2013-05-09



Perut yang berkeroncong memaksa juga Helena bangkit dari pembaringan. Kepalanya terasa berat, kelopak matanya pula bagaikan melekat tidak mampu dibuka. Sudah berkali-kali dia cuba melelapkan mata, namun lena itu tidak juga muncul-muncul walaupun dipaksa. Dia letih, penat, lelah mahu terus berperang dengan emosi.

Semuanya kerana Fareeq. Kerana lelaki yang telah mencuri hatinya, yang telah menabur janji untuk sehidup semati, yang mengucap sayang dan cinta tanpa jemu, dan kerana lelaki itulah hatinya diracik-racik halus tanpa rasa simpati.

Sungguh, kehilangannya selama hampir dua bulan tidak memadamkan semangat Fareeq untuk menjejakinya. Dia benar-benar menyangka hubungan mereka sudah berakhir apabila lelaki itu menolaknya ke tepi. Dan dia cukup yakin Fareeq memilih Suhaila dan melupakan dirinya, Namun kini Fareeq muncul pula menagih kasih dan janji-janji dahulu, untuk apa?

Masalahnya bukan dia, masalahnya Fareeq yang tak tetap pendirian! Sekejap mahukan dia, sekejap nanti tidak sanggup melukakan hati Suhaila. Berapa tahun lagi Fareeq mahu membuang masanya?

Perlahan Helena melepaskan keluhan resah. Dia duduk di birai katil dengan tangan menopang ke kepala yang masih memberat. Ruang bilik yang suram dan hanya diterangi lampu tidur itu membuatkan dia semakin rimas, sesak mahu bernafas. Sekilas matanya melirik kepada Izzati yang sudah indah membuai mimpi.

Untuk dua bulan kebelakangan ini, dia sudah mula hidup tenang. Jauh dari mama dan papa yang kuat mendesak, jauh dari bayangan Fareeq yang melukakan hatinya, dia memang sudah mula selesa menyusun kehidupannya di sini. Tapi sekarang… ah, Fareeq memang menyusahkan hidupnya!

Kalaulah Fareeq tidak melupakan janji mereka, kalaulah Fareeq bersikap tegas untuk bersamanya, dia yakin mereka akan bahagia. Dan apa maknanya lelaki itu memujuk rayu dia sekarang? Sebab sudah bersedia mahu meninggalkan Suhaila? Ah, dia tidak rasa begitu!

Fareeq tidak mungkin menceraikan isterinya, Fareeq memang lelaki pengecut!

Bukan sekali dua Fareeq berjanji mahu menikahinya, sudah beratus kali. Dan dia pula seperti perempuan bodoh kerana terus mempercayai janji-janji mengarut begitu! Dia sanggup bersabar, bersabar dan terus bersabar. Malahan dia sanggup bermadu dengan Suhaila jika itu saja caranya mereka boleh bersama. Tapi lelaki itu memang pengecut, tidak berani mengambil risiko demi masa depan mereka.

Tapi yang paling bodoh sekarang siapa? Yang menjadi hamba cinta, yang membuang masa, yang  menangis siang dan malam, siapa? Sudah tentulah dirinya. Cuma dia yang sanggup menghadapi setiap kesusahan dan rintangan dalam hubungan mereka berdua, bukan Fareeq.

Kerana cinta? Iya, mungkin kerana cinta dia rela membiarkan Fareeq mempermainkan hati dan perasaannya hampir tiga tahun lamanya. Dia yang merelakan dirinya jatuh cinta kepada bos sendiri biarpun dia tahu lelaki itu bakal berumahtangga.

Apalah yang mampu dia lakukan untuk menyelamatkan hatinya dari menerbitkan perasaan indah sebegitu. Fareeq ketika itu di matanya terlalu tampan, penuh berkarisma, cukup mengambil berat dan sentiasa memberi tunjuk ajar kepadanya.

Dan apabila mereka sering menghadiri seminar di luar bersama, hubungan itu semakin lama semakin rapat. Benteng hatinya musnah dengan keikhlasan yang ditunjukkan oleh Fareeq terhadapnya. Dia rasa disayangi, dicintai dan dihargai setiap detik dan waktu. Mustahil dia mampu mengepung rasa indah yang wujud di hati.

