2013-10-10

Assalamualaikum....

For those yang takde dalam group FB acik, acik nak inform yang next project novel acik adalah AKADKU YANG TERAKHIR.

InshaAllah kalau semua berjalan lancar, novel ni akan diterbitkan tahun depan di bawah penerbitan KakiNovel. sekarang tgh usaha gigih utk siapkan manuskrip sebab dateline adalah bulan depan. pitamssss!

jadi pada siapa-siapa yg takde FB, tapi teringin nak baca cerita tu, ni acik publish di sini. time to time acik apdet, inshaAllah bila free k.

Acik cuba lebih baik utk karya ni, belajar dan belajar, harap memenuhi selera anda ya. ^_^

selamat berkenalan dengan hero dan heroin baru. hehe.

______________________________________________



Irham Zahri



Rania Baheera

Intro : Bab 1 Akadku Yang Terakhir

“Good morning, Nia!”

Rania tersenyum senang. Dia membalas teguran Zulaikha dengan mengangkat sebelah tangannya. Langkah diteruskan menuju ke meja kerjanya yang terletak di cubicle paling hujung di ruang itu. Dia dapat mengagak yang Zulaikha mengekorinya dari belakang. Jelas kedengaran bunyi derap kasut tumit tinggi temannya itu di telinga.

Setelah meletakkan beg tangan ke dalam laci kabinetnya, Rania melabuhkan duduk di atas kerusi. Tangannya sibuk mencuit itu dan ini, membuat persediaan awal sebelum memulakan tugasnya hari ini. Suis laptop ditekan, kertas-kertas nota yang ditinggalkan di mejanya dibelek sepintas lalu.

“Nia, congrats! Nah, Doktor Hamida bagi satu lagi fail untuk kau.”

Kepalanya didongak, memandang wajah ceria Zulaikha yang berdiri di hadapan mejanya. Pandangan jatuh pula kepada fail kertas berwarna coklat yang dihulurkan oleh temannya itu.

“Another file?” Soalnya apabila fail tersebut bertukar tangan.

“Yes. Another file, another client.” Balas Zulaikha masih ceria. “Nampak tak betapa Doktor Hamida percayakan kau? Banyak client dia hand over pada kau sekarang, itu maknanya prestasi kau memang memuaskan hati dia!”

Rania sekadar tersenyum dengan pujian itu. Dia tahu yang Doktor Hamida memang menaruh harapan yang tinggi kepadanya. Namun kepercayaan yang diraih kini bukan datang dengan mudah.. Banyak yang telah dia buktikan, tunjukkan, dan semua usahanya nyata tidak sia-sia. Namanya mula terlakar sebaris dengan pakar-pakar psikoterapi yang sudah sedia ada di hospital swasta ini.

“Anyway, thank you sebab puji aku. Lunch nanti aku belanja kau ya?”

Zulaikha mencebikkan bibirnya, kemudian tergelak kecil pula. “Aku puji ikhlaslah Nia, bukan ada niat lain. Tapi kalau kau nak belanja jugak, aku boleh cakap Alhamdulillah ajelah.”

Rania ikut sama tergelak. Dia tahu Zulaikha bukannya jenis yang bermuka-muka, atau mahu membodek. Persahabatan selama tiga tahun sudah cukup untuk dia mengenali sifat luar dan dalam temannya itu.

“Okaylah Nia, aku tahu kau dah tak sabar-sabar nak belek fail tu kan? Kita jumpa lunch nanti.”

Bagaikan mengerti rasa teruja di hatinya, Zulaikha segera berlalu meninggalkannya. Dia memang begini. Setiap kali ada fail baru sampai ke tangannya, perasaan di dada meluap-luap dengan rasa ingin tahu.

Dia mahu tahu siapa klien terbarunya, apa masalah yang melanda, apa konflik yang dihadapi, dan selepas itu otaknya tidak akan mampu duduk diam lagi. Fikirannya akan mula ligat menyusun aktiviti-aktiviti yang akan dia lakukan ketika sesi terapi nanti.

