2013-03-11



Dengan nafas yang masih tercungap-cungap, Izzat melabuhkan duduk di atas bangku panjang yang diletakkan di luar gelanggang. Tubuhnya masih berkeringat, begitu juga rambut dan wajahnya. Dia kemudian mencapai sebotol air mineral yang dihulurkan oleh Aida.

“Kau memang keji Izzat.”

Terpinga-pinga Izzat apabila mendengar serangan mulut dari bibir Aida. Wajah temannya itu dipandang silih berganti dengan wajah Norman yang tersengih-sengih.

“Apahal kau ni Aida? Cari pasal?” Tukasnya bersahaja. 

Penutup botol mineral dibuka dan dengan rakus dia meneguk minuman yang masih sejuk itu. Nyaman terasa namun masih belum cukup melegakan tekaknya yang kehausan.

“Kejilah, kata nak main cincai-cincai aje. Ni, kau nampak dah lebam tulang keting tunang aku ni!” Aida memuncungkan bibirnya ke betis Norman yang terdedah. “Orang suruh sepak bola, kau pergi sepak betis dia buat apa. Kalau cacat tunang aku macam mana?”

Terdengarkan bebelan itu, Izzat tergelak besar. Dia lihat Norman ikut sama tersengih-sengih menahan segan. Iyalah, dapat tunang over protective sangat!

“Oh, come on la Aida. Futsal ni kan permainan anak jantan, standardlah kalau injured sikit-sikit tu. Itu cukup baik aku tersepak perlahan tau, kalau aku tendang betul-betul agaknya dah tertanggal kaki Norman tu.”

Bulat mata Aida mendengar apa yang diluahkan oleh Izzat. Dia mengerling ke sisi, melihat tuangnya tergelak besar sampai merah-merah muka. Amboi… orang risau dekat dia, dia boleh gelak pulak!

“Kau memang suka berlagak kan Izzat!”

“Well, you know me.” Izzat masih menyengih. “Sebab itulah kau jangan paksa-paksa aku main, kan aku dah over excited.”

“Eiii.. geli! Tolonglah ya, tunang aku saja kasi chance aje tu.”

Izzat tergelak lagi. Dia sudah lali dengan gurauan Aida yang seringkali menidakkan kehebatannya di gelanggang. Bukan niatnya mahu berlagak, dia sekadar bergurau. Walaupun bibir temannya itu liat memuji, namun apabila ada perlawanan penting memang dialah yang dicari dahulu.

“Apahal Danial dah lama tak turun?”

Pertanyaan Norman itu mengalihkan perhatian Izzat ke wajah berkulit sawo matang itu. Dia sekadar menjungkitkan bahu, isyarat malas mahu melayan pertanyaan itu.

“Buat-buat tak tahu pulak kau ye. Kau tengok sekarang, tak pasal-pasal kita hilang sorang player tau!” Aida menjeling Izzat seraya menjuihkan bibirnya.

“Apahal aku pulak? Tak ada kaitan okay!”

“Takde kaitan konon. Yang kau adjustkan si Helena tu dengan dia kenapa? Sekarang si Danial tu mana reti nak ingat bola, asyik duk angaukan anak angkat mak kau tu aje.”

“Serius kau adjustkan diaorang Izzat?” Sampuk Norman sedikit terkejut.

 Izzat mendengus tanda kurang senang dengan apa yang didengarinya. Dia yang adjustkan Danial dengan Helena? Memang taklah! Ingat dia banyak masa sangat nak jadi matchmaker?

Lagipun sudah seminggu dia cuba mengelak dari bertembung dengan Helena. Waktu makan malam pun dia tidak lagi ke rumah ibunya, dia lebih suka ke kedai mamak atau keluar makan bersama kawan-kawannnya di tempat lain.

Sungguh, dia tidak selesa mahu berhadapan dengan gadis itu. Memandang Helena mengingatkan dia kepada kes ‘terpegang’ seminggu yang lalu. Dan setiap kali perkara itu singgah di kepalanya, setiap kali itu jugalah jantungnya berdegup laju tidak menentu. Gila kan?

“Aku dah cakap dah, si Danial tu kalau dapat perempuan memang lupa segala-galanya.” Komen Aida sedikit geram. “Ini nanti kita nak rematch dengan team Publika pun belum tentu dia nak join. Geram betul aku, macamlah dia sorang ada awek!”

“Biarlah dia yang. I kan ada, mesti kita boleh menang nanti.” Pujuk Norman dalam usaha cuba melegakan hati tunangnya yang tidak ubah bagaikan pengurus team futsal mereka itu.