Walaupun dia tahu ketika itu Fareeq sudah bertunang dengan Suhaila atas aturan keluarga, dia tetap memberi peluang kepada dirinya untuk disayangi oleh lelaki itu. Dia rela walaupun dia tahu hubungan mereka mungkin tidak ke mana-mana.

Dan apabila Fareeq mengahwini Suhaila setahun yang lalu, perasaannya mula terdesak untuk mengundurkan diri. Dia tidak mahu menjadi orang ketiga dalam hubungan Fareeq dan  isterinya, dia terpaksa melepaskan semuanya!

Namun Fareeq menegah. Fareeq merayu-rayu agar hubungan mereka diteruskan secara sembunyi. Surat perletakan jawatannya juga dibuang begitu sahaja tanda  Fareeq menolak dengan keputusan yang dia berikan.

Ketika itu jiwanya terharu melihat kesungguhan Fareeq. Dia percaya bulat-bulat pada setiap janji lelaki itu. Fareeq berjanji akan menceraikan isteri yang tidak dicintai dan segera mengahwininya apabila tiba masanya nanti. Janji itu dikuatkan lagi dengan kesungguhan Fareeq menghulurkan lamaran pada malam harijadinya.

Dan kerana cinta, dia menerima penuh rela. Dia menyambut huluran cincin mewah bertatah berlian yang menjadi tanda dirinya bakal dimiliki oleh lelaki itu. Dia benar-benar dilambung bahagia, dia tidak lagi gusar memandang dunia yang mungkin menghalang cinta mereka.

Hubungan mereka berjalan lancar kerana Suhaila menetap di Kuala Lumpur dan tidak tinggal bersama Fareeq di Johor Bharu. Dan cinta secara sembunyi itu semakin lama semakin kuat sehingga dia yakin dia tidak mampu hidup tanpa Fareeq walaupun sedetik.

Namun segala-galanya musnah apabila hubungan mereka sampai ke telinga mama dan papa. Hasrat di hati mereka ditentang habis-habisan, sedikit pun tidak diberi peluang untuk menjelaskan kehendaknya sendiri. Dia dipaksa mengakhiri hubungan mereka, Fareeq pula diugut dan berterusan didesak oleh papa dengan pelbagai cara. Namun mereka masih cuba untuk kekal bersama, cuba menghadapi satu persatu tentangan yang datang tanpa henti.

Akhirnya perancangan papa membuahkan hasil, Fareeq dibuang kerja atas satu fitnah yang tidak terbela. Walaupun Helena tahu semua itu memang rancangan rapi papanya, dia tidak mampu membantu Fareeq menegakkan keadilan. Fareeq terpaksa akur pulang ke Kuala Lumpur dan tinggal bersama Suhaila untuk mencari pekerjaan yang lebih baik di sini.

Dan ketika itulah hidup Helena bagaikan runtuh musnah. Kehilangan Fareeq dari pandangan matanya membuatkan dia nanar tidak keruan. Dia tidak habis-habis menyalahkan mama dan papa kerana memusnahkan kebahagiaan yang dia miliki.

Dari dahulu lagi, mama dan papa tidak pernah memahami apa yang dia inginkan. Hidupnya dikawal, diarah dan dimainkan sesuka hati. Dia memang tidak pernah berhak!

Tekad menurut rasa di hati, Helena mengambil keputusan untuk mengahwini Fareeq di tanah sempadan. Perancangan rapi dilakukan mereka berdua tanpa pengetahuan sesiapa. Biarlah tidak diwali papa, tidak disaksi oleh saudara mara, tidak juga dirai dalam majlis yang gilang gemilang, dia rela demi rasa cintanya.

Bersusah payah Helena meloloskan diri dari kawalan ‘mata-mata’ papa yang sentiasa ligat memerhati, dan akhirnya dia berjaya juga tibadi Kuala Lumpur pada hari yang dijanjikan bersama Fareeq. Awalnya mereka merancang untuk ke Thailand pada hari yang sama, namun beberapa jam menunggu, Fareeq tidak juga muncul menjemputnya.