Seperti kata umi, kerjaya yang dipilih olehnya ini terlalu sukar. Dia seolah-olah sengaja mencampakkan diri ke dalam permasalahan orang lain, mencari masalah namanya. Menyesakkan kepala sendiri untuk mencari jawapan kepada persoalan yang samar-samar di bayangan.

Memang sukar bunyinya. Dan dia akui yang kadangkala fikirannya ikut sama bercelaru. Lelah memikirkan masalah klien-klien yang saban hari menerobos ke telinganya. Namun inilah kerjaya yang dia pilih, kerjaya yang memberi seribu satu kepuasan kepada dirinya. Dan kerana itu dia bertekad untuk terus membantu, memberi dorongan dan galakan kepada yang memerlukan. Sama seperti apa yang dilakukan oleh Doktor Hamida yang cukup dia kagumi selama ini.

Sekali lagi pandangannya terhala ke fail berwarna coklat di atas meja. Dia perlu mengambil sedikit masa untuk bertenang dan mengosongkan fikiran supaya tidak ada masalah-masalah lain bercampur aduk sama.

Apabila sudah cukup bersedia, fail tersebut dibuka penuh yakin. Helaian pertama yang tertulis Terapi Kognitif Tingkah Laku dicapai untuk melihat butiran kliennya. Anak mata meniti di satu persatu huruf yang tertaip di atas kertas di tangannya.

Irham Zahri bin Alaudin– 30 tahun.

Pengurus Pemasaran.

Sepintas lalu hatinya menyebut sebaris nama itu. Nampaknya kali ini dia berhadapan dengan klien lelaki sekali lagi.  Dia akui antara cabaran yang paling sukar dalam kerjayanya adalah berhadapan dengan klien lelaki. Memang payah  untuk dia cuba membina kepercayaan apabila mahu menangani kaum lelaki yang memang terkenal dengan sikap ego yang tinggi. Mereka tidak gemar berkongsi cerita atau meluahkan masalah secara terbuka. Dan kerana itu dia perlu bijak mendekati secara halus, memulakan bicara dengan penuh hormat dan menghilangkan apa juga sempadan yang ada diantara mereka berdua. Fikirannya dan klien perlu bersatu.

Dan jelas sekali masalah lelaki bernama Irham Zahri ini jauh berbeza dari konflik-konflik yang pernah dia selesaikan sebelum ini. Minatnya tiba-tiba saja naik mendadak, bagaikan ada semangat aneh terhembus kuat ke hati tatkala membaca satu persatu butiran itu. Hatinya berbahang panas, ada rasa marah dan geram bercampur baur tanpa dipinta.

Ya Allah, lelaki jenis apa perangai macam ni? Gerutunya beremosi. Nafas terasa kian panas. Ada garis halus yang dalam mencalarkan hatinya tanpa dia sedari. Sekali lagi anak mata meneliti butiran yang sudah dibacanya sebentar tadi.

Rania merengus geram. Lelaki bernama Irham Zahri ini sudah bernikah sebanyak tiga kali, dan tiga kali juga lelaki itu bercerai tanpa sebab!

Apa, si Irham ni fikir berkahwin tu macam pilih ikan dekat pasar? Hari ni ambik, esok lusa dah tak nak boleh buang? Bibirnya diketap rapat menahan rasa berbuku di dada

.

Bagaimana seorang lelaki waras dan berkerjaya seperti Irham boleh berfikiran cetek begini? Apa yang lelaki itu fikirkan ketika memilih seorang isteri? Pentingkan paras rupa semata-mata? Atau tarikan fizikal yang jelas nyata cuma sementara?

Dengan perasaan  yang masih turun naik melawan emosi, Rania menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Dia gelisah. Ada rasa tidak sabar mahu merungkai rahsia hati seorang lelaki bernama Irham Zahri.  Lelaki yang baginya cukup kejam, cukup mementingkan diri sendiri. Kalau lelaki itu seorang yang budiman, mustahil Irham tergamak memperjudikan hidup seorang wanita. Bak kata pepatah, dah dapat madu, sepah dicampak jauh-jauh!

