2013-03-07

Melangkah keluar dari pagar rumah teres dua tingkat berwarna krim itu, pandangan Izzat segera tertumpu ke arah gerai ibunya di seberang jalan. Seketika mata mengamati pemandangan yang jaraknya lebih kurang 50 meter dari sini.

Melihat kesibukan gerai itu bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana nasi lemak ibunya memang terkenal di kalangan penduduk setempat. Cuma kali ini pemandangannya berbeza. Barisan yang menanti di hadapan gerai ibunya semakin hari semakin panjang, meja dan kerusi juga tidak pernah kosong. Dan anehnya kebanyakan mereka adalah kaum lelaki, bukan lagi dipenuhi oleh golongan wanita seperti kebiasaannya.

Ah, dia tahu kenapa. Dia tahu sangat puncanya! Kenapa lagi kalau bukan sebab si Helena yang menjadi ‘pelaris’ di situ sejak empat hari yang lalu. Hari pertama keadaan masih kelihatan seperti biasa, masuk hari  kedua dan ketiga nama gerai ibunya tiba-tiba saja popular di kalangan anak-anak muda di kawasan perumahan mereka.

Yang paling dia tidak tahan, teman baiknya Danial pun ikut sama menjadi sukarela membantu ibunya di situ. Tolong lap mejalah, tolong bungkuskan nasilah, tolong basuh pingganlah, memang pelik! Sejak bilalah mamat tu rajin nak menolong, padahal selama ini kerjanya asyik nak nasi lemak free saja.

Dengan tangan memegang tray berisi sambal sotong untuk dibuat tambahan, perlahan dia melangkah menuju ke gerai kecil yang terletak di bawah pohon besar di tepi laluan utama kawasan perumahan itu. Bibirnya mengukir senyuman  kecil tatkala menyahut teguran beberapa pelanggan yang ada di situ. Kebanyakan dari mereka memang pelanggan tetap digerai ibunya.

“Kenapa lambat sangat Ijat? Dah lama sambal sotong tu habis, kesian orang tunggu lama.”

Bebelan ibunya singgah di telinga ketika dia meletakkan tray itu di atas meja lauk pauk. Sekilas dia memandang ibunya yang masih sibuk mengambil pesanan untuk dibungkus.

“Ijat mandi masa ibu SMS tadi, tak perasan.” Balasnya ringkas.

“Pukul berapa kamu nak ke kedai?” Tanya Puan Faizah dengan tangan masih ligat membungkus nasi lemak. Sekali sekala dia bertanyakan lauk pauk kepada pelanggan yang beratur di hadapannya.

“Hmm.. sekejap lagi ibu. Hari ni Adila cuti, tak ada orang nak bukakan kedai.”

“Boleh ke kamu buat kerja dekat pantry tu sorang-sorang?”

“Kuza kan ada. Lagipun semalam Adila dah tolong siapkan semua order.” Jawab Izzat tenang. Pandangannya berpindah pula ke ruang tengah gerai. Meluat pula dia melihat Danial mengekori Helena menghantar minuman ke meja. Bibirnya dijuihkan tanda meluat.

“Kamu nampak tak perubahan gerai ibu sekarang?”

“Hmm?” Izzat mengerutkan kening apabila mendengar pertanyaan dari ibunya itu. “Perubahan? Perubahan apa ibu?”

Puan Faizah meleret senyuman penuh makna. “Kamu ni lembab jugak kadang-kadang kan? Kamu tak nampak bukan main ramai orang beratur nak beli nasi lemak kat sini?”

Bagaikan mengerti maksud ibunya yang pasti mahu menghadiahkan pujian kepada Helena, dia tersenyum sinis. Naik muak telinganya ini mendengar pujian yang sama berulangkali. Tidak kiralah dari mulut ibunya, ataupun dari mulut Izzati. Jelak!

“Dari dulu lagi memang ramai orang suka nasi lemak ibu, apa yang peliknya?”

“Eh, kali ni lain tau, berganda-ganda larisnya.” Tingkah Puan Faizah separa berbisik. “Selalunya ibu tanak seperiuk, sekarang ni kena tanak tiga periuk tau. Itu pun habis licin, Alhamdulillah… murah rezeki kita.”

Izzat sekadar diam tidak membalas. Nanti kalau dia menjawab, melalut pula pujian ibu sampai ke nama Helena perginya.

“Ijat..”

“Hmm..”