Hampir separuh hari menanti dengan gaun pengantin tersarung di tubuh, hatinya mula gelisah. Dia mula membayangkan perkara-perkara buruk yang mungkin berlaku ke atas tunangnya itu. Bukan dia tidak tahu sikap papa yang pendendam, dan papa mampu melakukan apa saja yang dimahukan. Jangan-jangan membunuh pun papa sanggup jika arahannya diingkar!

Kerana rasa gelisah dan bimbang, Helena tekad ke rumah Suhaila melalui alamat yang disimpannya tanpa pengetahuan Fareeq. Apa yang dia mahu ketika itu hanyalah memastikan keadaan lelaki itu baik-baik saja. Itu sudah memadai, sudah cukup menjadi sebab untuknya hidup tenang jika rancangan mereka terpaksa ditunda.

Namun perasaannya luluh, hancur dan berkecai ketika menjejakkan kaki ke rumah besar itu. Melihat Fareeq berpelukan penuh mesra bersama Suhaila di halaman rumah, jelas tergambar rasa bahagia di wajah tampan itu. Sedangkan dari apa yang dia dengar dari mulut Fareeq, rumahtangga mereka tidak pernah bahagia. Tidak ada sekelumit rasa cinta, tidak pernah wujud rasa kasih dan sayang. Jadi semua ini apa?

Seketika dia kaku tidak berganjak di hadapan pagar, keliru dengan fikirannya sendiri. Fareeq terlupakah mereka akan berkahwin pada hari itu? Fareeq tidak ingat lagi pada janji-janji mereka seminggu yang lalu?

Terdengarkan perbualan dua manusia itu tentang kandungan di dalam perut Suhaila, semakin luruh seluruh perasaannya. Dia tidak buta untuk melihat sinar di mata Fareeq yang teruja menyentuh perut isterinya itu. Dan semua itu jelas menggambarkan, Fareeq sudah mencampaknya ke tepi. Mana mungkin dia boleh melupakan setiap baris perkataan yang diucapkan oleh Fareeq pada malam keramat itu. Sampai ke mati pun dia tidak akan lupa!

“Sorry sayang, you have to leave. I tak boleh ikut you malam ni,I’ll call you later. Please, I tak nak Suhaila syak yang bukan-bukan. You baliklah dulu!”

Cuma itu pesanan Fareeq selepas apa yang dia lalui untuk menunaikan janji-janji mereka. Fareeq memang kejam! Fareeq memang tidak berhati perut! Tergamak lelaki itu membiarkan dia terkontang-kanting sendiri setelah dia mencampakkan seluruh kehidupannya ke tepi. Dia sanggup membuang keluarga, membuang harta, membuang semuanya kerana cinta!

Sedarlah Helena yang dia sudah hilang segala-galanya, dia benar-benar sudah tersilap langkah. Dan pada malam itu, dia tekad untuk mati.

************* 



Gerakan tangan Izzat yang sedang mencuci periuk di singki terhenti tatkala ekor matanya menangkap kelibat di ambang pintu dapur. Dia menoleh ke belakang, tepat matanya terhala ke seraut wajah yang kelihatan muram. Tidak ada walau segaris keceriaan di raut Helena. Sugul dan tidak bermaya. Sama seperti riak yang ditunjukkan selepas pertemuan dengan lelaki bernama Fareeq beberapa jam yang lalu.

Dia tidak tahu apa masalah sebenar Helena dengan lelaki yang mengaku sebagai tunang Helena itu. Yang dia tahu sepanjang perjalanan balik ke rumahnya, Helena menangis tidak henti-henti. Kemudian berkurung pula di dalam bilik tanpa peduli makan dan minum.

Rimas juga dia tadi bila ibu dan Izzati mengasak dengan bermacam-macam soalan. Sangka mereka dia yang membuli Helena sehingga gadis itu merajuk bagai nak gila. Dia mungkin suka menyakitkan hati Helena, menunjuk lagak dan garang, tapi tidaklah sampai tergamak membuat perempuan itu menangis. Itu dah melampau sangat.