Tanpa sedar tangannya pantas mencapai gagang telefon. Nombor empat angka ke telefon Zulaikha didail dengan rasa kurang sabar. 

“Zue, kau arrangekan session aku dengan klien ni ASAP.”

“Err.. klien mana ni Nia?” Kedengaran suara Zulaikha terpinga-pinga di sebelah sana.

“Klien yang kau baru bagi aku tadi.”

“Encik Irham Zahri?”

“Yes, immediately please.” Arahnya sedikit tegas.

“Okay, but aku kena check slot kau dulu. Paling cepat lusalah kot, sebab untuk esok session kau dah penuh.” Terang Zulaikha jelas. “Kenapa Nia? Kau macam cemas semacam aje, teruk sangat ke penyakit klien kau ni?”

Seketika Rania membisu. Dia tidak mahu terlepas cakap kerana rahsia klien adalah rahsianya juga. Mana mungkin dia mencalarkan sikap professionalnya dengan menjaja keaiban orang lain. 

“Thanks for your help Zue. Kita jumpa lunch nanti.”

Talian segera dimatikan. Dan kemudian dia kembali menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Berat, memang berat tugas yang harus dia pikul kali ini. Bukan mudah mahu menyedarkan lelaki seperti Irham yang hidup tanpa pegangan kuat seperti itu. Walaupun mereka  belum bertentang muka, dia tahu lelaki itu mempunyai ego yang tinggi, rasa sabar yang terlalu  sedikit, dan mungkin sifat baran yang ketara.

Dan paling penting, mampukah dia mengubah Irham Zahri di penghujung sesi terapi kelak? Atau meyakinkan lelaki itu betapa indah ikatan sebuah perkahwinan yang mampu kekal hingga ke syurga?

Well, dia boleh cuba!

**************

“Ayah cakap apa ni??” Suara garau itu melengking tinggi. Bergema seluruh ruang makan kerana nada yang tiba-tiba saja naik mendadak itu.

Tuan Alaudin mengangkat muka. Tajam pandangannya merenung wajah muda yang kini sudah berdiri dengan riak mencuka. Dia sudah menjangkakan begini reaksi anaknya, namun dia sendiri sudah bersiap sedia untuk ‘serangan balas’. Kali ini dia tidak mungkin akan mengalah lagi!

“Apa? Apa yang ayah cakap ni tak masuk akal bagi kamu?” Soalnya bersahaja. Kopi suam yang masih separuh cawan disisip perlahan tanpa mempedulikan dengusan kasar yang melantun-lantun ke telinganya.

“Yes! True! That is ridiculous ayah!”

Tuan Alaudin mengorak senyuman kecil, senyuman yang menghantar isyarat menyindir dan mengejek. “Mengarut kata kamu?  You’re sick Ham, you need help!”

Irham Zahri terpempan dengan kata-kata tegas itu. Dia sakit? Bila masanya dia sakit? Ah, ayah memang sengaja mahu memperlekehkan dirinya. Bukan baru sekarang, memang sejak dahulu lagi mulut ayah tidak pernah mahu memuji. Asyik mengeji dua puluh empat jam!

Dengan rasa sebal di dada, Irham Zahri melepaskan keluhan geram. Tangannya serba tidak kena mahu melurut rambut dan muka yang berbahang panas. Sangkanya dia boleh menikmati makan malam yang tenang di rumah orang tuanya, namun jelas ayah masih gemar berperang seperti selalu. Pantang bertembung muka, ada saja salah dan silapnya di mata lelaki itu. Rimas!

“Ham, ikutlah cakap ayah tu sayang. Apa yang ibu dan ayah buat ni untuk kebaikan kamu jugak. Kami nak tengok kamu hidup bahagia macam orang lain.”

Suara lembut itu mengalihkan perhatian Irham Zahri. Jika tadi anak matanya melilau ke sana sini mencari sedikit ketenangan, kali ini pandangannya terhenti di wajah penuh kasih ibu yang masih setia duduk di sisi ayahnya sejak tadi.

