“Budak bertuah, kamu ingat kelakar ke buat macam tu Ijat?”
Terdengarkan nada suara yang tegas itu, lambat-lambat Izzat mengangkat muka. Dia memandang wajah ibunya dengan perasaan berbuku di dada. Kemudian pandangan berpindah pula kepada Izzati yang menjuih-juihkan bibir tanda ‘padan muka’ kepadanya.
Perlahan Izzat melepaskan keluhan geram. Tengok, sekarang semua orang dalam rumah ni dah pandai nak menyalahkan dia. Macamlah dia sengaja nak buat si Helena tu pengsan. Hujung-hujung dia jugak yang susah sebab terpaksa menggendong perempuan itu ke kereta.
“Dia berlakon ajelah ibu.. mana ada orang pengsan sebab takutkan pacat!”
Puan Faizah yang sedang mengupas bawang merah di meja makan itu merenung tepat kepada anak sulungnya. Walaupun menayang muka cemberut, Izzat tetap juga membantu dia dan Izzati menyediakan bahan-bahan untuk memasak nasi lemak bagi jualan pagi esok.
“Takkanlah Helena berlakon pulak. Lagipun sepanjang hari dia tak makan sebab merajuk dengan perangai kamu, mana ada tenaga bila kamu takut-takutkan dia macam tu.”
“Merajuk dengan Ijat? Eii.. tolonglah!” Izzat pura-pura mahu termuntah. “Ibu ni senang sangat bagi orang luar tumpang rumah kita, kita bukan tahu pun dia tu siapa sebenarnya. Entah-entah pencuri ke, orang gila terlepas dari wad ke, nanti hujung-hujung kita yang susah..”
Perlahan Puan Faizah menggelengkan kepalanya dengan tuduhan Izzat yang tidak berlapik itu.
“Tak baik berprasangka pada orang, Ijat. Lagipun tak salah kalau kita tolong orang yang dalam kesususahan. Hari ni hari dia, esok lusa entah hari kita pulak. Hidup manusia ni bukannya selalu senang, kena selalu beringat..”
“Entah abang ni. Zati tengok Kak Helena tu baik aje, cantik pulak tu.” Izzati pula menyokong kata-kata ibunya.
“Apa kaitan dengan cantik pulak ni?” Soal Izzat seraya menjeling adiknya. “Muka cantik macam mana sekalipun, tapi kalau perangai buruk buat apa. Useless!”
“Ya Allah budak bertuah ni, mulut tu tak boleh nak berlapik sikit ke Ijat?” Soal Puan Faizah kurang senang. “Yang kamu anti sangat dengan si Helena tu kenapa? Kamu pernah mengurat dia tapi kena reject ke?”
Bulat mata Izzat dengan pertanyaan yang tidak disangka-sangka itu. Melihat Izzati mengekek ketawa, dia mengetap rapat bibirnya dengan perasaan geram. “Apa ibu ni? Bila masa pulak Ijat mengurat dia?”
Puan Faizah tersenyum simpul, kemudian mengangkat-angkat pula keningnya kepada Izzati. “Manalah tahu, kan Zati kan? Kut-kutlah abang kamu ada terserempak dengan Kak Helena dekat mana-mana sebelum ni…”
“Oh, tolonglah… ibu jangan nak mula karang cerita dongeng. Ijat tak pernah jumpa dia sebelum ni, memang tak pernah.” Sanggah Izzat bersungguh-sungguh.
“Dah tu tak payahlah nak cemas, ibu tanya aje kan?”
Melihat senyuman di bibir ibunya, Izzat membuang pandang ke sisi. Malu juga sebab dia beria-ia benar menafikan semua itu. Buat selamba sudah, ini dia pulak yang terlebih menggelebah!
“Ibu, abang kata Kak Helena tu cuba bunuh diri ya? Ibu ada tanya kenapa dia buat macam tu?” Tanya Izzati dengan tangan masih sibuk menggunting cili kering.
“Kamu jangan sibuklah Zati, ini hal orang tua. Tak elok kamu tanya macam tu, kalau Kak Helena terdengar macam mana? Dah, jangan bukak cerita pasal ni lagi.”
Memuncung bibir Izzati dengan balasan ibunya. Soalan tanpa jawapan, memang sungguh tidak senang hati dibuatnya. Dia benar-benar mahu tahu kenapa perempuan secantik Kak Helena sanggup mengambil jalan sekeji itu. Manalah tahu ada situasi yang sama macam dalam novel-novel yang pernah dia baca selama ini.
