2014-11-05



tags: iphone 4,iphone5, iphone 5s, iphone 5 c, iphone 6, iphone 6 plus

Isteri gila gadget atau suami? atau anak-anak? semuanya sama saja. Main gadget ada baik dan buruknya.

LIMA tahun sudah, seorang rakan sepejabat, sebaik habis waktu kerja terus bergegas pulang.

Penulis pernah bertanyanya kenapa terlalu rushing, dia beritahu tak mahu terlepas sebuah sinetron yang hot ditayangkan ketika itu di sebuah stesen tv, malamnya dia kata "nak tanam pokok plak, hasil semalam belum tuai"... Penulis mulanya ragu-ragu... "biar betul kawan aku ni... malam-malam tanam pokok..."

Rupa-rupanya, 'tanam pokok' yang dia maksudkan itu ialah sebuah permainan internet - Farm Ville yang ketika itu menjadi kegilaan wanita bujang menghilangkan tekanan selepas bekerja. Malah wanita berkeluarga, terutama suri rumah tak kurang hebat meneroka permainan itu. Kata si kawan ini, ia menyeronokkan, malah makin teruja jika dapat banyak untung...

Dalam tahun sama, permainan Angry Birds juga menjadi fenomena, malah tatkala kemunculan awalnya, ia merajai beberapa aplikasi digital seperti Apple Apps Store dan Google Market. Games yang dikembangkan oleh Rovio sejak 2009 itu menjadi kegilaan seluruh dunia, bukan saja kanak-kanak dan remaja, malah golongan dewasa.

Hari ini, tidak saja Angry Birds, beberapa mobile games dicipta dan menjadi satu daripada aplikasi mobile smartphone. Sebut saja IPhone dan beberapa jenis mobile lain, semuanya menyediakan aplikasi permainan yang boleh terus dimuat turun.

Semakin maju teknologi sekarang, mobile games juga terusan dicipta selari dengan kemunculan telefon pintar yang turut diwarnai aplikasi mobile seperti facebook, twitter dan instagram (sekadar menyebut beberapa nama). Malah segala aplikasi ini ada yang memberi laba kepada wanita yang bijak menggunakannya sebagai platform berniaga online.

Berikutan kecanduan terhadap aplikasi-aplikasi yang boleh dikatakan memberi hiburan dan informasi itu, pengguna hari ini berlumba-lumba mendapatkan gadjet terbaharu yang menawarkan kelebihan tersendiri. Si anak merenget pada mama @ papa, si isteri memujuk suami, si awek menggoda kekasih dan tak kurang si suami melobi isteri hanya untuk sebuah gadjet baharu.

Kegilaan luar biasa ini pernah berlaku apabila orang ramai sanggup berbaris panjang berjam-jam, malah ada yang tidur dan berkhemah di hadapan kedai alat telekomunikasi Apple Store di sekitar Amerika syarikat (AS), selama dua hari berturut-turut semata-mata mahu menjadi pelanggan terawal memiliki iPhone 4S.

Namun di sebalik kecanggihan dan kemudahan ini, ada harga yang perlu kita bayar. Anak-anak tidak lagi rapat dengan ibu bapa apabila asyik terperap di bilik menghadap games, pasangan kekasih bercakaran bahana facebook dan lebih malang ada isteri ditinggalkan suami dek cinta gelap di facebook dengan hanya satu ungkapan sms - "aku ceraikan kau talak satu".

Begitulah padah gadjet, ke hulu ke hilir tak lepas pandang, apa dimiliki kini berciciran. Nasihat, pengalaman dan pandangan Wow kongsikan di sini buat pedoman...

Sanggup berbaris panjang demi iPhone 4S

16 Dis 2011 - Kemunculan telefon pintar terbaharu keluaran Apple Inc., iPhone 4S yang mula menembusi pasaran negara ini mencetuskan fenomena apabila orang ramai sanggup beratur panjang bagi mendapatkan gadjet tersebut itu.

