiki secara berperingkat semua 49 rancangan perumahan Kerajaan Negeri yang melibatkan 15,431 unit rumah. Usaha membaikpulih perumahan kerajaan diteruskan dalam tahun 2015 dan sebanyak RM15.11 juta diperuntukkan dalam tahun 2015 untuk kerja-kerja menaiktaraf dan penyelenggaraan.

31. Kerajaan Negeri melalui Projek Ekonomi Khas telah memperuntukkan sebanyak RM 2.09 juta untuk Program Pembaikan Rumah Rakyat Termiskin (Bina Baru dan Baiki) dengan nilai siling pembiayaan sebanyak RM35,000 untuk membina rumah baru dan RM11,000 untuk membaiki rumah asal. Atas dasar keprihatinan dan juga mengambil kira kenaikan kos bahan binaan, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menaikkan nilai siling bagi projek – projek ini; iaitu daripada RM 35,000 kepada RM 40,000 bagi tujuan membina rumah baru dan daripada RM11,000 kepada RM15,000 bagi tujuan membaiki rumah asal.

YB Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

Pengangkutan Awam Yang Cekap

32. Usaha Kerajaan Negeri untuk mendirikan satu sistem pengangkutan awam yang efisien dan selesa amatlah penting untuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya dan meningkatkan produktiviti. Usaha mengadakan sistem monorel dan pengangkutan awam terbantut ekoran keengganan Kerajaan Pusat untuk menunaikan janji yang dibuat 8 tahun dahulu dan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri telah pun mengambil inisiatif baru untuk mewujudkan sistem pengangkutan awam yang komprehensif dengan melancarkan Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang bernilai RM27 billion pada Mac 2013. Pelan Induk Pengangkutan Awam Pulau Pinang yang bernilai RM27 billion merangkumi cadangan lebuh raya / express way baru, pelebaran jalan-jalan sedia ada, menaiktaraf persimpangan-persimpangan dan merangka komponen pengangkutan awam yang terdiri daripada bas awam, sistem Light Rail Transit (LRT), tram, Bus Rapid Transit (BRT), keretapi, feri atau teksi air serta mengenal pasti lokasi-lokasi untuk ”Park and Ride”. Walaupun tender RFP ini hanya akan ditutup pada 16 Februari 2015, namun sehingga 12 September 2014, sejumlah 46 dokumen RFP dengan harga RM2,000 setiap set telah pun dijual kepada pihak yang berminat untuk menyertai tawaran tersebut.

33. Kerajaan Negeri juga sedang melaksanakan projek Mobile App yang dikenali sebagai Penang Intelligence Traffic and Transport System (PiTTs). Melalui sistem ini, pengguna akan dapat mengetahui maklumat pengangkutan awam, keadaan lalu lintas semasa dan pelan jalan ke semua lokasi di Negeri Pulau Pinang. Pelaksanaan ini terbahagi kepada dua (2) fasa iaitu fasa pertama bermula pada bulan Ogos hingga November 2014 dan fasa kedua akan bermula pada bulan Februari hingga April 2015. Dengan adanya sistem ini, Pulau Pinang menempah sejarah lagi sebagai negeri pertama yang mempunyai aplikasi khusus sebegini di samping aplikasi-aplikasi lain seperti Waze, Google Maps yang sedia ada dipasaran.

34. Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk melaksanakan Projek Penang Hop On Hop Off (HOHO) yang memfokuskan kepada kawasan-kawasan pelancongan terutama di Tapak Warisan Dunia George Town sehingga meliputi kawasan di Batu Feringghi. Perkhidmatan bas 2 tingkat ini yang dijangka menelan belanja RM10 juta setahun juga akan menarik para pelancong dijangka mula beroperasi pada Disember 2014 nanti.

YB Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

Meningkatkan Infrastruktur dan Kemudahan Asas

35. Dalam menunaikan komitmen Kerajaan Negeri untuk memantapkan dan meningkatkan lagi pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di bandar dan luar bandar, sejumlah RM32.7 juta disediakan pada tahun 2015, khususnya enam (6) projek pembinaan dan menaiktaraf jalan dengan anggaran kos berjumlah RM86.3 juta. Keenam-enam projek yang dimaksudkan ialah Projek Pelebaran Jambatan dan Menaiktaraf Jalan Dari Satu Lorong ke Dua Lorong dari Jalan Perusahaan hingga ke Persimpangan Lampu Isyarat Jalan Tok Kangar, SPT; Pelebaran Jalan Bukit Minyak-Alma, Bukit Mertajam; Cadangan Pembinaan Jalan Sambungan di Jalan Bunga Hinai dengan Jalan Bunga Kaca Piring sekitar SRJK(C) Hun Bin, DTL; Pembinaan Jambatan Sungai Machang Bubok di Jalan Gajah Mati, SPT; Menggantikan Pembentung Konkrit ke Jambatan Konkrit di Jalan Padang Lalang, SPT dan Projek Membina Jambatan Baru Merentasi Sungai di atas Laluan P.169, Kg. Tanjung Berembang, SPS.