“Tapi Ham memang bahagia ibu, Ham happy dengan life Ham sekarang.” Balasnya dengan nada sedikit lembut. “Ham tak faham kenapa ayah suka sangat masuk campur urusan hidup Ham, Ham bukannya budak-budak lagi!”

“Memang kamu bukan budak-budak lagi, tapi otak kamu tu dah cukup matang ke?” Bentak Tuan Alaudin sedikit berang. “Kamu sedar tak kaki kamu tu melangkah lurus ke senget? Kalau betul lurus, takkanlah hidup kamu tunggang langgang macam sekarang ni?”

“Apa yang tunggang langgangnya ayah? Ham ada karier, Ham ada harta, apa yang kurangnya lagi?” Balas Irham Zahri dengan nada serupa.

“Perangai kamu tu! Ada kamu fikir pasal perangai kamu tu?”

“At least Ham tak buat zinalah ayah!”

Berat keluhan terhela di bibir Tuan Alaudin. Dadanya yang sedikit perit diusap perlahan. Lelah dia mahu menyedarkan Irham Zahri biarpun sudah berkali-kali dia mencuba. Ego anaknya terlalu melangit, hati anaknya itu sudah buta kerana terlalu mengikut rentak dunia dan nafsu sendiri.

“Ham, tak boleh ke kamu berlembut sikit dengan ayah kamu ni? Kalau ayah bagi nasihat tu, kamu patut dengar dan cuba untuk faham, bukannya melawan macam ni!” Ujar Puan Badariah sedikit kesal. Segelas air kosong diunjukkan kepada suaminya. Sungguh hatinya bimbang jika Alaudin mendapat serangan jantung kerana masalah mereka anak beranak yang tak pernah habis!

“Ham, kamu pun tahu kenapa ayah marah sangat kan?” sambungnya sedikit lembut memujuk. Wajah keruh Irham Zahri masih tidak lepas dari pandangan matanya.

“Hmm.. sebab Zalia?” Teka Irham Zahri bersahaja. “Ibu, Ham dah tak ada jodoh dengan dia, takkanlah itu pun ayah nak pertikaikan? Jodoh, ajal dan maut kan di tangan Tuhan, apa yang boleh Ham buat lagi?”

Tersirap darah Tuan Alaudin dengan kata-kata Irham Zahri yang bagaikan sengaja mahu menyindirnya. Memang semua itu kerja Allah, aturan Allah, tapi lihatlah pula sikap anaknya yang memalukan itu. Langsung tidak tahu bersyukur!

“Memang semua itu di tangan Allah, tapi kamu sedar tak apa kamu dah buat?” Tengkingnya sedikit kuat. “Tak sampai sebulan kamu bernikah dengan Zalia, sekarang senang-senang kamu ceraikan dia?”

“Kami dah tak sefahamanlah, takkanlah Ham nak hidup dengan dia lagi!”

“Astaghfirullahalazim…” Lafaz Tuan Alaudin penuh kesal. Jiwanya merintih hiba mengenangkan keterlanjuran anaknya itu. Kalau diikutkan rasa baran di hatinya ini, memang teruk Irham dikerjakannya. Mana maruahnya mahu diletakkan jika punya anak berperangai begini?

“Kamu ingat nikah kahwin tu mainan? Kamu fikir isteri tu macam baju? Hari ini nak, kamu ambil. Esok lusa tak nak, kamu tukar yang lain?”

Irham Zahri menjulingkan matanya ke atas. Bosan diasak dengan soalan yang sama berulangkali.

“Ayah, Zalia pun tak kisah kitaorang bercerai. Yang ayah nak bising-bising kenapa? Bukannya Ham buat zina, ataupun buntingkan anak dara orang!”

“Tapi ini dah kali ketiga kamu bercerai! Kamu rasa semua tu okay lagi ke hah??” Tempelak Tuan Alaudin bengis. Mujurlah Badariah sempat memegang erat lengannya, jika tidak memang sudah melayang tangannya ini ke muka Irham. Dasar anak tak mengenang budi!