Biarpun mula dijual pada jam 12.01 tengah malam, beratus-ratus penggemar gadjet tersebut mula beratur seawal 2 petang agar tidak terlepas peluang menjadi antara pelanggan terawal memilikinya.

Kemunculan telefon pintar iPhone mencipta fenomena luar biasa di AS, Eropah dan di Asia Tenggara. Bermula daripada pengeluaran iPhone, iPhone 3G, iPhone 3GS sehingga iPhone 4, sambutannya amat menggalakkan. Malah, tempias populariti iPhone turut melanda masyarakat Malaysia.

Koleksi gajet janji pendapatan yang berbaloi

Saya mula mengumpul segala koleksi gajet ini tiga tahun yang lalu. Bermula dengan kamera Sony, telefon Nokia dan Samsung, Samsung tablet sehinggalah kepada komputer riba Acer, semuanya dibeli hasil titik peluh saya bekerja sebagai pembantu pergigian di sebuah klinik gigi, di Ketereh, Kelantan.

Pada mulanya, saya menggunakan semua koleksi ini untuk kegunaan peribadi sahaja. Namun sejak mula menceburi perniagaan online secara suka-suka, segala gajet ini menjadi keperluan utama buat diri ini.

Bayangkan, untuk promosi semua jenis produk bakeri seperti kek, biskut dan kuih muih, saya mengiklankan dalam laman sesawang facebook Kartiniey Marzihan dan wechat. Maklum balas daripada pelanggan cukup hangat sampaikan saya tidak cukup tidur semata-mata mahu siapkan tempahan pelanggan.

Setakat ini, pelanggan sekitar negeri Kelantan menjadi pelanggan setia produk saya. Memang ada hasrat untuk lebar ke peringkat tertinggi, tapi tunggu dululah.

Saya akui, dengan adanya telefon, tablet dan komputer riba ini, ia menjadikan perniagaan saya laris sepanjang masa. Suami, saudara mara dan rakan-rakan sering membantu saya dalam memberi tunjuk ajar untuk memajukan lagi jualan akan datang. Jika berdepan dengan masalah gajet seperti berlakunya kerosakan, mereka tampil memberi pertolongan.

Memandangkan gajet baru sering muncul tanpa diduga, saya teringin untuk membelinya lagi. Namun ia bergantung pada peruntukan yang ada. Cuma apa yang boleh saya katakan, jika kita bijak menggunakan produk gajet ini, ia memang menjanjikan pendapatan lumayan pada seseorang.

Kartini Marzihan Kamarudin, 35,
pembantu pergigian

Usaha dapatkan dalam apa jua cara

Saya memang kaki gajet. Sejak dulu hingga sekarang, keinginan tidak pernah berubah walaupun sudah dewasa.

iPad dan iPhone jenama Apple, beberapa telefon pintar Samsung Galaxy Note 2 dan kamera jenama Sony Xperia menjadi koleksi kesayangan. Himpunan permainan playstation antaranya playstation 1, playstation 3, PS Vita dan Nintendo 3DS turut dikumpul dan ini menjadikan himpunan gajet saya makin sempurna.

Untuk membeli segala macam gajet ini, saya peruntukkan sebanyak RM2,500 sahaja untuk satu gajet. Sikit bukan, tapi itulah kenyataanya kerana ada antara gajet yang dimiliki seperti telefon, saya menjualnya semula dan hanya menambah sedikit duit poket untuk mendapatkan koleksi baharu.

Walau bagaimanapun, jika ada yang berkenan, saya beli juga tanpa perlu trade in koleksi yang ada. Yang penting, saya tidak ketinggalan dengan perkembangan dunia gajet .

Mempunyai himpunan iPad, iPhone, telefon, komputer riba dan playstation tidak pernah membuatkan saya lalai dengan kerjaya sebagai eksekutif pemasaran. Sebaliknya ia memudahkan lagi urusan kerja.

Misalnya, jika dulu mahu jumpa pelanggan, perlu bawa banyak katalog untuk promosikan produk, tetapi sekarang saya hanya bawa iPad dan tunjuk hasil kerja melalui iPad. Senang dan mudah.