36. Berkenaan dengan kemudahan awam untuk rakyat, Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) akan melaksanakan projek pembinaan Kompleks Pasar Awam dan Penjaja di kawasan Batu Feringghi yang melibatkan kos sebanyak RM10.89 juta dan memperuntukkan sebanyak RM20.8 juta untuk pengambilalihan tanah di kawasan Teluk Kumbar bagi pembinaan pasar awam. Selain daripada itu, MPPP juga sedang menaiktaraf dan mengubahsuai Pasar Chowrasta dengan kos RM12.19 juta dan menaiktaraf Kompleks Makan Padang Brown yang menelan belanja RM2.62 juta. Di samping itu, sejumlah RM3.0 juta juga diperuntukkan sebagai kos awal bagi perkhidmatan perunding untuk projek membina sebuah Kompleks Kolam Renang di Mukim 13, Jalan Paya Terubong, DTL.

37. Bagi kemudahan awam di Seberang Perai pula, Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan memperbaiki Dewan Haji Ahmad Badawi di Bagan yang diserang oleh anai-anai dengan kos anggaran RM1 juta untuk menggantikan bumbungnya. Di samping itu MPSP juga telah memohon pembiayaan sejumlah RM13.6 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 untuk melaksana projek pembinaan Dewan Serbaguna di Bandar Perda dan menaiktaraf Kompleks Sukan Bertam.

Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar

38. Kerajaan Negeri amat menekankan aspek pendidikan mengenai pencemaran kepada orang awam dan program Sekolah Hijau boleh menarik penglibatan pelajar dalam aspek pemuliharaan alam sekitar ibarat kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Bagi tahun 2015, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM1.8 juta untuk pembiayaan pengurusan program-program alam sekitar.

39. Kerajaan Negeri memang peka tentang kekerapan banjir baru-baru ini, yang berlaku di beberapa kawasan di George Town dan Seberang Perai akibat hujan yang amat lebat sehingga merupakan hujan lebih 20 tahun ARI (Average Recurrence Interval). Kerajaan Negeri komited untuk menangani dan mengurangkan masalah yang timbul akibat buruk banjir. Peruntukan akan dinaikkan sebanyak RM10 juta untuk menangani banjir daripada RM13.9 juta kepada RM23.9 juta. Selain daripada itu, Projek IQPR (infinitesimal quantum persistent resistant technology) yang merupakan projek perintis yang dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri di bawah program “Satu Negeri Satu Sungai” telah menunjukkan hasil yang positif . Kualiti air Sungai Pinang yang tercemar bertambah baik dengan ketara di mana enapcemar hitam dan bau busuk di dalam sungai tersebut telah dapat dihapuskan. Jika sebelum ini bacaan IKA di Lorong Kulit adalah pada Kelas III ia telah meningkat ke Kelas II sementara di jeti nelayan kualiti air sungai naik daripada Kelas IV kepada Kelas III. Projek IQPR bernilai RM5.8 juta dengan tempoh projek selama tiga (3) tahun dan setakat ini Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM1.0 juta.

Belia dan Sukan

40. Daripada 179 orang atlet yang mewakili Negara ke Sukan Komanwel ke-20, enam (6) atlet dari Negeri Pulau Pinang telah berjaya memenangi pingat dan Kerajaan Negeri telahpun memberikan insentif galakan berjumlah RM140,000.00 atas kejayaan mereka. Insentif kemenangan kepada atlet yang berjaya disediakan sebanyak RM250,000 dalam bajet tahun 2015.

41. Pulau Pinang juga berjaya menganjurkan kejohanan sukan bertaraf antarabangsa seperti Kejohanan Skuasy Wanita Dunia 2014 dan juga beberapa sukan berkomuniti yang berjaya menarik penyertaan peserta antarabangsa seperti Penang International Triathlon & Duathlon 2014, Penang International Bridge Marathon sebanyak 60,000 peserta, Penang Run 2014 dan Kejohanan Angkat Berat Komanwel pada tahun lalu. Ini membuktikan bahawa usaha-usaha ke arah penjenamaan Negeri Pulau Pinang sebagai bandaraya sukan yang unggul di Malaysia dan di persada dunia telah menjadi kenyataan dan usaha-usaha akan terus dipergiatkan secara menyeluruh pada tahun-tahun akan datang.

