Semasa sidang Parlimen terakhir pada bulan April 2014, kita didedahkan dengan dokumen bocor yang menunjukkan “lawatan kerja” Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Dubai, UAE dari 08-12 April 2014.
Menurut dokumen yang kemudiannya tidak dinafikan tetapi sebaliknya hanya disangkal sebagai “deraf,” Muhyiddin dan delegasinya yang besar telah menaiki “pesawat khas” ke Dubai, di mana mereka menghabiskan masa lima hari. Selain hanya beberapa acara rasmi, kebanyakan masa beliau dipenuhkan dengan “program peribadi,” acara tidak formal termasuk dengan syarikat pembinaan terkenal Malaysia, Ahmad Zaki Resources Bhd dan Eversendai Corporation, serta sesi bermain golf. Walau bagaimanapun, pejabat Muhyiddin kemudian menyatakan bahawa permainan golf juga sebahagian daripada program rasminya.
Bermewah dan ‘lawatan Kerja’ Santai Telah Menjadi Kebiasaan?
Menurut dokumen-dokumen terkini yang dibocorkan oleh blog pemberi maklumat yang sama (peniupwisel2020.blogspot.com), ternyata bahawa perjalanan Dubai itu bukan kes terpencil. Tampaknya, Muhyiddin mempunyai kecenderungan untuk mengadakan “lawatan kerja” mewah.
Pada tahun 2012, Timbalan Perdana Menteri juga membuat “lawatan kerja” yang santai atas tanggungan pembayar cukai, kali ini ke Gold Coast, Australia.
Jadual perjalanan menunjukkan bahawa lawatan dari 10 hingga 18 November 2012 bermula dengan dua hari di Melbourne di mana Muhyiddin merasmikan Forum Ekonomi Cina Dunia ke-4. Setelah selesai persidangan itu, Muhyiddin telah bergegas bersama isteri dan rombongannya selama empat hari, lima malam (4D5N) di Gold Coast, Brisbane, yang merupakan destinasi percutian antarabangsa yang terkenal.
Empat hari perjalanan, dua jam kerja sehari
Dalam empat hari penuh yang dihabiskan di Gold Coast, aktiviti Muhyiddin hanya sekitar dua jam sehari secara purata. Kebanyakan aktiviti ini pula merupakan taklimat ringkas selama satu jam dan majlis makan malam yang santai, termasuk pertemuan dengan pelajar-pelajar Kelab Umno. Malah, hari ketiga di Gold Coast langsung tiada program rasmi.
Sepanjang lawatan itu, Muhyiddin dan rombongannya tinggal di hotel mewah lima bintang Hilton Surfer’s Paradise Hotel.
“Company trip?”
Tambahan lagi, seluruh rombongan Muhyiddin yang berjumlah 17 orang adalah terdiri daripada enam pengawal peribadi, lima pegawai khas, dua setiausaha akhbar, seorang setiausaha politik, seorang setiausaha sulit, dirinya sendiri serta isteri.
Dalam erti kata lain, tiada penjawat awam atau pegawai kementerian yang mengiringi beliau, seperti dalam perjalanan Dubai baru-baru ini. Adakah ini kerana Timbalan Perdana Menteri tidak percaya pegawai-pegawai kementerian, atau adakah ini kerana perjalanan ke Gold Coast merupakan tidak lebih daripada satu “company trip” untuk kakitangan beliau?
Gold Coast untuk menteri, kangkung untuk rakyat
Dengan pendedahan terbaru ini, adalah jelas bahawa semakin banyak rakyat Malaysia, khususnya kakitangan awam, berazam untuk mendedahkan perbelanjaan boros pemimpin BN yang melibatkan dana awam.
Sebaliknya, Kerajaan bukan sahaja gagal menyiasat menteri yang terlibat, malah mengugut untuk mengambil tindakan terhadap pemberi maklumat, sebagaimana yang dinyatakan dengan jelas oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa yang dilaporkan berkata bahawa kerajaan “akan mengambil tindakan tegas termasuk memecat kakitangan awam yang membocorkan rahsia kerajaan,” sejurus selepas dokumen perjalanan Dubai didedahkan.
Mungkin, Ali Hamsa perlu kurangkan usaha mempertahankan cara yang tidak bijak bos politiknya dan meletakkan inisiatif lebih bagi menjimatkan dana awam. Ini adalah lebih penting memandangkan kerajaan kini mengingatkan rakyat Malaysia untuk mengikat perut apabila memotong subsidi, menaikkan harga dan melaksanakan cukai baru dalam bentuk GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan).
Lagipun, mengapa rakyat Malaysia perlu membayar untuk percutian santai menteri-menteri kita di pantai manakala rakyat Malaysia terpaksa menghadapi inflasi dan peningkatkan jurang pendapatan?