Melihat Helena melabuhkan duduk di atas kerusi tanpa sedikit pun mengendahkannya, Izzat termangu sendiri. Perempuan itu tak nampak ke dia terpacak dekat sini? Selalunya bukan main lagi mulut Helena menegur dengan soalan-soalan menjengkelkan. Bukan sekali dua Helena menggunakan ayat sarcastic ‘basuh pinggan ke kak?’ bila melihatnya menyental pinggan mangkuk di singki. Dan kali ini, mulut itu sudah pandai mahu diam?

Usai membersihkan semua perkakas yang digunakan oleh ibunya untuk memasak nasi lemak sebentar tadi, Izzat memusingkan tubuhnya menghadap Helena. Dengan menyandarkan tubuh ke kabinet bersebelahan singki, perlahan dia mengelap tangannya  menggunakan sehelai tuala kecil. Mata masih mengerling ke sana, memandang Helena yang bagaikan sudah terpisah roh dari badan. Diam kaku tidak berkutik, termenung kosong entah ke mana.

Dia tahu Helena menangis teruk. Mata yang bengkak, hidung yang kemerahan dan raut yang sedikit sembab dan pucat, tidak sukar untuk dia meneka apa yang dilakukan oleh gadis itu sepanjang beberapa jam yang lalu. Mungkin baru sekarang Helena  berasa lapar, baru sedar perutnya tidak berisi.

Seketika Izzat mengetap bibirnya, serba salah mahu melontarkan soalan. Kalau tiba-tiba dia tunjuk sikap prihatin, tak ke terkejut perempuan tu nanti? Namun mendengarkan keluh kesah Helena yang keresahan, perasaannya berbelah bahagi pula. Akhirnya dia tekad, mengambil nafas sepanjang mungkin.

“Kau lapar ke?” bibirnya diketap rapat, terlepas juga soalan ‘prihatin’ itu dari bibirnya.

Melihat Helena buat tidak endah dengan soalannya, timbul pula rasa malu. Orang tak kuasa nak berborak dengan kau, kau pulak sibuk nak beramah-tamah kenapa? Egonya terguris sedikit.

“Hmm… lauk ibu dah simpan, siapa suruh kau lambat sangat keluar.” Tokoknya dengan suara sedikit serius, menambak semula paras keegoannya ke tahap biasa.

“No, it’s okay…” Lemah saja suara Helena menjawab, diiringi pula dengan keluhan berat.

“Dalam rumah ni ada peraturan, nak makan ada masa-masa tertentu aje. Kalau kau terlepas time makan, memang nasiblah berlapar sampai ke pagi.” Ucap Izzat bersahaja. Peraturanlah sangat! Padahal ibu tak berkira langsung soal makan dan minum, makanlah bila-bila masa pun.

“Hmm.. okay.”

Eh, perempuan ni! Izzat mengerling ke wajah Helena yang bagaikan separa mamai. Cakap pun macam meracau aje, langsung tak seagresif biasa. Kalau dikirakan normal diri Helena, memang tidak mungkin gadis itu mahu akur dan mendengar saja kata-katanya. Perempuan itu tidak suka kalah, mesti nak menang juga!

Lambat-lambat Izzat melangkah menghampiri meja makan tempat Helena duduk mengelamun. Direnung tepat seraut wajah yang sedikit menunduk itu. Hatinya tertanya-tanya mengapa hati Helena begitu terguris kali ini. Apa yang dah Fareeq lakukan?

Perasaan ingin tahu itu mendorong tangannya menarik kerusi kayu, dan kemudian perlahan dia melabuhkan duduknya di hadapan Helena. Lamunan gadis itu kelihatan sedikit terusik, mengangkat muka namun masih memandangnya dengan pandangan kosong.

“Aku pernah cakap dengan kau, aku tak nak kau susahkan keluarga aku. Lebih-lebih lagi ibu.”

Berkerut-kerut kening Helena mendengar sepotong ayat itu. Dia tidak faham, otaknya memang tengah ‘mati’ sekarang ini.

“Kau lari dari rumah kan?”

Tersentak diri Helena dengan soalan itu. Pandangannya dialihkan ke sisi, enggan memandang renungan Izzat yang menikam ke matanya. Dia boleh menjangkakan yang Izzat sudah lama tahu tentang itu, dan kehadiran Fareeq semakin menjelaskan rahsianya.