42. Untuk mempromosikan sukan di kalangan rakyat, selain daripada peruntukan yang disediakan untuk membina baru, menaik taraf dan menyelenggara kompleks dan kemudahan sukan, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sejumlah RM6.84 juta dalam tahun 2015.

Meningkatkan Taraf Kesihatan Rakyat

43. Pusat Dialisis CAT Negeri Pulau Pinang yang kini beroperasi di Balik Pulau menjadi bukti bahawa Kerajaan Negeri mengotakan janji dengan mewujudkan pusat dialisis sendiri yang memberi manfaat kepada rakyat yang terbeban dengan kos rawatan yang tinggi. Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah membelanjakan lebih RM2 juta dari segi kewangan dan infrastruktur untuk Pusat Dialisis ini. Seramai 31 orang pesakit telah mendapat rawatan di sini dan menerima subsidi RM30.00 hingga RM80.00 daripada jumlah sebenar kos dialisis iaitu RM110.00 setiap kali rawatan. Pada masa ini, Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk membuka Pusat Dialisis di Daerah Seberang Perai Utara yang akan dibuka di dalam kawasan Masjid At-Taqwa, Bertam dengan kapasiti 12 buah mesin yang dapat memberikan perkhidmatan kepada pesakit yang memerlukan di kawasan setempat. Sementara itu, pembukaan Pusat Dialisis Daerah Timur Laut, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan akan dilaksanakan secara berperingkat dan bergantung kepada kelulusan permohonan lesen oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

44. Penularan wabak Denggi adalah sangat membimbangkan untuk tahun ini. Untuk tahun ini sahaja, jumlah kematian di Pulau Pinang akibat denggi adalah seramai 5 orang dan peningkatan jumlah kes adalah sebanyak 163.84% iaitu daripada 755 kes pada tempoh yang sama pada tahun 2013 kepada 1992 kes sehingga 1 November tahun ini. Sungguhpun pelbagai usaha dibuat bersungguh-sungguh, trend jumlah jangkitan masih tidak menampakkan penurunan di Pulau Pinang.

45. Kerajaan Negeri bersetuju di dalam Belanjawan 2015 ini untuk memulakan satu inisiatif baru dalam menangani masalah denggi ini dengan memperkenalkan pemasangan ‘Mosquito Magnet’ di beberapa lokaliti wabak yang kronik di negeri ini. ‘Mosquito Magnet’ adalah satu teknologi daripada Amerika Syarikat yang telah melalui proses kajian selama 20 tahun dan menerima sebanyak 15 paten untuk teknologi yang digunakannya.

46. Untuk permulaan, satu projek perintis akan dimulakan selama enam (6) bulan dengan memilih dua lokaliti iaitu Taman Perai Jaya di daerah Seberang Perai Tengah dan Tingkat Paya Terubong di daerah Timur Laut bagi memasang alat ini dengan tujuan untuk mengurangkan populasi nyamuk Aedes di kawasan berkenaan. Kos yang dianggarkan bagi projek perintis ini adalah sebanyak RM110,000. Sekiranya selepas enam bulan, didapati alat ‘Mosquito Magnet’ ini berjaya mengurangkan jumlah kes jangkitan denggi di kawasan berkenaan, Kerajaan Negeri bersedia untuk membelanjakan RM 1 juta bagi memasang sebanyak 137 alatan ‘Mosquito Magnet’ ini di seluruh Negeri Pulau Pinang demi menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat Pulau Pinang.

Program Sosial, Kebajikan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

47. Kerajaan Negeri bersama Penang Women Development Corporation (PWDC) telah melancarkan secara rasminya Taska D’Komtar pada 8 Ogos 2014 yang menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak untuk kakitangan kerajaan di KOMTAR dengan peruntukan sejumlah RM270,000. Komitmen dan keprihatinan ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri untuk menyokong ibu bapa yang bekerja dan dalam masa yang sama berkeyakinan meninggalkan anak-anak dalam persekitaran yang kondusif dan selamat.