“You? Huh, kena sepak betis sikit pun dah injured!”

Hilang wajah kelat Izzat apabila terdengar pergaduhan manja Aida dan Norman itu. Dia tergelak kecil seraya menggelengkan kepala. Aida ni memang mulut tak ada insurans!

“Eh Izzat, si Helena tu muncul dari mana hah? Aku tanya Zati, Zati pun tak tahu. Dia kata kau jumpa Helena tu atas bukit. Kau agak-agak, dia jatuh dari langit ke?” Soal Aida ingin tahu. 

Manalah tahu kan, sebab kemunculan Helena memang agak misteri. Memanglah mereka dimaklumkan yang Helena datang dari Johor Bahru, tapi siapa dirinya yang sebenar? Anak siapa? Memang banyak persoalan masih belum terjawab.

“Kau tanya aku kenapa? Kau ingat aku ada add dia dekat Facebook ke? Banyak pulak masa aku nak buat semua tu.” Sindir Izzat menunjuk reaksi kurang senang.

“Alah, tanya sikit nak sentap. Manalah tahu kau ada borak-borak dengan dia, ada interview dia ke apa.”

“Tak ada masa, faham?”

“Perempuan cun macam tu pun kau tak ada masa nak bagi?” Tingkah Aida mengusik. “Aku rasa kalau Norman jadi kau, dah lama dia selidik sampai ke lubang cacing. Kan sayang?”

Norman tersengih-sengih mendengar pertanyaan itu. Perempuan secantik Helena, mahunya dia tidak suka. Namun melihat Aida menjelingnya tajam, pantas pula dia menggelengkan kepala. “Eh, mana ada. Kalau I pun, I tak ada masa nak tanya dia.”

“Dan-dan you tukar statement ya!” Laju Aida mencubit lengan tunangnya itu.

Norman yang tidak sempat mengelak, menyeringai menahan rasa perit yang mencecah ke kulit. Aduhai.. jari macam sepit ketam!



“Hi guys!”

Perbualan mereka bertiga terhenti apabila sapaan ceria itu singgah ke telinga. Laju kepala masing-masing terteleng ke sebelah kanan. Terpandangakan wajah jernih Danial, Izzat mengeluh perlahan. Namun tatkala terlihat kelibat Helena di belakang temannya itu, serta merta nafas yang tenang kembali kalut. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangan ke gelanggang futsal yang masih sibuk.

“Amboi Danial, ‘awal’ kau sampai..” Tegur Aida lebih kepada menyindir. Melihat jeans dan kemeja kemas tersarung di tubuh tinggi lampai itu, dia tahu Danial datang sekadar untuk singgah melihat mereka. Bukannya mahu turun padang.

“Sorry tak join hari ni, aku keluar dengan Helena tadi…” Balas Danial dengan wajah berseri-seri. “Kauorang dah habis game ke?”

“Eh taklah, baru nak mula.” Seloroh Norman dengan maksud tersirat.

Izzat masih mendiamkan diri dan pura-pura sibuk mengelap wajahnya dengan tuala. Dia tidak terasa mahu ikut sama dalam perbualan itu. Melihat dari penampilan Helena, dia tahu Danial sudah kena ‘ketuk’ dengan gadis itu.

Baju baru, kasut baru, siap bersolek bagai, entah berapa ratus duit sudah melayang dari dompet teman baiknya itu. Danial memang begitu, suka memanjakan perempuan dengan harta benda. Segala kehendak mahu diturut dan diikut.

Kalau dahulu dia tidak kisah sangat sebab Danial bekerja, tapi sekarang temannya itu baru saja berhenti kerja dan masih menganggur. Selama manalah sangat duit simpanan itu boleh bertahan kalau dapat awek high-maintenance macam ni.

“Kau ni dah tak ingat nak training ke Danial?” Tanya Aida lurus tanpa bengkang-bengkok. “Kitaorang ni macam nak gila kena cari orang nak cover tempat kau, kau nak main ke tak ni?”

Helena mengangkat muka memandang wajah gadis bertudung yang duduk di bangku itu. Dia tahu nada suara itu jelas kurang senang dan seolah-olah menyalahkannya kerana rapat dengan Danial. Dan ini bukan kali pertama mereka bertemu muka, sudah berkali-kali namun Aida masih bersikap dingin dengannya.

“Eh, mestilah aku nak main. Kauorang dah tak nak aku lagi ke?” Soal Danial sedikit cemas.