Adanya gajet, saya mampu menggunakan aplikasi seperti facebook, twitter, whatsapp, instgram. Saya dapat ramai kenalan  malah dapat membina nama dalam modeling dengan cara tersendiri hanya menggunakan aplikasi yang ditawarkan.

Pendek kata, selain puaskan hati dengan berjaya kumpul segala gajet, ia juga mampu memantapkan dua kerjaya saya ke arah yang lebih baik lagi.

Noor Amylia Soon Mustafa, 28,
Eksekutif Pemasaran dan model

Dulu bertimbun, sekarang makin kurang

Saya seorang suri rumah sepenuh masa. Rutin harian adalah membuat kerja-kerja rumah sama seperti wanita lain. Dua anak saya, Putri Nur Ellysha dan Putra Nur Eiymann Syah pula sudah besar. Jadi ada hari-hari tertentu, saya punyai banyak masa sehinggakan timbul minat untuk kumpul gajet.

Dulu, saya banyak gajet. Boleh dikatakan setiap satu iPad, iPhone, telefon jenama Samsung dan Nokia serta komputer riba jenama Acer mempunyai beberapa bilangan. Jika orang luar tengok pasti mereka akan terkejut.
Semua koleksi ini adalah pemberian daripada suami tercinta. Ada juga yang dibeli menggunakan wang simpanan sendiri. Gajet ini, saya bukanlah beli untuk menunjuk-nunjuk tetapi untuk kegunaan diri disebabkan  aktif berblogging. Tambahan pula saya ada bisnes online, jadi gajet ini amat diperlukan.

Bila urusan kerja selesai, saya luang masa untuk berfacebook dengan rakan. Kadang-kadang saya ambil masa terlalu lama menghadap facebook, namun bila merasakan yang suami dan anak-anak mula terpinggir, saya mula perbaiki diri.

Beberapa bulan selepas itu, saya melahirkan anak ketiga, Eusuff Aryan yang kini berusia 9 bulan. Sejak dia lahir, saya sudah tidak cukup masa untuk berfacebook, berblogging dan macam-macam lagi perkara berkaitan gajet. Mungkin dek kekurangan masa untuk melakukan semua itu.

Kini, hanya beberapa koleksi gajet yang menjadi simpanan saya. Semuanya digunakan untuk keperluan yang penting seperti perniagaan atas talian. Untuk beli gajet baharu, mungkin saya akan berfikir dua kali tapi jika ia memberi faedah untuk keluarga, apa salahnya saya kembali menambah koleksi yang sedia ada.

Eliza Dianna Zahadi, 32,
suri rumah

Kerana facebook, curang dengan suami

Sudah tiga tahun saya berkahwin. Walaupun suami sentiasa sibuk dengan urusannya di pejabat namun kami bahagia sepanjang masa.

Disebabkan kurangnya masa bersama saya, ditambah pula masih belum dikurniakan zuriat, suami membelikan sebuah komputer riba jenama Toshiba dan telefon bimbit Samsung untuk saya mengisi masa lapang dengan perkara berfaedah.

Bila dihadiahkan dengan dua gajet tersebut, saya memang tidak tahu bagaimana untuk menggunakannya. Mana taknya, sebagai wanita kampung, saya tidak didedahkan dengan semua koleksi hebat sebegini.

Bila sudah mahir, saya kerap mengakses berita dan mengikuti perkembangan dunia Islam. Aplikasi facebook, whatsapp dan macam-macam lagi sudah berjaya dikuasai. Ramai kenalan baru di facebook dan kami sering  berbual di alam maya hampir setiap hari.

Suatu hari, saya berkenalan dengan seorang pemuda di facebook, namanya Farid. Kami berchating tanpa mengira masa dan paling best, kami bertukar gambar dan saya bagaikan terpukau dengan kekacakan Farid.

Setiap hari, setiap malam, kerja saya hanya berchating dengan dia. Timbul rasa suka dan cinta pada Farid, tapi saya malu untuk luahkan. Enggan dikatakan perigi mencari timba.