“Helena tu pandai betul buat kerja tau. Pelanggan-pelanggan ibu dekat sini semua suka dengan dia. Dia peramah, lepas tu laju aje buat kerja, memang senang sikit kerja ibu..”

Keluhan bosan terbit di bibir Izzat. Tak habis-habis ibu nak menjual nama Helena ke telinganya. Spontan mata melirik kepada gadis itu yang masih  sibuk mengambil pesanan di sebuah meja. Terpandangkan senyuman manis Helena kepada beberapa orang pemuda itu, sekali lagi dia mencebik. Mana tak seronok mamat-mamat tu semua kalau Helena tersengih-sengih macam tu!

“Adila kata kamu nak cari pembantu dekat kedai kan?”

Pandangan Izzat kembali kepada ibunya. “Ha’ah ibu. Sibuk sangat sekarang, dah tak terkejar budak-budak dekat kedai tu. Ijat nak cari assistant bahagian depan..”

“Ambil Helena.”

Membulat mata Izzat dengan cadangan gila ibunya. Ambil Helena bekerja dengan dia? Ya Tuhan, ibu buat lawak pagi-pagi buta ke apa?

“Ibu cakap apa ni?” Soalnya kurang senang.

“Ibu cakap ambillah Helena kerja dengan kamu. Dia kan pandai bercakap-cakap dengan orang, mesti laris kedai kamu nanti.” Usul Puan Faizah bersungguh.

“Tak payah, sekarang pun dah cukup laris dah.” Balas Izzat mempertahankan egonya. “Ibu jangan risau, pandailah Ijat nak uruskan kedai Ijat tu nanti.”

“Makcik..”

Serentak Izzat dan ibunya menoleh ke kanan. Terpandangkan wajah Helena yang sedikit kemerahan dan berkeringat, dia membuang pandang ke sisi. Sedikit debaran halus tiba-tiba saja menggetarkan naluri perasaannya. Dia keliru namun dia yakin Helena sengaja menggunakan paras rupa yang menawan untuk membuat lelaki terpersona.

“Diaorang order apa Helena?”

“Nasi lemak biasa satu, nasi lemak ayam dua.” Ucap Helena dengan senyuman kecil. Matanya melirik pula kepada Izzat yang pura-pura memandang ke arah lain. Memang berlagak bagus betul mamat sewel ni!

“Alahai, makcik banyak lagi nak bungkus ni. Kamu buat sendiri boleh?”

Terdengarkan pertanyaan Puan Faizah, pantas Helena menganggukkan kepala. Kasihan pula dia melihat wanita itu tergesa-gesa menyiapkan pesanan untuk dibungkus.

“Yang kamu tercegat dekat sini kenapa Ijat? Pergilah tolong Helena tu!”

“Malaslah.”

“Tolonglah sekejap… bukan kedai orang lain, tapi kedai ibu kamu sendiri kan? Tak boleh nak tolong sikit pun?”

Terdengarkan sindiran itu, Izzat mengeluh perlahan. Mahu tidak mahu dia bergerak juga menghampiri Helena yang sedang mengelap pinggan di sebelah sana. Wajahnya dimasamkan, menunjuk rasa kurang senang dengan arahan ibunya. Dia tidak kisah langsung untuk membantu, malahan sudah berkali-kali dia ikut sama menguruskan gerai ini. Cuma kali ini dia kurang senang dengan kehadiran Helena yang muncul entah dari mana itu.

“Nak letak lauk apa ni?” Soalnya serius apabila gadis itu menghulurkan sepinggan nasi lemak kosong yang masih berasap nipis.

Melihat wajah Izzat yang mencuka, Helena mencebik kecil. Macam ni muka nak berniaga? Memang boleh lingkupbakeri dia tu nanti! Orang kalau menghadap rezeki, muka kena manis-manis, barulah berkat.

“Nasi lemak biasa, letaklah apa-apa yang patut..” Balasnya acuh tidak acuh.

Izzat masih menunjuk muka serius. Dia segera meletakkan telur rebus, kacang dan ikan bilis ke dalam pinggan tersebut. Terpandangkan nasi di dalam pinggan itu agak kurang berbanding sukatan biasa ibunya, dia menjeling kepada Helena. Sengaja mahu mencari pasal dengan gadis itu.

“Kau ni ikhlas ke tidak nak bagi orang makan?”

Helena terpinga-pinga dengan soalan itu. Dia mendongak, menatap sepasang mata yang sedang merenungnya tajam. “Apahalnya?”