“Kalau nak, buat cara nak. Training kau kenalah turun macam orang lain jugak..” Tokok Aida lagi. Melihat Helena menunjuk muka bosan, sakit pula hatinya. Tahulah awak tu cantik, tapi janganlah gunakan kecantikan nak memikat lelaki sampai tunggang langgang hidupnya.

“Okay-okay, esok malam aku join.” Janji Danial bersungguh. “Hari ni memang tak boleh sebab aku dah janji nak bawak Helena tengok wayang dan shopping. But esok, aku janji aku datang.”

Tanpa mengendahkan perbualan rakan-rakannya, Izzat mengerling sekilas jam di tangannya. Sudah hampir pukul sepuluh malam dan dia mahu pulang ke rumah untuk merehatkan diri. Perlahan dia bangkit seraya mencapai beg sandang yang diletakkan di atas kerusi. Wajahnya ditundukkan, sengaja mahu mengelak dari bertembung pandang dengan Helena yang masih berdiri tegak berdekatan mereka.

“Kau nak balik dah?” Tegur Danial apabila melihat Izzat bersiap-siap untuk pulang. Terpandangkan wajah serius Izzat, risau juga kalau-kalau ‘kapten’ sudah naik marah dengan disiplinnya yang teruk kebelakangan ini.

“Aku jumpa kau esoklah.” Balas Izzat seraya menyalami Danial dan kemudian berpindah pula kepada Norman. Dia tahu Helena mengerlingnya, semakin ketat dia menarik muka. Sengaja.

Tidak mahu berlama-lama di situ, Izzat segera melangkah menuju ke pintu utama. Namun baru beberapa langkah diambil, telefon bimbit di dalam beg sandangnya berdering kuat. Terkial-kial dia mengeluarkan telefon bimbitnya itu.

“Assalamualaikum ibu..” Sapanya seraya menyambung langkah.

“Waalaikumusalam. Ijat dekat mana tu?”

“Ijat dekat futsal ibu, baru nak gerak balik ni. Kenapa?”

Suara ibunya di sebelah sana kedengaran sedikit resah, berkeluh kesah bagai risaukan sesuatu.

“Kenapa ni ibu? Zati tak balik lagi ke?” Soal Izzat tanpa mampu menutup rasa cemasnya.

Dia masih ingat selepas Maghrib tadi Izzati ada meminta dia menghantarnya ke rumah Safura untuk membuat assignment. Bimbang juga kalau-kalau ada perkara buruk berlaku kepada adik perempuannya itu.

“Eh, Zati dah lama balik ni.” Sahut ibunya jelas. “Ibu risau pasal Helena, mana pulak dia pergi tak balik-balik lagi ni?”

Spontan langkah Izzat termati. Dia menghela nafas panjang, menutup rasa debarnya apabila nama itu disebut-sebut. Kasihan pula ibunya, tak fasal-fasal nak kena risaukan perempuan seorang itu!

“Ijat tak ada nampak dia ke? Cubalah call Danial tu, tanya diaorang dekat mana. Kita tak boleh biarkan macam tu aje sebab Helena sekarang di bawah jagaan kita. Ibu tak nak dia keluar-keluar macam tu dengan lelaki yang baru dia kenal. Bahaya tahu tak?”

“Hmm.. dah macam tu dia nak, lantak dialah ibu.” Balas Izzat dengan mata menyorot kepada Helena yang masih berdiri berdekatan dengan gelanggang.

“Hesy, cubalah jadi bertanggungjawab sikit Ijat. Kalau pun dia tu tak ada kena mengena dengan kita, anggaplah kita bantu dia sebagai manusia. Yang salah, kita patut tegur. Kamu ni pun cubalah berlembut sikit dengan dia tu.”

Tangan Izzat naik menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Kalau ibu dah mula membebel, memang dia tidak ada peluang mahu menyelamatkan diri. Dia tahu sikap ibu memang begitu, penyayang dan terlalu prihatin kepada orang lain. Dan dia kesal kerana membawa Helena ke dalam keluarganya, tak pasal-pasal hati ibu runsing mengenangkan perempuan lepas laku seperti itu.

“Kalau Ijat tak boleh tolong carikan dia, ibu ajak Zati la pergi rumah Danial. Biar ibu tanya mama Danial ke mana dia bawak Helena keluar.”

Terdengarkan kata dua itu, Izzat mengeluh perlahan. Mana mungkin dia tergamak membiarkan ibu bersusah-payah mencari manusia yang sudah tegak berdiri di hadapan matanya ini.

“Hmm… ibu jangan risaulah. Helena ada dekat sini.”

“Dekat mana?”