48. Kerajaan Negeri komited untuk menghapuskan kemiskinan dan membantu golongan yang mudah miskin menerusi Agenda Ekonomi Saksama (AES). Pada tahun semasa 2014, Kerajaan Negeri telah menaikkan kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi setiap isi rumah daripada RM770 kepada RM790 sebulan dan berkeyakinan berupaya mengekalkan Pulau Pinang sebagai satu-satunya negeri di Malaysia yang bebas dari kemiskinan. Lebih kurang 1,068 orang penerima bantuan ini yang melibatkan perbelanjaan sejumlah RM9.7 juta. Kerajaan Negeri bercadang menukarkan kaedah pemberian AES daripada bentuk Unconditional Cash Transfers kepada Conditional Cash Transfers. Ini boleh memberi penekanan kepada program pembangunan minda insan dengan harapan tahap pemikiran dan memenuhi syarat-syarat tertentu dapat mematahkan kitaran kemiskinan. Keberkesanan AES mengecilkan jurang pendapatan boleh dilihat dengan Indeks Pekali Gini (Gini coefficient) untuk Pulau Pinang jatuh menjunam daripada 0.419 pada 2009 kepada 0.37 pada 2012 berbanding dengan Malaysia yang tidak banyak berubah daripada 0.441 pada 2009 kepada 0.431 pada 2012.

49. Memandangkan program-program kebajikan Agenda Ekonomi Saksama (AES) yang telah dilaksanakan sebelum ini mendapat maklum balas yang membanggakan daripada rakyat seperti Program Anak Emas, Program Penghargaan Warga Emas, Program Bantuan Ibu Tunggal, Program Bantuan Orang Kelainan Upaya (OKU), Program Pelajar Emas dan Program Ibu Emas, Kerajaan Negeri akan meneruskan kesinambungan program-program tersebut pada tahun 2015. Oleh yang demikian, peruntukan berjumlah RM60 juta akan diperuntukkan bagi membiayai program-program tersebut bagi memastikan ia memberi faedah yang optimum kepada rakyat.

Keselamatan Awam

50. Sungguhpun PPS yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri tidak dibenarkan beroperasi, Kerajaan Negeri komited untuk memastikan keselamatan awam. Dengan pertambahan 56 CCTV oleh MPSP jumlah keseluruhan kamera CCTV yang ditempatkan di seluruh Seberang Perai meningkat kepada 110 unit iaitu 37 unit di Seberang Perai Utara, 46 unit di Seberang Perai Tengah dan 27 unit di Seberang Perai Selatan. Dalam pada itu, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga akan menyumbang sebanyak 20 unit CCTV kepada MPSP pada hujung tahun 2014 yang menjadikan keseluruhan kamera CCTV di Seberang Perai berjumlah 130 unit. Kerja-kerja pemasangan CCTV di Seberang Perai melibatkan perbelanjaan sebanyak RM9.8 juta keseluruhannya.

51. Pemasangan 202 unit kamera CCTV oleh MPPP melibatkan kos pemasangan sebanyak RM14.4 juta di mana RM11.1 juta dibiayai oleh MPPP manakala RM4.3 juta dibiayai oleh KPKT. MPPP akan menambah 300 unit kamera CCTV yang melibatkan kos RM14 juta pada tahun 2015 dan tambahan 32 unit kamera CCTV akan dipasang oleh KPKT yang menelan belanja RM5 juta. Daripada 332 unit kamera CCTV ini, 212 unit akan ditempatkan di Daerah Timur Laut dan baki 120 unit di Daerah Barat Daya. Ini menjadikan jumlah keseluruhan CCTV di kawasan MPPP sebanyak 534 unit. Ini bermakna di seluruh Negeri Pulau Pinang akan mempunyai 664 unit kamera CCTV keseluruhannya pada tahun 2015. Dengan adanya kamera CCTV ini, Kerajaan Negeri berharap akan dapat membantu menurunkan lagi indeks jenayah di negeri ini.

Memartabatkan Agama Islam

52. Pulau Pinang turut melakar sejarah apabila buat julung kalinya di bawah Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat berjaya mewujudkan sebuah Masjid Cina Muslim pertama iaitu Masjid Cina Titi Papan di Daerah Timur Laut.

53. Kerajaan Negeri juga mengambil kesempatan merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang kerana telah diiktiraf di dalam The Malaysia Book of Records sebagai “First State Islamic Religious Department to Receive MS1900:2005 (QMS-Requirements From Islamic Perspectives) dan berjaya menerima Anugerah Cemerlang di atas pencapaian penarafan Lima (5) Bintang dalam Malaysia Government Portals & Websites Assessment 2013. Peruntukan tahun depan untuk hal ehwal agama Islam adalah sebanyak RM57.88 juta.

Pengiktirafan Keberkesanan Penyampaian Perkhidmatan Awam

54. Di kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kerana berjaya meneruskan kecemerlangan dengan memperolehi Sijil Amalan Persekitaran Berkualiti (5S) daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk tahun yang ketiga, dianugerah penarafan Lima (5) Bintang oleh Malaysia Government Portals and Websites Assessment, dan baru-baru ini telah menerima Pengiktirafan Lima (5) Bintang Agensi Sektor Awam bagi tahun 2013 hingga 2014 serta Anugerah Pengurusan Aduan Cemerlang pada tahun 2013. Kerajaan Negeri juga merakamkan ucapan penghargaan kepada Jabatan Veterinar Negeri Pulau Pinang kerana berjaya menerima Anugerah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bagi Kategori Pengurusan sempena Konvensyen Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Kebangsaan Tahun 2013 yang lalu.