Suami mula perasan dengan perubahan diri ini. Bila ditanya, saya beritahu perkara sebenar. Suami terkejut dan dia terus ceraikan saya disebabkan keterlanjuran antara saya dengan Farid. Saya menyesal dengan apa yang terjadi. Ini semua gara-gara gajet yang diberi. Jika bukan gajet itu, saya masih bahagia dengan suami sampai sekarang.

Mariam, 35
suri rumah
Guna ikut kepentingan
Kehadiran pelbagai gajet adalah suatu fenomena baru dalam dunia moden masa kini. Masyarakat tidak dapat lari daripada kesan pembangunan dan kemajuan yang serba canggih hasil perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta inovasi yang begitu pesat.

Sehubungan itu, menjadi lumrah suatu yang baharu dan unik mempunyai daya tarikan yang kuat dan mengundang kecenderungan mengujakan.

Walau macam mana canggih sekalipun gajet yang ada dalam pasaran, namun ianya tidak dapat menguasai pemikiran manusia sekiranya manusia itu sendiri tidak membenarkannya. Kita sebagai empunya diri memiliki kuasa untuk mengizinkan atau tidak diri terjebak dalam kerakusan dunia gajet yang serba canggih lagi unik.

Ada kalanya menjanjikan hasil kepuasan positif dan tidak kurang juga yang menghalalkan kelalaian yang membawa kepada kekecewaan dan keburukan.

Jadi kita perlu menghadapi situasi ini dengan penuh kesedaran. Tanya pada hati dan perasaan serta teroka pada pemikiran, adakah gajet yang kita gunakan ini suatu kemestian atau keperluan atau hanya sekadar memenuhi kehendak untuk memuaskan diri atau orang lain.

Sebenarnya, kuasa dalaman kita yang terdiri daripada kewarasan pemikiran, keprihatinan perasaan dan kejelasan matlamat kehidupan, adalah elemen penting yang dapat membantu memilih cara menghadapi situasi ini. Kuasa mengawal kendiri adalah di tangan kita, tiada siapa yang dapat memaksa sekiranya kita tidak mahu melakukannya.

Sebagai wanita, perlu sedar dan akui sifat kewanitaan yang secara fitrah dalaman cukup halus dan lembut, boleh mengundang bencana pada diri sendiri.

Kadangkala wanita mudah terpedaya dan mempercayai gelagat licik lelaki yang berniat serong. Keadaan bertambah parah apabila mereka yang kurang cekap daya kawalan kendiri akan lebih mudah terjebak dalam pelbagai isu berkaitan perhubungan.

Hal ini boleh menjejaskan kesejahteraan diri dan impaknya cukup besar kepada ahli keluarga dan juga ahli masyarakat lain yang berkaitan.

Jangan sampai kita terlalu asyik dalam melayani perkara yang tidak pasti, sehingga mengundang pengabaian hak atau perkara dalam dunia realiti.

Ibu bapa pula, terhadap aspek didikan kepenggunaan gajet,  ia perlu disertai dengan pemantauan yang konsisten dan berunsur mendidik bukan mengherdik atau mengancam.

Saya berpendapat kita tidak boleh menafikan gajet-gajet ini boleh menjana kreativiti dalam diri anak-anak. Jangan disebabkan terlalu takut dengan kesan-kesan negatif akibat penggunaan gajet ini, menjadikan ibu bapa menutup terus peluang-peluang ke arah menjana kreativiti anak-anak dalam dunia realiti.

Dr. Rorlinda Yusof
Pensyarah Kanan/ Penyelaras Hal Ehwal Pelajar, Pusat Permata Pintar Negara,
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Perlu bijak manfaatkan fungsi

Selari perubahan zaman, peranan gajet  kini sudah menjadi satu keperluan, dan kebanyakan orang memerlukan peralatan ini untuk pelbagai tujuan, salah satu fungsi yang nyata adalah memudahkan perhubungan.

Justeru, berbalik kepada wanita, sekiranya mereka mampu, ia tidak menjadi satu kesalahan lebih-lebih lagi pemberian dan mendapat keizinan suami.