“Sekarang ni tunang kau dah tahu dekat mana kau menyorok, jadi aku rasa eloklah kau keluar dari rumah ni. Aku tak nak orang tuduh keluarga aku sengaja sorok kau, kidnap kau.” Jelas Izzat tenang namun nadanya kedengaran sedikit tegas.

“Dunia sekarang ni kejam, orang sanggup buat apa saja untuk kepentingan diri sendiri. Jadi apa pun masalah kau, tolong jangan libatkan keluarga aku.”

Helena kembali mencari wajah Izzat, seketika mereka saling bertatapan.

“Izzat, I bukan nak susahkan keluarga you. I memang ada masalah, tapi masalah I takkan menyusahkan family you. I can promise you that.”

“Kau terlalu banyak berahsia Helena, jadi aku harap kau boleh keluar dari rumah ni secepat mungkin.”

Terpinga-pinga Helena memandang wajah serius lelaki di hadapannya ini. Dia tahu yang sikap Fareeq sedikit keterlaluan kerana mengesyaki Izzat sebagai kekasih barunya, tapi takkanlah Izzat sudah kecut perut? Cemburu lelaki seperti Fareeq takkan ke mana, dia tahu sangat.

“Izzat, I mintak tempoh sebulan dengan you kan? Sekarang ni tinggal dua minggu aje lagi, bagilah I masa untuk cari rumah sewa lain…” Pintanya mengharap.

“No, I can’t. Tapi aku boleh pinjamkan kau duit, asalkan kau keluar dari sini secepat mungkin.”

Ternganga Helena dengan apa yang diluahkan oleh lelaki itu. Izzat betul-betul bencikan dia, memang betul-betul benci! Tapi dia nak ke mana? Dia belum cukup berani mahu berdikari sendiri.

Runsing dengan masalah yang semakin kusut di kepala, Helena meraup wajahnya berkali-kali. Pandangannya mula berkaca-kaca, bercampur baur dengan rasa sedih, kecewa, kesal dan bimbang. Dia cukup tertekan, kalau diikutkan hati dia mahu menangis dan menjerit-jerit melepaskan semua rasayang berkumpul di dada.

“Tapi I nak pergi mana Izzat? I tak ada siapa-siapa lagi. Mak ayah I dah buang I, kawan-kawan I dah tinggalkan I, I nak pergi mana lagi?” Soal Helena sedikit beremosi.

“Semua dah tinggalkan kau, tapi Fareeq ada kan? Dia boleh jaga kau.” Balas Izzat selamba.

Helena merengus kuat. “I don’t need him anymore!”

“Why? Sebab kau dah ada Rafael, kau dah tak perlukan Fareeq lagi?”

Berdesing telinga Helena dengan pertanyaan separa mengejek itu. Matanya serta merta menyilau garang, sakit hati dengan telahan mudah Izzat. Lelaki itu tidak tahu apa-apa tentang kisahnya, kenapa senang benar Izzat mahu menuduh yang bukan-bukan?

“Kenapa? Aku salah cakap?” Soal Izzat tatkala melihat riak wajah Helena berubah. “Sama macam kau buat pada Danial, kau tak endahkan dia bila kau dah kenal orang lain. Seronok ke main-mainkan hati orang macam tu?”

Nafas Helena terasa sesak. Begitu bersahaja Izzat menyimbah minyak tanah ke atas bara api di hatinya. Kalau tak disabarkan hati, tidak mustahil mulut celopar itu merasa penamparnya.

“You jangan nak sebut-sebut benda yang you tak tahu!”

“Apa yang aku tak tahu? Kalau kau tak cakap pun, aku tahulah perangai kau macam mana. Kau ingat aku buta? Kau ingat aku bodoh?” Tempelak Izzat geram. Sakit hati sungguh kerana Helena  begitu berani meninggi suara kepadanya.

Pandangan mereka kini bertentang garang, masing-masing tidak mahu beralah.

“I tak pernah main-mainkan hati sesiapa Izzat.”

“Oh yeah? Dah baling batu, sorok tangan. Bagus!”

“Bagus? Apa yang bagusnya?” Suara Helena masih meninggi.

“Baguslah, sebab kau ni memang ada talent. Heart breaker!”

“Wh.. what?”