55. Anugerah penarafan Empat (4) Bintang oleh Ketua Audit Negara menjadi penanda aras dalam menilai tahap pencapaian pengurusan kewangan berdasarkan indeks akauntabiliti jabatan/agensi. Berkaitannya Kerajaan Negeri amat berbangga kerana jabatan/agensi yang mencapai penarafan 4 Bintang iaitu tahap Sangat Baik dalam mengamalkan sistem pengurusan kewangan yang baik dan teratur. Pada penilaian tahun 2012, tujuh (7) jabatan/agensi telah mendapat penarafan 4 Bintang, dan untuk penilaian tahun 2013, lapan (8) daripada 15 jabatan/agensi yang dinilai telah memperolehi 4 Bintang. Jabatan Kewangan Negeri dan PDC memperolehi tahap prestasi pengurusan kewangan sangat baik bagi 6 tahun berturut-turut dari tahun 2008 sehingga 2013. Majlis Agama Islam (MAINPP) pula mencapai tahap 4 bintang untuk 4 tahun berturut-turut dari tahun 2010 sehingga 2013. Kerajaan Negeri akan memberikan ganjaran RM15,000 kepada setiap Jabatan yang memperolehi penarafan 4 bintang.

56. Tidak lupa juga saya merakamkan ucapan tahniah kepada MPPP dan MPSP kerana dianugerahkan “The International Observatory on Participatory Democracy Award” iaitu “Special Mention Award for Best Practise in Citizen Participation” di Canaos, Brazil. MPSP juga turut menerima pengiktirafan sebagai Best Cities Award dan Best Cities Manager Award daripada Europe Business Assembly.

57. Menghargai peranan penting penjawat awam, Y.A.B. Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet Persekutuan 2015 telah mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji untuk tahun 2014 yang akan dibayar pada Januari 2015. Dalam hubungan ini, Kerajaan Negeri akan melaksanakan pemberian bonus setengah bulan gaji lagi untuk tahun 2014 dengan minimum RM700 mengikut kadar yang sama yang telah diluluskan pada tahun 2013 dan akan dibayar pada Disember tahun semasa 2014. Kerajaan Negeri amat prihatin kepada keperluan perbelanjaan tambahan pada akhir tahun khasnya dalam penyediaan kelengkapan untuk sesi persekolahan serta tanggungan-tanggungan lain dan oleh itu memutuskan untuk membayar bonus pada bulan Disember 2014 dan bukan pada Januari 2015 seperti mana keputusan Kerajaan Persekutuan. Keseluruhannya, pemberian bonus Kerajaan Negeri kepada perkhidmatan awam dalam tahun 2014 ialah bersamaan satu (1) bulan gaji (selepas setengah bulan duit raya diberikan).

58. Sama seperti tahun lepas, di samping penjawat awam, pemberian bonus sebanyak RM300 seorang juga akan diberi kepada guru-guru dan penyelia KAFA. Tambahan kepada pemberian bonus untuk guru dan penyelia KAFA, bonus pada kadar RM300 seorang juga akan diberi kepada guru Sekolah Menengah Agama Rakyat dan Sekolah Cina Persendirian, manakala guru Sekolah Tahfiz, Sekolah Pondok dan TADIS akan mendapat pemberian bonus sebanyak RM200 seorang. Pemberian bonus pada Disember 2014 dijangka menelan belanja sebanyak RM5 juta.

59. Pemberian bonus ini bukan sahaja sebagai pengiktirafan Kerajaan Negeri ke atas komitmen dan sumbangan perkhidmatan awam, tetapi juga sebagai ganjaran dan insentif untuk terus memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada Negeri Pulau Pinang dan rakyat.

60. Pada awal tahun semasa 2014, Kerajaan Negeri telah menaikkan insentif RM200 kepada Pengerusi dan Setiausaha JKKK iaitu menaikkan kadar elaun bulanan. Walau bagaimanapun elaun kehadiran mesyuarat ahli biasa JKKK tidak berubah sejak Januari 2011. Dalam mengiktiraf keahlian JKKK yang mewakili suara kerajaan di akar umbi, Kerajaan Negeri bersetuju menaikkan elaun kehadiran mesyuarat sebanyak RM10 kepada semua ahli JKKK iaitu daripada RM30 sekali mesyuarat kepada RM40 bermula pada Januari 2015. Kenaikan ini akan melibatkan pertambahan sebanyak RM0.46 juta. Keseluruhannya untuk pembiayaan pengurusan 294 JKKK bagi tahun 2015 Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM6.36 juta.