“Orang kalau takde iman memang macam tu, suka bertindak ikut perasaan, dah tak fikir hukum Tuhan.” Komen Izzat bersahaja. Kata-katanya itu membuatkan ibu dan Izzati serentak memandang ke arahnya.
“Habis tu, iman kamu tu dah cukup sangat ke?” Sindir Puan Faizah dengan maksud tersirat. “Hah, kalau dah cukup sangat iman di dada, cepat-cepat dirikan masjid. Ibu ni dah teringin nak dapat menantu, nak menimang cucu, bila kamu nak bagi?”
Izzat merengus perlahan. “Ibu ni… cari bini bukan macam cari ikan dekat pasar.”
“Eh, cari bini dekat pasarlah elok. Sekurang-kurangnya kita tahu perempuan tu kenal ikan sayur segala, rajin memasak..”
“Ah, bukan betul sangat teori ibu tu. Yang Ijat nampak selama ni perempuan muda terjengket-jengket dekat pasar, geli sangat kononnya. Lepas tu pegang ikan pun hujung-hujung ekor aje, baik tak payah pegang.”
“Eh, itu namanya pembersih. Eloklah cari bini macam tu..”
Tergelak-gelak Izzati mendengar perbualan ibu dan abangnya itu. Bila bab-bab kahwin yang menjadi topik, memang hangatlah perdebatan di dapur ini. Dia sudah terbiasa, sudah masak dengan kerenah abangnya yang terlalu sukar mencari kekasih hati. Entah apa ‘syarat-syarat wajib’ yang ditetapkan oleh abangnya sehingga gagal mencari yang berkenan untuk dijadikan isteri.
Bukan sekali dua ibu memperkenalkan gadis-gadis muda kepada abangnya, namun sekadar pertemuan pertama dan ianya terus menjadi pertemuan terakhir. Dan dia faham kenapa ibu risaukan abangnya, maklum sajalah zaman sekarang ini macam-macam hal. Tak cukup bercinta dengan perempuan, ada pula yang bercinta dengan kaum sejenis. Nauzubillah, dia tahu abangnya bukan begitu!
“Err.. makcik.”
Perbualan Izzat dan ibunya serta merta berakhir apabila suara itu menerjah perlahan ke ruang dapur. Serentak mereka bertiga memandang ke arah yang sama, melihat Helena yang menunjuk muka serba salah di ambang pintu dapur. Spontan bibirnya mencebik. Sekejap benar pengsannya!
“Helena dah sedar? Eh, jangan berdiri dekat situ aje, meh duduk sini.”
Melihat ibunya bangun mendapatkan Helena, semakin meluat hati Izzat. Seronoklah agaknya perempuan tu dapat bermanja-manja dengan ibu. Dah besar kepala, bertambah besar kepalalah jawabnya.
“Tadi kamu pengsan, Ijat yang bawak kamu balik ke sini. Kamu tak sihat ke?”
“Izzat ibu, Izzat.” Potong Izzat membetulkan sebutan namanya. Bagi dirinya, cuma keluarga rapat saja boleh memanggilnya Ijat, orang lain memang memanggil dia dengan nama Izzat seperti yang tertera di dalam kad pengenalannya.
“Alah, bukannya berbeza sangat pun.” Getus Puan Faizah bersahaja. Tidak diendahkan muka membentak Izzat, dia kembali memandang wajah Helena yang kelihatan sedikit pucat. “Kamu lapar tak Helena? Dari siang tadi tak makan, mesti kamu lapar sangat kan..”
Helena tersenyum kelat. Dia menundukkan kepala, tak kuasa mahu memandang jelingan Izzat di hadapannya itu. “Saya mintak maaf makcik, saya dah banyak menyusahkan keluarga makcik. Tapi saya memang takut sangat dengan pacat, memang tak boleh tahan kalau nampak benda tu..”
Puan Faizah tergelak kecil. “Tak ada menyusahlah, lagipun si Ijat ni yang buat perangai sebab menyakat kamu..”
“Err.. menyakat?” Mukanya kembali diangkat memandang wajah Puan Faizah, kemudian berpindah pula ke muka Izzat yang masih mencuka. Apa pulak mamat hati ais ni dah buat pada aku? Rasa geram di dada mula meluap-luap namun dia cuba mengawalnya sebaik mungkin.