Apa yang dibimbangi, sikap pengguna gajet itu sendiri yang boleh menimbulkan perasaan riak, kerana mampu membeli peralatan elektronik yang mahal dan terbaru di pasaran, atau dalam erti kata lain menunjuk-nunjuk kepada orang lain yang sudah tersasar daripada apa yang agama kita sarankan iaitu hidup secara sederhana atau menggunakan alatan itu untuk perkara-perkara yang tidak bermoral.

Dalam kaitan gajet dengan golongan wanita pula, golongan ibu-ibu terutama suri rumah perlu bijak menjadikan peralatan ini untuk ke arah kebaikan bersama.

Misalnya mengeratkan lagi ikatan ukhuwah dan persaudaraan, antara yang jauh dan dekat, kerana perhubungan melalui internet ini capaiannya lebih cepat dan beberapa aplikasi yang ada mampu mengeratkan lagi kesejahteraan rumah tangga misalnya untuk pasangan yang tinggal berjauhan, boleh berhubung tanpa sempadan antara anak dan suami dan sebagainya.

Bagi wanita yang bergelar suri rumah pula, adalah digalakkan fokus kepada kerja-kerja rumah seperti menguruskan makan minum suami dan kebajikan anak-anak sebelum membuka laman sosial mahupun permainan yang disediakan.

Perlu seseorang wanita itu sedar akan tanggungjawab utama mereka dalam keluarga dan sekiranya mempunyai masa lapang, tidak menjadi halangan untuk mereka bersosial di internet, bagaimanapun, perlu mengikut lunas-lunas agama iaitu batasan sebagai isteri seperti tidak mudah terpengaruh dengan lelaki mahupun laman-laman sosial yang boleh mengundang kemaksiatan.

Harus jujur dan selalu bersikap terbuka dengan suami terutama yang membabitkan status kerana ramai yang terpedaya dengan cinta maya yang akhirnya membawa kepada perceraian.

Cara terbaik adalah pada waktu malam, hentikan semua permainan dan apa sahaja alatan elektronik yang tiada kaitan untuk bersama keluarga dan nikmatilah saat-saat indah itu bersama anak-anak dan suami.

US TAZ HAJI SHAHUL HAMID SEENI MOHD
Pengetua Maahad Tahfiz Darul Tahzhib
Pulau Pinang.

Memudahkan urusniaga

Saya memang minat berniaga dan sejak kecil sudah didedahkan dengan perniagaan. Saya memilih berniaga atas talian (online) kerana ia paling mudah, cepat dan praktikal untuk semua golongan.

Sebagai penjual, berniaga online ini boleh mengurangkan kos dalam pelbagai perkara antaranya sewaan premis, mahupun pekerja dan lain-lain perbelanjaan besar.

Daripada apa yang saya lihat, pasaran terbuka ini boleh beroperasi 24 jam, dan setiap saat jaringan pemasaran dikembangkan tanpa sedar.

Pada awal-awal dahulu, jenama kami tidak begitu dikenali,  tapi hari ini Ardini Boutique mempunyai 5,000 pelanggan tetap melalui online sahaja dan mencapai lebih 25,000 like sejak dibangunkan dua tahun lalu.

Awal-awal berniaga, telefon dan komputer riba jadi teman karib, tapi bila dah berkeluarga, saya letakkan urusan ini di tempat ke dua, dan anak-anak adalah keutamaan.

Rasa selesa berniaga dengan cara ini kerana masa yang lebih fleksibel bersama keluarga dan page kita sentiasa dilawati tanpa sedar, walaupun tak berniaga pun, urus niaga sentiasa berjalan tak seperti  premis perniagaan yang ada kalanya tutup sempena cuti umum dan sebagainya, lagipun kami membangunkan page, dan blog dalam aplikasi yang memudahkan pelanggan untuk menempah produk kesukaan mereka.

Jangan membazir jika tak perlu

tags: iphone 4,iphone5, iphone 5s, iphone 5 c, iphone 6, iphone 6 plus

Show more