PERUNTUKAN BAJET 2015

YB Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

61. Bajet 2015 Negeri Pulau Pinang digubal dengan penuh kesedaran supaya dapat menterjemahkan perancangan ke arah matlamat yang ditetapkan di samping mengambil kira kekangan yang tidak dapat dielakkan dan kemampuan kewangan yang amat terhad. Sebagai kerajaan yang prihatin, intipati bajet memberi penekanan kepada pembangunan sosio ekonomi masyarakat, dan kesejahteraan rakyat serta agenda merangsang pertumbuhan ekonomi negeri. Dengan strategi dan program yang telah saya bentangkan, Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah RM992,818,305 (Ringggit Malaysia: Sembilan Ratus Sembilan Puluh Dua Juta, Lapan Ratus Lapan Belas Ribu, Tiga Ratus Lima) diperuntukkan bagi Bajet 2015, iaitu 3.18% lebih tinggi berbanding bajet tahun 2014. Daripada jumlah ini, RM887,238,905 (Ringgit Malaysia: Lapan Ratus Lapan Puluh Tujuh Juta, Dua Ratus Tiga Puluh Lapan Ribu, Sembilan Ratus Lima) adalah bagi peruntukan Mengurus, manakala sejumlah RM 225,579,400 (Ringgit Malaysia: Dua Ratus Dua Puluh Lima Juta, Lima Ratus Tujuh Puluh Sembilan Ribu, Empat Ratus) disediakan bagi peruntukan Pembangunan.

62. Jumlah keseluruhan RM992.82 juta yang dicadangkan untuk perbelanjaan dalam tahun 2015 telah pun mengambilkira RM120 juta untuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri. Ucapan saya seterusnya akan merujuk kepada Risalah Bil. No. 2 Tahun 2014 bagi cadangan Bajet Mengurus dan Pembangunan Tahun 2015.

YB Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

63. Kerajaan Negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip dalam tahun 2015 berjumlah RM656,931,750 (Ringgit Malaysia: Enam Ratus Lima Puluh Enam Juta, Sembilan Ratus Tiga Puluh Satu Ribu, Tujuh Ratus Lima Puluh) iaitu pertambahan sebanyak RM69.18 juta atau 11.77% berbanding anggaran hasil tahun semasa 2014 sebanyak RM587.75 juta.

64. Komposisi hasil tahun 2015 terdiri daripada hasil cukai RM131.44 juta atau 20%, hasil bukan cukai RM441.98 juta atau 67.28% dan terimaan bukan hasil sebanyak RM83.51 juta atau 12.71%. Punca peningkatan hasil sebanyak RM69.18 juta yang dijangkakan pada tahun 2015 berbanding anggaran hasil tahun 2014 adalah daripada sumber hasil yang dijangka diperolehi daripada bayaran premium tanah, khususnya untuk kawasan pemajuan Bayan Mutiara dan Batu Kawan.

65. Mengambil kira jangkaan hasil tahun 2015 sejumlah RM656.93 juta berbanding perbelanjaan Mengurus sebanyak RM887.24 juta, akan menjadikan Bajet 2015 mengalami defisit sebanyak RM230.31 juta. Namun defisit ini adalah RM25.13 juta kurang daripada anggaran defisit tahun 2014 yang sejumlah RM255.44 juta, selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri untuk mengurangkan defisit secara berterusan. Anggaran defisit atau kekurangan RM230.31 juta yang dijangka dalam Bajet 2015 akan dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri yang berbaki sebanyak RM826.58 juta pada akhir tahun 2013.

66. Seperti mana YB Ahli-ahli Dewan sedia maklum, perbelanjaan Mengurus yang dicadangkan bagi tahun 2015 sejumlah RM887.24 juta merupakan peningkatan sebanyak RM44.04 juta bersamaan 5.22% berbanding tahun 2014. Peningkatan perbelanjaan mengurus ini antara lain adalah kerana pertambahan pembiayaan kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk skim perumahan mampu milik serta pertambahan peruntukan untuk membiayai program sosial dan kesejahteraan rakyat, di samping pertambahan dalam perbelanjaan Emolumen dan butiran Perkhidmatan Ikhtisas dan Perkhidmatan Yang Dibeli. Keperluan pindahan kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri kekal sebanyak RM120 juta seperti mana dalam bajet tahun 2014, seiring dengan jumlah perbelanjaan Pembangunan tahun 2015 sebanyak RM225.58 juta yang hanya berkurangan RM13.42 juta berbanding jumlah peruntukan Pembangunan tahun 2014.