“Sebenarnya yang ada dekat betis kamu tu bukan pacat, tapi rumput kering. Maaflah sebab anak makcik ni memang kuat sangatmenyakat, tak sangka pulak sampai boleh buat kamu pengsan.”
Zap! Darah panas terasa menyerbu ke muka. Tajam matanya memanah wajah Izzat yang masih selamba mengasingkan ikan bilis di dalam dua buah bekas plastik.
Rumput kering? Dia pengsan sebab rumput kering? Damn! Memang buat malu kalau didengar dek orang! Bedebah betul si Izzat ni, berani dia main-mainkan aku.
“Ijat, kamu tolong masakkan sup panas untuk Helena. Sejuk-sejuk macam ni memang sedap kalau dapat hirup sup. Nasi pun ada lagi dalam periuk tu, Helena jangan malu-malu pulak nak makan ya?”
Helena tersenyum kepada wanita budiman itu, manakala dia lihat wajah Izzat serta merta bertukar tegang. Padan muka, last-last kena jadi tukang masak aku jugak!
“Ibu, Ijat takde masa nak masakkan dia. Dia kan perempuan, suruhlah dia masak sendiri.” Bantah Izzat sedikit kasar. Walaupun ibunya menjegilkan mata sebagai amaran, namun dia buat-buat tidak nampak.
“Helena kan tetamu kita, dan kamu kan memang suka memasak. Selalu tu tiap-tiap malam kamu buatkan kudapan untuk ibu dan Zati, apa salahnya malam ni buatkan untuk Helena pulak.”
Izzat mencebikkan bibirnya. Kudapan bermakna goreng keropok, buat cekodok, bukannya buat sup bagai! Malas mendengar desakan ibunya, Izzat bangkit dari kerusi. Sempat juga dia melihat sengihan mengejek di bibir Helena.
Oh girl, you just have to wait and see..!
Walaupun menyampah tahap tertinggi, namun terpegun juga Helena melihat ketangkasan Izzat di dapur. Masak sup ayam macam masak magi saja. Tidak sampai setengah jam, sup panas bersama isi ayam dan kentang sudah terletak indah di hadapannya. Bau bukan main sedap lagi, rupa pun cantik membuka seleranya.
Dan ketika Izzat meletakkan sepinggan nasi, dia mendongak dengan senyuman lebar tanda kemenangan. Lelaki itu menjeling tajam, kemudian menarik muka seketat mungkin. Oh tolonglah, dia tidak rasa gentar langsung setakat menghadap muka cemberut begini.
“Makan Helena, jangan malu-malu. Ijat ni memang pakar masak sup ayam, bukan setakat sup ayam aje, macam-macam masakan dia pandai. Masakan ala kampung ke, Western ke, semua dia reti tau. ”
Pujian ibunya membuatkan Izzat sedikit kurang senang. Memanglah dia suka memasak kerana dia benar-benar cintakan dunia masakan, namun memuji di hadapan perempuan seperti Helena samalah seperti merendahkan keegoannya.
Dia ini lelaki, dan lelaki pasti lebih sinonim dengan kerja-kerja kasar dan keras. Kalau Helena asyik disogokkan dengan ‘kelembutan’ hobinya, pasti kepala perempuan itu berfikir yang bukan-bukan. Dia tidak rela Helena memandang dia ini sebagai lelaki lembut!
Helena tersengih-sengih dengan apa yang didengarinya. Kemudian dia mencapai sudu di dalam mangkuk sup. Perutnya yang berkeroncong kelaparan benar-benar membuatkan dia tidak sabar mahu menjamah setiap hidangan yang ada. Dia yakin dia mampu menghabiskan sepinggan nasi ini tanpa banyak soal.
Melihat Izzat kembali meneruskan tugasnya dengan si bilis, perasaan sedikit gelisah. Kenapalah mamat tu tak balik saja ke rumah belakang? Orang nak makan pun tak senang. Bukan apa, kalau dia makan sampai habis licin nanti, kembang pulak hidung si Izzat tu.
Namun menurut saja rasa lapar yang tidak tertanggung, dia menyudu juga sup yang sedikit keruh itu. Ditiup-tiup beberapa kali sebelum menyuanya ke mulut. Belum sempat sup itu ditelan, lidahnya terasa kebas dan pijar. Mahu dimuntah keluar, dia tahu ini bukan tempat yang sesuai.