Melihat ayahnya bingkas bangun dengan wajah merah padam begitu, Irham Zahri tahu kemarahan ayahnya sudah di tahap maksima. Jika selama ini pergaduhan mereka hanya di bibir, saling bertelingkah dan membantah, namun kali ini ayahnya sudah berniat mahu memukulnya pula. Ah, memang silap besar dia balik ke sini!

“Ham, ibu pun pelik dengan perangai kamu ni. Dulu beria-ia kamu suruh ibu pinangkan si Zalia tu, sekarang kamu kata tak suka pulak? Tak sampai sebulan kamu kahwin dengan Zalia, dan sekarang bercerai lagi. Ibu malu dengan keluarga dia…” Luah Puan Badariah sedikit sebak.

“Sebab tu saya kata anak awak ni sakit, otak dia tu dah tak betul!” Tambah Tuan Alaudin dengan nada serius. “Anak awak ni fikir dia boleh dapat semua perempuan dalam dunia ni agaknya. Ikutkan sangat hati muda dia tu, inilah padahnya! Yang menanggung malu, tebal muka, kita jugak. Dia apa tahu? Lepas tangan macam tak buat salah!”

Berdesing telinga Irham Zahri menerima sindiran-sindiran itu. Nafasnya dihela kasar. Semakin lama dia berdiri di sini, semakin goyah kesabarannya. Dia tidak mahu meluahkan kata-kata yang lebih teruk lagi kerana dia sayangkan ibunya. Kalau pergaduhan ini berpanjangan, silap-silap dia mungkin tidak lagi dibenarkan menjejak kaki ke sini.

“Ayah tak kira, lusa kamu kena jumpa jugak pakar psikologi tu. Ayah dah arrangekan semuanya untuk kamu. Just pergi sana dan biar  dia tengok wayar apa yang dah terputus dekat otak kamu tu!”

“Ham belum gilalah ayah!” Bantah Irham Zahri lantang. Wajah garang ayahnya ditentang berani. Sekelumit pun tidak ada rasa gentar, sebaliknya ego di hatinya ini  kian tercalar balar. “Apa, ayah ingat kalau bercerai je orang dah boleh jadi gila?”

“Orang lain mungkin tak, tapi kamu tu yang dah tak siuman!”

“What??”

Tuan Alaudin menganggukkan kepalanya beberapa kali, menunjuk sepenuh keyakinan dengan apa yang dikatakannya sebentar tadi. “Kalau kamu siuman, kamu takkan buat isteri-isteri kamu macam tu. Bernikah tak sampai setahun, lepas tu bercerai! Tiga kali kamu buat macam tu, apa motif kamu sebenarnya? Apa yang kamu nak buktikan?”

Irham Zahri melepaskan keluhan bosan. Dia tidak ada hati mahu membalas pertanyaan itu. Pertelingkahan ini takkan berakhir biarpun dia menghimpunkan beribu alasan kepada ayahnya. Takkan ada penamat dan penghujungnya.

Malas mahu mengeruhkan keadaan, Irham Zahri mencapai kunci kereta dan telefon bimbit yang diletakkan di atas meja makan itu. Dia mengerling ke wajah keruh ayahnya, dan kemudian berpindah pula kepada wajah sayu ibu yang masih cuba menenangkan keadaan.

“Ibu, Ham balik dulu.” Luahnya seraya menghala langkah ke ruang tamu.

“Lusa kamu mesti ke hospital tu Ham. Kalau kamu tak pergi, jangan sesekali kamu jejakkan kaki ke rumah ni! Ayah takkan terima anak yang berperangai buruk macam kamu!”

Rapat Irham Zahri memejamkan matanya tatkala ugutan itu menerpa ke telinga. Dia tahu kali ini ayahnya tidak lagi memberi muka. Penceraiannya yang masuk kali ketiga benar-benar memberi tamparan yang hebat kepada kedua orang tuanya. Tapi untuk dia menuruti kehendak ayah dan berjumpa dengan pakar psikologi itu memang perbuatan yang tidak masuk akal. Dia belum gila lagi!

Oh, atau mungkin sebentar lagi dia akan betul-betul gila kerana memikirkan semua ini!

Show more