YB Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

67. Daripada jumlah RM887.24 juta yang diperuntukkan untuk perbelanjaan Mengurus, RM26.88 juta adalah untuk perbelanjaan Tanggungan sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang dan RM860.36 juta untuk perbelanjaan Bekalan. Tujuan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 adalah untuk mendapat kuasa berkanun bagi membolehkan Kerajaan Negeri membuat perbelanjaan Bekalan bagi tahun 2015. Terdapat 19 jabatan yang dimohon kelulusan peruntukan Bekalan dibawah Maksud Bekalan B01, B02, B03, B04, B05, B06, B07, B08, B09, B10, B12, B13, B14, B15, B16, B17, B18, B19 dan B20 seperti mana perincian di Risalah Bil. No. 2 Tahun 2014.

68. Di bawah peruntukan Mengurus 2015, sejumlah RM158.07 juta adalah bagi Emolumen, RM137.59 juta bagi Perkhidmatan dan Bekalan, RM7.60 juta untuk perolehan Aset serta RM577.96 juta bagi Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, manakala sejumlah RM6.03 juta disediakan untuk perbelanjaan-perbelanjaan lain. Perbelanjaan Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap kekal sebagai komponen terbesar mencakupi 65.14% daripada perbelanjaan Mengurus. Jumlah ini termasuk caruman sejumlah RM120.0 juta kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri, sumbangan sebanyak RM230 juta untuk Skim Perumahan Mampu Milik dan sejumlah RM116.94 juta diperuntukkan untuk pemberian dan bantuan-bantuan sosial rakyat yang komited. Pertambahan peruntukan bagi objek-objek am selainnya adalah bagi menampung keperluan perbelanjaan mengurus yang kian meningkat pada setiap tahun iaitu antara lain kenaikan gaji dan pelarasan emolumen, kenaikan kos bekalan dan utiliti dan keperluan menggantikan kenderaan dan aset yang tidak lagi ekonomik dan perlu dilupuskan. Namun demikian, peningkatan terlibat adalah pada tahap terkawal selaras dengan langkah-langkah pentadbiran untuk mengawal dan menerapkan disiplin dalam perbelanjaan.

69. Rakyat boleh menilai keutamaan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dalam membelanjakan hasil negeri untuk rakyat melalui pemberian dan bantuan-bantuan sosial rakyat. Peruntukan yang disediakan untuk program-program bantuan sosial dan kesejahteraan rakyat (warga emas, OKU, anak emas, pelajar emas, suri emas, pelajar cemerlang, ibu tunggal, elaun guru KAFA, miskin tegar, penyelenggaraan rumah kos rendah, elaun pegawai masjid, usahawan kecil, usahawan tani muda, bantuan pendidikan, bantuan kebajikan, IPTA, bayaran perubatan, bas percuma, pemandu teksi, penarik beca, nelayan, perkhidmatan dialisis dan mammogram dan bantuan-bantuan sosial lain) terus meningkat daripada sebanyak RM75 juta pada tahun 2013, RM111.47 juta tahun 2014 dan kepada sejumlah RM116.94 juta yang diperuntukkan dalam tahun 2015.

70. Anggaran Bajet Pembangunan Tahun 2015 yang dimohon kelulusan mengikut Maksud Pembangunan P01, P08, P09, P10, P12, P13, P16, P17 dan P18 bagi sembilan (9) jabatan negeri adalah seperti tersenarai di bahagian kedua dalam Risalah Bil No. 2 Tahun 2014. Bajet Pembangunan untuk tahun 2015 adalah sebanyak RM 225.58 juta yang melibatkan punca negeri sebanyak RM211.58 juta dan RM14 juta pinjaman Persekutuan khusus untuk pembiayaan penggantian paip air utama dalam pengurusan non-revenue water (NRW).