“Apahal kau tanya aku? Kau ingat orang boleh kenyang ke makan seciput macam ni?”

Pantas bebola mata Helena berpindah ke pinggan di tangan Izzat. Rasanya memang itu sukatan yang ditunjukkan oleh Puan Faizah kepadanya sejak dia menjadi pembantu di gerai ini.

“Eh, I ikut apa yang makcik ajar I la. Memang banyak tu aje nasinya..”

“Kau apa tahu? Kau tu baru dekat sini, jangan nak memandai-mamandai pulak. Mana cukup macam ni! Nak bagi orang makan, janganlah kedekut sangat. Orang beli pakai duit, bukan guna daun.”

Rapat Helena mengetap bibirnya. Kurang asam betul mamat ni! Tak boleh ke sekali sekala mulut tu jangan nak puaka sangat? Geram dengan komen pedas dari bibir Izzat, dia beralah.

Nak sangat nasi banyak-banyak kan? Fine, bukannya tak boleh ditambah!

Helena menundukkan tubuh untuk mencapai senduk dari dalam termos nasi yang diletakkan di atas kerusi, dan ketika itu juga Izzat melakukan perkara yang serupa tanpa dirancang.

Tersentak seluruh perasaan Helena apabila tangan Izzat memegang tangannya di dalam termos itu. Perasaan di dada melantun cemas, dan rasa itu kian hebat menghentam jiwa apabila anak mata yang redup mempersona itu berlaga dengan pandangannya. Dia tidak pernah tahu lelaki itu mempunyai sepasang mata yang begitu mendamaikan, begitu indah..

Izzat menelan liur. Kaku menatap renungan Helena yang masih kukuh melekat ke arahnya. Dia mahu bergerak, mahu menjauhi sepantas mungkin, namun seluruh otot dan sendinya bagaikan terkunci. Tangannya masih di dalam sana, masih menggenggam tangan Helena yang disangkakan senduk sebentar tadi.

“Apahal ni?”

Helena terkejut, Izzat pula bagaikan baru tersedar dari mimpi apabila pertanyaan Puan Faizah itu memusnahkan segala rasa aneh yang menyelinap ke hati. Tidak menunggu lama, pantas Izzat melepaskan tangan Helena. Dia berdiri tegak dengan kulit muka merona kemerahan.

Wajahnya dipalingkan ke sisi, namun dia terpandang pula wajah ibunya yang tersenyum-senyum penuh makna.

Ah, malu betul! Pantas dia menghayun langkah tanpa sedikit pun berpaling ke belakang. Dia mahu menjauhi Helena… dia terlalu malu!

**************** 

“Seriuslah wei, bagi la pada aku…”

Izzat mengeluh bosan. Dia membuang pandangan ke arah gelanggang futsal yang masih sibuk dan hingar bingar dengan bermacam-macam suara. Wajah mengharap Danial dijeling sekilas, naik muak dia mendengar permintaan yang sama.

“Betullah apa dia cakap tu, dia memang tak ada phone. Kalau tak ada phone, kau nak aku korek celah mana nombornya?” Soal Izzat sedikit geram. Mahunya dia tak geram, setiap kali ternampak muka dia memang tak ada nama lain di bibir Danial. Asyik Helena, Helena, Helena! Penat.

“Alaaa… habis macam mana aku nak contact dia?”

Terdengarkan pertanyaan itu, Izzat tersenyum sinis. Tuala kecil yang diletakkan di atas beg pakaiannya dicapai untuk mengelap peluh yang masih mengalir di leher dan wajahnya. “Kau ni kecoh ek? Dah hari-hari kau jumpa dia, buat apa kau nak call-call dia lagi?”

Danial tersipu segan. “Kalau aku nak tackle dia, aku kenalah usaha lebih sikit. Siang memanglah jumpa dekat gerai mak kau tu, tapi malam macam mana? Aku rindu okay..”

“Geli aku!”

“Baguslah kalau kau geli, jangan kau ikut sama cucuk jarum sudahlah…”

Izzat menjuihkan bibir, menunjuk lagak yang dia tidak mungkin terusik dengan kehadiran Helena dalam hidupnya. “Sorry, bukan taste aku. Kau nak, kau ambik.”