“Dekat gelanggang futsal nilah…”

“Eh? Dia ikut kamu main bola?”

“Eh taklah, dia datang dengan Danial. Sekarang ibu tahu dia dah okay kat sini kan? Tunggu ajelah Danial hantar dia balik nanti.” Balas Izzat memberi jaminan mudah.

“Eh, mana boleh macam tu. Ijat bawak dia balik sekali.”

“Bawak balik apanya ibu? Ijat dah masuk kereta pun ni, takkanlah nak patah balik panggil dia.” Dalih Izzat dalam usahanya untuk mengelak. Bertembung pandang pun dia tidak mahu, inikan pula mahu balik bersama Helena!

“Dengarlah cakap ibu, panggilkan Helena balik dengan kamu. Ibu tak sedap hati ni Ijat…” Mendayu-dayu suara ibunya mencampakkan harapan.

Izzat mengeluh rimas. Ibu ni macam-macamlah! Nanti macam mana dia nak menghadap Helena? Ada pulak minah tu perasan ingat dia beria-ia benar nak balik sekali.

“Tolonglah Ijat, ibu risau sungguh ni. Tolong ibu ya? Ya? Ibu tunggu dekat rumah, sayang anak ibu!”

Klik! Talian terputus tanpa sempat Izzat membalas.

Dia tahu dia tidak ada pilihan lain. Pilihannya cuma satu antara satu. Ah, ibu memang sengaja nak dera dia. Dan dia tahu ibu pasti ada agenda di sebalik semua ini.

************* 

Suasana di dalam kereta begitu sunyi dan sepi. Helena yang sejak tadi duduk memandang ke luar tingkap mula berasa bosan dengan kesepian yang ditunjukkan Izzat. Sudahlah dia terkejut bagai nak gila apabila Izzat berpatah balik dan mengajaknya balik sebentar tadi. Bukan mengajak dengan cara baik, tapi memaksa!

Awalnya dia menolak, sengaja mahu menunjuk lagak. Tapi semakin kuat pula Izzat marah-marah dan memaksanya. Mahu berterusan menunjuk degil, dia tidak sampai hati pula membiarkan Puan Faizah terus risaukan dia di rumah.

Dan akhirnya dia di sini… sekali lagi menumpang kereta lelaki yang tidak punya perasaan ini. Lelaki tak straight! Tuduh hatinya melulu.

Kekok berada dalam keadaan itu, Helena menegakkan tubuhnya. Perlahan tangannya bergerak untuk menunaikan hajat di hati. Ada radio canggih tapi tak pandai nak guna buat apa kan?

“Kau buat apa ni?”

Tersentak Helena apabila Izzat menyergahnya. Laaa.. boleh pulak bercakap, ingatkan dah bisu!

“Bosan, I want some music.” Balasnya bersahaja. Tanpa gentar, dia menekan-nekan skrin leper yang bernyala terang itu.

“Suka-suka kau aje kan, tepi!”

Bulat mata Helena apabila Izzat menepis tangannya. Dia mengerling ke sisi, memberi pandangan tajam kepada lelaki berwajah kelat itu. Apa punya kedekutlah manusia ni!

“Buat apa you pasang benda canggih-canggih macam ni tapi tak guna?”

“Eh, suka hati akulah. Kereta aku ke kereta kau ni?”

Rapat Helena mengetap bibirnya. “Memanglah kereta you, sebab I punya kereta lagi mahal dari kereta cabuk you ni!”

Berdesing telinga Izzat dengan kata-kata balasan Helena. Dia menjeling tajam, memandang wajah yang samar-samar diterangi cahaya lampu jalan itu.

“Mana kereta mahal kau tu? Mana? Kau dah campak bawah bukit ke apa?”

 “Ah, buat apa I nak tunjuk pada you!”

Izzat yang sedang memandu membuang pandang ke sisi. Terasa kebudak-budakan pula sikapnya kerana berlawan cakap dengan perempuan seperti ini.

“Bila kau nak keluar dari rumah aku?”

Tersentak dengan soalan itu, Helena terkelip-kelip memandang ke arah Izzat. “What? Keluar dari rumah you? Kenapa I nak kena keluar dari rumah you?”

“Eh, itu rumah aku. Suka hati akulah nak suruh kau keluar ke, nak masuk ke.”

“Tapi makcik suka I, makcik suruh I duduk situ lama-lama.”

Sinis senyuman terukir di bibir Izzat. “Kau ni siapa sebenarnya hah? Apa tujuan kau masuk dalam keluarga aku?”

“Wh.. what?”

