Terima kasih….Faisyal menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim daripada sekitar bandar raya Kota Kinabalu.
Oleh Liza Din
KOTA KINABALU:Masyarakat diseru supaya bersikap prihatin dan tidak melupakan golongan kurang bernasib baik, sebaliknya menghulurkan bantuan yang ikhlas dan sewajarnya bagi meringankan beban golongan tersebut terutamanya pada bulan Ramadan ini.
Ketua UMNO bahagian Kota Kinabalu, Datuk Faisyal Yusof Hamdain Diego berkata, dengan berbuat demikian, mereka bukan sahaja akan menggembirakan golongan terbabit malah secara tidak langsung dapat membentuk budaya masyarakat penyayang.
Beliau berkata demikian majlis penyampaian sumbangan kepada 40 orang penerima anak yatim dan balu di Sabah Oriental Hotel di sini kelmarin.
Program tersebut turut mengadakan majlis berbuka puasa, solat maghrib, solat Isyak dan terawih berjemaah. Program tersebut merupakan anjuran Biro Ekonomi dan Usahawan UMNO Kota Kinabalu.
Menyentuh sumbangan diberi, Faisyal berharap ia dapat meringankan sedikit beban yang dihadapi si penerima sekeluarga.
Sementara itu Pengerusi Biro Ekonomi dan Usahawan UMNO Kota Kinabalu, Datuk Fatimah Sarah Mohd Noor berkata program tersebut merupakan program tahunan semenjak beliau menjadi Pengerusi Biro tersebut dan berharap ia akan dapat diteruskan pada masa depan.
”Sempena program hari ini kita menjemput anak-anak yatim dan balu serta fakir miskin untuk menerima sumbangan sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Turut hadir bersama Ketua Wanita UMNO Kota Kinabalu, Rosimah Zakiah dan Ketua Puteri UMNO bahagian, Musliati Moslimin, ahli-ahli Biro Ekonomi dan Usahawan serta kanak-kanak daripada Rumah Anak Yatim Tambunan.