“Bagus, itu yang aku nak dengar tu. Bukan apa, kalau aku bersaing dengan kau memang confirmlah aku kalah!” Balas Danial bersungguh. “Iyalah, aku ni baru berhenti kerja, memang tak adanya Helena nak pandang aku kalau nak dibandingkan dengan kau yang dah berjaya ni.”

“Habis tu, Fairol dengan Aziff pun tergila-gilakan minah tu jugak. Kau boleh menang ke?”

“Eh, mestilah boleh. Sebab aku lagi handsome dari diaorang!”

Tergelak besar Izzat mendengar balasan Danial. Dia akui dari segi rupa memang Danial boleh sapu bersih. Tapi mahu ke perempuan seperti Helena menjalin hubungan dengan lelaki yang sekadar ada rupa tapi tidak berharta? Dia tidak rasa begitu.

“Rugi kalau terlepas perempuan macam tu. Dahlah cantik, seksi pulak tu…”

Terdengarkan komen Danial tentang diri Helena, Izzat membuang pandang ke tengah gelanggang. Kepalanya menerawang, mencari seraut wajah jelita yang mula mengganggu ketenangan hidupnya kebelakangan ini.

Sungguh, tidak dinafikan kecantikan Helena menghantar isyarat yang mengelirukan hatinya. Sudah berkali-kali dia hanyut dengan pesona gadis itu, namun dia yakin semua itu godaan dan hasutan dari syaitan semata-mata.

Sikap, ketelusan hati, dan perangai sebenar gadis itu masih samar-samar dari pengetahuannya. Dan dia tahu Danial juga terpikat kerana tarikan fizikal yang ada pada Helena, bukan kerana hati dan perasaan.

“Kalau kau pandang pada rupa semata-mata, aku harap kau tak kecewa satu hari nanti..”  Ucap Izzat perlahan. Dia kemudian bangkit dari duduknya, berdiri tegak di hadapan Danial yang masih terkebil-kebil tanda tidak faham dengan apa yang dia katakan sebentar tadi.

“Maksud kau, dia bukan perempuan baik untuk aku?”

Izzat membalas dengan jungkitan bahu. Dia tidak berhak mahu melabel Helena dengan gelaran seperti itu kerana dia sendiri tidak begitu mengenali gadis itu.

“Itu yang kau perlu find out. Kau kena ingat perempuan zaman sekarang ni licik, aku tak nak  kau frust menonggeng nanti..”

“Tapi aku suka dia bro, aku serius ni!”

“Then good luck.”

“Itu aje? Kau tak boleh tolong aku ke?” Danial ikut sama berdiri apabila melihat Izzat bersiap-siap mahu meninggalkan gelanggang itu. Dia menyimpan harapan besar supaya Izzat boleh membantu mengeratkan hubungannya dengan Helena, tapi nampaknya Izzat tidak berminat mahu masuk campur.

“Eh-eh, kau yang nak dia kan? Then kau kenalah usaha sendiri. Kita ni anak jantan, mana boleh jadi tikus!” Usik Izzat dengan senyuman kecil di bibir. Dia menepuk-nepuk bahu Danial tanda memberi semangat. Namun di hatinya sudah tergelak besar kerana dia tahu ini bukan pertama kali Danial jatuh cinta, sudah berpuluh-puluh kali.

“Alaaa.. tapi kau tolonglah adjustkan dia untuk aku.”

“Nope, aku tak nak masuk campur.” Balas Izzat seraya mengangkat kedua belah tangannya ke sisi. “Dahlah, aku nak balik rumah. Kaki aku dah injured ni, nak suruh mak aku urut sekejap.”

 “Okay Izzat, tapi kau kena tolong aku satu je kali ni..”

“Apa dia?”

“Tolong kirim salam pada Helena ya. Cakap kat dia, aku rindu…”

Pesanan terakhir itu dibawa Izzat dengan pelbagai rasa di hati. Setiap langkah yang diambil ketika menuju ke keretanya terasa begitu berat dan membebankan. Dia keliru dengan permainan hati sendiri. Fikirannya asyik tertanya-tanya bagaimana lelaki seperti Danial begitu mudah jatuh cinta. Kenapa dia tidak begitu? Apa yang berbeza?

Dan buat pertama kali dia mula merasai perasaan aneh yang entah dari mana munculnya. Muncul secara tiba-tiba… sama seperti kemunculan Helena dalam hidupnya. Dan mungkinkah kali ini hatinya sudah diusik rasa cinta? Tapi dengan Helena?

Ah, itu sangat mustahil!

Show more