“Bapak aku upah kau jadi spy family aku ke?”

Helena semakin tidak faham dengan soalan Izzat yang kedengaran pelik di telinganya. Dan kenapa pula Izzat menuduh ayahnya menghantar dia sebagai spy? Terkenangkan hakikat itu, barulah dia perasan yang keluarga Izzat jarang bercakap tentang lelaki itu. Malahan gambar ayah Izzat dan Izzati langsung tidak pernah terlihat di matanya. Tidak sama seperti keluarganya yang rajin menampal gambar-gambar seluruh keturunan di dinding.

“You merepek apa ni Ijat?”

“Stop calling me Ijat!” Marah Izzat sedikit bengang. “Ijat tu nama gelaran untuk family aku aje, kau jangan gatal-gatal nak panggil aku macam tu!”

“Oh, sorry Jat..” Ejek Helena tanpa gentar.

Melihat lelaki itu mengetap bibir, mendengus marah, semakin seronok hatinya. Lelaki seperti ini memang mencabar, lelaki yang tidak pernah tunduk, goyah dan terusik kerana kecantikan dirinya. Jarang dia jumpa lelaki seperti ini. Memang rare!

“Jat??” Tinggi suara Izzat memecah ruang.

“Hmm.. okaylah kan? At least bukan Ijat.”

“Helena, kau..”

“Okay listen!” Helena menaikkan tangan kanannya di hadapan muka Izzat, isyarat supaya lelaki itu tidak meneruskan kata-katanya. “I sebenarnya tak diupah oleh father you, in fact I tak kenal pun siapa father you. Unless dia tu Menteri Kabinet ke apalah kan..”

Izzat mencebikkan bibir apabila Helena tergelak-gelak. Sendiri buat lawak, sendiri gelak? Sewel!

“I datang sini bukan nak kacau family you Izzat, I cuma nak berlindung sementara. Nanti bila keadaan dah okay, I akan pergi. You tak payah suruh-suruh, I sendiri bungkus kain baju I.”

“Keadaan apa? Kau lari dari rumah kan?”

Helena menelan liur. Dia kembali menyandarkan tubuh dengan keluhan perlahan. Tekaan Izzat memang benar, tepat mengenai sasarannya.

“Aku tak nak bahayakan keluarga aku, kau faham tak? Macam mana kalau family kau cari kau dan lepas tu tuduh keluarga aku sorok kau? Kidnap kau?” Soal Izzat sedikit meninggi.

“Oh come on, ini bukan cerita hindustanlah Izzat!”

“Kemungkinan tu ada, right? Jadi better kau tinggalkan keluarga aku. Kitaorang tak pernah cari hal dengan kau, jadi jangan susahkan mak aku..”

“Okay bagi I masa boleh? Please?” Pinta Helena bersungguh-sungguh. “I sanggup buat apa saja kerja yang ibu you suruh, I akan buat apa saja asalkan I boleh tumpang dekat rumah you sedikit masa lagi.”

“For how long?”

“Err.. dua bulan?”

“What? No, seminggu.”

“Seminggu? Mana sempat… sebulan?” Tawar Helena penuh mengharap.

“Dua minggu.”

“Oh come on Izzat, sebulan please?”

Seketika Izzat mendiamkan diri. Sungguh, hidup Helena terlalu banyak misteri yang tidak terungkai. Dia bimbang jika dia mungkin meletakkan ibunya di dalam kesusahan suatu hari nanti. Bagaimana jika ada sesuatu yang lebih teruk disembunyikan oleh perempuan ini?

“Sebulan, I janji!”

Izzat masih menyepi. Dia tahu sebulan itu pasti cepat saja berlalu, tapi apa yang membuatkan Helena meminta waktu selama sebulan? Selepas itu ke mana langkah gadis itu? Mencari mangsa seterusnya? Atau mencari perlindungan yang lain pula?

“Siapa kau sebenarnya…” tanpa sedar soalan itu terpacul dari bibirnya. Menyedari kata yang terlepas, Izzat berdeham beberapa kali. Wajahnya dimimikkan setenang mungkin.

“I manusia biasa Izzat… manusia yang terlalu banyak terluka.”

Terpana Izzat mendengar suara lirih yang kedengaran berbisik itu. Dia mahu menoleh ke sisi, mahu mencari reaksi yang terpeta di wajah itu, namun kepalanya bagaikan berat melawan dengan rasa ego di hati.

Fitrah lelaki yang memang sukakan misteri, dalam penuh teka teki hatinya tertarik tanpa diduga.

Helena... who are you?

Show more