Dan ketika pandangannya melekat ke singki, Helena segera bingkas berdiri. Tergesa-gesa dia berlari ke hujung dapur untuk membuang takungan sup di dalam mulutnya itu.
Ah, dia tahu ini memang kerja Izzat! Memang kerja lelaki gila tu!
“Helena, kenapa ni?” Soal Puan Faizah sebaik saja melihat Helena berlari ke singki. Terbatuk-batuk gadis itu membuang apa yang ada di dalam mulutnya. Terpandangkan sup yang belum luak itu, segera matanya mencari wajah Izzat. “Apa Ijat letak dalam sup tu?”
“Letak apa ibu? Letak ramuan biasa yang Ijat buat tulah..”
Balasan Izzat semakin menerbitkan rasa curiga di hati Puan Faizah. Pantas dia menyudu sup itu ke mulutnya. Sesaat kemudian wajahnya berkerut-kerut dengan mata kian mengecil. “Ya Allah.. berapa kilo kamu letak garam ni Ijat? Rasa air laut!”
“Kenapa ibu? Tak sedap ke?” Tanya Izzati sebaik saja melihat reaksi ibunya yang agak keterlaluan. Dia kemudian menarik mangkuk berisi sup itu untuk merasanya. “Ewww… masinnya! Abang sengaja nak kenakan Kak Helena ya?”
“Eh, apa pulak? Abang rasa okay aje tadi..”
“Hesy, apa nak jadilah kamu ni Ijat? Dengan perempuan pun nak cari pasal.” Gerutu Puan Faizah sedikit geram. “Dah, kamu pergi balik rumah belakang. Biar ibu bawak Helena pergi kedai mamak dekat depan tu. Makanan dekat situ lagi sedap dari sup kamu ni!”
Izzat tidak membalas sebaliknya dengan bersahaja dia bangkit dari kerusi. Sempat juga dia mengerling Helena yang masih berdiri berdekatan dengan singki. Tajam renungan gadis itu kepadanya, namun percayalah dia sedikit pun tidak terkesan apa. Rasa bersalah? Lagilah tak ada!
“Jom Helena, kita pergi kedai depan. Malam ni kamu tidur awal sikit, esok pagi-pagi kamu boleh tolong makcik dekat gerai nasi lemak tu. Tak adalah kamu bosan sangat dekat rumah..”
Tersentak Izzat dengan pelawaan ibunya. Amboi, nak suruh minah tu tolong dekat gerai pulak?
“Ibu, mesti laku gerai ibu esok. Iyalah, ada awek cun tolong jualkan nasi lemak.” Tambah Izzati pula.
Mata Izzat beralih ke wajah Helena yang tersipu-sipu segan. Hmm.. memang tidak mampu dinafi hati yang kelebihan paras Helena pasti mengundang kegilaan baru di gerai ibunya. Maklumlah, di situ memang port kawan-kawan lelaki dia bersarapan. Dan dia cukup yakin Fairol, Aziff dan Danial akan menyoal siasat dirinya setelah memandang Helena nanti. Bukan dia tidak tahu betapa nakalnya budak bertiga itu, memang pantang tengok perempuan.
Dan ketika dia memandang langkah ibu meninggalkan ruang dapur itu bersama Helena dan Izzati, tiba-tiba saja gadis itu menoleh kepadanya. Seketika mata bertentang mata, anehnya renungan itu terlalu memukau, begitu lembut menusuk ke hati tanpa sebarang sebab.
Pantas Izzat mengalihkan pandangan ke sisi dengan dada berdebar-debar. Nafas dihela perlahan. Rasa ini sama seperti pertama kali dia memandang Helena sebagai ‘puteri kayangan’ ketika awal pertemuan mereka dahulu. Sungguh, sama sekali tidak berbeza.
Ah, dia tahu Helena sengaja mahu menggodanya, mahu membuat dia tewas dengan cara yang paling perit. Sekilas bibirnya mengukir senyuman sinis.
Silap besarlah Helena, kerana perasaannya ini sama sekali tidak akan terusik begitu sahaja. Mungkin dia terpesona, tapi dia yakin dia tidak akan jatuh cinta… dia sangat yakin.