“Heart breaker! Perempuan yang suka merosakkan hati lelaki, perempuan macam kau nilah!” Luah Izzat sekuat hati. Dan dalam rasa panas, tiba-tiba saja wajahnya terasa sejuk dan dingin. Pandangan pula kabur entah kenapa. Namun sepantas itu otak menghantar maklumat apabila titisan air mula jatuh ke tangannya. Helena simbah dia dengan air?? Dia tercengang.

“Puas hati you sekarang?” Tanya Helena dengan pandangan berkaca-kaca. Dia terluka sekali lagi disaat jiwanya begitu rapuh menanggung kepiluan. Izzat memang tidak berhati perut! Tak boleh ke lelaki ini membiarkan dia hidup tenang walau sesaat?

Helena bangkit dengan pantas, kerusi yang didudukinya ditolak kasar ke belakang. Tajam dia merenung wajah Izzat yang masih tidak lepas-lepas memandangnya. Basah rambut dan muka lelaki itu kerana diterjah air yang disimbahnya sebentar tadi. Dan dia tidak menyangka dia akan bertindak sehingga ke tahap ini. Dia tidak sedar bila tangannya mencapai gelas berisi air kosong itu. Dia tidak ingat!

“Demi Allah I tak pernah mainkan hati mana-mana lelaki dalam hidup I…” Ucap Helena dengan nada bergetar. Tangannya yang sedikit menggigil naik menyeka airmata yang mengalir di pipi. “Yang dipermainkan, yang terluka, yang kecewa, yang merana, yang dah tak ada harapan untuk hidup, semua tu diri I Izzat. Diri I!” Sambung Helena dengan suara separa menjerit. Dadanya bagaikan mahu pecah, tidak tertanggung beban kesedihan di hatinya ini.

Izzat masih terpaku, sedikit pun lidahnya tidak mampu menyusun kata.  Hanya jantungnya berlari kencang, berdegup pantas tatkala airmata Helena berterusan mengalir.

“I tak mintak you faham I Izzat, tapi percayalah I bukan perempuan macam tu.. I lebih tahu macam mana rasanya kecewa dan sengsara… trust me, I lebih tahu.”

Melihat Helena berlalu meninggalkannya dengan wajah penuh kesedihan, Izzat mengeluh keras. Rambutnya yang masih basah dilurut perlahan, dia kemudian tunduk memicit-micit dahinya dengan otak ligat berputar. Kata-kata Helena sebentar tadi kembali bermain di dalam fikirannya, serta merta hatinya diserbu rasa bersalah.

Dia tidak berniat mahu menambahkan beban di tubuh itu, dia memang tidak sengaja menyakiti Helena. Ah, dia terlalu mengikut perasaan! Terlalu terbawa-bawa dengan dendamnya yang tidak pernah padam.

Lama Izzat termenung dan berfikir. Siapa dia mahu menyamakan Helena dengan perempuan bangsat yang telah memusnahkan kebahagiaan keluarganya? Dia tidak pernah ambil peduli, tidak pernah cuba mahu menyelidik siapa diri Helena yang sebenar, dan sekarang dia berani menghukum seolah-olah dia sudah hidup bertahun dengan gadis itu? Sesalan mula menimpa bahunya. Dia rasa bersalah.

Terkenangkan Helena yang belum menjamah apa-apa makanan, perlahan dia bangkit dari duduknya. Masih ada rasa kesal mengepung seluruh hatinya, membuatkan dia semakin gelisah dengan rasa bersalah.

Beberapa minit menyibukkan diri di dapur, tangannya kini lincah menyusun sepinggan nasi, semangkuk sup ayam, dan sepiring sayur campur di atas meja makan. Dia tidak sampai hati pula membiarkan Helena tidur dengan perut kosong, lebih-lebih lagi mengenangkan hati gadis itu terluka kerana mulut lancangnya.

Telefon bimbit di atas meja dicapai. Sambil menapak ke pintu belakang untuk pulang ke rumah sebelah, jari jemarinya ligat menaip pesanan ringkas kepada Izzati.

Zati, bangun temankan Kak Helena makan. 

Abang dah masakkan utk dia. Make sure dia makan sblm tidur.

Dan sepanjang langkah itu, hati Izzat kian memberat. Kepalan

Show more