71. Perbelanjaan Pembangunan tahun 2015 adalah rendah sedikit jika dibandingkan dengan tahun 2014 sebanyak RM239 juta, iaitu pengurangan sebanyak RM13.42 juta. Ini adalah kerana keperluan perbelanjaan yang diambil kira dalam perbelanjaan Pembangunan telah diunjur melebihi tempoh setahun, memandangkan rancangan pembangunan lazimnya dilaksana melebihi tempoh tahun semasa. Misalnya bagi projek pembinaan enam (6) jalan yang dianggarkan kos RM86.3 juta hanya disediakan peruntukan sejumlah RM32.7 juta di bawah vot P16 Jabatan Kewangan Negeri (JKN) dalam tahun 2015 mengikut jadual dan skop kerja projek yang dapat disiapkan dan keperluan peruntukan selebihnya akan disediakan dalam tahun 2016. Selain daripada itu, terdapat pengurangan sebanyak RM20 juta bagi peruntukan Projek Pembangunan yang juga disediakan di bawah vot P16 Jabatan Kewangan Negeri, iaitu RM70 juta diperuntukkan berbanding RM90 juta yang disediakan dalam bajet 2014. Antaranya, peruntukan untuk Program HAPPY! perlu dikurangkan kerana sumbangan 10% atau 30% untuk membiayai kerja-kerja penyelenggaraan dan menaiktaraf rancangan perumahan swasta kos rendah dan sederhana rendah bergantung kepada pertimbangan dan kelulusan Kerajaan Persekutuan bagi pembiayaan di bawah Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia. Dalam tahun semasa 2014, peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk Program HAPPY! ialah sejumlah RM20 juta tetapi hanya RM2.41 juta dibelanjakan untuk 12 projek perumahan.

72. Daripada sembilan (9) jabatan yang disediakan peruntukan Pembangunan, lima (5) jabatan disediakan jumlah peruntukan yang hampir sama seperti tahun 2014, tiga (3) jabatan iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEA) dan JKN disediakan peruntukan yang berkurangan berbanding tahun 2014, manakala terdapat pertambahan sebanyak RM13.33 juta bagi vot P01 Pejabat Ketua Menteri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan berbanding tahun 2014 lalu. Peningkatan kepada jumlah vot P01 melibatkan peruntukan tambahan yang disediakan untuk Pengambilan Tanah, projek sambungan Pembinaan Mahkamah Syariah Daerah SPT dan Projek Khas Ekonomi.

73. Vot Pembangunan JKR dan JHEA disediakan peruntukan yang kurang berbanding tahun 2014 ialah kerana projek-projek bernilai besar di bawah kedua-dua jabatan telahpun disiapkan dan peruntukan tahun 2015 yang disediakan lebih kepada pembiayaan projek-projek penyelenggaraan. Namun demikian, di bawah peruntukan Pengambilan Tanah disediakan peruntukan sejumlah RM5.26 juta untuk tujuan tapak masjid, surau dan tanah perkuburan Islam. Manakala bagi vot Pembangunan JKR, walaupun terdapat pengurangan sebanyak RM4.96 juta berbanding peruntukan tahun 2014 tetapi pengurangan tersebut ialah kerana keperluan peruntukan untuk projek-projek infrastruktur baru sejumlah RM32.7 juta disediakan di bawah vot Pembangunan JKN. Dari segi agensi pelaksana pula, bagi projek-projek infrastruktur baru akan juga melibatkan PDC supaya dapat memberi ruang kepada JKR untuk memberi tumpuan khusus kepada projek-projek penyelenggaraan.

PENUTUP

YB Dato’ Yang di-Pertua Dewan

74. Semua pencapaian pembangunan di Pulau Pinang ini tidak berlaku secara kebetulan. Selain daripada kepimpinan dan iltizam politik, Kerajaan Negeri juga mengiktiraf peranan perkhidmatan awam dan sektor swasta yang telah sama-sama berganding usaha dan tenaga dan semua rakyat negeri ini amnya ke atas kepercayaan dan sokongan padu yang diberi. Kita tidak dapat menjangka cabaran pada masa hadapan, namun berkat kesabaran, komitmen, dokongan mantap dari semua pihak dan landasan kukuh yang telah kita bina, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat tetap harapan rakyat.

75. Akhirnya saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan saya sekali lagi kepada semua rakyat Negeri Pulau Pinang atas kepercayaan dan sokongan serta sumbangan yang diberikan kepada Kerajaan Negeri PR. Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua anggota perkhidmatan awam dan anggota-anggota pasukan keselamatan yang telah berkhidmat dengan gigih dan penuh bertanggungjawab untuk menjamin kestabilan, keamanan, kemajuan dan kemakmuran negeri yang berterusan. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua YB ADUN yang sama-sama berkhidmat untuk mencapai kesejahteraan rakyat jelata dan kemajuan serta kemakmuran Negeri kita yang tercinta ini. Marilah kita sama-sama terus menggalas amanah dengan penuh tanggungjawab untuk membina ekonomi Negeri Pulau Pinang melalui Bajet 2015 ini.

76. Saya yakin dengan 3T – Talent, Technology dan Tolerance, kita dapat jadikan Pulau Pinang ”an oasis of tolerance, celebration of diversity and Mecca of talent in symbiosis with the people, city and government”.

Sekian, YB Dato’ Yang di-Pertua Dewan, saya mohon mencadangkan.

Show more